Selasa, 18 Disember 2007

Perhimpunan Haram...apa kata saya?

Baru-baru ini negara kita digegarkan dengan beberapa siri perhimpunan 'haram' yang dianjurkan oleh beberapa badan pertubuhan politik mahupun oleh badan-badan NGO. Bermula daripada perhimpunan BERSIH, disusuli dengan HINDRAF dan yang terakhir sekali diadakan oleh pertubuhan peguam bersempena dengan hari Hak Asasi Manusia sedunia. Perhimpunan ini dikatakan 'haram' apabila tidak mendapat permit daripada pihak polis. Natijahnya, sesiapa sahaja yang menganjurkan perhimpunan haram akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah akta polis dan boleh dikenakan di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA). Perdana Menteri kita mendakwa bahawa perhimpunan sebegitu bukan budaya kita. Tetapi ada pihak yang telah mendakwa jika tidak dek kerana perhimpunan haram yang dianjurkan untuk menentang Malayan Union dahulu, mungkin kita tidak jadi seperti sekarang. Mungkin hak istimewa kita sebagai orang melayu bumiputera akan termansuh sama sekali. Kita tidak merdeka di tanah air sendiri. Di sini saya lihat perhimpunan ini merupakan gelombang yang mampu membawa suara dan kehendak rakyat secara dan dapat membuka mata pemimpin-pemimpin atasan. Kalau seorang dua mungkin tidak dipedulikan tetapi kalau dah sampai mencecah 100,000 yang bersama-sama menyatakan hasrat yang sama, pemimpin pasti akan mengambil berat tentang hal ini. Bagi saya, sekiranya kita ingin terus mengamalkan sistem demokrasi, suara rakyat seharusnya menjadi perkara yang paling utama dalam perhatian pemimpin. Pelik juga kadang-kadang ada juga yang menganjurkan perhimpunan sebegini tetapi mungkin tak puas hati sebab rumah tak siap, bau busuk sampah dan ada untuk benih ikan. Tiada pula polis susah-susah nak hantar FRU pada hal mereka lebih kurang sama seperti mereka yang tidak berpuas hati terhadap sistem pilihan raya dan ingin menghidupkan hari hak asasi manusia. Dan tidak silap saya, SUHAKAM mengatakan tidak mengapa untuk mengadakan perhimpunan sebegitu kerana itu hak rakyat dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Entah-entah kalau rakyat buat perhimpunan sebab tidak puas hati harga minyak dan barang-barang keperluan lain naik, mahunya polis tangkap. Kasihan betul sebab mereka sekadar menyampaikan suara mereka. Tapi ada juga sesetengah pihak mengatakan ia akan membuat negara kita jadi kacau bilau dan huru hara. Mereka juga mengatakan jalan akan menjadi sesak kerana perhimpunan ini. Ada pihak menyangkal dengan mengatakan kerana tidak kerana polis dan FRU yang membuat provokasi, maka tidak akan terjadi perkara seumpama itu. Perhimpunan akan jadi aman dan hanya menjadi gelombang suara rakyat. Tapi hal ini tidak boleh disamakan dengan HINDRAF. Jika dibandingkan dengan BERSIH dan perhimpunan hari hak asasi manusia, HINDRAF telah merosakkan harta benda awan dan merosakkan kuil mereka sendiri. Mereka bertindak di luar kawalan dan di luar dari perhimpunan yang sepatutnya. Dan mereka menyampaikan hasrat mereka dengan berbaur hasutan. Saya tidak setuju sama sekali dalam perkara ini. Kalau kita lihat, di negara-negara maju mereka berani menegur kerajaan mereka dengan mengadakan perhimpunan untuk menyampaikan suara mereka. Padahal ramai golongan intelektual yang menyertai perhimpunan ini. Di negara mereka ada satu tempat di mana rakyat boleh lantang menyatakan suara mereka selagi tidak berbaur hasutan. Tapi negara kita telah didoktrinkan sejak dahulu lagi untuk menerima apa sahaja yang kerajaan buat dan tidak boleh ditegur. Kalau difikirkan, tak kanlah peguam tak tahu undang-undang sehinggakan mereka mengadakan perhimpunan. Mereka merupakan golongan yang profesional dalam apa perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat di negara ini. Pendapat saya, kenapa tidak diadakan soal selidik kepada seluruh rakyat adakah negara kita telah mengadakan sistem pilihanraya yang sebenar dan bersih. Sebab yang mendakwa hal ini bukanlah golongan-golongan biasa. Serta jalankan soal selidik kepada masyarakat india di negara kita adakah mereka benar-benar disisihkan di negara kita. Sekadar ingin berkongsi idea setelah membaca banyak sumber mengenai perkara di atas. Sekian Terima Kasih. p/s: Semoga Allah merahmati perjuangan rakyat palestin yang mengadakan perhimpunan 'haram' setiap hari untuk membebaskan diri mereka dari cengkaman zionis yang seterang-terangnya 'batil' yang dikatakan bukan budaya negara kami dalam menegakkan perkara yang makruf.

Sabtu, 15 Disember 2007

Kemandulan Bahasa Melayu...ke mana hala tujunya

Bahasa Melayu seperti yang kita ketahui pernah menjadi salah satu bahasa yang penting atau lingua franca pada zaman kegemilangan kesultanan melayu melaka dahulu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa perantara antara pedagang yang singgah di bumi Melaka. Namun baru-baru ini hal mengenai bahasa ibunda kita telah hangat diperbahaskan di dewan parlimen. Hal ini tercetus apabila ada wakil rakyat yang mempertikaikan kemasukan bahasa Inggeris yang telah dimelayukan ke dalam Kamus Dewan yang merupakan rujukan utama istilah bahasa melayu di negara kita. Beliau mempertikaikan istilah bajet yang telah dibahaskan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi masih digunakan di dalam parlimen. Maka tercetuslah satu istilah iaitu kemandulan bahasa melayu. Tidak pula diketahui adakah penggunaan istilah 'kemandulan' ini merupakan satu hiperbola yang dapat membuka mata ramai pihak untuk mengambil berat tentang hal ini. Saya tertarik dengan pendapat yang telah diutarakan oleh Prof Sidek Baba mengenai isu kemandulan bahasa melayu. Antara intipati yang menarik untuk saya kongsi dalam blog ini adalah penggunaan istilah kemandulan itu sendiri. Mandul maksudnya tidak boleh lagi menghasilkan benih yang berkualiti untuk menghasilkan zuriat. Dalam erti kata lain, kemandulan bahasa melayu berlaku apabila bahasa ini telah tidak dituturkan sama sekali dalam percakapan harian mahupun ucapan rasmi. Beliau menambah lagi, kekuatan dan pengaruh sesuatu bahasa itu adalah apabila ia digunakan dalam sains dan teknologi. Jelaslah disini, penggunaan bahasa melayu di dalam pengajaran sains dan matematik adalah satu alternatif yang baik untuk mengelak bahasa kita daripada 'mandul' Banyak lagi perkara yang kita perlu ambil berat selain perkara mandul tersebut seperti penggunaan tulisan jawi di sekolah dan di IPT. Sememangnya ada diajar di sekolah tetapi pembudayaannya entah ke mana. Orang cina dan india ada tulisan masing-masing dan masih gah di dalam akhbar mereka tetapi tulisan jawi entah ke mana. Selain itu, kita juga perlu berhati-hati dengan penggunaan bahasa 'sms' yang semakin menular menjadi budaya dalam masyarakat kita sehinggakan bahasa melayu yang sebenar sudah tidak dipedulikan dan dikatakan 'skema'. Penggunaan Bahasa Melayu juga tidak penting dalam sektor swasta. Bahasa Inggeris dipentingkan. Saya terkejut semasa saya menjalankan ROS di sekolah cina, matematik dan sains diajar dalam bahasa ibunda mereka. Orang Melayu kita entah ke mana. Pendapat saya, sekiranya dek kerana kamus bahasa kita dikatakan mandul, lebih baik kita betulkan kamus itu dahulu. Maksud saya adalah lebih baik diadakan kamus yang boleh mengasingkan antara bahasa percakapan kita seharian dan penggunaan rasmi. Oleh yang demikian rakyat kita dan orang melayu kita sendiri dapat meletakkan istilah yang kena pada tempatnya. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus diperkasakan. Idea-idea mereka harus dipertimbangkan oleh dewan parlimen dan mereka juga hendaklah dijadikan rujukan utama dalam memperkasakan bahasa kita. Bukan ada ubat pil kuda atau minyak lintah untuk atasi mandul, tetapi sikap, kesedaran dan perpaduan bangsa kita untuk mendaulatkan bahasa ini adalah lebih penting. Sekadar memberi pendapat dan meluangkan masa untuk menjalankan hobi yang saya minati. Sekian. Terima Kasih.

Isnin, 3 Disember 2007

Tidak menutup aurat dengan sempurna di kalangan muslimah...salah lelaki?

Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan untuk mempercayai dan mengimani setiap perkara yang terkandung dan tulis di dalam kitab suci al-Quran yang diturunkan oleh Allah dan akan terpelihara sehingga hari akhirat. Pada sudut yang lebih tepat, kita membaca dan seterusnya mengamalkan setiap perkara yang telah termaktub di dalam al-Quran secara keseluruhannya. Hal ini termasuklah kewajipan menutup aurat yang dikenakan kepada muslimin dan muslimah. Tidaklah perlu saya menyatakan dari mana dan hingga ke mana kita harus menutup aurat kerana perkara ini telah diajar di sekolah atau di dalam kelas-kelas agama. Surah an-nisa' ayat 32 dan surah al-Ahzab ayat 59 telah menjelaskannya. Sepatutnya kita lebih memfokuskan kepada penghayatan dan pelaksanaan tuntutan tersebut dan mengapa kita perlu menutup aurat. Mengenai tajuk di atas, tentunya ada di kalangan rakan-rakan yang kurang bersetuju walaupun ada yang mengiyakan tajuk di atas. Sememangnya bagi saya kita tidak boleh menyalahkan pihak muslimah seratus peratus dalam hal ini. Lelaki juga boleh dipersoalkan dalam hal ini. Kalau tidak masakan Allah meletakkan lelaki sebagai pemimpin wanita di dalam surah an-Nisa' dan lelaki dipertanggungjawabkan untuk menjaga keluarga mereka dari azab api neraka. Perbincangan mengenai kegagalan seorang bapa untuk mendidik dan bertegas dalam soal pakaian anak-anak dara mereka bagi saya perkara yang telah biasa dijadikan satu faktor. Bagi saya yang lebih menarik lagi pada masa sekarang adalah tuntutan untuk wanita berpakaian cantik dan menunjukkan tubuh mereka yang cantik kepada lelaki. Setuju? Bagi saya memang fitrah wanita itu menjadikan diri mereka anggun dan menjadi siulan para jejaka. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, maaf andainya saya terkasar bahasa di sini, adalah sukar untuk mencari lelaki yang ada pendidikan tinggi dan berkerjaya. Dalam pada masa yang sama, lebih ramai wanita telah mempunyai pendidikan yang tinggi dan berkerjaya sekarang. Jadi untuk mencari pasangan yang secocok, bukan semua, mereka menunjukkan kecantikan tubuh mereka untuk menarik perhatian lelaki yang mereka sukai. Salah lelaki juga malas belajar dan menghafal di sekolah dahulu. Lebih menarik lagi ada yang menyatakan lelaki sekarang hanya memilih wanita yang ada paras rupa yang menarik sahaja dan tubuh yang ramping dijadikan syarat sebagai teman wanita mereka. Pantang nampak yang berdahi licin dan bertubuh menarik, pasti mereka akan pergi menyunting. Hal ini telah mendesak wanita untuk berpakaian seksi untuk menarik perhatian lelaki. Di sinilah wujudnya persaingan antara wanita secara kita tidak sedari. Salah lelaki juga yang meletakkan kecantikkan sebagai syarat utama. Padahal Rasulullah telah ingatkan kepada kita, termasuk saya, lelaki, agar memilih wanita pada agamanya nescaya kita akan bahagia Insyaallah. Secara kesimpulannya, lelaki juga perlu diletakkan beban dipanduk mereka untuk menjadikan rakan-rakan kita yang muslimah menutup aurat dengan sebetulnya. Tidak dinafikan juga kurangnya sifat malu wanita sekarang sebagai salah satu faktor. Sekadar memberikan pendapat. Seandainya wadah fikiran saya ini tidak dipersetujui dan ada kesilapan, saya harap ada pihak yang sudi memperbetulkan. Sekian. Terima Kasih.

Ahad, 2 Disember 2007

Program Angkasawan Negara...Wajarannya?

Program angkasawan Negara yang telah dilaksanakan baru-baru ini telah menaikkan nama Malaysia di persada global dengan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar sebagai rakyat Malaysia yang pertama berjaya melepasi atmosfera bumi ke ruang angkasa lepas. Rakyat Malaysia boleh berbangga apabila bendera negara kita telah dikibarkan megah nun jauh tinggi di angkasaraya dan ditambahkan lagi dengan bahasa Melayu dipertuturkan di angkasa. Program ini diharapkan dapat menaik semangat anak-anak muda dan cendekiawan-cendekiawan kecil untuk mendalami Sains dan Teknologi seiring dengan hasrat negara untuk merealisasikan wawasan 2020 dan misi 2057 ke arah satu ketamadunan bangsa yang maju. Itu adalah dari sudut positif dalam jangka masa yang panjang. Namun, adalah tidak mencukupi sekiranya hanya menghantar seorang rakyat Malaysia di sana. Ada yang mengatakan beliau hanyalah seorang pelancong angkasa lepas yang hanya menumpang di dalam kapal Soyuz ke stesen angkasa. Tambahan pula, modal yang dikeluarkan sebanyak jutaan ringgit dikatakan hanya membazir duit rakyat dan rakyat tidak mendapat faedah darinya. Modal itu digunakan hanya sebagai bayaran 'tambang penerbangan' sama seperti jutawan-jutawan lain yang ingin melancong ke angkasa lepas. Baiklah, jika kita soroti sejarah negara Rusia, negara ini telah mengalami satu revolusi sains dan teknologi di negara mereka setelah mereka berjaya melancarkan Sputnik 1 pada era 60-an dahulu. Pelancaran ini telah mengubah sistem pendidikan negara mereka iaitu lebih ke arah perkembangan Sains dan Teknologi. Itu adalah impak yang besar di negara mereka. Jika kita lihat dalam konteks negara kita, saya akui bahawa kanak-kanak sekolah merasa teruja dan ingin juga menjadi angkasawan satu hari nanti. Bagi saya ini adalah satu impak yang positif. Akan tetapi, adakah kerajaan Malaysia bersedia untuk menyediakan apa yang dikehendaki dan diperlukan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut bagi memenuhi kehendak inkuiri mereka. Sepengetahuan saya, ilmu tentang astronomi hanya diajar sehingga tingkatan 3 iaitu tentang planet-planet, gerhana, pergerakan bulan dan lain-lain lagi. Kementerian Pendidikan tidak menyediakan satu matapelajaran khas bagi pelajar-pelajar yang ingin belajar dalam bidang ini dan pada masa yang sama tiada guru yang berlatar belakangkan ilmu ini.Saya percaya kedua-dua angkasawan kita bukan berlatar belakangkan astronomi. Sekiranya guru-guru di sekolah tidak dapat memberi pembelajaran Hands-on, maksud saya mereka melihat dengan mata mereka sendiri, maka ilmu tadi hanya tinggal bahan untuk dihafal sahaja dan semangat inkuiri yang diperlukan untuk melahirkan seorang angkasawan sejati akan mati. Hal ini ditambahkan lagi dengan semangat anak-anak melayu untuk belajar sains dan matematik mati kerana pengajaran guru kurang berkesan dan bahasa inggeris sebagai perantaraan. Jadi, persoalannya, siapa yang akan memberikan mereka ilmu yang mereka inginkan serta pendedahan untuk mendalami bidang tersebut. Tambahan pula, IPT di negara kita juga kurang menawarkan bidang aeroangkasa. Jadi, bagi saya negara kita masih kekurangan pakar serta penyelidikan untuk terus berjaya dalam bidang ini dan bukan hanya tahu menghantar saja. Planetarium negara yang menjadi pusat kajian astronomi kita juga dikatakan tidak mempunyai keperluan yang mencukupi untuk menjalankan kajian dan bahan-bahan pameran juga dikatakan lama dan tidak dapat menarik perhatian pelajar. Sepatutnya dana juga diberikan kepada planetarium, persatuan astronomi dan universiti untuk menjalankan kajian dalam bidang ini sebagai menerima momentum yang telah diberikan oleh kejayaan kita menghantar angkasawan. Jadi, pada pendapat saya, kerajaan sewajarnya menggunakan dana jutaan ringgit tersebut dengan membangunkan bidang astronomi di negara kita dahulu seiring dengan pembangunan bioteknologi di negara kita seperti menawarkan subjek aeroangkasa atau astronomi di sekolah, menaik tarafkan planetarium negara, mengimport pakar-pakar dari negara lain untuk mengajar di negara kita seandainya ingin menahan impak seperti yang telah diberikan oleh program angkasawan negara dan seterusnya melahirkan angkasawan Malaysia yang sebenar dan bukan hanya sekadar pelancong angkasa. Sekadar memberi pendapat.Sekian. Terima Kasih.