Ahad, 9 Mei 2010

Setengah Iman Lagi?



Insyaallah sebulan lagi saya akan dan bakal menempuh satu alam yang baharu, lebih kepada satu anjakan dalam proses kehidupan saya iaitu alam perkahwinan.

Saban hari saya menjadi risau dalam gembira. Risau kerana mengenangkan saya akan menjadi seorang suami dan akan ada seorang wanita yang diamanahkan kepada saya untuk menjaga, melindungi dan mendidiknya. Gembira kerana akan ada seorang wanita yang akan menemani saya suka dan duka insyaallah.

Teringat pula kepada tazkirah-tazkirah daripada ustaz mahupun hasil daripada bacaan saya iaitu akan sempurna setengah daripada iman setelah dia berkahwin, maka carilah yang selebihnya.

Saya fikir-fikir mungkin pengajaran yang perlu saya ambil daripada pernyataan di atas ialah saya perlu bersedia dari segi ilmu, mental dan fizikal sebelum berkahwin.

Ilmu mengenai rumah tangga, ilmu mengenai skil menjadi seorang suami, ilmu mengenai bagaimana berkomunikasi dengan isteri, ilmu menguruskan kewangan rumah tangga. Ilmu-ilmu agama untuk dicurah dan dikongsi. Ilmu mengenai yang hak dan yang batil agar boleh meneladani isteri.

Mental tentang bagaimana mengawal emosi bersama dengan bakal pasangan. Menjadi apa yang dikatakan sebagai lelaki yang kuat iaitu boleh mengawal kemarahan. Menjadi seorang suami yang sentiasa boleh menerima dengan redha kelemahan isteri. Seperti pakaian yang menutup. Menerima dengan syukur dan mawaddah kelebihan isteri. Mental tentang bagaimana menjadi ciri-ciri orang yang bertakwa agar dihormati oleh isteri.

Fizikal tentang bagaimana kudrat ini boleh membantu isteri melayari bahtera perkongsian hidup. Tentang bagaimana menjaga kesihatan agar boleh mencari nafkah untuk isteri. Tentang bagaimana menjadikan diri ini tempat isteri berlindung.

Fikir saya, tidaklah saya hendak menunggu perkara-perkara diatas menjadi sempurna, tip-top baru saya hendak berkahwin. Tidak. Tetapi saya akan cuba sedaya upaya mempelajarinya semampu mungkin untuk mendapatkan setengah iman itu sebelum saya melafazkan akad nikah.

Setengah iman lagi? akan ada isteri yang akan memberikan semangat untuk terus berjihad. Berjihad untuk mencari rezeki yang halal. Berjihad untuk mengajar anak-anak murid supaya mengenal yang makruf dan menjauhi perkara yang mungkar. Akan ada isteri yang akan menjadi sumber motivasi saya untuk terus meningkatkan ilmu dan amal supaya akan terus dihormati sebagai pemimpin keluarga. Akan ada isteri yang akan menjadi team mate untuk saling berpesan-pesan ke arah kebaikan.

Pesan bonda" Kalau dah mula dan bertemu dengan yang baik, mesti perjalanan akan baik, pengakhirannya pun juga yang baik"

p/s: Sudah membaca murabbi cinta. Sedang menunggu untuk membaca cinta di rumah hassan al bana