Memaparkan catatan dengan label Kembara Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara Hati. Papar semua catatan

Selasa, 13 Oktober 2009

Kembara Hati: Tanah Tinggi Genting

~Syafrul, Shafik, Syahidan, Asraf~

Ia hanyalah sekadar Tanah Tinggi Genting. Tempatnya sejuk dan ia juga dikenali sebagai Kota Keriangan (City of Entertainment). Namun pada hari kejadian, saya dapat bersama rakan yang dekat dan  yang jauh untuk berseronok sebelum kami ditempatkan di sekolah-sekolah jauh dari kampung halaman untuk satu tujuan, mendidik anak bangsa.

Terima Kasih sahabat untuk kenangan di tempat tinggi ini

Isnin, 10 Ogos 2009

Pesta Floria Putrajaya 2009

Tiada apa. Hanya Dekorasi, Lanskap dan bunga-bungaan. Kreativiti jua yang tersembunyi. Keagungan ciptaan ilahi yang terserlah akhirnya.

Di Sebalik Satu Temuduga

Mungkin ada yang beranggapan jarak kampung halaman saya dengan Port Dickson tidak lah sejauh mana. Kalau hendak pergi temuduga di sana keluarlah sebelum subuh lagi dan akan tiba di sana sebelum pada waktu yang ditetapkan. Mungkin dalam sejam setengah sahaja perjalanannya dan akan sampai dengan izin-Nya.
~Sebelum Bertolak~
Namun, saya tetap memilih untuk mencari tempat penginapan murah di sini. Alhamdulillah dengan pertolongan bonda, saya dapat tempat penginapan yang murah. Saya mengambil keputusan ini kerana sekiranya bertolak dari rumah, ada kemungkinan akan berlaku kejadian yang tidak diingini sepanjang perjalanan saya. Kenderaan rosak atau kesesakan akan berlaku. Ini jelas sekali akan menganggu fokus saya dari segi fizikal dan mental. Pendirian ini juga disokong oleh tunang saya.
Namun, mungkin rahmat tuhan ingin diberi. Saya tidak keseorangan. Dengan perancangan ini, saya dapat bersama-sama dengan rakan saya yang sudah lama tidak berjumpa disebabkan praktikal dan kesibukan masing-masing. Nabi turut mengajar kita agar sentiasa mengeratkan tali silaturrahim dengan sahabat kita yang sudah lama tidak berjumpa dan yang berjauhan.
"Keutamaan yang paling utama adalah menghubungi orang yang telah memutuskan hubungan denganmu, memberi makan kepada orang yang tak mahu lagi memberi apa-apa kepadamu dan memaafkan orang yang pernah memakimu"
(HR. Ahmad Mu'adz bin Jabal)
~Semoga dapat menggapai impian sahabatku~
Tanpa perancangan ini mungkin saya tidak mendengar dan berkongsi perasaan mengenai pengalaman mereka semasa berpraktikal. Hal ini tidak sama sekiranya hanya ber’SMS’ atau menggunakan YM sahaja. Tanpa perancangan ini juga saya mungkin tidak akan tahu ada sahabat saya yang sudah menyambung pengajian ke pringkat sarjana dan bagaimana perancangan tuhan ke atas mereka. Tanpa perancangan ini juga saya mungkin saya tidak dapat mendengar pengalaman rakan-rakan lain mengenai temuduga mereka. Dan, yang paling seronok sekali adalah berbincang mengenai isu semasa yang secara lazimnya menjadi gelanggang lelaki tatkala duduk bersama. Hal ini sukar untuk dikecapi sekiranya di rumah. Sungguh saya teringat memori semasa belajar di Universiti. Menonton berita dan sama-sama menganalisis isu. Tidak lupa juga sama-sama berlakon bagaikan ditemuduga untuk sama-sama berkongsi maklumat mengenai dunia pendidikan.
~Syukran untuk ilmu yang dikongsi semasa di sana~
Selepas tamat sesi temuduga, masing-masing berkongsi soalan-soalan dan bagaimana soalan itu dijawab di bilik penginapan. Sama-sama meluahkan emosi. Ada yang kritis ada yang sekadar lawak-lawak sahaja. Bagi saya, tidak ramai yang punya pengalaman sebegini.
~Pagi sebelum temuduga~
Mungkin selepas sahaja temuduga dan konvokesyen, sahabat-sahabat saya ini akan membawa haluan masing-masing. Dengan tempat yang baharu, suasana yang baharu dan masyarakat yang baru. Saya dapat rasakan peluang semasa bersama di Port Dickson menanti hari untuk temuduga adalah satu rahmat. Mungkin kali terakhir berjumpa adalah masing-masing bertandang ke perkahwinan masing-masing.
Jadi, saya akan menggunakan luang masa dan izin dari Tuhan ini dengan sebaik-baiknya. Dan semestinya tidak akan dapat sekiranya saya bergerak secara solo dari rumah.
p/s: Bila nak bercuti sama-sama lagi?

Sabtu, 25 Oktober 2008

Libur: Kuala Selangor Nature Park

Pada 19hb Oktober yang lalu, saya telah berlibur di Kuala Selangor Nature Park. Saya berkesempatan ke sana setelah ada kekosongan peserta kajian lapangan kumpulan sahabat saya. Saya tidak melepaskan peluang ini setelah berjaya menyiapkan beberapa tugasan pada minggu tersebut. Lagi pun, saya ingin melihat kelainan daripada kajian lapangan yang telah saya uruskan sebelum menjelmanya bulan ramadhan di teluk senangin.
Bertolak
Kami telah bertolak pada jam 7.30 pagi dari kampus dan tiba di Kuala Selangor Nature Park setelah mengharungi perjalanan selama 1 jam 30 minit. Kuala Selangor Nature Park ini terletak berdekatan dengan Bukit Melawati dan menara rumah api boleh dilihat dengan jelas.
Ketibaan
Sebaik sahaja kami tiba di sana, kami diminta berkumpul bagi membahagikan tugas setiap kumpulan. Setiap kumpulan diberi tema spesis haiwan untuk dikaji. Tema-tema yang disediakan adalah ketam, belacak, monyet dan burung. Saya diminta untuk membantu kumpulan yang mengkaji burung. Untuk pengetahuan, kajian mengenai burung dipanggil ondrotologi. Dari sudut ekologi Kuala Selangor Nature Park ini, ia terdiri daripada kawasan hutan, paya bakau dan kawasan tasik terbuka. Maka kepelbagaian ekosistem ini sesuai bagi burung-burung yang berhijrah dan pelbagai jenis ketam serta belacak. Jadi, saya tidak hairan sekiranya haiwan-haiwan tersebut mudah untuk dijumpai dalam nature park tersebut. Kami telah memulakan kajian pada jam 9.45 pagi. Sepanjang kajian mengenai burung, kami telah mengira berapa ekor burung yang berterbangan bagi sesuatu kawasan. Kami juga melukis bentuk burung dari kepala hingga kepada bentuk ekor. Kami juga merekod berapa bunyi kicauan burung bagi sesuatu kawasan. Kami juga merekod suhu dan kelajuan angin kawasan yang terdapat burung. Jenis burung yang ditemui adalah burung layang-layang, raja udang, bangau putih, belatuk, helang merah dan pipit. Bagi saya ini adalah pengalaman pertama saya melakukan 'bird watching' di kawasan migrasi burung. Pengalaman ini sangat menyeronokkan.
Ketam Kecil Berwarna Biru. Bila Malam Ia Akan Bercahaya Dalam Gelap
Belacak Paling Besar Saya Lihat
Burung Belatuk
Merekod Bilangan Burung Dari Atas Menara
Kami telah berjaya menyiapkan kajian kami setelah berjaya menjelajah ke setiap ruang nature park tersebut. Kajian kami tamat pada jam 12.30 tengah hari. Kami telah meredah paya bakau dan hutan yang terdapat dalam nature park tersebut.
Tamat Kembara
Sebelum pulang, kami perlu membentangkan hasil kajian kami di hadapan rakan-rakan dan pensyarah sebagai satu bentuk perkongsian. Pihak pengurusan juga menjalankan acara bertukar hadiah sebelum pulang. Saya berjaya mendapat hadiah sebatang pen yang sangat cantik. Terima Kasih Fahmi. Kemudian kami pulang pada jam 4.30 petang. Bagi diri saya sendiri, kajian lapangan ini membuka satu pengalaman baharu bagi diri saya. Saya telah belajar bagaimana seorang biologist mengkaji burung dalam sesuatu kawasan lebih-lebih di negara kita yang kaya dengan ekosistem yang sesuai bagi burung-burung yang berhijrah. Pada sudut yang lain pula, saya lebih menikmati kajian lapangan ini kerana saya hanya peserta dan bukan pengarah seperti kajian lapangan yang lepas di Teluk Senangin yang menuntut komitmen yang tinggi untuk menjalankan beberapa perkara dalam satu masa. Saya telah menjiwai alam semulajadi melalui kajian lapangan ini dan mengharapkan aset kita yang berharga ini tidak dimusnahkan sebagai tuntutan kemajuan yang penuh dengan kapitalisme. Sekian Terima Kasih. Syafrul 25 Oktober 2008 5.55 p.m. Bitarasiswa

Isnin, 9 Jun 2008

Libur: Petronas Twin Tower Skybridge

Hari ini 8 Jun 2008 akhirnya tercapai juga hajat dihati nak naik Menara Berkembar Petronas kat KLCC. Selalunya mama saya yang selalu naik menara ni. Sebab mak saya salah seorang staf di sini dalam bahagian perdagangan. Saya dapat naik Skybridge ni jam 3.30 p.m. dan cuaca di Kuala Lumpur agak mendung ketika itu. Naik lif dia pun kejap je. Kurang dari seminit sudah sampai ke tingkat 41. Tidaklah setinggi naik Menara Kuala Lumpur. Naik Menara KL lagi banyak pemandangan yang boleh dilihat dari atas. Skybridge ini merupakan Jambatan udara yang tertinggi dan terpanjang di dunia. Kiranya, bertuah la juga dapat naik. Free je. Sekadar nak mencoret-coret waima sedikit.Terima Kasih sudi membaca. Syafrul 9 Jun 2008 1:15 a.m.