Rabu, 11 Jun 2008
Sabar je la. Minyak oh Minyak
Sudah seminggu harga minyak telah dinaikkan di Malaysia. Kenaikkan mendadak sebanyak 41% iaitu sebanyak 78 sen bagi petrol telah menyebabkan kos hidup rakyat Malaysia bertambah dari sebelumnya. Sebelum ini Kementerian yang berkaitan telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga minyak akan diapungkan mengikut harga pasaran dunia sehingga RM 3.00 menjelang ogos. Akhirnya, secara ad-hock harga komoditi minyak telah dinaikkan dan rakyat menerimanya dengan penuh kejutan.
Reaksi rakyat semestinya tidak setuju dan tidak berpuas hati dengan kenaikkan mendadak dan tertinggi dalam sejarah negara kita. Dalam tempoh seminggu sudah banyak piket dan perhimpunan secara aman tanda protes dan mendesak kerajaan menimbang semula kenaikkan harga minyak. Perhimpunan ini kebanyakannya dijalankan selepas solat jumaat dua hari selepas pengumuman itu dikeluarkan. Pelbagai persoalan diajukan oleh rakyat mengenai harga minyak ini. Antaranya adalah mengapa ia perlu dinaikkan sedangkan kita adalah pengeluar minyak dunia. Sekiranya wujud kenaikkan harga minyak dalam pasaran dunia sudah tentu negara kita mendapat manfaat daripada kenaikan tersebut dengan mengambil kira negara Arab Saudi boleh meletakkan 38 sen seliter sahaja bagi keperluan rakyatnya. Kemudian timbul juga persoalan ke manakah wang dari keuntungan lebih 700 bilion ringgit yang diperoleh Petronas dibelanjakan oleh kerajaan? Mengapa rakyat tidak dapat menikmati sepenuhnya keuntungan tersebut. Hal ini ditambahkan lagi dengan keyakinan pihak pembangkang yang menyatakan harga minyak boleh dikurangkan dengan menggunakan dana daripada Petronas.
Soalan ini juga telah diajukan oleh YB Salahudin, Ketua Pemuda PAS dalam satu perdebatan mengenai penstrukturan semula subsidi minyak bersama Datuk Shahrir Samad. Jawapan yang telah diberikan oleh Datuk Shahrir sebagai pihak kerajaan adalah perolehan Petronas itu digunakan juga dalam sektor lain yang lebih memerlukan iaitu seperti pendidikan, makanan serta pembangunan. Penstrukturan itu sendiri juga menurut beliau untuk mengelakkan ketirisan dan salah guna subsidi oleh rakyat atau pihak yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula, penstrukturan tersebut juga dapat membantu menaikkan subsidi kepada sektor makanan yang dikatakan lebih penting daripada keperluan minyak. Menurut beliau lagi, rizab minyak di negara kita turut kurang daripada negara pengeluar lain. Saya sebagai rakyat tidak tahu akan hal ini kerana rizab dan akaun Petronas tidak pernah dibentangkan dalam Palimen mahu pun dihebahkan dalam media massa.
Sejauh mana subsidi ini disalurkan dengan sebaiknya. Maksud saya walaupun subsidi telah diperuntukan atas sektor makanan, harga makanan tetap juga naik. Resminya, harga minyak naik harga barang keperluan mesti naik juga. Timbul juga persoalan saya, mengapa perlu diberikan rebat? sedangkan pelajar IPT yang bijak pandai kalau dapat biasiswa atau pinjaman mereka gunakan bukan atas tujuan pelajaran. Inikan pula rakyat biasa. Kalau dapat 625 ringgit adakah satu jaminan mereka akan gunakan untuk minyak? Kalau tidak masakan hari ini, 11 jun 2008 kerajaan meletakkan pembayaran gaji bagi kakitangan kerajaan di buat 2 kali sebulan. Bagi saya ini bermakna rakyat Malaysia masih tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik dan mantap. Kerajaan juga turut membenarkan kakitangan kerajaan untuk berniaga bagi meningkatkan pendapatan isi rumah. Hal ini bertentangan dengan pendirian kerajaan dahulu. Saya khuatir kecekapan pekerja dan kakitangan kerajaan akan menurun sekiranya mereka lebih bertumpu kepada berniaga. Sekiranya mereka masih fokus kepada tugas mereka sebagai penjawat awam bagi saya itu adalah perkembangan positif.
Rakyat juga disarankan supaya mengubah gaya hidup iaitu dengan berjimat cermat dalam penggunaan minyak dan penggunaan elektrik. Sekiranya saranan ini dikeluarkan sebelum kenaikan minyak, saya memang bersetuju. Penggunaan minyak yang tidak cermat akan melepaskan lebih banyak gas karbon dioksida ke dalam atmosfera dan ini akan meningkatkan kepekatan gas rumah hijau dalam atmosfera seterusnya pemanasan global akan terus berlaku. Penggunaan elektrik juga ada berkaitan dengan penggunaan minyak bagi menjana turbin bagi menghasilkan tenaga elektrik. Negara barat telah lama menyedari peranan mereka dalam penjimatan seperti ini untuk menjaga alam sekitar.
Rakyat juga disarankan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi mengurangkan kos. Namu begitu kita juga perlu melihat dari segi kecekapan perkhidmatan ini kepada rakyat yang disediakan oleh pemaju. Lokasi dan jaringan Transit Aliran Ringan masih lagi kurang dan tidak menghubungakan tempat strategik di lembah klang. Perkhidmatan bas juga masih kurang efisen. Bagi saya bas masih kurang dan tidak memenuhi keperluan masyarakat. Buktinya bas akan penuh sehingga melebihi had penumpang. Hal ini ditambahkan lagi dengan sikap pemandu yang kurang berhemah ketika berbicara mahupun ketika memandu. Tambahan lagi bas-bas di negara kita dimonopoli oleh rakyat asing. Saya sebagai pengguna merasa kurang selamat sekiranya terlalu ramai rakyat asing yang kelihatan seperti sekumpulan gangster. Mereka juga tidak ada rasa hormat kepada warga emas yang menaiki bas dengan tidak menawarkan tempat duduk mereka. Sekiranya kerajaan ingin menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, selesaikan masalah yang telah saya uarkan iaitu dari segi ketepatan masa, keselesaan, keselamatan dan budi bahasa.
Saya sebagai seorang mahasiswa pelajar IPT turut merasai bebanan ini kerana saya menjadikan sebuah kereta kompak keluaran perodua sebagai pengangkutan saya di kampus untuk berulang alik ke pekan untuk membeli barang keperluan bersama rakan serumah. Saya turut menggunakan basikal sebagai pengangkutan alternatif di sana untuk menghadiri kuliah. Sepengalaman saya, sekiranya ada pihak mencadangkan kempen berbasikal ke tempat kerja, kata saya rasailah terlebih dahulu. Saya sudah merasai panas terik dan hujan lebat berbasikal ke kuliah. Laratkah pekerja yang sudah berumur 40 tahun menghadapi semua ini 5 hari seminggu? Anak muda seperti saya boleh bertahan lagi. Akan tetapi untuk pergi ke destinasi yang berdekatan, bagi saya tidak salah untuk menggunakan basikal.
Selama ini saya mengisi 10 ringgit seminggu untuk kereta saya. Namun selepas ini saya kos untuk minyak akan bertambah. Maka sebagai seorang mahasiswa saya yang mempunyai sumber yang terhad perlu berjimat cermat dalam penggunaan minyak dan barang keperluan lain dalam masa yang sama terus tidak bersetuju dengan kenaikkan harga minyak yang sememangnya membebankan berhujahkan negara Arab Saudi mampu meletakkan harga 38 sen sahaja seliter kenapa tidak negara kita.
Sekian Terima Kasih.
Sabar je la. Minyak oh Minyak....
Syafrul
12 Jun 2008
12.oo a.m.
Isnin, 9 Jun 2008
Pemergian Seorang Teman
Pagi tadi, 9 Julai 2008 saya dikejutkan dengan berita pemergian seorang teman yang saya kenali di kampus pengajian saya. Beliau yang dimaksudkan ialah Suhaimi Yusof, sama semester dengan saya cuma major tidak sama dengan saya. Diberitakan bahawa beliau kembali ke rahmatullah semasa dalam tidur. Semasa beliau masih hidup, beliau merupakan seorang yang aktif dalam organisasi serta aktif dalam nasyid. Beliau sering menjadi imam kerana bacaan dan lantunan ayat suci al Quran yang sedap di dengar.
Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman. Amin.
Duhai hati, ingatlah maut boleh datang bila-bila masa sahaja.
Syafrul
9 Julai 2008
11.28 a.m.
Libur: Petronas Twin Tower Skybridge
Jumaat, 30 Mei 2008
Zakat Sebagai Alternatif Meringankan Bebanan Rakyat dan Mahasiswa
Di sini saya hanya ingin membincangkan bagaimana pelaburan dapat mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh umat Islam kini. Pelaburan yang saya maksudkan adalah pelaburan yang lebih kepada pelaburan secara Islam. Terdapat 3 bahagian dalam pelaburan Islam iaitu Pelaburan yang wajib iaitu membayar zakat, Pelaburan yang sunat iaitu memberi sedekah dan menjalankan ekonomi secara Islam. Suka saya ingatkan di sini bahawa perniagaan secara ekonomi Islam adalah bermatlamatkan memberi kebajikan kepada orang lain sekiranya terdapat keuntungan daripada perniagaanya. Hal ini sama sekali berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang melakukan apa jua cara asalkan keuntungan dapat diperoleh sama ada dalam bentuk penindasan, amalan riba dan lain-lain. Jika kita lihat, ekonomi kapitalis ini masih berlaku dalam negara kita. Hal ini kerana tidak semua penduduk Malaysia yang dapat memiliki harta. Ada individu yang masih miskin walaupun negara kita sudah kaya raya. Hal ini berbeza dengan ekonomi Islam yang memberi peluang kepada semua penduduk tidak kira orang Islam dan Bukan Islam untuk memiliki harta.
Bahagian yang terakhir adalah bahagian ibahah iaitu pelaburan dalam bentuk pembelian saham dari industri perdagangan dan perindustrian yang berasaskan ekonomi Islam. Bagaimana pelaburan secara Islam ini dapat mengatasi masalah pengangguran? Baiklah, saya hanya akan mengupas sedikit sahaja tentang pelaburan melalui zakat dan institusi baitulmal dan bagaimana ia berfungsi secara tidak langsung untuk membasmi pengangguran. Zakat seperti yang kita ketahui adalah memberikan sebahagian harta tertentu dengan kadar yang tertentu dan akan diberikan hanya kepada orang-orang tertentu. Dalam aspek ekonomi, zakat merupakan satu cara yang terbaik untuk menjadikan negara dan rakyat sebagai negara yang kaya dan makmur. Jika seseorang yang benar-benar beriman dan bertakwa ia akan beruasaha dengan lebih gigih kerana setiap zakat yang dikeluarkan itu mempunyai ganjaran pahala yang besar. Apa yang saya ingin ketengahkan di sini adalah sekiranya zakat ini dapat dijadikan sebagai pendorong kepada penganggur-penganggur untuk mencari pekerjaan atau menjalankan usahawan sendiri.
Sekiranya terdapat lebihan daripada zakat tersebut maka harta zakat itu akan disalurkan kepada baitulmal. Baitulmal merupakan satu institusi pelaburan bagi umat Islam semasa tamdun kegemilangan Islam di muka bumi. Matlamat pelaburan harta umat Islam melalui baitulmal adalah semata-mata untuk memberikan kemakmuran kepada setiap umat Islam, menghapuskan kemiskinan dan segala bentuk perhambaan, serta untuk pembangunan seluruh umat Islam. Baitulmal juga merupakan lambang kepada penyertaan setiap individu yang kaya dalam mengeluarkan zakat, sedekah serta wakaf kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ini bererti masyarakat secara kolektif membantu pihak yang memerlukan pertolongan untuk meringankan beban hidup mereka. Apa yang saya ingin ketengahkan disini adalah baitulmal boleh menyalurkan sebahagian daripada harta yang dilabur oleh umat Islam dan Bukan Islam ini untuk memajukan sektor-sektor seperti sektor perladangan, pertanian, cari gali minyak, perindustrian, penyelidikan dan sebagainya yang sememangnya membuka ruang-ruang pekerjaan kepada penganggur-penganggur yang telah sedia ada. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan taraf ekonomi negara kita disamping menjaga kebajikan rakyat iaitu memberi pekerjaan kepada lelaki terutamanya untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam mencari nafkah untuk diberikan kepada keluarga. Maka, tidak mustahil, satu keluarga yang harmoni akan dapat dibentuk.
Tidak juga mustahil sekiranya zakat dan pelaburan Islam ini dapat dijadikan sumber kewangan bagi subsidi minyak dan barang keperluan yang lain sebagai satu mekanisme pengurangan bebanan yang ditanggung oleh kerajaan mutakhir ini di samping pengurusan bajet yang efisien.
Sekadar ingin berkongsi dan menyampaikan. Sekian. Terima kasih.
Sokong dengan cadangan PKPIM untuk menubuhkan amanah saham khas untuk Mahasiswa bagi mendapatkan status bebas kewangan dalam kalangan mereka
Syafrul
30 Mei 2008
7.01 p.m.
Isnin, 26 Mei 2008
Sekitar Sindiket Jual Beli Bayi & Penipuan AF6
Jika anda ada terbaca di dada akhbar dan melihat berita di kaca televisyen, saya pasti anda akan tertarik dengan sindiket perdagangan bayi yang dijalankan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka meletakkan sebanyak RM 10,000 hingga 20,000 mengikut jantina, bangsa dan kriteria-kriteria lain. Di sini saya sama sekali tidak ingin mengetengahkan isu ini dari perspektif etika dan moral yang sudah terang-terangan menyalahi undang-undang dan mana-mana agama sekali pun. Jasad manusia itu bukan untuk diperdagangkan sewenang-wenangnya. Dalam Islam ada ditekankan untuk menjaga nasab keturunan bagi menjaga kemaslahatan individu serta komuniti itu sendiri. Bayangkan kendiri dan motivasi individu tersebut setelah mereka mengetahui mereka pernah didagangkan. Sudah tentu mereka akan berasa duka cita dan mereka mungkin akan melakukan perkara di luar batasan.
Perkara yang ingin saya tekankan di sini adalah dari segi maruah gadis remaja di negara kita kelak. Ironinya begini, sekiranya gadis tersebut terlanjur dan ditakdirkan mengandung, secara normalnya mereka akan sedaya upaya tidak mendedahkan kepada sesiapa dan mereka akan cuba menggugurkan kandungan tersebut. Maka akan terjadilah kes pembuangan bayi sebagai satu sejarah yang terpalit dalam hidup gadis tersebut. Namun, dengan wujudnya 'sindiket bayangan' ini, mereka tidak akan takut sekiranya mereka bunting. Mereka akan menjual bayi yang akan dilahirkan kepada sindiket tersebut. Mereka boleh memperoleh wang dari perbuatan terkutuk tersebut. Hal ini sedikit sebanyak akan menggalakkan seks bebas tanpa takut atau gerun kerana mereka akan mendapat duit poket selepas itu. Saya amat takut sekiranya satu hari nanti fenomena seperti ini akan berlaku sekiranya langkah-langkah yang wajar tidak diambil oleh pihak berwajib lebih-lebih lagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang kuat memperjuangkan hak-hak wanita.
Tidak lupa juga kejadian seorang Imam yang ditipu RM 240 kerana mempercayai SMS yang diterimanya melalui rancagan akademi fantasia selepas memberikan no akaun beliau. Masalahnya di sini adalah seorang Imam yang dikatakan orang yang paling bijak pengetahuan mengenai al Quran dan molek dari segi bacaan dalam Qariahnya boleh terpedaya dengan SMS tersebut. Lebih-lebih dari satu program yang boleh diragui halal haramnya mengikut kebanyakan ulama (Sila rujuk laman web Ustaz Zaharuddin). Saya bersetuju dengan pendapat beliau bahawa sedangkan Imam masjid pun boleh terlibat dengan kancah program yang melalaikan dan terpedaya dengan sejumlah wang, inikan pula orang-orang biasa seperti saya yang terumbang ambing imannya. Adakala naik adakala turun. Namun pada pendapat saya, mungkin Imam tersebut terkena ilmu sihir oleh sesetengah pihak memandangkan ada kes yang menyatakan sihir boleh melalui SMS pada zaman teknologi ini. Sejauh mana kebenarannya saya pun tidak tahu kerana saya tidak pernah membaca sebarang hasil kajian mengenai perkara tersebut.
Saksikanlah Bahawa Daku Sudah Menyampaikan. Terima Kasih kerana sudi membaca.
Jangan Biar Diri Anda Ditipu
Syafrul
10.41 p.m.
26 Mei 2008
Ahad, 25 Mei 2008
Sekitar Isu Pemakaian Pelajar Perempuan di Sekolah
Saya tertarik dengan cadangan yang telah diusulkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia mengenai isu pemakaian uniform sekolah pelajar perempuan. Persatuan ini mengusulkan supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mengkaji semula pemakaian pelajar perempuan yang dikatakan kurang sesuai dan menampakkan susuk tubuh badan mereka dek kerana pakaian mereka berwarna putih, jarang dan telus sehingga menampakkan bayang-bayang pakaian dalam mereka. Natijahnya, ia boleh membangkitkan nafsu pelajar lelaki di sekolah dan hal ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan lagi statistik kes pelajar sekolah bersedudukan dan kes anak luar nikah yang sememangnya sudah banyak kes ini dilaporkan dan didedahkan dalam media massa. Mereka juga menyatakan guru seperti saya dan rakan-rakan saya akan terganggu dari segi fokus dan kredibiliti di dalam kelas dek kerana 'kejarangan' pakaian oleh pelajar perempuan.
Saya mengakui sebagai lelaki Allah telah mengurniakan perasaan tertarik dan terganggu dengan pemakaian yang seksi. Perasaan ini hanya secara fitrahnya khas untuk isteri yang tercinta. Kalau tidak, masakan Allah mewajibkan perempuan yang beragama Islam untuk menutup aurat mereka dengan sempurna di hadapan lelaki yang ajnabi atau lelaki yang bukan muhrim Hal ini untuk menjaga kemaslahatan nasab keturunan umat Islam di muka bumi dan pada masa yang sama menaikkan martabat muslimah itu sendiri seperti yang difirmankan di dalam surah al Ahzab ayat 59. Sehingga kini saya sendiri telah meletakkan syarat bakal isteri saya adalah seorang yang menutup aurat dan bertudung labuh. Insya Allah.
Dalam konteks pelajar sekolah, saya berasakan cadangan ini ternyata sangat baik untuk diambil berat oleh Kementerian. Cadangan saya perkara ini hendaklah dimulai dengan kajian yang teliti. Maksud saya adalah soal selidik perlu dilakukan dan data yang terperinci perlu dikeluarkan. Bagi saya ini adalah sebagai satu kekuatan untuk Kementerian Pelajaran mengambil berat usul ini seterusnya mengubah etika dan tatacara pemakaian pelajar perempuan di sekolah. Sebagai contoh dengan mengambil responden pelajar lelaki untuk mendapatkan pendapat dan pandangan mereka mengenai pemakaian pelajar perempuan di sekolah. Sekiranya kebanyakan daripada responden mengatakan pemakaian pelajar perempuan seksi bagi mereka, maka satu inisiatif perlu dicari oleh Pihak Kementerian untuk mengelakkan sebarang salah laku terjadi. Perlu diingatkan bahawa lelaki yang meningkat remaja mempunyai naluri dan sifat ingin tahu terhadap jantina yang berbeza secara seksualnya. Pada masa yang sama boleh juga meminta pandangan responden dalam kalangan pelajar perempuan untuk bertanyakan dari segi keselamatan mereka ketika menyarung pakaian tersebut di sekolah. Saya takut satu hari nanti, mungkin juga sudah berlaku sekarang di sekolah, gangguan seksual berlaku dan hal ini sedkiti sebanyak menjatuhkan maruah pelajar perempuan.
Antara cadangan yang telah diusulkan adalah dengan menukar warna pakaian pelajar perempuan daripada warna putih kepada warna lain yang lebih gelap supaya tidak menampakkan susuk tubuh mereka dan menutup bayang-bayang pakaian dalam mereka. Bagi saya cadangan ini adalah salah satu cara untuk menjamin keselamatan pelajar perempuan sekiranya hasil soal selidik adalah positif. Hal ini juga adil kepada non muslim yang semestinya tidak bertudung untuk menutup dada mereka sekiranya mereka handak memakai baju kurung tanpa menampakkan susuk tubuh mereka.
Akan tetapi, pada pemikiran saya, sejauh mana pemakaian baju putih ini mampu membawa satu arah di mana gejala sosial ini tidak dapat dibendung? Saya cuba membandingkan dengan rakan-rakan saya di sekolah agama dahulu. Berbaju kurung putih namum mereka diwajibkan memakai baju kurung yang berkancaing di lengan. Mereka juga diwajibkan untuk memakai mini telekung yang labuh. Pernah dahulu ada yang dimarahi kerana tidak memakai pakaian dalam. Bagi saya Sekolah saya berpendirian tegas mengenai pemakaian pelajar perempuan. Bagi saya rakan-rakan perempuan saya menutup aurat dengan baik dan tidak seksi semasa sesi persekolahan. Ada juga sekolah harian yang menetapkan syarat yang ketat mengenai pemakaian pelajar perempuan. Mereka dilarang memakai pakaian dalam yang berwana sangat kontras dengan baju kurung putih dan mereka perlu memakai kain dalam. Tambahan lagi, batas hubungan lelaki dan perempuan di sekolah saya dijaga dengan sangat baik untuk mengelak fitnah.
Pada pendapat saya, sikap, perwatakan dan kebawakan pelajar perempuan itu sendiri juga memainkan peranan. Saya mengambil kira sekiranya pelajar tersebut bijak membawa diri dan tidak mendedahkan diri di hadapan lelaki, saya percaya naluri jahat itu tidak akan tercetus. Sikap mereka yang suka berseksi walaupun dengan baju kurung sekolah, seksi di sini adalah bermaksud sikap yang bermanja-manja dan menggoda, boleh menaikkan nafsu lelaki. Sejahat mana lelaki, ia amat menghormati perempuan muslimah yang bertudung labuh yang digelar 'ustazah' oleh mereka. Dengan pendedahan dunia artis yang bagi mereka glamor untuk dijadikan gaya hidup juga menyumbang kepada masalah suka berseksi yang saya maksudkan ini.
Adalah harapan saya sekiranya tatacara dan etika pemakaian pelajar perempuan ini dapat dikaji semula. Besar juga harapan saya sekiranya gaya pemakaian yang baik ini dapat menjadi titik tolak kepada satu budaya pemakaian yang sopan menggambarkan persis perempuan melayu terakhir yang kuat terasnya berakar Islam agar-agar mata kami si lelaki dihiasi dengan sebaik-baik perhiasan dunia akhirnya.
Terima Kasih kerana sudi membaca.
~Selamat Menjaga Aurat Anda~
Syafrul
25 Mei 2008
2.40 p.m.
Selasa, 20 Mei 2008
Selamat Berjuang Sahabatku....Semoga Allah berkatimu...
Sabtu, 17 Mei 2008
Guru Berjiwa Pendidik
Jumaat, 16 Mei 2008
Selamat Hari Guru....
Kadang-kadang terfikir balik, tak sangka sebenarnya dah nak jadi cikgu. Dulu memang ada simpan cita-cita nak jadi seorang cikgu biologi. Memang saya minat biologi sejak sekolah lagi. Seronok kalau dapat berkongsi dengan orang lain apa yang kita tahu pasal biologi. Lagi seronok kalau dapat ajak pelajar-pelajar kita jatuh ke dalam nikmat mengenal Tuhan melalui Biologi. Bermula dari keindahan sel sehingga kestabilan ekosistem yang Allah sediakan kepada kita mengikut Sunnahnya. Dulu selalu berangan nak memagang kapur tulis dan mengajar biologi di hadapan kelas. Rasa seronok nak buat macam itu. Kalau pelajar faham, rasa kepuasan itu akan harir ke dalam diri.
Tengok-tengok impian ingin menjadi seorang guru Biologi jadi kenyataan. Dapat pula belajar kat satu-satunya Universiti Pendidikan di Malaysia. Sudah 3 tahun menimba ilmu untuk menjadi seorang guru di sini. Belajar secara formal menjadi seorang guru dalam subjek pendidikan. Harap-harap dapat diamalkan la. Di samping itu juga tak lupa untuk aktif dalam kegiatan kolej dan universiti. Alhamdulillah pengalaman-pengalaman tersebut dapat mendewasakan diri dan mematangkan fikiran saya sekurang-kurangnya sebelum pergi mendidik di sekolah kelak. Insyaallah saya ingin menjadi seorang guru yang aktif dan pemimpin persatuan sekolah yang baik kelak.
Namun, mengajar bukanlah sesenang yang saya sangka. Suara kena kuat. Kena kawal kelas. Kena bijak tarik perhatian pelajar. Kena habiskan syllabus mengikut jangka masa yang panjang. Kena buat aktiviti yang pelajar suka. Kena buat ujian yang sahih dan lain-lain lagi. Itu adalah perkara-perkara yang telah saya amati dari pengalaman 3 tahun di UPSI. Terfikir juga betapa hebatnya guru-guru saya yang mengajar saya dahulu. Guru Biologi, Guru Matematik Tambahan dan lain-lain yang begitu sabar mengajar di dalam kelas. Pelbagai inisiatif telah mereka lakukan agar kami sekelas faham apa yang diajar. Ingin sekali saya bertemu dengan mereka kembali bertanya khabar dan meminta nasihat untuk menjadi seorang guru yang baik.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guru saya, Cikgu Munirah, Cikgu Fauziah, Ustaz Najah, Cikgu Ishak, Cikgu Roslee dan lain-lain yang telah mendidik saya sehingga saya berjaya ke menara gading dan bakal menjadi seorang guru untuk bersama-sama dengan cikgu-cikgu sekalian untuk mendidik anak bangsa. Jasa kalian akan ku kenang selamanya.
Sekian Terima Kasih
Guru Cemerlang, Negara Terbilang.
Rabu, 14 Mei 2008
Selamat Bercuti
Akhirnya selepas lebih 5 bulan bertungkus lumus menyiapkan segala tugasan yang telah diberi, lab report yang menimbun, tanggungjawab dalam persatuan dan lebih-lebih lagi mujahadah dalam peperiksaan akhir, akhirnya dengan izin Allah saya dapat kembali ke pangkuan keluarga. Tetapi rehat-rehat, santai-santai, libur-libur ini hanya sementara sahaja. Banyak yang nak kena buat. Saya perlu mendisiplinkan diri untuk membaca setiap novel Faisal Tehrani dan Habiburrahman el shirazy yang telah dibeli semasa pameran buku antarabangsa yang lepas. Tidak lupa juga saya perlu menguashakan pembangunan web site saya untuk tujuan tesis. Nasib baik rumah ada kemudahan internet. Bolehlah sentiasa on line untuk mengikuti perkembangan forum yang telah dijalankan oleh pelajar-pelajar sekolah. Insyaallah urusan saya akan untuk mengumpul data akan dipermudahkan. Pertengahan bulan 6 pula saya akan menjalani ROS (Rancangan Orientasi Sekolah) di sekolah lama saya iaitu sekolah Agama Menengah Batu 10. Insyaallah saya akan menabur bakti di sekolah ini sepanjang 2 minggu saya menjalankan latihan. Baik, setakat ini sahaja tulisan saya. Insyaallah kita akan bertemu di lain waktu.
Selamat Bercuti!
Langgan:
Catatan (Atom)