Isnin, 18 Februari 2008

Wahai rakan muslimat, sempurnakanlah aurat anda untuk kami

Isu aurat bukanlah satu isu yang baharu dibincangkan dalam laman-laman web yang berunsurkan Islam dan tidak kurang juga direncanakan dalam kolum-kolum Islam di dalam akhbar. Dalam Islam, penutupan aurat adalah satu perkara yang dituntut atas setiap penganutnya tidak kira lelaki dan wanita. Dalam al Quran juga terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat atas lelaki mukmin dan perempuan mukmin iaitu di dalam surah an-Nur dan surah al Ahzab. Tidak perlu diceritakan di sini apakah anggota yang perlu ditutup bagi lelaki dan perempuan kerana perkara ini adalah asas dan telah diajar sejak peringkat sekolah rendah lagi. Yang penting adalah peranan aurat itu sendiri yang dapat memelihara perempuan daripada perkara yang tidak diingini serta menjaga mata dan kemaluan daripada perkara yang maksiat. Baiklah, perkara yang saya ingin berkongsi di sini adalah kesan yang boleh diberikan oleh wanita yang tidak menutup auratnya dengan sempurna ke atas lelaki. Seperti yang sedia maklum, aurat wanita dapat menaikkan nafsu lelaki untuk mendekatinya sekiranya tidak ditutup. Golongan ini dikatakan tidak akan mencium bau syurga yang baunya dapat dihidu sejauh 500 tahun jarak perjalanan. Tetapi ada yang lebih hebat lagi, kesan tidak menutup aurat dengan sempurna ini dapat mengurangkan ketajaman akal seorang lelaki. Lelaki yang hebat hafalan dan ketajaman akal fikiran seperti Imam as Shafie menjadi lupa kepada hafalan matan hadis kerana terlihat betis wanita yang terselak sahaja. Inikan pula lelaki di zaman mutakhir ini. Dikelilingi oleh iklan syampu, tuala wanita, konsert nyanyian yang menayangkan tubuh wanita, rancangan realiti TV dan macam-macam lagi. Suasana di kampus juga seperti itu juga. Maka, saya tidak hairan sekiranya ada yang mengatakan pencapaian lelaki dalam peperiksaan tidak sehebat pelajar wanita. Tidak menutup aurat ini adalah salah satu faktornya yang harus diambil berat oleh lelaki. Lelaki telah diberikan oleh Allah dengan 9 akal dan telah diberikan tanggungjawab kepimpinan lebih dari wanita dalam beberapa aspek seperti yang tercatat dalam surah an-nisa’ Maka persoalannya adalah bagaimana kita hendak melahirkan kepimpinan terutamanya mahasiswa lelaki untuk memimpin negara kalau ketajaman akalnya sering ditumpulkan dengan mlihat aurat wanita? Bagaimana hendak melahirkan pelajar lelaki yang boleh bersaing dengan pelajar perempuan kalau seringkali dijamah dengan aurat rakan-rakan mereka? Justeru saya ingin menyeru kepada rakan-rakan wanita supaya tidak menindas akal fikiran dan bakat kepimpinan yang dianugerahkan oleh Allah kepada lelaki dan bakal suami anda sendiri dengan menutup aurat agar satu generasi muslimin yang hebat dapat dilahirkan untuk meneraju kepimpinan agama Islam yang semakin lama semakin di tindas. Terus terang bagi saya sejauh mana amanah seorang wanita untuk menjaga hak suami terletak kepada sejauh mana tanggungjawabnya dalam memelihara aurat. Bantulah kami. Sekian Terima Kasih.

Isnin, 4 Februari 2008

Guru Pewaris Nabi

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam forum kepada rakan-rakan seperjuangan sekalian. Di sini saya ingin berkongsi dengan sidang forum sekalian tentang betapa mulia dan pentingnya profesion perguruan. Sabda junjungan Nabi Muhammad S.A.W, ulama’ merupakan pewaris nabi. Ulama’ bukan sahaja orang yang arif dalam ilmu Fekah, Tauhid atau Tasawuf malah ulama’ juga merupakan seorang guru, cikgu atau pensyarah. Ulama’ adalah bermaksud golongan yang memiliki ilmu. Mengapa kita sebagai guru merupakan pewaris nabi? Sebelum itu ingin saya tegaskan bahawa bukan semua guru boleh menjadi pewris nabi. Ia merupakan satu tugas yang secara zahirnya amat sukar untuk dilaksanakan. Baiklah, bagi mereka yang beragama Islam dan yang bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah persuruh Allah, pasti mereka tahu bahawa ada 4 sifat wajib bagi seorang Nabi mahupun Rasul. Iaitu benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Oleh itu untuk seseorang guru itu mencapai tahap pewaris nabi maka mereka perlulah memiliki sifat-sifat seperti yang telah saya sebutkan tadi.

Sifat yang pertama iaitu benar. Serorang guru perlulah orang yang benar dari segi perkataan dan benar dari segi ilmu yang disampaikan kepada pelajar. Seorang guru juga perlu memandu pelajarnya untuk mengetahui kebenaran iaitu pentauhidan Allah S.W.T. Sifat yang kedua ialah amanah. Seorang guru itu perlulah amanah dalam profesionnya. Guru-guru perlu mengajar pelajar pada waktu yang telah ditetapkan mengikut Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang telah ditetapkan. Guru yang beramanah tidak akan hanya melepak di kantin sekolah sambil melepaskan asap rokok begitu sahaja sewenang-wenangnya atau mengajar dengan lewa iaitu seperti melepaskan batuk ditangga sahaja. Seorang guru juga perlulah amanah dengan ilmu yang telah mereka peroleh. Imam Shafie telah menolak untuk berguru dengan seorang lelaki hanya kerana lelaki tersebut telah memperdayakan ayamnya dengan memberikan ayam-ayam tersebut pasir dan bukan makanan. Betapa tingginya sifat amanah dalam seorang guru.

Sifat yang ketiga iaitu menyampaikan. Guru perlulah menyampaikan segala ilmunya kepada pelajar dan tidak sepatutnya disembunyikan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 42 iaitu kita tidak boleh menyembunyikan kebenaran sedangkan kita ketahui. Dalam masa yang sama, alangkah baiknya jika guru dapat menyampaikan dakwah sepanjang profesion perguruannya. Dengan dakwah ini, beberapa generasi telah dapat kita, sebagai guru, selamatkan. Dakwah ini perlulah dizahirkan dengan amalan dan dibuahkan dengan akhlak yang baik. Seperti yang telah diperkatakan oleh Imam Al-Ghazali, pendidikan merupakan usaha untuk menurunkan ilmu dan membentuk tingkah laku. Maka dengan itu, adalah tidak mustahil satu masyarakat yang tinggi ilmu dan sahsiahnya dapat diwujudkan. Sifat yang terakhir iaitu bijaksana. Bijaksana bukan sahaja diukur dengan tahap ilmu yang dimiliki oleh guru tersebut tetapi bijaksananya guru itu apabila ia dapat menggunakan ilmunya untuk membawa pelajar-pelajarnya mengenal Allah, mengaitkan ilmu yang diperolehnya dalam mentauhidkan Allah serta menggunakan ilmunya untuk mengatasi masalah konflik dalam kalangan pelajar melalui pendekatan agama.

Oleh itu kita sebagai guru disamping memenuhkan kita dengan ilmu sains, bahasa, pendidikan dan sebagainya kita perlu menguatkan pengatahuan ilmu kita dalam bidang agama sebagai benteng kepada diri kita dan kita mengamalkan ilmu tersebut. Sekian. Syukran Jazilan.

p/s: Artikel ini telah diposkan oleh penulis dalam forum myguru upsi bagi subjek sosiologi pendidikan.

Sabtu, 2 Februari 2008

Pembudayaan Ilmu Dalam Kalangan Mahasiswa

Mahasiswa merupakan golongan pencetus kepada satu revolusi kepempinan negara pada masa akan datang. Golongan intelektual ini memainkan peranan yang penting dalam membawa pembaharuan berteraskan matlamat iaitu membina sebuah negara yang berketamadunan tinggi dan mempunyai sahsiah serta akhlak yang terpuji. Matlamat ini akan tercapai sekiranya masyarakat, lebih-lebih lagi golongan mahasiswa dapat mewujudkan satu budaya ilmu yang terpimpin di Malaysia.

Berdasarkan pendapat ilmuwan, Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa (UIA), budaya ilmu bermaksud kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuwan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura (mesyuarat). Dalam budaya ini ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat.

Menurut beliau lagi, budaya ilmu, baik dalam diri peribadi atau masyarakat juga mempunyai ciri yang tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal dan anti ilmu. Diri dan masyarakat yang berbudaya ilmu akan menolak dan membenci pandangan, pernyataan serta amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran, tanpa mengambil kira kedudukan atau warna kulit perilakunya. Masyarakat berbudaya ilmu tidak akan dicapai jika sikap menghormati ilmu pengetahuan dan membenci kejahilan dan kebebalan, dan jika usaha-usaha menambah ilmu dan mengamalkannya dalam pelbagai bidang kehidupan dilakukan oleh segolongan kecil masyarakat sahaja.

Tahap pembacaan yang luas merupakan satu kayu ukur atau indikator betapa budaya ilmu telah berjaya dilaksanakan atau masih di dalam proses pelaksanaan dalam kalangan mahasiswa. Tahap penguasaan ilmu yang tinggi juga merupakan satu batu loncatan ke arah kesedaran keilmuan dan tradisi idealisme yang mencapah.

Merujuk kepada situasi bahawa barisan mahasiswa kini begitu tandus dari segi peratusan pembacaan selama berada di alam pengajian adalah pada tahap yang begitu membimbangkan. Hal ini memperlihatkan jati diri budaya keilmuan yang begitu rendah dalam kalangan mahasiswa. Apatah lagi, jika dibandingkan dengan negara-negara yang dilihat tidak setanding dari segi kemajuannya dengan Malaysia

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berdasarkan satu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah sebanyak 180 buah, Indonesia sebanyak 94 buah, India sebanyak 130 buah, Thailand sebanyak 56 buah, dan Brunei sebanyak 26 buah. Namun, mahasiswa Malaysia hanyalah berjumlah 12 buah buku selama tiga tahun pengajian. Tambahan pula, menurut kajian yang sama, didapati bahawa jumlah buku yang dibeli oleh pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia 43 buah, Thailand 31 buah, India 75 buah dan Brunei 15 buah, berbanding Malaysia sekadar berjumlah empat buah untuk tiga tahun pengajian (enam semester).

Timbul persoalan, adakah pembinaan budaya intelektual dan anjakan paradigma pemikiran para mahasiswa yang merupakan tunjang kepimpinan negara di masa hadapan sudah pincang dan merudum menyembah bumi?

Jika ini tidak dicapai, bilakah akan muncul saat masyarakat membudayakan tradisi tersebut. Kita sedar bahawa, budaya ilmu bukan sekadar memahami sesuatu bidang semata-mata, malah lebih penting menjelmakan sifat keilmuan yang pelbagai bidang dan rentas bidang. Tetapi adakah ini mampu dicapai jika hendak dibandingkan dengan kajian bancian pembacaan tersebut.

Menurut Prof Wan Mohd. Nor Wan Daud lagi, kegemaran membaca hendaklah ditanam dengan segala daya agar kegiatan membaca menjadi cinta yang mendalam. Sehubungan dengan ini buku haruslah dijadikan perkara pokok dalam semua bentuk hadiah dan cenderamata. Pembacaan bahan bermutu tinggi juga mesti digalakkan dengan berbagai-bagai cara. Bahan tidak bermutu seperti hiburan popular bukan sahaja tidak harus digalakkan tetapi setengah-setengahnya mesti dihapuskan kerana boleh merosakkan fikiran pembaca.

Di dalam konteks seorang mahasiswa, mereka seharusnya mencari inisiatif sendiri bagaimana untuk mempelbagaikan koleksi bahan pembacaan yang bermutu tinggi dan bukan hanya menambahkan koleksi bahan-bahan picisan sahaja. Mahasiswa boleh mengambil pendekatan yang telah dilaksanakan oleh tokoh motivasi di negara kita iaitu Dr Fadzilah Kamsah yang pernah mengatakan bahawa beliau membeli buku setiap minggu untuk dihayati dan difahami. Mahasiswa juga boleh mengambil saranan Azizi Ali, pengarang buku Jutawan dari Jupiter. Beliau menyarankan untuk memperuntukkan 5% daripada belanjawan bulanan individu untuk memberi bahan bacaan ilmiah. Lima peratus daripada belanjawan ini merupakan satu modal untuk menambahkan ilmu seterusnya dapat menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa.

Menurut beliau lagi, usaha yang bersungguh-sungguh hendaklah dibuat untuk memperkenalkan cendekiawan dan pemikir serta usaha dan sumbangan mereka dari zaman lampau dan masa kini kepada setiap lapisan masyarakat dan pelajar khasnya dari peringkat menengah hingga ke peringkat mahasiswa. Masyarakat kita khasnya yang berada di bangku sekolah tidak mempunyai idealisme hidup dan cita-cita keilmuan yang tinggi. Mereka rata-rata tidak pernah diberi pendedahan yang memberangsangkan tentang tokoh-tokoh cendekiawan yang besar masa lampau dan mereka juga tidak pernah berbincang dan bermesra dengan tokoh-tokoh yang masih hidup. Mereka hidup dan belajar tanpa kesedaran sejarah dan idealisme tinggi.

Maka, adalah diusulkan untuk mengadakan satu seminar di mana tokoh dalam bidang keilmuan dan akademik dibawa ke universiti untuk menemui para mahasiswa bagi mengadakan perbincangan dalam suasana yang mesra dan memberangsangkan. Hal ini secara langsung akan menggalakkan minat membaca dalam kalangan mahasiswa untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu sebagai satu persediaan untuk mencernakan idea-idea yang bernas sebelum mengadakan perbincangan dengan tokoh akademik seterusnya satu budaya ilmu yang sihat dapat diwujudkan.

Budaya ilmu merupakan satu dimensi yang penting bagi mencerminkan tahap keintelektualan seorang mahasiswa. Kepentingan membudayakan ilmu ini dapat digambarkan dengan sejauh mana tahap pembacaan mahasiswa tersebut bagi memperkayakan kepelbagaian ilmu yang ada di dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu mahasiswa serta pihak universiti harus menyediakan satu suasana yang membudayakan ilmu di kampus dengan menggalakkan pembacaan dalam kalangan pelajar serta menghargai kepentingan membaca demi menajamkan lagi kemahiran kognitif mahasiswa dalam memberikan idea dan membuat keputusan yang konkrit dalam kehidupan seharian dan kepimpinan masa akan datang.