Jumaat, 16 Oktober 2009

Sebenar-benarnya?


Kekayaan yang sebenar ialah akal , kepapaan yang sebenar ialah rosak akal . Sepi yang sebenarnya ialah kagum dengan diri sendiri dan kemuliaan yang sebenar ialah akhlak yang baik. 


(Saidina Ali bin Abi Thalib)




Khamis, 15 Oktober 2009

Teh Tarik dan Roti Bom Telur untuk Diri Sendiri

Pernah dengar orang-orang bijak motivasi berkata kita perlu memberi hadiah kepada diri sendiri atas kejayaan yang kita capai. Hadiah itu sama ada membawa diri kita berlibur bersama keluarga dan rakan-rakan, melancong ke tempat yang belum pernah dikunjungi, bersukan seperti bermain futsal, badminton atau boling, pergi membeli belah seperti baju baru serta menjamu selera di restoran-restoran yang terpilih.

Seperti memberi hadiah kepada orang lain, ia akan membuat seseorang itu rasa dihargai dan disayangi. Disamping itu juga ia akan menjadikan seseorang meningkatkan potensi diri untuk mengejar kejayaan yang lebih hebat dan produktif. Jadi, sama juga kepada diri kita sendiri. Memberi hadiah kepada diri sendiri ini seperti meraikan sesuatu kejayaan.

Dalam bidang psikologi, ia dinamakan sebagai Teori Pelaziman Operan Skinner. Satu bahagian daripada teori beliau adalah peneguhan positif. Peneguhan postif adalah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. dengan bahasa yang lebih mudah, berilah ganjaran atau hadiah untuk mengekalkan atau meningkatkan prestasi. Menurut Rachlin, peneguhan ini juga diberi atas tujuan memuaskan kehendak, mengurangkan tekanan dan juga merangsangkan otak.

Saya juga selalu memberikan ganjaran kepada diri saya. 3,4 tahun kebelakangan ini saya sering menghadiahi diri saya setelah mendapat dekan dalam satu-satu semester. Hadiahnya adalah dalam bentuk makan-makan ditempat yang sedap dan jarang-jarang dikunjungi. Jalan mudah adalah pergi ke KFC.

Pada hari ini saya menghadiahkan roti bom telur dan teh tarik kepada diri saya. Tambah lagi pada waktu hujan petang. Suasananya sungguh damai. Lagipun sudah lama saya tidak menikmati roti bom telur di alef maju.


                     
                                   ~ Teh Tarik~                                               ~Roti Bom Telur~

Hadiah ini untuk apa sebenarnya?

Pertama hadiah ini diberi kerana saya berjaya diterima untuk ditempatkan di negeri Perak sebagai seorang guru. Saya berjaya memperoleh pekerjaan selepas bergraduat dan tidak jauh daripada keluarga. saya sudah boleh bermula mengumpul dana dan mencari nafkah untuk bakal isteri.

Kedua adalah meraikan kejayaan tunang saya mendapat tempat kedua dalam pameran model solar. Untuk pengetahuan, kumpulan beliau membangunkan model solar pengecas telefon bimbit (Solar Charger Handphone). Bagi saya berbaloi juga saya mengajar serba sedikit, memberi pendapat serba sedikit dan menolong ahli kumpulan ini  serba sedikit mencari komponen elektronik di Jalan Pasar baru-baru ini. Melihat kepada skema litar itu pun saya rasa sukar. Namun, dengan izin tuhan, telefon bimbit boleh dicaskan. Saya rasa mungkin kepayahan mencipta model ini membenarkan mereka mendapat tempat kedua. Saya pun tumpang gembira kerana dapat menjadi pelakon tambahan dalam siri kejayaan ini.

Mungkin apalah sangat teh tarik dan roti bom telur ini berbanding makanan mewah. Namun, ia cukup dijadikan ganjaran untuk kepuasan diri saya.

Semoga pengunjung dan sahabat tidak lupa untuk sekali sekala belanja diri sendiri atas kejayaan yang telah dicapai. Teh tarik dan roti bom telur pun apa salahnya.

Sekian.




Pelantikan Guru Sandaran Siswazah Terlatih



Cikgu Syafrul telah dijemput untuk menghadiri sesi taklimat dan pelantikan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) bertempat di PPD Kinta Utara, Ipoh pada 26 Oktober 2009.

Cikgu Syafrul ingin merapatkan setinggi syukur dan terima kasih kepada Allah S.W.T kerana memberikan peluang kepadanya untuk menjadi pendidik.

Syukur dan Terima Kasih juga kerana dipilih untuk berkhidmat di negeri pilihannya iaitu Perak, tidak jauh dari kampung halamannya dan kampung halaman tunangnya di Pulau Pinang.

Cikgu Syafrul juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia kerana menawarkan jawatan GSST dan membenarkannya untuk berkhidmat.

Cikgu Syafrul juga meminta doa dari sahabat pengunjung bagi melancarkan proses penempatannya di sekolah yang dijanjikan.

Sekian. Terima Kasih.

'Celik Insan Kerana Guru Unggul'



Rabu, 14 Oktober 2009

Sepohon Kayu


"Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah"

(Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

 


 

Selasa, 13 Oktober 2009

hsyafeart

Assalamualaikum. Mulai saat ini, laman blog ini yang dahulunya beralamatkan syafansuri.blogspot.com akan ditukarkan kepada hsyafeart.blogspot.com. Ia diinspirasikan dari 2 perkataan iaitu syaf dan heart iaitu hati.

Penukaran ini dilakukan atas dasar ingin berhijrah kepada satu tingkatan perkongsian pendapat dari mata hati kepada pengunjung dan sahabat yang sudi melawati dan melewati laman blog ini. Bagi saya persoalan dan tema hati ini lebih universal dan lebih 'memahami'.

Semoga dengan penghijrahan ini akan dapat memfokuskan perkongsian saya yang akhir-akhir ini lebih kepada tema mata hati untuk dikongsi bersama hati pembaca. Insyaallah.

Seterusnya saya ingin mencari pengatas laman blog yang sesuai dengan tema hati. Mungkin esok dan mungkin juga lusa. Usai saya menyiapkannya, saya akan paparkan.

Salam dari saya.



Kembara Hati: Tanah Tinggi Genting

~Syafrul, Shafik, Syahidan, Asraf~

Ia hanyalah sekadar Tanah Tinggi Genting. Tempatnya sejuk dan ia juga dikenali sebagai Kota Keriangan (City of Entertainment). Namun pada hari kejadian, saya dapat bersama rakan yang dekat dan  yang jauh untuk berseronok sebelum kami ditempatkan di sekolah-sekolah jauh dari kampung halaman untuk satu tujuan, mendidik anak bangsa.

Terima Kasih sahabat untuk kenangan di tempat tinggi ini

Tanam Roselle: Hari Pertama

Baru-baru ini saya pergi menziarahi rakan saya di Segamat Johor. Rakan saya ini menghidangkan saya air Roselle. Saya pernah rasa air ini, iaitu semasa kami pelajar Biologi mengadakan pameran di Universiti. Sedap juga rasa air ini. Rasanya seperti air ribena.
Saya pun pergi mencari sedikit info mengenai pokok bunga ini. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'Hibuscus Tea'. Terlintas di hati saya mungkin masyarakat eropah menjadikan bunga ini sebagai air teh panas untuk diminum bersama keluarga dan rakan di waktu pagi dan petang. Bunga ini juga dipercayai boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Terdetik di hati saya untuk menanam pokok bunga ini. Kerana saya dapat rasakan pokok bunga ini adalah unik. Unik kerana bukan sahaja untuk hiasan tetapi boleh dijadikan minuman.Tambahan lagi, akan timbul perasaan seronok jika dapat menanam dan menjaganya sehingga menghasilkan bunga. Itu adalah kepuasan dari hobi menanam pokok. Lagipun bentuk bunganya juga sangat cantik dan lain dari yang lain.
Jadi saya dan rakan saya pergi ke pasar malam di Segamat dan membeli bunga Roselle ini. Niat di hati untuk menjadikan ia sebagai buah tangan untuk bonda bila pulang ke rumah disamping mencuba untuk menanam pokok bunga ini.
Sampai sahaja di rumah, saya pun mengupas kelopak bunga ini satu persatu dan bonda saya membantu untuk merebus kelopak tersebut. Kemudian, bijinya saya ambil dan keringkan selama 2 hari. Selepas itu baru saya boleh mendapatkan biji benih pokok bunga tersebut.
Di bawah ini saya sertakan gambar proses-proses menanam pokok bunga Roselle ini:
~Proses Mengeringkan Biji~
~Biji cukup kering jika ia terbuka dengan sendiri~
~Biji benih yang telah dikeluarkan. 26 Biji kesemuanya dan berwarna hitam~
~Selesai Menyemai~
Selepas ini saya akan menunggu biji benih ini bercambah dan ingin mencari baja yang sesuai untuk pokok bunga Roselle ini. Saya akan menggunakan semua ilmu tumbuhan yang saya belajar semasa di Universiti dahulu. Doakan ya.
p/s: Tanam Pokok itu SADAQAH...(",)

Dari Hal Ilmu


"Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta itu terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan"
 (Sayidina Ali)

Jumaat, 2 Oktober 2009

Alam Mulai Enggan Bersahabat Dengan Kita



"Barangkali disana ada jawabnya, 
Mengapa ditanahku terjadi bencana, 
Mungkin Tuhan mulai bosan, 
melihat tingkah kita, 
yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa, 
Atau alam mulai enggan, 
bersahabat dengan kita, 
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang"
(Berita Kepada Kawan, Akhil Hay)

Ahad, 27 September 2009

Setiap yang mempunyai roh ada pahalanya

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk menggigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah s.a.w menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya. (Muttafaq alaih)