Sabtu, 20 Jun 2009

Ulasan Buku: Nota Hati Seorang Lelaki

Setelah saya menamatkan kembara menyusuri bait-bait tulisan di dalam buku ini, jelas satu perkara di sini bahawa buku ini amat mempengaruhi cara saya berfikir sebagai seorang lelaki di dalam gelanggangnya. Ia merangkumi lelaki sebagai seorang anak, lelaki sebagai seorang suami, lelaki sebagai seorang bapa dan lelaki sebagai seorang daie. Mengambil umur saya yang baru sahaja menginjak ke awal 20-an sebagai kayu pengukur, maka pengalaman yang digarapkan oleh penulis ini terlalu luas bagi saya, terlalu baru bagi saya. Kerana saya masih lagi seorang lelaki yang berpangkatkan seorang anak. Belum lagi suami, bapa dan apakan lagi daie. Banyak sekali pengalaman dan pemikiran yang boleh saya ambil dari buku ini.
Buku ini juga telah mengajar saya tentang bagaimana seorang lelaki harus berfikir. Lebih-lebih lagi saya akan menjadi seorang suami dan seorang ayah suatu hari nanti. Pemimpin kepada keluarga saya. Saya perlu kuasai ilmu kepimpinan, ekonomi serta 'politik' dalam rumah tangga. Banyak lagi yang perlu dipelajari.
Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada penulis iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi kerana sudi berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang anak, suami, ayah dan daie. Semoga ustaz dapat berkarya lagi.
p/s: Dalam pengembaraan untuk meningkatkan kematangan diri bagi persiapan sebagai imam dalam rumah tangga.

Rabu, 17 Jun 2009

Pandangan Saya: Sister In Islam

Apabila saya baca di dalam akhbar dan saya mendengar berita bahawa ada satu usul yang diperdengarkan di dalam Muktamar PAS yang lalu dari wakil Shah Alam iaitu berkisar mengenai Sister in Islam di Malaysia. Sister in Islam dikatakan meragukan umat Islam melalui utaran dan pandangan dari mereka yang lebih menjuruskan kepada kedudukan dan hak wanita dalam Islam. Dalam usul ini juga, pihak PAS mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menyiasat pergerakan ini.
Sebenarnya saya pernah mendengar tentang pergerakan Sister in Islam ini dahulu lagi. Seingat saya semasa saya di semester 1 di universiti lagi. Saya difahamkan bahawa pergerakan ini mendukung fahaman feminisme. Dimudahkan cerita, feminisme ini ingin mengangkat martabat, hak dan keistimewaan wanita sama taraf dengan lelaki. Mereka juga menentang sekeras-kerasnya pencabulan seksual dalam kalangan wanita, rogol, penindasan, diskriminasi kepada hak wanita dan lain-lain.
Semasa saya menjadi pelajar di universiti, saya pernah terjumpa dengan sebuah buku berwarna merah yang bertajuk, "Fiqh Wanita" di perpustakaan Tuanku Bainun. Saya agak tertarik oleh penerbitnya iaitu Sister in Islam. Saya menjadi teruja untuk mengetahui isi dalamnya dan saya mengambil masa lebih dari sejam untuk duduk di dalam perpustakaan dan membaca setiap bait dalam buku tersebut.
Dalam buku tersebut ada diberikan penerangan mengenai aurat, poligami, khitan dan lain-lain lagi. Akan tetapi saya lebih mengambil berat mengenai aurat. Di dalam buku tersebut mereka berjaya mengutarakan beberapa hadis (saya tidak tahu la tarafnya) dan beberapa rujukan kitab yang menunjukkan bahawa wanita tidak wajib menutup lengan mereka. Ada sampai satu peringkat mereka menggunakan ilmu mantik yang hebat sehingga mereka membuktikan wanita tidak perlu menutup aurat mereka yang 'besar-besar' seperti kepala, rambut, dada dan lain-lain lagi. Sekadar tutup dari pusat hingga ke lutut. Di sini saya dikelirukan. Akan tetapi saya tetap berpegang dengan apa yang saya belajar selama ini.
Dalam buku ini juga ada diterangkan mengenai alasan mengapa perlu berkhitan bagi bayi perempuan. Bagi mereka ini akan mengurangkan kepuasan seks bagi wanita ini. Timbul lagi satu kekeliruan. Dalam poligami, mereka memberikan alasan bahawa lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya berkahwin lebih daripada satu. Dalam buku ini juga mencabar pemberian wasiat dan faraidh kepada lelaki. Buku ini mendakwa mengapa lelaki diberikan bahagian yang lebih di dalam faraidh dan ini bagi mereka adalah tidak adil. Sebagai kesimpulan, selepas saya membaca buku tersebut, saya percaya bahawa buku yang diterbitkan oleh Sister in Islam ini benar-benar keliru kerana ia ekstrem daripada apa yang kita belajar di sekolah agama dan pondok-pondok. Dengan ini saya menyokong usul Sister in Islam ini disiasat dan dikekang pergerakkannya.
p/s: Shahrizat Jalil marah kepada PAS, Khairy pun marah jugak kat PAS, Norley merupakan salah seorang ahli SIS, Ketua SIS tidak pakai tudung...Buatlah kesimpulan sendiri siapa dan golongan mana yang sokong mereka ni...

Jumaat, 12 Jun 2009

Teori Kebosanan

Bagi saya teori perasaan bosan itu adalah bersifat relatif kepada individu itu sendiri dan sejajar dengan pergerakan masa dan persekitaran.
Sekiranya seseorang itu tidak berkata kepada hatinya bahawa aku bosan, maka seseorang itu tidak bosan dan sebaliknya.
Sekiranya seseorang itu manfaatkan masanya dengan pengisian aktiviti dan pekerjaan yang menyeronokkan serta berfaedah, maka ia tidak akan merasa bosan dan sebaliknya.
Sekiranya seseorang itu berada di persekitaran yang wujud dengan memberikan suasana yang menarik, maka seseorang itu tidak bosan dan sebaliknya.
Namun agak malang sekali, saya sedang berada dalam keadaan teori sebaliknya.
p/s: dimudahkan cerita, saya sedang dibosankan oleh kata hati, masa dan persekitaran saya sendiri di rumah.

Wajib Lulus Bahasa Inggeris SPM?

Pertama kali saya mendengar cadangan daripada Tan Sri Muhyidin Yasin ini, saya memikirkan ini adalah satu manifestasi sebenar yang harus dilakukan oleh pihak kementerian seandainya ingin melihat pelaksanaan PPSMI benar-benar berjaya meningkatkan penguasaan anak Malaysia dalam Bahasa Inggeris. Sifirnya begini, apa gunanya sekiranya belajar Mata pelajaran bahasa Inggeris dari darjah 1 sehingga tingkatan 5, iaitu selama 10 tahun, ditambahkan lagi dengan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, tetapi tidak lulus bahasa Inggeris. Di manakah nilai PPSMI yang dicanangkan dan dipertahankan kebaikannya sekiranya Bahasa Inggeris pun tidak lulus. Dalam erti kata lain, PPSMI gagal sekiranya wujud golongan yang gagal dalam Bahasa Inggeris.
Saya bersetuju dengan cadangan bahawa pencapaian bahasa Inggeris perlulah pada tahap lulus dan ke atas sekiranya hendak mendapat sijil penuh SPM. Namun pada masa yang sama, seperti biasa kajian perlu dijalankan oleh pihak kementerian sebelum pelaksanaan ini dijalankan. Pada masa yang sama, pihak lembaga peperiksaan juga perlu tidak menurunkan gred semata-mata agar kualiti pencapaian bahasa inggeris di Malaysia tidak menurun. Saya melihat kebaikan lulus bahasa Inggeris ini adalah dari segi mudah mendapat pekerjaan dalam suasana sektor pekerjaan di negara kita ini menuntut penguasaan Bahasa Inggeris. Dari sudut yang lain pula, hal ini juga membawa kebaikan kepada sesetengah golongan pelajar yang datang ke sekolah hanya untuk lulus SPM dan dapat pekerjaan. Maksud saya, mereka yang berfikiran seperti ini mampu mendapat kehidupan yang lebih baik sekiranya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mereka pada tahap cukup-cukup makan sahaja.pada masa yang sama ia dapat menyedarkan sesetengah golongan pelajar yang kurang mengambil perhatian kepada bahasa ini sebagai entiti yang penting untuk mendapatkan pekerjaan kelak.
Pada masa yang sama, saya mengesyorkan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dipertingkatkan. Ironinya begini, jika sebelum ini kita melihat ada program pembelajaran kendiri Bahasa Inggeris yang diwar-warkan sebagai sangat berjaya, mengapa program ini tidak diterapkan dalam sisitem pembelajaran kita? Sebagai contoh Linguaphone yang setiap tahun ada sahaja di pesta buku dan selalu diterangkan oleh tukang-tukang cerita mereka bahawa kaedah mereka sangat berjaya dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Mengapa kaedah mereka tidak diterapkan? Contoh yang lain adalah program yang diwujudkan oleh British Council. Sekiranya program mereka ini terbukti berkesan, tidak salah kita menerapkan di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pada sudut yang lain juga kita perlu melihat bahawa apakah fungsi Bahasa Inggeris sebenarnya di negara kita? sebagai bahasa perantaraan orang-orang bangsawan dan kaya untuk menunjukkan stratifikasi sosial yang lebih hebat? sebagai bahasa untuk menerangkan kepada pelancong? sebagai bahasa untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik? sebagai bahasa yang ada lubuk-lubuk ilmu? sebagai bahasa komunikasi anak-anak kita yang sedang bermain bola atau bermain guli? sebagai bahasa untuk memahami lirik-lirik lagu di televisyen? sebagai bahasa untuk kita faham seandainya ada pihak yang sedang merosakkan agama islam dan orang melayu melalui tulisan mereka? sebagai pengkaji dan penganalisis tatabahasa sama seperti kita belajar nahu saraf di sekolah? Sebagai orang yang bijak dalam sastera inggeris?sebagai bahasa untuk meningkatkan taraf ekonomi negara?
Kita perlu tetapkan tujuan itu sendiri menurut keperluan negara kita dan usaha untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa inggeris perlu ke arah tujuan tersebut. Maksud saya yang lebih mudah, kita perlu lihat tujuan bahasa Inggeris itu sebenarnya diajar di sekolah. Kalau di universiti, sememangnya ia hanya berbentuk 'communicative' atau perhubungan. Itu yang saya lihat dan saya belajar di Universiti dahulu. Sekiranya di universiti pun communicative yang diajar, maka pemberatan kepada 'speaking' adalah perlu dilebihkan sejak dari sekolah lagi.
Saya tidak mengatakan saya ini bijak dan berpengalaman dalam menjadi guru, tetapi saya menuntut guru-guru yang cemerlang, pihak kementerian untuk mencari kaedah yang sesuai bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah. Dan saya dapat merasakan transformasi dalam bahasa Inggeris ini adalah lebih baik dari pelaksanaan PPSMI bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
p/s: Agak bersetuju dengan Setiausaha GAPENA untuk meningkatkan tahap kelulusan Bahasa Melayu kepada C seandainya wajib lulus bahasa Inggeris SPM bagi meningkatkan taraf Bahasa Melayu di tanah melayu. Orang Malaysia perlu menguasai bahasa kebangsaan.