Rabu, 8 Julai 2009

Akhirnya PPSMI dimansuhkan

Hari ini, 8 Julai 2009, akhirnya kabinet memutuskan untuk memansuhkan PPSMI bermula tahun 2012 selepas 6 tahun dasar itu dilaksanakan. Namun proses pemansuhan ini dijalankan secara berperingkat-peringkat dan PPSMI masih diteruskan untuk tingkatan 6 dan matrikulasi.
Pemansuhan ini bagi saya adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk meredakan ketegangan antara pihak kerajaan dan pejuang-pejuang bahasa seperti GAPENA dan DBP. Pemansuhan ini juga bertitik tolak kepada himpunan besar-besaran pada 7 Mac 2009 di Istana Negara yang menyaksikan rakyat pelbagai peringkat dan latar belakang pendidikan mendesak kerajaan untuk menimbang semula untuk memansuhkan sama sekali dasar ini yang sama sekalimembelakangi perlembagaan 152 dan dasar pendidikan negara. Bagi saya usaha golongan ini setelah sekian lama membuahkan hasil akhirnya.
Pemansuhan ini juga bagi saya perlu dilakukan setelah pelbagai kajian dan analisis menunjukkan pencapaian matematik dan sains yang semakin merosot dan pada masa yang sama tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan kepada penguasaan bahasa Inggeris itu sendiri. Tambahan pula dengan jurang antara pencapaian bandar dan luar bandar yang semakin meluas dan melebar.
Sepengalaman saya menjalani praktikal di sekolah, saya melihat pelajar-pelajar kurang berminat untuk mempelajari Sains dan Matematik kerana perlu memahami bahasa Inggeris pada masa yang sama. Ini sama sekali membunuh minat mereka untuk menguasai kedua-dua subjek itu. Bagi saya biarlah mereka berbaloi datang ke sekolah dengan tahu dan faham apa yang mereka belajar dalam sains dan matematik sebab ia diajar dalam bahasa ibunda mereka.
Namun apa yang menarik minat saya adalah ketidak adilan telah berlaku kepada pelajar-pelajar 2003-2009. Bagi saya seandainya PPSMI ini tidak dilaksanakan, lebih ramai lagi pelajar yang faham Sains dan Matematik dapat dilahirkan dan pada masa yang sama pencapaian dapat ditingkatkan. Ini turut berlaku kepada kedua-dua adik saya.
Jadi, selepas ini saya akan mengajar Sains dan Biologi dalam Bahasa Inggeris untuk 2 tahun sahaja. Mungkin ada yang berpendapat kenapa tidak dimansuhkan ke tahun depan sahaja. Bagi saya 2012 adalah waktu yang paling tepat kerana dalam tempoh 6 tahun pelbagai inovasi dan transformasi pendidikan telah berlaku. Tidak syak lagi kerana saya belajar 4 tahun untuk mendalami itu semua. Jadi silibus, konten, istilah, pembangunan koswer, laman web, buku teks, buku latihan, amali perlu disediakan tanpa ada unsur-unsur hendak cepat dan terburu-buru. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang terjadi semasa PPSMI dilancarkan. Kita perlu memberi yang terbaik sekiranya ia diajar dalam bahasa Ibunda kita sendiri. Kita di dalam situasi untuk mengejar teknologi dan pedagogi terkini dalam pendidikan itu sendiri.
Sekali lagi saya mengalu-alukan pemansuhan PPSMI ini atas tiket seorang guru demi melihat anak bangsanya berjaya berdiri di mata dunia dengan bahasanya sendiri.
p/s: "Please open your text book, page 46 and please refer at title deficiency diseases"
" Tak faham cikgu, Bahasa Melayu la cikgu"

Teman Yang Soleh

Tiada suatu pun yang lebih berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas nikmat Islam selain teman yang soleh, apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya, maka panggillah ia dengan bersungguh-sungguh
Umar al-Khatab
p/s: Bait ini telah dikongsikan oleh tunang saya melalui friendster. Syukran.

Selasa, 7 Julai 2009

Kerja vs Rehat?

Selepas 2 bulan berada di rumah tanpa sebarang kerja rutin untuk dilakukan, saya sudah berasa bosan di rumah. Setiap hari adalah rutin yang sama. Makan, tonton tv, baca buku, tidur. Ditambahkan lagi dengan mendengar berita ada kawan-kawan sepengajian bekerja sebagai guru ganti di sekolah dan menerima gaji walaupun hanya menggunakan kadar SPM. Memang rasa nak cuba juga minta guru ganti. Tetapi melihat hanya beberapa puluh sahaja sehari sedangkan sepatutnya sudah boleh mendapat kadar ijazah, saya menangguhkan hasrat itu dahulu. Tambahan lagi mendengar rakan-rakan sekolah dulu sudah ada yang bekerja. Bertambah keinginan untuk mencari duit.
Pada masa yang sama, saya juga mendapat peluang untuk bekerja sebagai tutor sambilan di UPSI. Peluang bagi saya cukup cerah. Tambahan pula dengan pengalaman 2 semester menjadi tutor sambilan semasa bergelar mahasiswa. Lebih-lebih lagi saya ingin mengumpul duit bagi perbelanjaan kahwin tahun hadapan. Namun dengan tiada rakan untuk mengurangkan kos hidup di sana, saya menjadi tawar untuk pergi. Tambahan lagi dengan konflik yang saya tonjolkan semasa menjadi RA (Pembantu penyelidik) dahulu, bertambah tawar hati.
Akan tetapi saya fikir, setelah beberapa tahun, bermula di tingkatan 4, tingkatan 5, khidmat negara, matrikulasi, universiti, saya jarang melekat di rumah. Kalau ada cuti semester pun, saya akan penuhi dengan program-program matrikulasi dan universiti. Ibu saya pun berkata begitu. Hemat saya apa salahnya saya berehat di rumah untuk melepas rindu ibu bapa saya. Tunggu sehingga mendapat kerja tetap sebagai seorang guru. Kerja sebagai guru memang sudah terjamin Insyaallah. Seua graduan UPSI berjaya dipostingkan seluruh negara. Tidak perlu saya berpening-pening kepala untuk bekerja. Kerja itu menanti. Ibu saya kata masa ni baca buku-buku pasal rumah tangga, buku-buku cara untuk menjadi guru cemerlang, buku-buku bahasa Inggeris. Dengan kata mudah, cari ilmu dan pengalaman lain untuk tempoh ini.
Saya rasa, selepas 4 tahun bertungkus lumus belajar dan aktif berpersatuan di universiti dan rasa kepenatannya, berehat di rumah bersama keluarga adalah pilihan yang lebih tepat. Dengan Izin Allah.
p/s: Isi masa lapang dengan bela ikan dan kura-kura dan semestinya, membaca (",)

Sabtu, 20 Jun 2009

Ulasan Buku: Nota Hati Seorang Lelaki

Setelah saya menamatkan kembara menyusuri bait-bait tulisan di dalam buku ini, jelas satu perkara di sini bahawa buku ini amat mempengaruhi cara saya berfikir sebagai seorang lelaki di dalam gelanggangnya. Ia merangkumi lelaki sebagai seorang anak, lelaki sebagai seorang suami, lelaki sebagai seorang bapa dan lelaki sebagai seorang daie. Mengambil umur saya yang baru sahaja menginjak ke awal 20-an sebagai kayu pengukur, maka pengalaman yang digarapkan oleh penulis ini terlalu luas bagi saya, terlalu baru bagi saya. Kerana saya masih lagi seorang lelaki yang berpangkatkan seorang anak. Belum lagi suami, bapa dan apakan lagi daie. Banyak sekali pengalaman dan pemikiran yang boleh saya ambil dari buku ini.
Buku ini juga telah mengajar saya tentang bagaimana seorang lelaki harus berfikir. Lebih-lebih lagi saya akan menjadi seorang suami dan seorang ayah suatu hari nanti. Pemimpin kepada keluarga saya. Saya perlu kuasai ilmu kepimpinan, ekonomi serta 'politik' dalam rumah tangga. Banyak lagi yang perlu dipelajari.
Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada penulis iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi kerana sudi berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang anak, suami, ayah dan daie. Semoga ustaz dapat berkarya lagi.
p/s: Dalam pengembaraan untuk meningkatkan kematangan diri bagi persiapan sebagai imam dalam rumah tangga.

Rabu, 17 Jun 2009

Pandangan Saya: Sister In Islam

Apabila saya baca di dalam akhbar dan saya mendengar berita bahawa ada satu usul yang diperdengarkan di dalam Muktamar PAS yang lalu dari wakil Shah Alam iaitu berkisar mengenai Sister in Islam di Malaysia. Sister in Islam dikatakan meragukan umat Islam melalui utaran dan pandangan dari mereka yang lebih menjuruskan kepada kedudukan dan hak wanita dalam Islam. Dalam usul ini juga, pihak PAS mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menyiasat pergerakan ini.
Sebenarnya saya pernah mendengar tentang pergerakan Sister in Islam ini dahulu lagi. Seingat saya semasa saya di semester 1 di universiti lagi. Saya difahamkan bahawa pergerakan ini mendukung fahaman feminisme. Dimudahkan cerita, feminisme ini ingin mengangkat martabat, hak dan keistimewaan wanita sama taraf dengan lelaki. Mereka juga menentang sekeras-kerasnya pencabulan seksual dalam kalangan wanita, rogol, penindasan, diskriminasi kepada hak wanita dan lain-lain.
Semasa saya menjadi pelajar di universiti, saya pernah terjumpa dengan sebuah buku berwarna merah yang bertajuk, "Fiqh Wanita" di perpustakaan Tuanku Bainun. Saya agak tertarik oleh penerbitnya iaitu Sister in Islam. Saya menjadi teruja untuk mengetahui isi dalamnya dan saya mengambil masa lebih dari sejam untuk duduk di dalam perpustakaan dan membaca setiap bait dalam buku tersebut.
Dalam buku tersebut ada diberikan penerangan mengenai aurat, poligami, khitan dan lain-lain lagi. Akan tetapi saya lebih mengambil berat mengenai aurat. Di dalam buku tersebut mereka berjaya mengutarakan beberapa hadis (saya tidak tahu la tarafnya) dan beberapa rujukan kitab yang menunjukkan bahawa wanita tidak wajib menutup lengan mereka. Ada sampai satu peringkat mereka menggunakan ilmu mantik yang hebat sehingga mereka membuktikan wanita tidak perlu menutup aurat mereka yang 'besar-besar' seperti kepala, rambut, dada dan lain-lain lagi. Sekadar tutup dari pusat hingga ke lutut. Di sini saya dikelirukan. Akan tetapi saya tetap berpegang dengan apa yang saya belajar selama ini.
Dalam buku ini juga ada diterangkan mengenai alasan mengapa perlu berkhitan bagi bayi perempuan. Bagi mereka ini akan mengurangkan kepuasan seks bagi wanita ini. Timbul lagi satu kekeliruan. Dalam poligami, mereka memberikan alasan bahawa lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya berkahwin lebih daripada satu. Dalam buku ini juga mencabar pemberian wasiat dan faraidh kepada lelaki. Buku ini mendakwa mengapa lelaki diberikan bahagian yang lebih di dalam faraidh dan ini bagi mereka adalah tidak adil. Sebagai kesimpulan, selepas saya membaca buku tersebut, saya percaya bahawa buku yang diterbitkan oleh Sister in Islam ini benar-benar keliru kerana ia ekstrem daripada apa yang kita belajar di sekolah agama dan pondok-pondok. Dengan ini saya menyokong usul Sister in Islam ini disiasat dan dikekang pergerakkannya.
p/s: Shahrizat Jalil marah kepada PAS, Khairy pun marah jugak kat PAS, Norley merupakan salah seorang ahli SIS, Ketua SIS tidak pakai tudung...Buatlah kesimpulan sendiri siapa dan golongan mana yang sokong mereka ni...

Jumaat, 12 Jun 2009

Teori Kebosanan

Bagi saya teori perasaan bosan itu adalah bersifat relatif kepada individu itu sendiri dan sejajar dengan pergerakan masa dan persekitaran.
Sekiranya seseorang itu tidak berkata kepada hatinya bahawa aku bosan, maka seseorang itu tidak bosan dan sebaliknya.
Sekiranya seseorang itu manfaatkan masanya dengan pengisian aktiviti dan pekerjaan yang menyeronokkan serta berfaedah, maka ia tidak akan merasa bosan dan sebaliknya.
Sekiranya seseorang itu berada di persekitaran yang wujud dengan memberikan suasana yang menarik, maka seseorang itu tidak bosan dan sebaliknya.
Namun agak malang sekali, saya sedang berada dalam keadaan teori sebaliknya.
p/s: dimudahkan cerita, saya sedang dibosankan oleh kata hati, masa dan persekitaran saya sendiri di rumah.

Wajib Lulus Bahasa Inggeris SPM?

Pertama kali saya mendengar cadangan daripada Tan Sri Muhyidin Yasin ini, saya memikirkan ini adalah satu manifestasi sebenar yang harus dilakukan oleh pihak kementerian seandainya ingin melihat pelaksanaan PPSMI benar-benar berjaya meningkatkan penguasaan anak Malaysia dalam Bahasa Inggeris. Sifirnya begini, apa gunanya sekiranya belajar Mata pelajaran bahasa Inggeris dari darjah 1 sehingga tingkatan 5, iaitu selama 10 tahun, ditambahkan lagi dengan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, tetapi tidak lulus bahasa Inggeris. Di manakah nilai PPSMI yang dicanangkan dan dipertahankan kebaikannya sekiranya Bahasa Inggeris pun tidak lulus. Dalam erti kata lain, PPSMI gagal sekiranya wujud golongan yang gagal dalam Bahasa Inggeris.
Saya bersetuju dengan cadangan bahawa pencapaian bahasa Inggeris perlulah pada tahap lulus dan ke atas sekiranya hendak mendapat sijil penuh SPM. Namun pada masa yang sama, seperti biasa kajian perlu dijalankan oleh pihak kementerian sebelum pelaksanaan ini dijalankan. Pada masa yang sama, pihak lembaga peperiksaan juga perlu tidak menurunkan gred semata-mata agar kualiti pencapaian bahasa inggeris di Malaysia tidak menurun. Saya melihat kebaikan lulus bahasa Inggeris ini adalah dari segi mudah mendapat pekerjaan dalam suasana sektor pekerjaan di negara kita ini menuntut penguasaan Bahasa Inggeris. Dari sudut yang lain pula, hal ini juga membawa kebaikan kepada sesetengah golongan pelajar yang datang ke sekolah hanya untuk lulus SPM dan dapat pekerjaan. Maksud saya, mereka yang berfikiran seperti ini mampu mendapat kehidupan yang lebih baik sekiranya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mereka pada tahap cukup-cukup makan sahaja.pada masa yang sama ia dapat menyedarkan sesetengah golongan pelajar yang kurang mengambil perhatian kepada bahasa ini sebagai entiti yang penting untuk mendapatkan pekerjaan kelak.
Pada masa yang sama, saya mengesyorkan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dipertingkatkan. Ironinya begini, jika sebelum ini kita melihat ada program pembelajaran kendiri Bahasa Inggeris yang diwar-warkan sebagai sangat berjaya, mengapa program ini tidak diterapkan dalam sisitem pembelajaran kita? Sebagai contoh Linguaphone yang setiap tahun ada sahaja di pesta buku dan selalu diterangkan oleh tukang-tukang cerita mereka bahawa kaedah mereka sangat berjaya dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Mengapa kaedah mereka tidak diterapkan? Contoh yang lain adalah program yang diwujudkan oleh British Council. Sekiranya program mereka ini terbukti berkesan, tidak salah kita menerapkan di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pada sudut yang lain juga kita perlu melihat bahawa apakah fungsi Bahasa Inggeris sebenarnya di negara kita? sebagai bahasa perantaraan orang-orang bangsawan dan kaya untuk menunjukkan stratifikasi sosial yang lebih hebat? sebagai bahasa untuk menerangkan kepada pelancong? sebagai bahasa untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik? sebagai bahasa yang ada lubuk-lubuk ilmu? sebagai bahasa komunikasi anak-anak kita yang sedang bermain bola atau bermain guli? sebagai bahasa untuk memahami lirik-lirik lagu di televisyen? sebagai bahasa untuk kita faham seandainya ada pihak yang sedang merosakkan agama islam dan orang melayu melalui tulisan mereka? sebagai pengkaji dan penganalisis tatabahasa sama seperti kita belajar nahu saraf di sekolah? Sebagai orang yang bijak dalam sastera inggeris?sebagai bahasa untuk meningkatkan taraf ekonomi negara?
Kita perlu tetapkan tujuan itu sendiri menurut keperluan negara kita dan usaha untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa inggeris perlu ke arah tujuan tersebut. Maksud saya yang lebih mudah, kita perlu lihat tujuan bahasa Inggeris itu sebenarnya diajar di sekolah. Kalau di universiti, sememangnya ia hanya berbentuk 'communicative' atau perhubungan. Itu yang saya lihat dan saya belajar di Universiti dahulu. Sekiranya di universiti pun communicative yang diajar, maka pemberatan kepada 'speaking' adalah perlu dilebihkan sejak dari sekolah lagi.
Saya tidak mengatakan saya ini bijak dan berpengalaman dalam menjadi guru, tetapi saya menuntut guru-guru yang cemerlang, pihak kementerian untuk mencari kaedah yang sesuai bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah. Dan saya dapat merasakan transformasi dalam bahasa Inggeris ini adalah lebih baik dari pelaksanaan PPSMI bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
p/s: Agak bersetuju dengan Setiausaha GAPENA untuk meningkatkan tahap kelulusan Bahasa Melayu kepada C seandainya wajib lulus bahasa Inggeris SPM bagi meningkatkan taraf Bahasa Melayu di tanah melayu. Orang Malaysia perlu menguasai bahasa kebangsaan.

Sabtu, 30 Mei 2009

Mirwana-Jauh

Sepi jiwaku sepi kerna kau tiada di sisi
Sunyi hatiku sunyi tanpa kehadiranmu kasih
Doaku semoga dirimu bahagia
Aku yang kini jauh
Damba keampunanmu
Khilaf antara kitaKan terlerai akhirnya
Bersama kasih kita dan cinta
Moga berbahagia meniti harimu yang indah
Setia kunanti tiba saatnya kitakan bersua
Doaku semoga dirimu sejahtera
Aku yang kini jauh
Damba keampunanmu
Khilaf antara kitaKan terlerai akhirnya
Jauh kita terpisah dibatasi jarak dan masa
Dirimu tak pernah kulupaTerus kunanti setia
Saat Indah kita bersama
Bersama kasih kita dan Cinta
p/s: Saya cukup suka lagu ini. Jadi saya nak berkongsi dengan yang lain. Kalau tidak silap saya lagu ini ditujukan kepada isteri-isteri atau tunang yang ditinggalkan, dipisahkan jauh kerana tugas suami diperantauan untuk menjaga tanah air.

Had 10 Subjek sahaja untuk SPM?

Baru-baru ini Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan hanya 10 subjek sahaja yang boleh diambil oleh pelajar yang mengambil SPM pada tahun 2010. Had subjek ini telah diambil kira setelah melihat bertahun-tahun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Agama melahirkan pelajar yang berbelas-belas A hingga ada 20 A berjaya dilahirkan sedangkan pelajar SBP dan MRSM dihadkan sehingga 10 subjek sahaja. SBP dan MRSM dihadkan pengambilan subjek kerana ingin mengekalkan prestasi sekolah dari segi peratusannya. Hal ini mengundang ketidak adilan kepada pelajar SBP dan MRSM. Maka pengehad ini diwujudkan supaya peluang sama rata diberikan.
Baik, bayangkan jika sekarang saya bawa pengehadan ini seawal tahun 2003 dahulu iaitu tahun saya menempuh SPM. Dahulu saya mengambil 11 subjek kerana saya aliran Sains Agama. Subjek yang saya ambil adalah:
1) Bahasa Melayu
2) Bahasa Inggeris
3 Bahasa Arab Tinggi
4) Sejarah
5) Matematik
6) Matematik Tambahan
7) Biologi
8) Fizik
9) Kimia
10)Pendidikan Quran dan As Sunnah
11)Pendidikan Syariah Islamiyah
Jadi subjek yang mana patut saya gugurkan untuk menjadikan 10 subjek sahaja kalau angka itu dijadikan sebagai faktor pengehad? Bahasa? Matematik? Sains? Agama? Saya pun akan berada di dalam keadaan dilema
Hal yang ingin saya bawa ke sini adalah ketidak adilan kepada adik-adik ataupun bakal anak-anak didik saya yang akan mengambil Sains Agama seperti saya. Subjek apa yang akan mereka gugurkan? Kalau hendak mengikut keutamaan, nescaya subjek agama itu akan digugurkan kerana subjek lain adalah kemestian untuk meneruskan pengajian di Universiti. Tambahan pula sekarang sepengetahuan saya adik-adik ini mengambil EST. Maka ada dua subjek yang akan dikorbankan. Maka ke mana identiti dan jati diri sebagai pelajar aliran Sains agama ini akan pergi? Sains + Agama ini membezakan saya dengan kebanyakan rakan yang lain di Universiti. Kalau ada subjek agama yang dikorbankan...?Aliran Sains Agama ini telah membesarkan saya, tunang saya serta rakan-rakan sekolah saya dahulu.
Saya mengharapkan kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada pelajar sekolah agama untuk mengambil 12 subjek untuk SPM nanti agar identiti Sekolah Agama Menengah itu dapat dikekalkan dan bukan di'lenyap'kan dengan cara yang sangat halus.
p/s: Kenapa lepas Nik Nur Madihah yang Sekolah Menengah Agama tu dapat 20A baru had ini dikeluarkan? Hmmmm.......

Jumaat, 29 Mei 2009

Salam Takziah kepada Dalila Hasinah

Hari ini saya diberitakan bahawa seorang rakan sekuliah saya di Universiti iaitu Dalila hasinah menghidap leukimia. Walaupun saya tidak rapat dengan beliau namun keperitan yang beliau alami perlu saya kongsi bersama. Diberitakan juga beliau tidak dapat meneruskan praktikal di sekolah.
Sekali lagi saya mengucapkan salam takziah kepada beliau. Semoga beliau tabah menghadapi ujian Allah ini.
p/s: Terima Kasih kepada usaha tiga orang rakan yang sudi membantu meringankan bebas Dalila dengan mengusahakan kutipan dalam bentuk derma ikhlas.