Khamis, 30 Julai 2009

Bukan Semua Remaja Macam Itu

Apabila disebut remaja maka yang terlintas adalah tanggapan yang negatif daripada masyarakat. Mat rempit , minah rempit, bohsia, bohjan, shuffler, gothic, dan yang lain-lain sudah menjadi identiti sebahagian atau kebanyakan golongan ini, lahir daripada sistem yang dibentuk oleh masyarakat itu sendiri. Tambah lagi dengan keampuhan benteng-benteng masyarakat itu sendiri daripada pengaruh luar dari barat.
Apa yang dizahirkan daripada identiti tersebut adalah sifat memberontak, tidak menghormati orang lain, kurang ajar, memakai pakaian menjolok mata, couple, clash identity dan pelbagai perkara negatif dan mazmumah yang lain. Sehingga orang-orang tua memandang mereka dengan pandangan yang jelek. Semua remaja akan dilabel sebegitu.
Terbaru adalah pendedahan mastika mengenai shuffler yang meminum arak dan berzina. tanpa segan silu. Sebelum ini pendedahan demi pendedahan mengenai golongan ini telah dilakukan. Kebanyakannya adalah negatif. Ini menambahkan lagi tanggapan buruk masyarakat kepada golongan ini. Bukan tidak elok, tetapi bukan semua remaja macam itu.
Bagi saya sepatutnya, disamping mendedahkan golongan negatif, Mastika harus mendedahkan golongan remaja yang baik dan positif. Media cetak atau massa harus memberi sedikit ruang untuk mempublisiti golongan remaja seperti ini.
Bukan tidak ada remaja yang cakna mengenai isu Islam semasa. Bukan tidak wujud golongan remaja yang memilih untuk masuk dalam usrah-usrah dan jemaah Islamiyah sebagai pendinding dari cabaran dunia semasa. Bukan tiada remaja yang ingin mempelajari Islam dengan luhur dan sebenar-benarnya. Bukan tiada komuniti yang sering berbincang mengenai saudara seislam di seluruh dunia. Bukan tidak wujud golongan muslimah yang istiqamah mengenakan tudung labuh. Banyak sebenarnya tapi tenggelam dengan golongan yang satu lagi. Masyarakat tidak nampak golongan ini.
Masih ada remaja di luar sana yang tahu matlamat mereka sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi. Masih ada remaja yang menjadikan Rasulullah sebagai model. Masih ada remaja yang menjadikan Islam sebagai cara hidup dan identiti mereka.
Masih ada remaja persis Zubir bin Awwam yang membincang masalah umat bersama Rasulullah walaupun pada usia 15 tahun. Masih ada remaja seperti Talhah bin Ubaidillah yang digelarkan Rasulullah sebagai 'pohon kebaikan' semasa beliau berusia 16 tahun. Masih ada Sa'ad bin abi Waqash iaitu pemuda pertama yang syahid pada usia 16 tahun.
Jadi bagi saya yang juga diakhir-akhir usia remaja, adalah tidak adil sekiranya meletakkan remaja hanya pada label yang negatif. Masih ada remaja yang ingin berjalan pada jalan yang lurus dan seharusnya masyarakat pandu mereka supaya tidak menyimpang. Masyarakat juga sebenarnya harus menarik kembali mereka yang sudah menyimpang ke jalan yang lurus.
Sesungguhnya Allah menerima taubat hambanya.
p/s: Entry ini adalah respon kepada majalah mastika mengenai shuffle

Rabu, 29 Julai 2009

H1N1 Menyerang UPSI: Ya Allah Selamatkanlah Tunangku

Akhirnya perkara yang saya nantikan sudah tiba. Ia telah melanda pusat pengajian saya dahulu.
Saya bertanya kepada tunang saya yang berada di sana beberapa hari lepas;
"Za, ada tak kemungkinan UPSI kena tutup sebab H1N1 macam U lain? kalau macam tu mcm mana nak ambil jubah and konvo?"
"Ada kemungkinan jugak bang...macam dah ramai yang demam"
Sejak jam 1 pagi semalam lagi tunang saya ada memberitahu bahawa kuliah akan dibatalkan pada hari ini. Saya melihat riak-riak bahawa UPSI akan ditutup akan berlaku. Tambah lagi semua pelajar yang menginap di kolej tidak dibenarkan keluar dari bilik. sehingga tengah hari Mujur ada makanan disediakan.
Saya gusarkan keadaan tunang saya. Bagaimana kesihatannya? Bagaimana makan minumnya?
Jam 3 petang tunang saya mengatakan UPSI ditutup sehingga 7hb. Saya juga diberitakan pengambilan jubah ditangguhkan kepada tarikh 7hb hingga 9hb. Perkara yang saya fikirkan telah pun berlaku. Apakah yang akan terjadi seterusnya?
p/s: Ada perkara yang Allah nak tunjukkan kepada kita. Mungkin kita semakin lalai mengingati-Nya dan Allah ingin kita 'kembali' kepadanya?

Khamis, 23 Julai 2009

Temuduga Kementerian Pelajaran Malaysia Untuk Guru Sandaran Terlatih Siswazah

Saya akan menghadiri temuduga kementerian pelajaran seperti berikut:
Tarikh:
6 Ogos 2009
Tempat:
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri
KM 14 Jalan Pantai Teluk Kemang
71050 Port Dickson
Negeri Sembilan
Semasa pengisian online, saya meminta untuk ditemuduga di Putrajaya. Niat saya untuk berdepan dengan pegawai tinggi kementerian pelajaran. Tetapi ditempatkan di Port Dickson akhirnya. Tidak mengapa. Sekarang saya perlu bersedia dari segi dokumen dan pengetahuan tentang dunia pendidikan semasa.
p/s: Doakan saya

Rabu, 22 Julai 2009

UPSR & Bahasa Inggeris di Pra-Sekolah

Saya agak bersetuju dengan pendapat yang dutarakan oleh Datuk Razali Ibrahim bahawa UPSR adalah hanya satu penapisan untuk menerima kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh. UPSR bagi saya kurang memberi impak dalam menilai kemampuan intelek seorang pelajar. Bagi saya sekiranya pada tahap penilaian sekarang, UPSR tidak mencerminkan kehebatan sebenar pelajar. Pelajar yang gagal dan tidak tahu membaca pun boleh melangkah ke alam menengah padahal mereka patut dibantu. Ia agak berlainan dengan PMR dan SPM yang menitik berat keupayaan intelek dan pengetahuan pelajar dalam sesuatu bidang. Ia benar-benar mencerminkan intelek pelajar. Pada peringkat UPSR, bagi saya, biarlah dapat menilai keupayaan membaca, menulis dan mengira (3M) pelajar sebelum menerima pelajaran peringkat Menengah yang lebih sukar. Ini bagi menjamin survival pelajar.
Jadi amat bertepatanlah kenyataan yang diberikan oleh Tan Sri Muhyidin Yasin untuk memperbaharui sistem UPSR. Kaedah penilaiannya juga akan diubah agar tidak semata-mata bergantung kepada akademik sahaja. Aspek ko-kurikulum juga akan diberi peratusnya. Bagi saya ini adalah satu langkah yang bijak memandangkan pelajar yang memperoleh 5A dan 4A terlalu ramai. Untuk memilih yang benar-benar layak adalah amat sukar.
Ada juga cadangan untuk menambah kurikulum sejarah dalam UPSR. Bagi saya biarlah sejarah itu diajar setelah berada di darjah 4 dan ke atas kerana bagi saya domain afektif dalam diri pelajar sudah mula berkembang. Mereka tidak akan menerima sejarah hanya semata-mata satu kod ilmu yang perlu dihafal, tetapi menjiwai apa yang diajar seterusnya perpaduan negara dapat dicapai. Hal ini sangat penting. Justeru, perancangan dan pelaksanaan kurikulum perlu diperkasakan agar objektif menjadikan rakyat Malaysia bersatu padu sejak kecil dapat disemai. Peranan guru dalam menyemai jiwa cintakan negara juga harus dititik beratkan.
Bagi pra sekolah pula, saya amat bersetuju ia diletakkan dalam agenda pendidikan nasional negara kita. Maksudnya semua pra sekolah di negara kita akan menggunakan kurikulum, silibus dan buku yang sama. Jadi anak-anak berumur 5 dan 6 tahun akan menerima pendidikan yang sama. Guru-guru pra sekolah juga akan diangkat setaraf dengan guru-guru di peringkat yang lebih tinggi. Peruntukan dana dan bajet juga boleh disalurkan kepada pra-sekolah. Buku-buku teks dan yuran berkaitan juga akan disubsidikan oleh kerajaan.
Jadi, anak-anak akan memasuki darjah 1 dengan berbekalkan ilmu yang sama. Paling tidak, mereka boleh mengeja dan membaca serta mengira secara asas sebelum masuk ke darjah satu. Bagi saya, bilangan pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis turut akan berkurangan. Pengenalan Bahasa Inggeris pada peringkat awal sebegini juga bagi saya amatlah baik. Mereka akan mula membudayakan Bahasa kedua ini dari pra sekolah. Mereka juga akan mempelajari istilah-istilah harian sejak kecil lagi. Tidak kira bandar dan kampung-kampung. Selangkah ke alam persekolahan sebenar, mereka tidak akan menerima kejutan budaya yang ketara.
Namun, pendekatan yang berlainan harus diberikan kepada murid pra sekolah ini. Kerana mereka hanya berumur 5 dan 6 tahun sahaja. Keupayaan mereka hanya untuk menerima sahaja tanpa diproses ke peringkat yang tinggi dalam taksonomi Bloom. Jadi kaedah yang sesuai harus digunakan agar pengalaman pembelajaran yang tinggi dapat diberikan kepada adik-adik ini. Lebih-lebih lagi dalam bahasa. Mungkin nyanyian dan bercerita dalam bahasa Inggeris adalah teknik yang baik.
Justeru, apa jua bentuk pembaharuan yang ingin dilakukan oleh pihak kementerian pelajaran haruslah dijalankan kajian, perbincangan, pelan tindakan yang mantap agar kita sama-sama dapat hasil yang terbaik dari sistem pendidikan kita. Saya sebagai bakal guru sentiasa memberikan sokongan kepada perkara yang baik yang ingin dijalankan oleh pihak kementerian.
p/s: Pendemokrasi dalam Pendidikan sedang berlaku

Salam Takziah kepada Ibu Yeen

Pagi tadi pada jam 8.30 pagi tadi saya dikejutkan oleh adik perempuan saya mengenai pemergian ibu kepada kawan baiknya sejak alam persekolahan lagi. Keluarga kami agak rapat dengan keluarga mereka. Lagi pun arwah ibunya merupakan orang kelantan sama dengan ibu saya. Jadi mereka berdua amat rapat. Saya juga pernah berbual dengan arwah. Bagi saya arwah adalah seorang ibu yang sangat ceria dan 'energetic' dan tiada tanda-tanda apa penyakit pun secara zahirnya.
Saya bertanya kepada saya sebab kematian arwah. Adik saya memberitahu beliau tiba-tiba jatuh pengsan dan terus menghembuskan nafas yang terakhir. Alangkah cepatnya Malaikat mencabut nyawanya. Saya jadi diam seketika. Baru beberapa hari lepas saya bertentang mata dan berbual dengan beliau. Kalau sudah maut, tiada siapa boleh elak hatta dalam kubu bawah tanah sekalipun.
Lantas saya berfikir, kalau itu berlaku juga kepada ibu dan ayah saya. Saya jadi sebak dan takut. Bagaimana jika saya ditempat Yeen. Minta dijauhkan ya Tuhan.
p/s: al-Fatihah....ingatlah mati duhai hati

Selasa, 21 Julai 2009

Anda Adalah Apa Yang Anda Makan

Pernah dengar mengenai ayat di atas?. Anda adalah apa yang anda makan. Apa yang anda makan itu adalah yang membentuk diri anda. Jika makanan anda itu adalah mengikut kategori dan nisbah makanan yang sihat, dengan izin tuhan anda akan menjadi lebih sihat. Jika makanan anda itu mengandungi gula, garam dan MSG yang tinggi, maka makanan itu boleh dikategorikan kurang sihat.
Begitu juga dengan keberkatan makanan. Sekiranya makanan anda itu adalah berkat, halal lagi bersih dari sebarang bentuk haram dan syubhah, maka makanan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi hati kita. Kita akan menjadi lebih mudah mendengar nasihat, mudah menerima ilmu dan mudah menuruti apa yang disuruh oleh Allah. Makanan yang kita makan dari sumber yang haram juga akan menjadi bahan bakar kita di akhirat kelak.
"Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada yang kamu beriman kepadanya" (al-Maidah:88)
Tetapi, pada sudut yang lain, kita juga ada apa yang dinamakan 'makanan jiwa'. Makanan jiwa ini boleh disamakan dengan makanan melalui mulut dan sistem pencernaan. Kita makan masakan melayu, siam, barat, jepun dan kita akan kenyang dan seterusnya kita akan berasa puas selepas menanggung rasa lapar. Perasaan ini lebih hebat sewaktu berbuka puasa. 'Makanan jiwa' juga begitu, kita akan berasa puas dan bahagia dari dirundung masalah setelah kita makan 'makanan jiwa' tersebut.
Apakah sebenarnya 'makanan jiwa' itu?
Sekiranya mendengar lagu dan hiburan dapat memberikan kita kepuasan dan kebahagiaan, maka itu adalah makanan jiwa kita. Sekiranya menonton siaran bola sepak dapat memberikan satu bentuk kepuasan kepada kita maka itu adalah makanan jiwa kita. Jika dapat membaca dan menghabiskan sebuah buku sama ada novel, fiksyen, bukan fiksyen, agama atau ilmiah dapat memberi kepuasan kepada kita, maka itu adalah makanan jiwa kita. Jika sekiranya bermain permainan video dapat memberikan kepuasan kepada kita, maka itu adalah makanan jiwa kita. Apa sahaja perkara yang memberikan kepuasan bagi kita, maka itu adalah makanan jiwa kita. Mungkin satu atau lebih makanan jiwa anda.
Jadi, anda adalah apa yang anda makan. Jika makanan jiwa anda adalah hiburan, maka anda akan berfikir untuk mencari hiburan sahaja dan itu adalah sebahagian identiti diri anda. Jika makanan jiwa anda adalah buku, maka buku sahaja yang anda cari dan 'ulat buku' akan melekat kepada diri anda. Kalau bola, gila bola jadinya. Kalau 'video game', kaki 'game' lah jadinya. Kalau bercinta, maka 'mat dan minah cintan' lah jadinya. Kalau ibadat, ahli ibadat lah jadinya.
Nampak? Makanan jiwa anda itu sedikit sebanyak membentuk identiti anda dan siapakah anda sebenarnya di muka bumi ini.
Apakah makanan jiwa anda? tepuk dada tanyalah jiwa.
p/s: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik. ( al-Imran:14)

Isnin, 20 Julai 2009

PPSMI: Akhirnya Sudah Sampai Ke Satu Titik

Hari ini selepas menonton forum bicara di luar lingkungan, saya melihat perbincangan mengenai PPSMI ini sudah sampai ke satu titik. Bukannya titik noktah yang menggambarkan kita tidak perlu berbincang pasca pemansuhan PPSMI ini. Titik yang saya maksudkan adalah satu titik yang akan menjadi titik persilangan kepada bahasa. Maksud saya, bukan lagi Sains dan Matematik menjadi isunya. Isunya adalah keupayaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris itu sendiri. Persilangan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa adalah isu yang berakar dalam pasca pemansuhan PPSMI ini dan ia akan terus menjalar sehinga satu lagi titik noktah akan ditentukan.
Persoalannya yang timbul seterusnya adalah, adakah dengan pemansuhan PPSMI ini, Bahasa Melayu kembali didaulatkan dan seterusnya dimartabatkan di negara kita? Sekiranya kita meletakkan satu kayu pengukur bahawa Bahasa Melayu telah didaulatkan sekiranya digunakan dalam Sains dan Matematik, maka kita sudah berjaya. Tetapi adakah setakat itu sahaja?
Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan mendaulatkan bahasa Melayu dalam erti kata sebenar? Pada pandangan saya yang masih muda mentah ini, kita perlu meletakkan satu kayu pengukur di mana sekiranya kita mencapai atau melebihi ukuran tersebut, maka bahasa Melayu telah didaulatkan dengan izin.
Dari segi penggunaan, saya dapat rasakan ada orang melayu sendiri yang memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu dalam perbualan seharian. Kebanyakannya adalah golongan aristrokrat melayu. Ini realiti. Contohnya kes Sharifah Amani seketika dahulu. Kadang-kadang ada sentimen dalam masyarakat kita di mana Bahasa Melayu itu kurang popular. Buktinya banyak logo, nama syarikat, cogan kata syarikat, kelab, pertubuhan tidak menggunakan Bahasa Melayu. Kita akan berasa pelik jika menggunakan bahasa Melayu bagi tujuan komersil. Syarikat swasta lebih-lebih lagi.
Kita juga boleh melihat berapa ramai sebenarnya rakyat dan bangsa Malaysia yang lahir di Malaysia boleh berbahasa Melayu? Masih ada yang gagal Bahasa Melayu sekalipun sudah belajar Bahasa ini sejak darjah satu lagi. Berapa ramai ingin menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan perniagaan dan jual beli. Berapa ramai orang yang ingin memilih untuk berbahasa Melayu bagi memberikan 'statement' melalui akhbar dan media elektronik.
Saya sudah menulis dahulu dan bertanya, apakah sebenarnya fungsi Bahasa Inggeris dalam konteks sosiobudaya negara kita? Kita kena berusaha menguasai bahasa Inggeris ke arah fungsi itu sebenarnya. Sama juga dengan Bahasa Melayu, apakah sebenarnya fungsi bahasa Melayu? Jika sebagai bahasa perpaduan, kita perlu berusaha ke arah itu. Jika sebagai bahasa akademik, kita juga perlu angkat bahasa Melayu sebagai bahasa akademik.
Jadi, jika kita berusaha sesuatu untuk menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan kita mengakses ilmu-ilmu yang ada di dunia ini, kita harus lakukan sesuatu juga bagi meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang sebetulnya di Negara kita. Sebagai contoh memberi dana yang mencukupi kepada DBP, publisitikan program yang melibatkan bahasa dan sekurang-kurangnya memperkasakan sastera melayu di sekolah.
Sehingga akan ada satu generasi yang semuanya sayang dan mencintai bahasa kebangsaan kita. Menggunakannya untuk meraih kemajuan dunia.
p/s: Terfikir wujudkah perkaitan antara fungsi PPSMI dan fungsi Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran.

Ahad, 19 Julai 2009

Isra' dan Mikraj: Perlukah Cuti?

Saya bersembang dengan sahabat saya yang kini belajar di Jepun melalui facebook. Beliau mengatakan bahawa Jepun pun bercuti pada hari esok iaitu bersempena dengan Isra' Mikraj. Padahal di Malaysia salah satu hari berlakunya peristiwa besar kepada diri Rasulullah tidaklah dipublistikan sepenuhnya di media massa. Kalau ada pun program ceramah yang bertajuk Israk Mikraj.
Kita tahu peristiwa Isra' Mikraj ini besar dalam kalendar umat Islam. Tambahan lagi, peristiwa ini penuh dengan pengajaran dan hikmah. Solat, gambaran golongan syurga dan neraka, adalah plot yang penting dalam peristiwa ini. Ustaz-ustaz akan selalu bercerita mengenai peristiwa ini. Ceramah-ceramah juga akan menggunakan tajuk ini. Berulang-ulang kali mengenai cerita yang sama. Kita sendiri sudah tahu kisahnya. Namun, hikmah dan ibrah itu perlu selalu disemai agar hati kita tidak mati.
Jadi timbul persoalan, adakah dengan menjadikan hari Israk Mikraj ini sebagai hari cuti, kita akan lebih mengingati peristiwa itu? Bagi saya mungkin juga kita ingat peristiwa itu seandainya kita menggunakan cuti itu sendiri untuk mengingati peristiwa itu. Mendengar ceramah. atau berpuasa adalah salah satu cara. Sekurang-kurangnya kata seorang rakan saya lagi, kita akan tahu,
"Oh hari ni cuti sebab Isra' Mikraj"
Kadang-kadang adakah disebabkan cuti maka baru kita akan mengingat kembali peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Kalau tidak cuti, Adakah kita akan ingat?
Selamat mengambil pengajaran bersempena Hari peristiwa Isra' dan Mikraj.
p/s: Ustazah dulu ajar, nak senang ingat bila tarikh Israk Mikraj, Ingat 'pelakon' dia. Ra untuk Rasulullah, Jim untuk Jibril dan Ba untuk Buraq. Ra Jim Ba Bunyinya Rejab. Pastu ingat 27. 27 Rejab. Ingat sampai sekarang.

Sabtu, 18 Julai 2009

Islam atau kita yang tiada kasih?

Semalam, khamis 16 Julai, saya ada terbaca dalam sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan pihak gereja mengambil serta menjaga pesakit-pesakit HIV yang disisihkan oleh masyarakat. Akhbar tersebut menyatakan penginapan, makan, minum, pakain dan ubat-ubatan semuanya diberikan secara kebajikan percuma. Malah, orang melayu Islam pun ada yang mencari perlindungan di sini. Kata mereka biarlah mereka di gereja ini daripada dunia luar yang sama sekali menyisihkan mereka.
Selepas saya membaca artikel tersebut terus saya ingat kepada salah satu metod dakwah golongan ini iaitu melalui kebajikan dan kasih sayang. Sehingga di waktu sekolah agama dahulu saya diceritakan golongan gereja ini akan pergi ke Hospital setiap minggu. Mereka akan menziarahi pesakit-pesakit yang sememangnya mereka tidak kenal. Mereka akan bertanyakan khabar. Mereka tidak lupa memberikan buah tangan. Mereka akan berkongsi-kongsi cerita. Sedikit demi sedikit perasaan kasih sayang dan rasa diberi perhatian itu akan meresap ke jiwa pesakit. Seterusnya, tidak lain mudahlah urusan mereka untuk berdakwah. Itu yang saya pernah dengar.
Saya ingin berkongsi kata-kata oleh Mother Teressa, seorang aktivis kristian
"I try to give to the poor people for love what the rich could get for money. No, I wouldn't touch a leper for a thousand pounds; yet I willingly cure him for the love of God."
"If we want a love message to be heard, it has got to be sent out."
Lihat di sini bahawa kasih sayang dan kebajikan itu merupakan perkara yang ditekankan oleh golongan ini. Jadi berhati-hatilah.
Bagi saya, agama saya, Islam juga agama yang menekankan kasih sayang. Sedangkan maksud Islam itu adalah selamat dan aman. Selamat dari sebarang kecelaruan akidah. Selamat dari penjajahan minda dari ideologi yang songsang. Selamat dengan akhlak yang bisa menyemai rasa kasih sayang sesama umatnya.
Allah itu sendiri bersifat rahman dan rahim, kasih dan sayang. Kita sentiasa mengucapkannya. Nabi sendiri mengajar kita untuk berkasih dan sayang kerana Allah. Berpisah kerana Allah. Nabi sendiri mengajar supaya menyayangi ibu kita tiga kali lebih sari seorang ayah. Nabi sendiri menunjukkan kasih sayangnya dengan mengusap kepala kanak-kanak. Nabi sendiri menyatakan beliau adalah suami yang terbaik dalam menyayangi dan mendampingin isterinya. Al quran sendiri mengajar kita untuk mengikat tali persaudaraan dengan agama. Al quran sendiri juga mengajar kita tolong-menolong dan bantu membantu dengan amal soleh.
Nah, bukankah agama kita juga penuh dengan kasih sayang. Fitrah kita sendiri adalah berkasih sayang.
Tetapi, kenapalah gereja juga tempat mereka ini mencari perlindungan. Mungkin badan kebajikan Islam kita terlepas pandang pesakit-pesakit ini? Adakah kasih sayang tidak diambil berat dalam konteks dakwah kita? Adakah mungkin sifat kasih sayang kita ini semakin pudar ditelan oleh ideologi atau budaya yang dibawa oleh barat? Adakah juga memang sikap kita untuk tidak menzahirkan kasih sayang dan semangat berkebajikan kita? Atau pun memang kasih sayang tiada dalam diri kita? Kita mengambil enteng sehingga terlepas pandang dan akhirnya, lenyap begitu sahaja. Sehingga kita dituduh pengganas dan wujud islamofobia di negara barat?
Kasih sayang bukan berhenti setakat 'bercouple', bukan berhenti setakat drama 'Nurkasih', bukan berhenti setakat membaca novel Ayat-ayat cinta, ia perlu sampai kepada Rasullah, ia perlu sampai kepada Allah. Sehingga itu, saya rasa sifat rahman dan rahim itu akan subur melata di seluruh segenap dunia. Saya percaya kasih sayang itu bersifat universal dan sejagat.
Mungkin kata-kata Cat Stevens atau Yusuf Islam boleh kita fikirkan bersama,
"I did not come into contact with any Muslim before I embraced Islam. I read the Qur'an first and realized no person is perfect, Islam is perfect and if we imitate the conduct of the Holy Prophet... we will be successful. "
p/s: Sekadar untuk mengingatkan hati sendiri yang kian lalai

Rabu, 15 Julai 2009

Terkenang: Persatuan Mahasiswa Sains

Kadang-kadang saya teringat kepada zaman saya menjadi Timbalan Presiden kepada persatuan yang terbesar di UPSI. Ini kerana bilangan ahlinya yang sangat ramai. Ketika itu saya berada di semester 6, tahun ketiga pengajian saya. Uniknya adalah ia adalah salah satu persatuan yang diterajui oleh pemimpin pro-mahasiswa selain daripada Persatuan Pendidikan Islam dan Persatuan Bahasa Arab.
Ketika saya diberi amanah untuk memegang jawatan kedua tertinggi itu, saya berazam untuk melakukan sedikit reformasi dalam kaedah kepimpinan, pembawakan persatuan serta imej persatuan itu sendiri. Saya nampak bahawa sesebuah Persatuan Universiti perlu matang dan segar dari segi peranan yang boleh dimainkan. Semestinya berbeza dari persatuan sains yang saya terajui sebagai presiden sewaktu disekolah dahulu. Saya melihat persatuan ini perlu diangkat setaraf dengan mana-mana persatuan mahasiswa yang sudah hebat dan ternama di Malaysia.
Sejak itu selain daripada membuat tugasan, fokus saya adalah bagaimana untuk membawa persatuan ini bersama-sama dengan presiden dan naib presiden. Bagi saya, setelah kali pertama pro-mahasiswa memegang tampuk pemerintahan buat kali pertama, biarlah kami bertiga menjadi asas ikutan atau 'setter' permulaan kepada kesinambungan kepimpinan seterusnya. Asas yang ingin kami letak sudah pasti adalah pembawakan persatuan.
Kami telah menambahkan nama Mahasiswa kepada persatuan sebagai langkah pertama kami. Logo juga telah kami reka semula. Kami telah memperkasakan buletin, risalah tazkirah, poster kepimpinan, sidang dewan pendidik, pengurusan mesyuarat, publisiti, kebajikan ahli serta integrasi kaum. Kami merupakan sidang pertama yang berjaya membuat lawatan rasmi ke IPTA lain. Kami juga persatuan pertama yang berjaya memperkenalkan AJK dengan posternya. Kami juga persatuan pertama memberi usul dalam sidang dewan pendidik. Kami juga telah memberikan pembaharuan dan nafas baru dalam pengendalian orientasi kepada adik-adik semester 1 yang lepas. Kurangkan hiburan dan lebihkan maklumat dan perkongsian pengalaman. Saya sendiri menjadi pengarah program orientasi ini.
Usah hairan kerana persatuan ini mula ditubuhkan pada tahun 1999. Masih muda dan menginjak usia muda sedikit demi sedikit. Namun saya serta presiden berasa puas hati setelah kami berjaya memulakan cara pembawakan persatuan yang betul di universiti kepada adik-adik. Saya berharapkan walau sudah 5 tahun, 10 tahun yang mendatang, 'setter' yang telah kami mulakan akan diguna pakain dan diinovasikan untuk kebajikan ahli Persatuan Mahasiswa Sains.
p/s: Menyimpan cita-cita untuk memegang jawatan penting dalam Persatuan Sains di universiti sejak tingkatan 5 lagi.

Selasa, 14 Julai 2009

PPSMI: Laksanakan Hanya Di Bandar?

Saya tertarik dengan usul yang telah dicadangkan oleh beberapa organisasi PIBG iaitu Melaksana dan seterusnya meneruskan PPSMI ini di sekolah bandar. Petikan daripada akhbar ini juga menyebut ada beberapa PIBG tidak setuju dan hampa dengan pemansuhan PPSMI ini.
Saya terus berfikir, adakah semua pelajar bandar ini menguasai Bahasa Inggeris dengan baik seperti yang dicanangkan oleh PIBG tersebut? Semua pelajar mendapat A atau B kah? atau sebilangan mikro penduduk di kawasan berstatuskan hirarki sosial elit seperti di kawasan Kuala Lumpur yang urban. Yang menggunakan Bahasa Inggeris atau Rojak sebagai bahasa pengantar bersama-sama rakan sekolah atau pun sesama komuniti. Adakah pelajar di pinggir bandar menguasai Bahasa Inggeris dengan baik?
Jika 50 pelajar adalah di kawasan bandar, maka 50% akan menjalani PPSMI dan 50% lagi tidak. Itu dari segi teorinya. Jadi, adakah peruntukkan dari segi kewangan pelajar bandar dan luar bandar adalah sama? Adakah kita perlu mengeluarkan senarai buku teks yang berlainan bahasa pengantarnya? Adakah kita perlu membuat saringan bahawa hanya guru-guru yang pandai berbahasa Inggeris akan dihantar ke Bandar? Setahu saya, dapatan kajian menunjukkan bahawa tidak sampai 10% guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya semasa PPSMI dijalankan. Jadi, adakan mencukupi 10% sahaja guru ini ditempatkan di Bandar. Dan selebihnya, guru-guru yang tidak pandai berbahasa Inggeris perlu dihantar ke Luar Bandar? Adakah situasi sebegitu akan berlaku?
Adakah tahap penguasan Bahasa Inggeris pelajar Kuala Lumpur sama dengan pelajar di Kota Bharu? Alor Star? Kota Kinabalu? Kuching? Johor Bharu?. Mereka juga pelajar bandar. Dan adakah semua pelajar yang dikatakan luar bandar itu tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Sepengalaman saya mengajar di luar bandar, anak-anak cikgiuBahasa Inggeris boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan cemerlang.
Jika gah dikatakan bahawa anak saya lebih cemerlang dalam Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, dan golongan yang berkata gah sebegini hanya mewakili sebilangan kecil rakyat Malaysia, saya cadangkan buat sahajalah tutor dari rumah atau hantar tuisyen yang menggunakan Bahasa Inggeris. Usah risau, kertas peperiksaan boleh dijawab dwibahasa sejak saya mengambil SPM lagi sampai sekarang. Jawablah dengan bahasa yang anda rasa anda boleh skor dengan betul-betul 'menggoreng' dalam kertas esei Kimia, Fizik mahupun Biologi

PPSMI: Mengetahui vs Tidak Mengetahui

Saya menulis 'entry' di bawah tajuk PPSMI sekali lagi kerana terpanggil untuk memberi respon kepada kupasan program bual bicara pada malam ahad yang lepas berkenaan tajuk "Pemansuhan PPSMI dan Masa Depan Anak Bangsa".
Sekali lagi saya ingin tekankan di sini bahawa Pemansuhan PPSMI ini adalah berlandaskan kajian-kajian yang menunjukkan bahawa PPSMI ini telah gagal mencapai objektifnya. Antara objektifnya adalah meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat. Kajian-kajian ini telah dijalankan oleh para profesor dan sarjana dari 10 buah universiti termasuk UPSI tempat saya menuntut ilmu. Rakan-rakan saya juga menyiapkan tesis di bawah tajuk PPSMI ini. Kajian mereka juga menunjukkan bahawa PPSMI gagal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan signifikan atau lebih tepat lagi hanya meningkat 3% sahaja selepas ia dilancarkan. Apatah lagi penguasaan dalam Sains dan Matematik. Sesungguhnya suka saya tekankan di sini bahawa kajian ini adalah 'valid' dan tidak boleh disangkal oleh mana-mana pungutan suara atau apa-apa fakta sekali pun. Hasil kajian ini adalah sangat kukuh dari segi fakta. Kerana, ini adalah kajian ilmiah bertahun-tahun lamanya.
Sehubungan dengan itu, adalah wajar cara pembelajaran Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dari segi 'grammar' dan 'vocabulary'. Seperti saya perkatakan dahulu, kenapa tidak kita ambil sahaja cara atau kaedah yang diguna pakai oleh Linguaphone atau British Council. Laburkan sahaja duit rakyat untuk itu. Ada seorang penonton studio gusar mengenai istilah Sains yang diguna pakai oleh seluruh dunia. Ketahuilah bahawa kerajaan telah memperuntukkan istilah Sains dalam Bahasa Inggeris dalam matapelajaran itu sendiri. Itu yang dikatakan nilai tambah. Ia seakan-akan matapelajaran EST di sekolah. Ujar saya, bacalah dahulu langkah-langkah yang ingin diambil oleh kerajaan untuk memantapkan Bahasa Inggeris. Memantapkan Bahasa Inggeris melalui Matematik dan Sains bukanlah caranya. Dah terbukti dah. Biarlah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kena pada saluran pedagoginya yang sesuai dan seadilnya.
Pendirian saya ialah, tidak semua 100,00 kohort pelajar pada satu-satu tahun itu akan mengambil aliran Sains tulin. Tidak semua kohort pelajar tersebut akan mengambil bidang sains semasa di Universiti. Mungkin dalam 40 hingga 60 peratus sahaja. Selebihnya mengambil sastera. Jadi, apa salahnya kita menumpukan betul-betul PPSMI ini hanya kepada golongan yang selayaknya memikul tanggungjawab membawa Malaysia ke persada dunia setelah berada di universiti. Bahasa Inggeris diguna pakai setelah asas Sains dan matematik adalah mantap dan penguasaan Bahasa Inggeris pula adalah baik. Bagi saya, tiada masalah. Selebihnya, pelajar sastera yang kebanyakannya kurang penggunaan Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya pernah 'mempelajari' Sains dan Matematik di sekolah. Maksud saya, pergi sekolah tidak sama seperti balik sekolah. Ada ilmu dalam kantung pemikiran mereka. Bukan dibenak oleh kekeliruan dalam istilah Inggeris.
Seandainya kita berasa risau pelajar Malaysia lemah dari segi pembentangan di peringkat antarabangsa seperti yang diutarakan oleh penonton tersebut, saya fikir jika pemantapan bahasa Inggeris dijalankan sejak awal-awal lagi, perkara ini tidak menjadi masalah. Bagi saya, laras bahasa Sains dan laras bahasa eknonomi dalam Bahasa Inggeris itu sendiri ada perbezaanya. Lagipun, kemahiran pengucapan awam tidak diajar dalam PPSMI. Itu saya sangat pasti kerana saya seorang guru Sains Biologi di sekolah menengah.
Satu lagi saya ingin berkongsi adalah, jika kita mengambil sampel yang sangat ramai. Sebagai contoh kertas Sains UPSR. Kita sedia maklum bahawa kohortnya adalah sangat ramai, dalam 100 ribu hingga 200 ribu pelajar setiap tahun. Cara penggredan adalah untuk mendapatkan 'bell shape'. Mungkin pada tahun itu lembaga peperiksaan ingin mengambil 5% pelajar yang mendapat markah paling tinggi semalaysia untuk mendapat gred A. Kita mungkin tidak tahu sebenarnya pelajar yang terakhir dalam golongan A ini endapat 60 markah. Itu selalu terjadi. Jadi, bagaimana B, C dan D untuk lulus? Jadi tidak salah sekiranya pada tahun itu ramai yang lulus sedangkan markah untuk lulus adalah dalam 30 markah begitu. Jika tidak percaya, tanyalah kepada pelajar-pelajar yang tidak pernah lulus Matematik Tambahan dan tiba-tiba sahaja lulus semsa SPM. Mengapa? Helahnya adalah untuk mendapatkan bell shaped setiap tahun. Maaf, itu yang saya pelajari dahulu. Jadi, tidak perlulah menimbulkan spekulasi pencapaian pelajar meningkat. Setahu saya, setiap tahun UPSR, PMR, SPM, STPM pasti meningkat. Tidak pernah menurun secara kolektif.
Jadi, biarlah pelajar-pelajar luar bandar, pelajar-pelajar yang kurang cekap mendapat ilmu Sains dan Matematik tersebut. Tidak adil sekiranya pelajar yang tahu Bahasa Inggeris sahaja yang mampu maju ke hadapan. Biarkan mereka berbaloi berjalan kaki, meredah sungai, berebut bas dengan faham isi kandungan Sains dan Matematik itu. Sekurang-kurangnya mereka TAHU apa yang mereka belajar. Biarlah guru-guru dapat memberikan 100% ilmu kepada pelajar dengan bahasa mereka yakin untuk menyampaikan ilmu tersebut. Kadang-kadang mereka dalam dilema antara keberkatan mengajar dengan mencampur adukkan dua bahasa dan kepuasan melihat murid faham apa yang diajar.
Mana satu yang kita ingin lihat, tidak mantap asas Sains dan Matematik dek kerana Bahasa Inggeris atau Kurang penguasaan Bahasa Inggeris kerana tidak diterapkan dalam mana-mana subjek, tidak semestinya Sains, Ekonomi atau akaun pun boleh juga. Bagi saya Ekonomi dan akaun penting juga diperingkat antarabangsa. Atau kita ingin melihat kurang kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Tepuk dada, lihat dengan mata hati. Usah risau. Malaysia adalah negara demokrasi. Semua berhak menyokong dan menyangkal.
p/s: Katakanlah" Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Surah az-Zumar: 9)

Rabu, 8 Julai 2009

Akhirnya PPSMI dimansuhkan

Hari ini, 8 Julai 2009, akhirnya kabinet memutuskan untuk memansuhkan PPSMI bermula tahun 2012 selepas 6 tahun dasar itu dilaksanakan. Namun proses pemansuhan ini dijalankan secara berperingkat-peringkat dan PPSMI masih diteruskan untuk tingkatan 6 dan matrikulasi.
Pemansuhan ini bagi saya adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk meredakan ketegangan antara pihak kerajaan dan pejuang-pejuang bahasa seperti GAPENA dan DBP. Pemansuhan ini juga bertitik tolak kepada himpunan besar-besaran pada 7 Mac 2009 di Istana Negara yang menyaksikan rakyat pelbagai peringkat dan latar belakang pendidikan mendesak kerajaan untuk menimbang semula untuk memansuhkan sama sekali dasar ini yang sama sekalimembelakangi perlembagaan 152 dan dasar pendidikan negara. Bagi saya usaha golongan ini setelah sekian lama membuahkan hasil akhirnya.
Pemansuhan ini juga bagi saya perlu dilakukan setelah pelbagai kajian dan analisis menunjukkan pencapaian matematik dan sains yang semakin merosot dan pada masa yang sama tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan kepada penguasaan bahasa Inggeris itu sendiri. Tambahan pula dengan jurang antara pencapaian bandar dan luar bandar yang semakin meluas dan melebar.
Sepengalaman saya menjalani praktikal di sekolah, saya melihat pelajar-pelajar kurang berminat untuk mempelajari Sains dan Matematik kerana perlu memahami bahasa Inggeris pada masa yang sama. Ini sama sekali membunuh minat mereka untuk menguasai kedua-dua subjek itu. Bagi saya biarlah mereka berbaloi datang ke sekolah dengan tahu dan faham apa yang mereka belajar dalam sains dan matematik sebab ia diajar dalam bahasa ibunda mereka.
Namun apa yang menarik minat saya adalah ketidak adilan telah berlaku kepada pelajar-pelajar 2003-2009. Bagi saya seandainya PPSMI ini tidak dilaksanakan, lebih ramai lagi pelajar yang faham Sains dan Matematik dapat dilahirkan dan pada masa yang sama pencapaian dapat ditingkatkan. Ini turut berlaku kepada kedua-dua adik saya.
Jadi, selepas ini saya akan mengajar Sains dan Biologi dalam Bahasa Inggeris untuk 2 tahun sahaja. Mungkin ada yang berpendapat kenapa tidak dimansuhkan ke tahun depan sahaja. Bagi saya 2012 adalah waktu yang paling tepat kerana dalam tempoh 6 tahun pelbagai inovasi dan transformasi pendidikan telah berlaku. Tidak syak lagi kerana saya belajar 4 tahun untuk mendalami itu semua. Jadi silibus, konten, istilah, pembangunan koswer, laman web, buku teks, buku latihan, amali perlu disediakan tanpa ada unsur-unsur hendak cepat dan terburu-buru. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang terjadi semasa PPSMI dilancarkan. Kita perlu memberi yang terbaik sekiranya ia diajar dalam bahasa Ibunda kita sendiri. Kita di dalam situasi untuk mengejar teknologi dan pedagogi terkini dalam pendidikan itu sendiri.
Sekali lagi saya mengalu-alukan pemansuhan PPSMI ini atas tiket seorang guru demi melihat anak bangsanya berjaya berdiri di mata dunia dengan bahasanya sendiri.
p/s: "Please open your text book, page 46 and please refer at title deficiency diseases"
" Tak faham cikgu, Bahasa Melayu la cikgu"

Teman Yang Soleh

Tiada suatu pun yang lebih berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas nikmat Islam selain teman yang soleh, apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya, maka panggillah ia dengan bersungguh-sungguh
Umar al-Khatab
p/s: Bait ini telah dikongsikan oleh tunang saya melalui friendster. Syukran.

Selasa, 7 Julai 2009

Kerja vs Rehat?

Selepas 2 bulan berada di rumah tanpa sebarang kerja rutin untuk dilakukan, saya sudah berasa bosan di rumah. Setiap hari adalah rutin yang sama. Makan, tonton tv, baca buku, tidur. Ditambahkan lagi dengan mendengar berita ada kawan-kawan sepengajian bekerja sebagai guru ganti di sekolah dan menerima gaji walaupun hanya menggunakan kadar SPM. Memang rasa nak cuba juga minta guru ganti. Tetapi melihat hanya beberapa puluh sahaja sehari sedangkan sepatutnya sudah boleh mendapat kadar ijazah, saya menangguhkan hasrat itu dahulu. Tambahan lagi mendengar rakan-rakan sekolah dulu sudah ada yang bekerja. Bertambah keinginan untuk mencari duit.
Pada masa yang sama, saya juga mendapat peluang untuk bekerja sebagai tutor sambilan di UPSI. Peluang bagi saya cukup cerah. Tambahan pula dengan pengalaman 2 semester menjadi tutor sambilan semasa bergelar mahasiswa. Lebih-lebih lagi saya ingin mengumpul duit bagi perbelanjaan kahwin tahun hadapan. Namun dengan tiada rakan untuk mengurangkan kos hidup di sana, saya menjadi tawar untuk pergi. Tambahan lagi dengan konflik yang saya tonjolkan semasa menjadi RA (Pembantu penyelidik) dahulu, bertambah tawar hati.
Akan tetapi saya fikir, setelah beberapa tahun, bermula di tingkatan 4, tingkatan 5, khidmat negara, matrikulasi, universiti, saya jarang melekat di rumah. Kalau ada cuti semester pun, saya akan penuhi dengan program-program matrikulasi dan universiti. Ibu saya pun berkata begitu. Hemat saya apa salahnya saya berehat di rumah untuk melepas rindu ibu bapa saya. Tunggu sehingga mendapat kerja tetap sebagai seorang guru. Kerja sebagai guru memang sudah terjamin Insyaallah. Seua graduan UPSI berjaya dipostingkan seluruh negara. Tidak perlu saya berpening-pening kepala untuk bekerja. Kerja itu menanti. Ibu saya kata masa ni baca buku-buku pasal rumah tangga, buku-buku cara untuk menjadi guru cemerlang, buku-buku bahasa Inggeris. Dengan kata mudah, cari ilmu dan pengalaman lain untuk tempoh ini.
Saya rasa, selepas 4 tahun bertungkus lumus belajar dan aktif berpersatuan di universiti dan rasa kepenatannya, berehat di rumah bersama keluarga adalah pilihan yang lebih tepat. Dengan Izin Allah.
p/s: Isi masa lapang dengan bela ikan dan kura-kura dan semestinya, membaca (",)