Jumaat, 30 Mei 2008

Zakat Sebagai Alternatif Meringankan Bebanan Rakyat dan Mahasiswa

Di sini saya hanya ingin membincangkan bagaimana pelaburan dapat mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh umat Islam kini. Pelaburan yang saya maksudkan adalah pelaburan yang lebih kepada pelaburan secara Islam. Terdapat 3 bahagian dalam pelaburan Islam iaitu Pelaburan yang wajib iaitu membayar zakat, Pelaburan yang sunat iaitu memberi sedekah dan menjalankan ekonomi secara Islam. Suka saya ingatkan di sini bahawa perniagaan secara ekonomi Islam adalah bermatlamatkan memberi kebajikan kepada orang lain sekiranya terdapat keuntungan daripada perniagaanya. Hal ini sama sekali berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang melakukan apa jua cara asalkan keuntungan dapat diperoleh sama ada dalam bentuk penindasan, amalan riba dan lain-lain. Jika kita lihat, ekonomi kapitalis ini masih berlaku dalam negara kita. Hal ini kerana tidak semua penduduk Malaysia yang dapat memiliki harta. Ada individu yang masih miskin walaupun negara kita sudah kaya raya. Hal ini berbeza dengan ekonomi Islam yang memberi peluang kepada semua penduduk tidak kira orang Islam dan Bukan Islam untuk memiliki harta.
Bahagian yang terakhir adalah bahagian ibahah iaitu pelaburan dalam bentuk pembelian saham dari industri perdagangan dan perindustrian yang berasaskan ekonomi Islam. Bagaimana pelaburan secara Islam ini dapat mengatasi masalah pengangguran? Baiklah, saya hanya akan mengupas sedikit sahaja tentang pelaburan melalui zakat dan institusi baitulmal dan bagaimana ia berfungsi secara tidak langsung untuk membasmi pengangguran. Zakat seperti yang kita ketahui adalah memberikan sebahagian harta tertentu dengan kadar yang tertentu dan akan diberikan hanya kepada orang-orang tertentu. Dalam aspek ekonomi, zakat merupakan satu cara yang terbaik untuk menjadikan negara dan rakyat sebagai negara yang kaya dan makmur. Jika seseorang yang benar-benar beriman dan bertakwa ia akan beruasaha dengan lebih gigih kerana setiap zakat yang dikeluarkan itu mempunyai ganjaran pahala yang besar. Apa yang saya ingin ketengahkan di sini adalah sekiranya zakat ini dapat dijadikan sebagai pendorong kepada penganggur-penganggur untuk mencari pekerjaan atau menjalankan usahawan sendiri. Sekiranya terdapat lebihan daripada zakat tersebut maka harta zakat itu akan disalurkan kepada baitulmal. Baitulmal merupakan satu institusi pelaburan bagi umat Islam semasa tamdun kegemilangan Islam di muka bumi. Matlamat pelaburan harta umat Islam melalui baitulmal adalah semata-mata untuk memberikan kemakmuran kepada setiap umat Islam, menghapuskan kemiskinan dan segala bentuk perhambaan, serta untuk pembangunan seluruh umat Islam. Baitulmal juga merupakan lambang kepada penyertaan setiap individu yang kaya dalam mengeluarkan zakat, sedekah serta wakaf kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ini bererti masyarakat secara kolektif membantu pihak yang memerlukan pertolongan untuk meringankan beban hidup mereka. Apa yang saya ingin ketengahkan disini adalah baitulmal boleh menyalurkan sebahagian daripada harta yang dilabur oleh umat Islam dan Bukan Islam ini untuk memajukan sektor-sektor seperti sektor perladangan, pertanian, cari gali minyak, perindustrian, penyelidikan dan sebagainya yang sememangnya membuka ruang-ruang pekerjaan kepada penganggur-penganggur yang telah sedia ada. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan taraf ekonomi negara kita disamping menjaga kebajikan rakyat iaitu memberi pekerjaan kepada lelaki terutamanya untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam mencari nafkah untuk diberikan kepada keluarga. Maka, tidak mustahil, satu keluarga yang harmoni akan dapat dibentuk. Tidak juga mustahil sekiranya zakat dan pelaburan Islam ini dapat dijadikan sumber kewangan bagi subsidi minyak dan barang keperluan yang lain sebagai satu mekanisme pengurangan bebanan yang ditanggung oleh kerajaan mutakhir ini di samping pengurusan bajet yang efisien. Sekadar ingin berkongsi dan menyampaikan. Sekian. Terima kasih. Sokong dengan cadangan PKPIM untuk menubuhkan amanah saham khas untuk Mahasiswa bagi mendapatkan status bebas kewangan dalam kalangan mereka Syafrul 30 Mei 2008 7.01 p.m.

Isnin, 26 Mei 2008

Sekitar Sindiket Jual Beli Bayi & Penipuan AF6

Jika anda ada terbaca di dada akhbar dan melihat berita di kaca televisyen, saya pasti anda akan tertarik dengan sindiket perdagangan bayi yang dijalankan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka meletakkan sebanyak RM 10,000 hingga 20,000 mengikut jantina, bangsa dan kriteria-kriteria lain. Di sini saya sama sekali tidak ingin mengetengahkan isu ini dari perspektif etika dan moral yang sudah terang-terangan menyalahi undang-undang dan mana-mana agama sekali pun. Jasad manusia itu bukan untuk diperdagangkan sewenang-wenangnya. Dalam Islam ada ditekankan untuk menjaga nasab keturunan bagi menjaga kemaslahatan individu serta komuniti itu sendiri. Bayangkan kendiri dan motivasi individu tersebut setelah mereka mengetahui mereka pernah didagangkan. Sudah tentu mereka akan berasa duka cita dan mereka mungkin akan melakukan perkara di luar batasan. Perkara yang ingin saya tekankan di sini adalah dari segi maruah gadis remaja di negara kita kelak. Ironinya begini, sekiranya gadis tersebut terlanjur dan ditakdirkan mengandung, secara normalnya mereka akan sedaya upaya tidak mendedahkan kepada sesiapa dan mereka akan cuba menggugurkan kandungan tersebut. Maka akan terjadilah kes pembuangan bayi sebagai satu sejarah yang terpalit dalam hidup gadis tersebut. Namun, dengan wujudnya 'sindiket bayangan' ini, mereka tidak akan takut sekiranya mereka bunting. Mereka akan menjual bayi yang akan dilahirkan kepada sindiket tersebut. Mereka boleh memperoleh wang dari perbuatan terkutuk tersebut. Hal ini sedikit sebanyak akan menggalakkan seks bebas tanpa takut atau gerun kerana mereka akan mendapat duit poket selepas itu. Saya amat takut sekiranya satu hari nanti fenomena seperti ini akan berlaku sekiranya langkah-langkah yang wajar tidak diambil oleh pihak berwajib lebih-lebih lagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang kuat memperjuangkan hak-hak wanita. Tidak lupa juga kejadian seorang Imam yang ditipu RM 240 kerana mempercayai SMS yang diterimanya melalui rancagan akademi fantasia selepas memberikan no akaun beliau. Masalahnya di sini adalah seorang Imam yang dikatakan orang yang paling bijak pengetahuan mengenai al Quran dan molek dari segi bacaan dalam Qariahnya boleh terpedaya dengan SMS tersebut. Lebih-lebih dari satu program yang boleh diragui halal haramnya mengikut kebanyakan ulama (Sila rujuk laman web Ustaz Zaharuddin). Saya bersetuju dengan pendapat beliau bahawa sedangkan Imam masjid pun boleh terlibat dengan kancah program yang melalaikan dan terpedaya dengan sejumlah wang, inikan pula orang-orang biasa seperti saya yang terumbang ambing imannya. Adakala naik adakala turun. Namun pada pendapat saya, mungkin Imam tersebut terkena ilmu sihir oleh sesetengah pihak memandangkan ada kes yang menyatakan sihir boleh melalui SMS pada zaman teknologi ini. Sejauh mana kebenarannya saya pun tidak tahu kerana saya tidak pernah membaca sebarang hasil kajian mengenai perkara tersebut. Saksikanlah Bahawa Daku Sudah Menyampaikan. Terima Kasih kerana sudi membaca. Jangan Biar Diri Anda Ditipu Syafrul 10.41 p.m. 26 Mei 2008

Ahad, 25 Mei 2008

Sekitar Isu Pemakaian Pelajar Perempuan di Sekolah

Saya tertarik dengan cadangan yang telah diusulkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia mengenai isu pemakaian uniform sekolah pelajar perempuan. Persatuan ini mengusulkan supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mengkaji semula pemakaian pelajar perempuan yang dikatakan kurang sesuai dan menampakkan susuk tubuh badan mereka dek kerana pakaian mereka berwarna putih, jarang dan telus sehingga menampakkan bayang-bayang pakaian dalam mereka. Natijahnya, ia boleh membangkitkan nafsu pelajar lelaki di sekolah dan hal ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan lagi statistik kes pelajar sekolah bersedudukan dan kes anak luar nikah yang sememangnya sudah banyak kes ini dilaporkan dan didedahkan dalam media massa. Mereka juga menyatakan guru seperti saya dan rakan-rakan saya akan terganggu dari segi fokus dan kredibiliti di dalam kelas dek kerana 'kejarangan' pakaian oleh pelajar perempuan. Saya mengakui sebagai lelaki Allah telah mengurniakan perasaan tertarik dan terganggu dengan pemakaian yang seksi. Perasaan ini hanya secara fitrahnya khas untuk isteri yang tercinta. Kalau tidak, masakan Allah mewajibkan perempuan yang beragama Islam untuk menutup aurat mereka dengan sempurna di hadapan lelaki yang ajnabi atau lelaki yang bukan muhrim Hal ini untuk menjaga kemaslahatan nasab keturunan umat Islam di muka bumi dan pada masa yang sama menaikkan martabat muslimah itu sendiri seperti yang difirmankan di dalam surah al Ahzab ayat 59. Sehingga kini saya sendiri telah meletakkan syarat bakal isteri saya adalah seorang yang menutup aurat dan bertudung labuh. Insya Allah. Dalam konteks pelajar sekolah, saya berasakan cadangan ini ternyata sangat baik untuk diambil berat oleh Kementerian. Cadangan saya perkara ini hendaklah dimulai dengan kajian yang teliti. Maksud saya adalah soal selidik perlu dilakukan dan data yang terperinci perlu dikeluarkan. Bagi saya ini adalah sebagai satu kekuatan untuk Kementerian Pelajaran mengambil berat usul ini seterusnya mengubah etika dan tatacara pemakaian pelajar perempuan di sekolah. Sebagai contoh dengan mengambil responden pelajar lelaki untuk mendapatkan pendapat dan pandangan mereka mengenai pemakaian pelajar perempuan di sekolah. Sekiranya kebanyakan daripada responden mengatakan pemakaian pelajar perempuan seksi bagi mereka, maka satu inisiatif perlu dicari oleh Pihak Kementerian untuk mengelakkan sebarang salah laku terjadi. Perlu diingatkan bahawa lelaki yang meningkat remaja mempunyai naluri dan sifat ingin tahu terhadap jantina yang berbeza secara seksualnya. Pada masa yang sama boleh juga meminta pandangan responden dalam kalangan pelajar perempuan untuk bertanyakan dari segi keselamatan mereka ketika menyarung pakaian tersebut di sekolah. Saya takut satu hari nanti, mungkin juga sudah berlaku sekarang di sekolah, gangguan seksual berlaku dan hal ini sedkiti sebanyak menjatuhkan maruah pelajar perempuan. Antara cadangan yang telah diusulkan adalah dengan menukar warna pakaian pelajar perempuan daripada warna putih kepada warna lain yang lebih gelap supaya tidak menampakkan susuk tubuh mereka dan menutup bayang-bayang pakaian dalam mereka. Bagi saya cadangan ini adalah salah satu cara untuk menjamin keselamatan pelajar perempuan sekiranya hasil soal selidik adalah positif. Hal ini juga adil kepada non muslim yang semestinya tidak bertudung untuk menutup dada mereka sekiranya mereka handak memakai baju kurung tanpa menampakkan susuk tubuh mereka. Akan tetapi, pada pemikiran saya, sejauh mana pemakaian baju putih ini mampu membawa satu arah di mana gejala sosial ini tidak dapat dibendung? Saya cuba membandingkan dengan rakan-rakan saya di sekolah agama dahulu. Berbaju kurung putih namum mereka diwajibkan memakai baju kurung yang berkancaing di lengan. Mereka juga diwajibkan untuk memakai mini telekung yang labuh. Pernah dahulu ada yang dimarahi kerana tidak memakai pakaian dalam. Bagi saya Sekolah saya berpendirian tegas mengenai pemakaian pelajar perempuan. Bagi saya rakan-rakan perempuan saya menutup aurat dengan baik dan tidak seksi semasa sesi persekolahan. Ada juga sekolah harian yang menetapkan syarat yang ketat mengenai pemakaian pelajar perempuan. Mereka dilarang memakai pakaian dalam yang berwana sangat kontras dengan baju kurung putih dan mereka perlu memakai kain dalam. Tambahan lagi, batas hubungan lelaki dan perempuan di sekolah saya dijaga dengan sangat baik untuk mengelak fitnah. Pada pendapat saya, sikap, perwatakan dan kebawakan pelajar perempuan itu sendiri juga memainkan peranan. Saya mengambil kira sekiranya pelajar tersebut bijak membawa diri dan tidak mendedahkan diri di hadapan lelaki, saya percaya naluri jahat itu tidak akan tercetus. Sikap mereka yang suka berseksi walaupun dengan baju kurung sekolah, seksi di sini adalah bermaksud sikap yang bermanja-manja dan menggoda, boleh menaikkan nafsu lelaki. Sejahat mana lelaki, ia amat menghormati perempuan muslimah yang bertudung labuh yang digelar 'ustazah' oleh mereka. Dengan pendedahan dunia artis yang bagi mereka glamor untuk dijadikan gaya hidup juga menyumbang kepada masalah suka berseksi yang saya maksudkan ini. Adalah harapan saya sekiranya tatacara dan etika pemakaian pelajar perempuan ini dapat dikaji semula. Besar juga harapan saya sekiranya gaya pemakaian yang baik ini dapat menjadi titik tolak kepada satu budaya pemakaian yang sopan menggambarkan persis perempuan melayu terakhir yang kuat terasnya berakar Islam agar-agar mata kami si lelaki dihiasi dengan sebaik-baik perhiasan dunia akhirnya. Terima Kasih kerana sudi membaca. ~Selamat Menjaga Aurat Anda~ Syafrul 25 Mei 2008 2.40 p.m.

Selasa, 20 Mei 2008

Selamat Berjuang Sahabatku....Semoga Allah berkatimu...

Sudah 5 tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Alam yang banyak mengajar saya tentang ilmu akademik berperanan sebagai asas untuk di bawa ke alam universiti dan hari-hari seterusnya. Bermula dari pendidikan awal kanak-kanak sehingga tamat sekolah menengah. Alam persekolahan juga telah menyediakan satu persekitaran di mana saya perlu melawan berbagai-bagai dakyah dari barat, sub-budaya yang menjadi 'trend' seterusnya menjadi pegangan hidup dan kecelaruan identiti sebagai seorang remaja yang telah menjadi asam garam sepanjang 12 tahun bergelar pelajar sekolah. Faktor-faktor ini juga telah memangkin dan memacu saya untuk membesar sebagai insan yang lebih matang berkat daripada mengambil iktibar, pengajaran dan menjadikan sempadan atas setiap kesalahan, ketelanjuran yang telah saya lakukan dahulu atas dasar suatu hari nanti saya akan menjadi pemimpin sebuah keluarga dan pendidik dalam masyarakat. Baru-baru ini saya melihat banyak profile rakan-rakan saya dalam friendster. Saya juga berpeluang untuk bersembang dengan sahabat-sahabat lama melalui yahoo messenger. Alhamdulillah ada rakan-rakan yang meneruskan dan beristiqamah dengan apa yang telah dipelajari semasa di sekolah dahulu. Muslimat masih ada yang mengekalkan, bukan imej tetapi identiti sebagai seorang muslimah yang telah ditarbiahkan dari sekolah agama. Fikrahnya hebat, siqahnya tinggi, masih bertudung labuh dan memegang jawatan yang tinggi. Muslimin pula ada yang memegang jawatan yang tinggi dan hebat dalam MPP dan dalam persatuan di IPT masing-masing atas paksi ingin berdakwah dan menegakkan keadilan dalam perjuangan mahasiswa di IPT. Saya sebagai seorang sahabat berasa kagum dengan kehebatan sahabat saya yang lain dan ingin sekali menjadikan kalian sebagai ikon untuk menjadikan saya insan yang lebih baik. Tidak lupa juga sahabat-sahabat yang menuntut ilmu di luar negara. Bagi saya mereka masih mengekalkan identiti mereka sebagai seorang melayu, islam dan warganegara Malaysia. Masih berjilbab dan menutup aurat pada muslimat dan saya ada menerima maklumat yang mereka berusrah di sana sebagai satu kekuatan menongkah satu alam yang jauh dari tanah air tercinta. Saya doakan sahabat di luar sana dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara setibanya di bumi Malaysia kelak. Namun ada juga yang telah tersasar sedikit dengan imej yang sepatutnya dijangkakan sebagai output sekolah agama. Akan tetapi Allah sahaja yang maha mengetahui apa yang ada di dalam hati kalian dan keikhlasan kalian. Namun bagi saya lebih penting adalah sahabat-sahabat saya tidak meninggalkan solat. Saya mendoakan sahabat-sahabat dan diri saya sendiri agar dapat beristiqamah apa yang telah kita pelajari dan teruskan mengekalkan identiti sebagai seorang Islam. Sekadar ingin berkongsi apa yang saya lihat dan apa yang saya nampak. Kepada rakan-rakan teruskanlah perjuangan. Kepada diri saya sendiri, seandainya masih tidak menemui apa yang dicari, janganlah berhenti dari mencari apa yang benar dan sekiranya telah menemuinya, genggamlah kepada hak tersebut dan beristiqamah dalam mengamalkan hak tersebut. Insyaallah. Selamat Berjuang Sahabatku....Semoga Allah berkatimu...

Sabtu, 17 Mei 2008

Guru Berjiwa Pendidik

Pembangunan modal insan seharusnya bermula daripada peringkat akar umbi lagi. Justeru, dalam usaha ‘melentur buluh dari rebungnya’, tidak dapat dinafikan bahawa profesyen perguruan memainkan peranan yang amat penting. ‘Guru’ sama ertinya dengan ‘pengajar’ apabila melihatkan realiti profesyen perguruan pada hari. Rata-rata para guru, hanya menjalankan tugas sebagai tenaga pengajar, bukannya ‘pendidik’. Kurangnya kesedaran terhadap makna dan tugas sebenar seorang guru hanya akan merugikan generasi muda hari ini. Harus diperjelaskan bahawa tugas yang digalas oleh seorang pengajar dan pendidik adalah berbeza. Bagi seorang pendidik, tugas mereka bukanlah hanya mengajar kurikulum yang telah disediakan. Selain daripada memastikan silibus pelajaran berjaya ditamatkan mengikut ketetapan masa yang dijadualkan, tanggungjawab untuk membimbing para pelajar dengan nilai-nilai murni tidak seharusnya diabaikan. Karisma seorang guru sememangnya mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan integriti anak didiknya. Seharusnya, bagi seorang guru yang berjiwa pendidik dan pengajar, tugas mencurahkan ilmu perlulah diperkasakan lagi dengan keazaman untuk memanusiakan pelajarnya dengan nilai-nilai murni yang menjadi teras di dalam kehidupan Mendepani cabaran ‘memanusiakan manusia’ bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi, kini hedonisme terus menerus menjajah minda dan pemikiran generasi muda. Justeru, para guru harus lebih peka dengan realiti pelajar hari ini serta membuat pendekatan yang bersifat kontemporer dan praktikal. Para guru juga harus punya jatidiri yang jitu yang mana akan menzahirkan akhlak yang cantik dan indah yang sememangnya mampu menjadi contoh teladan terbaik buat para pelajar. Keruntuhan akhlak generasi muda tidak seharusnya dipandang enteng. Perlulah difahami bahawa sekolah tidak sepatutnya bertindak sebagai gelanggang menyebar ilmu semata-mata, tetapi turut sama berperanan sebagai ‘tapak semaian’ adab sopan dan nilai murni di kalangan pelajar. Nilai pada dasarnya bertunjangkan kepada sumber keagamaan, kepercayaan, tradisi dan budaya. Menurut Profesor Dr.Sidek Baba di dalam bukunya yang bertajuk ‘Pendidikan Rabbani’, dalam proses pendidikan, nilai-nilai teras adalah sesuatu yang amat penting dididik kepada pelajar. Nilai-nilai seperti jujur, amanah, ikhlas, bijaksana, adil, telus adalah contoh asas bagaimana membentuk pemikiran, sikap dan amalan dalam hidup. Justeru, apabila nilai-nilai ini dijadikan pedoman ikutan, diserapkan ke dalam proses ilmu, kurikulum dan sukatan atau diolah dalam metodologi yang lebih kreatif, pasti akan mengukuhkan lagi jatidiri seseorang. Jatidiri merupakan teras dan akhlak pula merupakan cerminan dan biasan daripada kejituan jatidiri itu tadi. Betapa beruntungnya Negara Malaysia andai para intelektual yang bakal berkhidmat bagi menggantikan kepimpinan akan datang punya ilmu, ketinggian adab dan sahsiah diri yang unggul! Betapa perkembangan peradaban dan ketamadunan insan itu sendiri bermula daripada jerih perit seorang guru! Oleh yang demikian, bertepatan dengan sambutan perayaan Hari Guru pada tahun ini yang membawa tema ‘Guru Cemerlang, Negara Terbilang’, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua guru-guru di Malaysia ini untuk kembali bertanya pada diri akan apakah matlamat sebenar kerjaya perguruan anda dan setakat manakah ‘kecemerlangan’ anda mampu menyumbang kepada pembangunan Negara Terbilang mengikut acuan dan landasan sebenar. Seperti mana yang didedahkan di dada-dada akhbar dewasa ini, krisis modal insan yang semakin luntur di kalangan para pelajar telah mengakibatkan masalah sosial yang serius seperti masalah pelacuran di kalangan pelajar perempuan, gejala buang bayi, kes pukul dan sebagainya. Desakan kehidupan yang penuh mehnah dan tribulasi adalah antara penyebab yang mendorong para pelajar melibatkan diri dalam fenomena tidak sihat ini. Oleh yang demikian, selain daripada ibu bapa, guru adalah individu yang paling rapat yang mampu memberi bimbingan dan dorongan kepada para pelajar. Jika tugas pengajar hanya tertumpu kepada aspek kurikulum pelajaran semata-mata, pendidik pula perlulah bersedia dengan bidang ilmu yang pelbagai. Sebagai golongan cerdik pandai, para pendidik haruslah mencurahkan ilmu-ilmu mereka dengan segala kudrat yang ada di samping memberi bimbingan dengan penuh dedikasi dan kasih sayang. Kerana itulah, para guru seringkali dianggap sebagai lilin yang sentiasa membakar diri dengan nasihat dan tunjuk ajar penuh hikmah! Jelaslah, tugas guru bukan hanya pada pembangunan intelektual sahaja, tetapi juga pada aspek kerohanian dan keperibadian para pelajar. Para guru haruslah bangkit dengan agenda dan strategi tersendiri dalam menaiktaraf peranan guru agar kerjaya murni mereka mampu melahirkan intelektual yang juga murni dalam aspek keperibadian dan sahsiah. Sesungguhnya, jiwa pengajar dan pendidik haruslah bersatu agar sentuhan daripada kedua-dua elemen ini berjaya membentuk jiwa pelajar menjadi kamil dan luhur budi pekerti. Akhir kata, selamat hari guru buat semua pengajar berjiwa pendidik! Diperoleh Daripada: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1008

Jumaat, 16 Mei 2008

Selamat Hari Guru....

Kadang-kadang terfikir balik, tak sangka sebenarnya dah nak jadi cikgu. Dulu memang ada simpan cita-cita nak jadi seorang cikgu biologi. Memang saya minat biologi sejak sekolah lagi. Seronok kalau dapat berkongsi dengan orang lain apa yang kita tahu pasal biologi. Lagi seronok kalau dapat ajak pelajar-pelajar kita jatuh ke dalam nikmat mengenal Tuhan melalui Biologi. Bermula dari keindahan sel sehingga kestabilan ekosistem yang Allah sediakan kepada kita mengikut Sunnahnya. Dulu selalu berangan nak memagang kapur tulis dan mengajar biologi di hadapan kelas. Rasa seronok nak buat macam itu. Kalau pelajar faham, rasa kepuasan itu akan harir ke dalam diri. Tengok-tengok impian ingin menjadi seorang guru Biologi jadi kenyataan. Dapat pula belajar kat satu-satunya Universiti Pendidikan di Malaysia. Sudah 3 tahun menimba ilmu untuk menjadi seorang guru di sini. Belajar secara formal menjadi seorang guru dalam subjek pendidikan. Harap-harap dapat diamalkan la. Di samping itu juga tak lupa untuk aktif dalam kegiatan kolej dan universiti. Alhamdulillah pengalaman-pengalaman tersebut dapat mendewasakan diri dan mematangkan fikiran saya sekurang-kurangnya sebelum pergi mendidik di sekolah kelak. Insyaallah saya ingin menjadi seorang guru yang aktif dan pemimpin persatuan sekolah yang baik kelak. Namun, mengajar bukanlah sesenang yang saya sangka. Suara kena kuat. Kena kawal kelas. Kena bijak tarik perhatian pelajar. Kena habiskan syllabus mengikut jangka masa yang panjang. Kena buat aktiviti yang pelajar suka. Kena buat ujian yang sahih dan lain-lain lagi. Itu adalah perkara-perkara yang telah saya amati dari pengalaman 3 tahun di UPSI. Terfikir juga betapa hebatnya guru-guru saya yang mengajar saya dahulu. Guru Biologi, Guru Matematik Tambahan dan lain-lain yang begitu sabar mengajar di dalam kelas. Pelbagai inisiatif telah mereka lakukan agar kami sekelas faham apa yang diajar. Ingin sekali saya bertemu dengan mereka kembali bertanya khabar dan meminta nasihat untuk menjadi seorang guru yang baik. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guru saya, Cikgu Munirah, Cikgu Fauziah, Ustaz Najah, Cikgu Ishak, Cikgu Roslee dan lain-lain yang telah mendidik saya sehingga saya berjaya ke menara gading dan bakal menjadi seorang guru untuk bersama-sama dengan cikgu-cikgu sekalian untuk mendidik anak bangsa. Jasa kalian akan ku kenang selamanya. Sekian Terima Kasih Guru Cemerlang, Negara Terbilang.

Rabu, 14 Mei 2008

Selamat Bercuti

Akhirnya selepas lebih 5 bulan bertungkus lumus menyiapkan segala tugasan yang telah diberi, lab report yang menimbun, tanggungjawab dalam persatuan dan lebih-lebih lagi mujahadah dalam peperiksaan akhir, akhirnya dengan izin Allah saya dapat kembali ke pangkuan keluarga. Tetapi rehat-rehat, santai-santai, libur-libur ini hanya sementara sahaja. Banyak yang nak kena buat. Saya perlu mendisiplinkan diri untuk membaca setiap novel Faisal Tehrani dan Habiburrahman el shirazy yang telah dibeli semasa pameran buku antarabangsa yang lepas. Tidak lupa juga saya perlu menguashakan pembangunan web site saya untuk tujuan tesis. Nasib baik rumah ada kemudahan internet. Bolehlah sentiasa on line untuk mengikuti perkembangan forum yang telah dijalankan oleh pelajar-pelajar sekolah. Insyaallah urusan saya akan untuk mengumpul data akan dipermudahkan. Pertengahan bulan 6 pula saya akan menjalani ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) di sekolah lama saya iaitu sekolah Agama Menengah Batu 10. Insyaallah saya akan menabur bakti di sekolah ini sepanjang 2 minggu saya menjalankan latihan. Baik, setakat ini sahaja tulisan saya. Insyaallah kita akan bertemu di lain waktu. Selamat Bercuti!