Saya pun masih melilau-lilau, mencari-cari.
Bertanyakan hati, menyoal akal, merangsang minda
Mengapa blog saya ini sudah lama tidak terurus?
Mengapa blog saya ini sudah tidak produktif?
Semacam menuju 'Terpendam' dan 'Terkubur' Begitu Sahaja
Saya mengimbau.
Dahulu saya mengambil langkah untuk membina blog ini atas satu dasae, satu tujuan.
Sekadar berkongsi apa yang mata hati ini nampak dari hal sekeliling dan
biarkan hati sesiapa sahaja terdetik sedikit dengan perkongsian saya.
Jika saya berjiwa besar, punya ilmu di dada, blog ini boleh sahaja menjadi satu jalan dari jalan dakwah.
Itu niat saya
Namun mungkin sahaja niat untuk berkongsi dan berdakwah itu banyak cabaran dan dugaanya
mujahadah itu bukanlah senang kecuali orang yang percaya ia akan kembali kepada-Nya
Malas, kering idea, kurang maklumat, tandus fikir dan zikir boleh sahaja membujur lalu dalam usaha saya untuk berkongsi apatah lagi dakwah
Duhai hati, istiqamahlah dijalan Allah. Duhai hati, istiqamahlah menuju keredhaan Allah.
Selamat terisi semula dengan bait tulisan maya yang bisa memberikan manfaat kepada mata dan hati yang membacanya.
Selamat
Selasa, 7 September 2010
Ahad, 22 Ogos 2010
Dari Setinggi dan Seluas kasih sayangMu
“ Dari setinggi dan seluas kasih sayangMu, Kau limpahkan rahmat jua keampunanMu kepada pengantin suami isteri. Berkatilah majlis yang diadakan dengan keberkatan dari permulaan hingga pengakhirnya. Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izinMu, kurniakanlah keduanya ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap dugaanMu. Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina berkekalan hingga ke akhir usia dan kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah. Dengan taufik dan hidayahMu beruntunglah keduanya dalam kehidupan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat "
- Amin Ya Rabbal ‘Alamin -
Ahad, 9 Mei 2010
Setengah Iman Lagi?
Insyaallah sebulan lagi saya akan dan bakal menempuh satu alam yang baharu, lebih kepada satu anjakan dalam proses kehidupan saya iaitu alam perkahwinan.
Saban hari saya menjadi risau dalam gembira. Risau kerana mengenangkan saya akan menjadi seorang suami dan akan ada seorang wanita yang diamanahkan kepada saya untuk menjaga, melindungi dan mendidiknya. Gembira kerana akan ada seorang wanita yang akan menemani saya suka dan duka insyaallah.
Teringat pula kepada tazkirah-tazkirah daripada ustaz mahupun hasil daripada bacaan saya iaitu akan sempurna setengah daripada iman setelah dia berkahwin, maka carilah yang selebihnya.
Saya fikir-fikir mungkin pengajaran yang perlu saya ambil daripada pernyataan di atas ialah saya perlu bersedia dari segi ilmu, mental dan fizikal sebelum berkahwin.
Ilmu mengenai rumah tangga, ilmu mengenai skil menjadi seorang suami, ilmu mengenai bagaimana berkomunikasi dengan isteri, ilmu menguruskan kewangan rumah tangga. Ilmu-ilmu agama untuk dicurah dan dikongsi. Ilmu mengenai yang hak dan yang batil agar boleh meneladani isteri.
Mental tentang bagaimana mengawal emosi bersama dengan bakal pasangan. Menjadi apa yang dikatakan sebagai lelaki yang kuat iaitu boleh mengawal kemarahan. Menjadi seorang suami yang sentiasa boleh menerima dengan redha kelemahan isteri. Seperti pakaian yang menutup. Menerima dengan syukur dan mawaddah kelebihan isteri. Mental tentang bagaimana menjadi ciri-ciri orang yang bertakwa agar dihormati oleh isteri.
Fizikal tentang bagaimana kudrat ini boleh membantu isteri melayari bahtera perkongsian hidup. Tentang bagaimana menjaga kesihatan agar boleh mencari nafkah untuk isteri. Tentang bagaimana menjadikan diri ini tempat isteri berlindung.
Fikir saya, tidaklah saya hendak menunggu perkara-perkara diatas menjadi sempurna, tip-top baru saya hendak berkahwin. Tidak. Tetapi saya akan cuba sedaya upaya mempelajarinya semampu mungkin untuk mendapatkan setengah iman itu sebelum saya melafazkan akad nikah.
Setengah iman lagi? akan ada isteri yang akan memberikan semangat untuk terus berjihad. Berjihad untuk mencari rezeki yang halal. Berjihad untuk mengajar anak-anak murid supaya mengenal yang makruf dan menjauhi perkara yang mungkar. Akan ada isteri yang akan menjadi sumber motivasi saya untuk terus meningkatkan ilmu dan amal supaya akan terus dihormati sebagai pemimpin keluarga. Akan ada isteri yang akan menjadi team mate untuk saling berpesan-pesan ke arah kebaikan.
Pesan bonda" Kalau dah mula dan bertemu dengan yang baik, mesti perjalanan akan baik, pengakhirannya pun juga yang baik"
p/s: Sudah membaca murabbi cinta. Sedang menunggu untuk membaca cinta di rumah hassan al bana
Jumaat, 9 April 2010
Kunci
Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya
( Riwayat Ibn Majah)
Isnin, 5 April 2010
Pengembara
Hiduplah di dunia seakan-akan engkau adalah seorang pengembara atau orang yang sedang menumpang lalu
(Riwayat Bukhari)
Ahad, 4 April 2010
Kalau Tidak Kita, Siapa Lagi?
Seminggu ini agak meletihkan. 29 hingga 31 Mac saya perlu hadir ke kursus Jurulatih Utama Sahabat PPDa-Petronas peringkat negeri Perak Darul Ridzuan. Dalam kursus ini saya didedahkan dengan bagaimana untuk melatih fasilatator yang terdiri daripada pelajar sekolah sebagai sahabat PPDa-Petronas. Tujuaanya adalah untuk membentuk satu generasi yang benci dan bebas daripada dadah. Kemudian, 2 dan 3 April saya perlu hadir ke kem anak soleh dan menjadi 'warden' pada kedua-dua hari tersebut.
Semasa kursus saya telah didedahkan dengan statistik-statistik keruntuhan moral yang dilakukan oleh pelajar sekolah dengan terperinci. Pengambilan dadah, seks bebas, rempit, arak semacam sudah biasa dan tidak menjadi kesalaha melakukannya. Malu sudah tiada lagi. Malah berbangga sudah hilang dara. Menjadi seorang ratu sekiranya dapat tidur dengan 7 lelaki satu malam. Berbangga merasa 'kenikmatan' arak. Menjadi hero sekiranya dapat mengambil dadah. Tidak mustahil 5 tahun atau 10 tahun akan datang ada dalam kalangan anak murid kita yang keturunan tida setaraf dan kita juga bermenantukan golongan sebegitu. Kebarangkalian akan lebih tinggi sekiranya pusat jagaan golongan ini dibuka.
Mungkin sudah ketetapan ilahi, usai sahaja kursus tersebut, saya ditugaskan untuk menjadi 'warden' dan jurugambar dalam kem anak soleh. Saya terus terfikir, sepanjang saya menjaga dan menguruskan mereka, apakah yang akan terjadi kepada pelajar-pelajar ini selepas 5 tahun? 13 tahun sudah pun menjadi preokok yang tegar. Tidak menghormati guru. Tidak tahu solat. Malas belajar dan sebagainya. Yang perempuan, tidak ada rasa malu dengan lelaki, sudah mendedahkan aurat walaupun baru sahaja selesai kem anak soleh. Allahuakbar.
Bagi saya, tugas guru bukan sahaja dalam bilik darjah menyampaikan ilmu akademik semata-mata. Bukan sahaja menjalankan aktiviti ko kurikulum. Pada zaman keruntuhan akhlak yang sangat hebat ini, cikgu seharusnya berada di barisan hadapan bagi menyelamatkan anak-anak Islam kita. Cukuplah bilangan kes buang bayi dan anak-anak luar nikah sebagai kayu pengukur betapa banyak lagi tugas kita. Akhbar yang mengatakan tugas guru menyeksakan adalah kata-kata bagi golongan yang sudah lelah daripada menyelamatkan anak bangsa kita. Selagi saya bertenaga, saya akan beri apa yang terdaya. Itu azam saya menjadi seorang guru. Saya gusar sekiranya diakhirat kelak ditanya apakah yang telah saya lakukan bagi menyelamatkan agama saya.
Anak-anak Islam kita sekarang sedang keliru dengan jalan-jalan dan cabang-cabang yang ada di hadapan mereka. Namun, akibat hati mereka kosong daripada ilmu, mereka memilih lorong-lorong yang gelap. Cabaran mereka sangat hebat bagi melawan anasir-anasir tersebut. Televisyen (terutamanya astro), media massa, telefon bimbit yang canggih, internet (faceook, myspace, youtube) merupakan senjata-senjata fikiran yang harus mereka tempuh. Andai salah guna, masti menemui kegagalan. Ingatkah kita pesanan Khalfah Umar iaitu kita harus mendidik anak kita mengikut zaman mereka dan bukan zaman kita? Kalau bukan kita yang hendak bekerja atas agama, siapa lagi?
Semga Allah tidak mencampakkan lelah dan keluh kepada saya untuk terus mendidik anak bangsa kerana saya tahu saya antara golongan yang sepatutnya di hadapan bagi menyelamatkan mereka dan memimpin mereka di jalan yang benar. Amin.
p/s: Demi Allah yang nyawaku ditangannya, mestilah bagimu menyeru kepda kebaikan dan melarang manusia lain dari kemungkaran, atau sangat hampirlah Allah ΚΏazza wa jalla menimpakan ke atasmu suatu azab dari sisiNya, sehingga apabila kamu berdoa, tidak lagi diperkenankan (Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan)
Sahabat
Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetap tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentangg segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar.
(Khalifah Umar)
Ahad, 24 Januari 2010
Salahkah saya?
Kadang-kadang saya terfikir, salahkah saya mahu melakukan semua kerja dan tugas saya di sekolah pada tahap yang terbaik yang mampu saya lakukan. Semuanya hanya mahu memuaskan hati sendiri dan memang cara saya bekerja macam itu.
Perkataan seperti ini sudah kedengaran menerjah masuk ke telinga saya:
"Ketua rumah kuning jangan semangat sangat ye!!!"
"Relaksla Syafrul. Jangan Semangat sangat"
"Semangat betul kau ni. Tahun pertamalah katakan..."
"Tengok si syafrul tu, rajin betul. Bakal dapat APC tahun ni la tu"
"Rajin betul tanda buku, siap ada cop sendiri lagi..."
"Lawa betul tulisan kau dalam RM ni, berkaler-kaler"
Mungkin saya sudah terbiasa ingin melakukan yang terbaik dan sempurna dalam setiap tugasan saya. Bagi saya semua kepuasan terletak di situ.Mungkin juga saya terlebih baca buku motivasi pada hari minggu.
Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kebanyakan orang-orang yang berjaya ini selalu membuat kerja diluar kebiasaan. Bukankah begitu?. Kebanyakan orang yang berjawatan tinggi memang sempurna dari segi pengurusan kerja-kerjanya. Bukankah begitu?. Orang-orang yang berjaya ini memang rajin dan semangat semasa bekerja. Bukankah begitu? Guru-guru merupakan golongan yang mulia. Bukankah begitu? Itu yang saya baca dalam buku dan amati sendiri keadaan sekeliling.
Jadi, salah kah saya untuk menjadi seorang yang berjaya? Paling tidak untuk diri sendiri dan ingin menunaikan amanah bonda dan ayahanda untuk bekerja bersungguh-sungguh sebagai seorang guru.
Sering kali saya berfikir, adakah perkataan-perkataan di atas suatu hari nanti akan mengurangkan produktiviti kerja saya? Adakah lama kelamaan saya akan termakan dengan ungkapan di atas dan mula culas dan lewa dalam amanah-amanah yang diberikan kepada saya? dan adakah disebabkan ini bangsa Melayu Islam saya tidak boleh maju ke hadapan? Di tekan dengan perkataan-perkataan negatif. Bagaimana hendak menjawab soalan Allah di padang masyar kelak? Bagaimana keberkatan rezeki saya yang akan dikongsi bersama isteri dan anak-anak?
Saya teringat pesanan Saidina Ali bahawa kita sebagai pemimpin perlu memimpin diri sendiri dahulu barulah memimpin orang lain. Saya suka melihat pelajar saya rajin dan kemas dalam pengurusan nota dan latihan mereka. Jadi, saya sebagai guru mereka hendaklah melakukan perkara itu dahulu, memastikan segala kerja saya dalam kondisi yang terbaik dan mantap. Maka barulah pelajar saya dapat menuruti dengan izin dari-Nya.
Saya pun tidak tahu. Paling tidak sekarang saya hanya mentulikan telinga, tabahkan hati dan teruskan rentak permulaan tahun pertama sebagai seorang guru. Biarkanlah anasir-anasir ini terus memalu rentak mereka.
Bukan untuk mendapat kemasyuran. Tetapi mencari keberkatan, keseronokkan dan keikhlasan dalam bekerja.
Kawan-kawan lain pun macam itu juga?
p/s: Bekerjalah kamu seperti kamu akan hidup 1000 tahun lagi. Beribadatlah seperti kamu akan mati esok hari. Apa yang anda faham?
Ahad, 10 Januari 2010
Saya Sudah Mula Berasa...
Setelah habis minggu yang pertama sesi persekolahan pertama sebagai seorang guru, saya sudah mula berasa, bukan tertekan, bukan bingung, bukan stres, mungkin lahir daripada perasaan terkejut dan terpana. Maka terzahirlah perasaan kaget sebentar saat dalam mesyuarat semalam.
Memang sungguh bagai dikata, guru-guru baru, atau bahasa rojaknya guru-guru 'fresh' ini akan diberikan amanah-amanah yang banyak untuk dilaksanakan sebaik-baiknya. Katanya untuk pengalaman dan guru-guru lama sudah tegar dengan pekerjaan itu. Sudah tepu makan garam. Saya ini baru hendak menjilat garam itu menggunakan hujung jari telunjuk saya. Baru hendak menimba.
Itu tidak menjadi masalah bagi saya. Saya sudah sedar hakikat itu. Maka empat tahun di UPSI, hidup mahasiswa saya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti luar yang saya harapkan dapat mengajar diri saya menghadapi tekanan dan bebanan tatkala bekerja kelak. Saya sendiri mencarinya, kesusahan itu, bukan desakan sesiapa.
Tiga pecahan ko kurikulum saya sapu habis sebagai penasihat. Tambah lagi tugas sebagai ketua rumah sukan. Tambah lagi dengan memegang guru kelas tingkatan 4 yang sudah diketahui menimbun kerjanya. Tambah lagi dengan dilantik menjadi Ketua Panitia Matapelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. yang saya sendiri tidak tahu prospek kerjanya. Berfikir dan mengenangkan tanggungjawab ini saya termenung seketika. Apabila difikir lebih dalam lagi, saya tidak terfikir saya tidak dapat melaksanakan, tetapi saya fikir dapatkah saya memuaskan hati pentadbiran dan diri saya sendiri. Apakah amanah-amanah ini akan disoalkan di akhirat kelak andaikata saya tidak melaksanakan dengan baik?
Dari sudut positif, saya sehendaknya menganggap semua ini sebagai satu cabaran dan ujian supaya saya dapat menjadi guru dan pekerja yang lebih baik. Saya juga seharusnya menganggap semua ini sebagai satu peluang saya menonjolkan diri sebagai seorang pekerja yang cemerlang untuk sekolah dan diri sendiri.
Dari sudut positif, saya sehendaknya menganggap semua ini sebagai satu cabaran dan ujian supaya saya dapat menjadi guru dan pekerja yang lebih baik. Saya juga seharusnya menganggap semua ini sebagai satu peluang saya menonjolkan diri sebagai seorang pekerja yang cemerlang untuk sekolah dan diri sendiri.
Saya mengharapkan Allah, pentadbir dan orang sekeliling saya tahu yang saya sentiasa ingin lakukan yang terbaik dalam setiap kerja saya. Saya mengharapkan saya masih mampu tersenyum girang melakasanakan satu persatu amanah yang diberikan. Saya ingin menganggap guru-guru lain juga ada bebanan mereka sendiri. Tambah lagi, saya masih tiada lagi komitmen sebagai suami dan ayah.
Doakan saya. Buat tunang saya, berikan sokongan kepada saya.
Sabtu, 9 Januari 2010
Bakul dengan Ketam
Cikgu Syafrul: Awak semua pernah tengok tak di pasar ada orang jual ketam dalam bakul?
Pelajar 5 SS: Tak pernah nampak pun cikgu.
Cikgu Syafrul: Habis tu orang yang jual kat pasar tu dia letak je ke atas meja? tak pun dia gantung je?
Pelajar 5 SS: Aah cikgu. Diorang buat macam tu je.
Cikgu Syafrul: Baiklah. Tak mengapa. Baik, saya akan ceritakan kepada awak semua kisah bakul dan ketam.
Pelajar 5SS: Encik Krab ke cikgu?
Cikgu Syafrul: Bukan. Encik krab dia pakai baju. Yang ni ketam betul punya.
Pelajar 5 SS: ooohhh...
Cikgu Syafrul: Sebenarnya dalam bakul ni ada 3 jenis golongan ketam. Golongan yang pertama adalah golongan ketam yang akan mati dan berkorban demi melihat ketam-ketam yang lain boleh pijak atas mereka dan panjat keluar daripada bakul. Golongan yang kedua adalah golongan ketam yang tidak kesah kepada ketam-ketam yang lain. Tidak mahu bekerjasama keluar panjat daripada bakul. Ketam-ketam ini menghancurkan dinding-dinding bakul tu sebab nak keluar.
Pelajar 5 SS: Golongan ketiga pulak cikgu?
Cikgu Syafrul: Golongan ketiga pulak adalah golongan ketam yang mana suka sangat tarik kawan-kawan ketam dia ke bawah. Dah nak keluar dah, tapi diorang tarik ke bawah semula.
Pelajar 5 SS: Ooohhh
Cikgu Syafrul: Jadi, apakah moral of the story. Siapa yang ada idea untuk kita berkongsi bersama?
Pelajar 5 SS: Tolong menolong cikgu! Selfish Cikgu!
Cikgu Syafrul: Baik, moralnya adalah ketam itu sendiri menggambarkan kita dalam sebuah negara, masyarakat mahupun organisasi. Ada golongan yang mana dia sanggup mengorbankan dirinya demi melihat bangsa, negara dan rakan sekelilingnya berjaya. Ada golongan di mana dia pentingkan diri sendiri, sehingga hancur sebuah negara oleh sikap tamak mereka untuk berjaya. Ada juga golongan yang tak mahu melihat orang lain berjaya. Ada sahaja melihat orang lain sudah mula hendak berjaya, mereka jatuhkan mereka kembali. Boleh nampak kan apa yang saya cerita ni?
Pelajar 5 SS: Boleh cikgu!
Cikgu Syafrul: Jadi, awak nak masuk golongan yang mana?
Langgan:
Catatan (Atom)