Isnin, 4 Januari 2010

Ulasan Buku: Kuasa Hijrah Kuasa Berubah



Setelah saya selesai membaca buku ini, saya dapat merasakan ruh tulisan yang biasa disampaikan oleh dua tokoh kaunselor negara, Dr Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli.

Bagi saya, buku ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin menggilapkan azam untuk melakukan perubahan dalam kehidupan mereka. Buku ini ada mengajar bagaimana menukarkan azam hangat-hangat tahi ayam kepada azam yang berjaya memberikan impak kepada kehidupan yang lebih cerah dan gemerlap.

Untuk diri saya sendiri, buku ini sesuai kerana tahun ini merupakan tahun pertama saya bekerja sebagai seorang guru. Sudah tentu saya ingin sedikit suntikan motivasi.

Kepada yang belum membaca buku ini, carilah dan ambillah pengajaran daripadanya.

p/s: Buku ini dibaca bersempena maal hijrah 1431.



Ahad, 3 Januari 2010

Selamat Menjalankan Tugas Kepada Sahabat-Sahabat Guru

"Siapa yang bangun dari tempat tidurnya dalam keadaan aman, tubuhnya sihat dan kuat serta memiliki kekuatan untuk melakukan urusan seharian dalam hari itu, maka ia telah mengenggam dunia"

 

(Hadith Riwayat Tarmizi)

 

 Penulis ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas dalam tahun pertama sebagai seorang guru kepada semua sahabat. Semoga setiap urusan dipermudahkan oleh ilahi. Semoga setiap pelaksanaan membuahkan barakah. Semoga setiap pekerjaan menjelmakan keikhlasan dan kemanisan iman. 

 

Amin.

 


Rabu, 30 Disember 2009

Pakailah


Kalau engkau ingin menjadi raja,pakailah sifat Qanaah. Kalau engkau ingin beroleh syurga dunia sebelum syurga akhirat, pakailah budi pekerti yang baik. Kedua sifat ini ialah kawan bahagia

 

( Saidina Ali) 

 


Senarai Tugas 2010

Dengan ini saya sertakan senarai tugas yang telah diamanahkan oleh sekolah kepada saya untuk dilaksanakan sebaik-baiknya.

Guru Matapelajaran Biologi Tingkatan 4, Guru Matapelajaran Sains Tingkatan 4, Guru Matapelajaran Sivik Tingkatan 5, Guru Kelas 4 Sains Sukan, Penyiasat Kes Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan, Harta Modal dan Inventori, Penolong Setiausaha Dokumentasi Sekolah, Ahli Jawatankuasa Edu Blog, Ahli Jawatankuasa Takwim, Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin Sekolah, Penyelaras Keselamatan, Ahli Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan Dadah & SLAD, Penolong Setiausaha Ahli Jawatankuasa Sekolah Selamat, Ketua Rumah Sukan Kuning, Ketua Kelab Pengguna dan Alam Sekitar, Bola Baling, Puisidra Sains.

Doakan saya dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi bagi kecemerlangan pelajar saya Insya Allah.





Isnin, 28 Disember 2009

Album Terbaru Mirwana



Sedang menunggu kemunculan Album Mirwana yang terbaru tahun hadapan. Saya memang meminati nasyid yang diperkenalkan oleh kumpulan ini.

p/s: Kena simpan duit. Nak beli yang original. (",)

Selamat Pengantin Baru Faris Fuzai

Pernah atau tidak saudara saudari dengar, nabi pernah berpesan kepada kita, sebagai seorang muslim, kita perlu memenuhi hak muslim yang lain dengan memenuhi jemputan walimatul urusnya.

Pernah atau tidak saudara saudari dengar, alim ulama dan ustaz bercerita, bertemu sahabat dan mengeratkan kembali tali silaturahim adalah ibadat yang dituntut untuk kita kerjakan.

Saudara pernah rasa atau tidak, kebahagiaan dan ketenangan setelah mengerjakan satu ibadat semata-mata kerana Allah? Lebih-lebih lagi yang saya nyatakan di atas?

Saya dapat merasakannya semasa memenuhi undangan sahabat saya di Pulau Pinang. Saya dapat memenuhi haknya dan sudah tentu dia gembira. Saya dapat merasakannya selepas bertemu dan beramah mesra bersama sahabat yang sudah lama tidak bersua dan mendengar khabar berita. Bersalam-salaman menggugurkan dosa di celah-celah jari. Saling senyum memberi sedekah. Kan itu ibadat namanya.

Mungkin perkara ini kecil, tapi hikmahnya besar di sisi Allah.

Saya mendoakan sahabat saya, Fariz berbahagia ke anak cucu. Saya mendoakan sahabat-sahabat saya dapat menggapai cita-cita yang ingin dicari. Terima Kasih.



 

Jumaat, 25 Disember 2009

Sediakanlah Waktu



Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.



Ahad, 20 Disember 2009

Ulasan Buku: Quranic Law of Attraction

Semasa saya melihat buku ini dari jauh, sangkaan saya ia adalah kesinambungan daripada buku bertajuk 'The Secret'. Namun selepas diamati, tajuknya adalah Quranic Law of Attraction. Dalam hati saya berkata, mengapalah kulitnya lebih kurang sama, cuma diislamikan. Itu sahaja. Terfikir sejenak, mungkin buku ini ada berkongsi berkenaan kaitan al Quran dan hukum tarikan. Saya sendiri tidak pasti apakah itu hukum tarikan. Jadi, saya ambil , bayar dan baca buku ini.



Selepas saya selesai membaca buku ini, saya sudah faham apakah sebenarnya hukum tarikan. Hukum tarikan ini telah dibincangkan dalam buku 'The Law of Attraction' dan 'The Secret'. Penulis Quranic Law of Attraction itu sendiri seperti mencari ayat-ayat al quran mengenai hukum tarikan yang diperkenalkan ini.

Secara mudah, hukum tarikan ini bererti keadaan sekeliling bergantung kepada kita. Menerima atau menolak. Jika kita sendiri tidak memberi peluang kejayaan dan kebahagiaan masuk dalam diri kita, maka kita gagal untuk menariknya. Sebaliknya, kita akan menarik kegagalan. Mudah sahajakan? Kalau kita berbuat baik dengan orang sekeliling, orang pun sukakan kita. Rezeki pun senang nak masuk. Kejayaan dan kebahagiaan pun dapat dikecapi.

Apa yang al quran telah ajar kepada kita? Penulis berkongsi tiga elemen utama dalam hukum tarikan. Pertama syukur. Kedua Doa. Dan yang ketiga Sabar. Pernah atau tidak saudara berfikir mengapa al Quran selalu menekankan kita agar selalu bersyukur? Mengapa kita disarankan agar sentiasa berdoa? Mengapa kita diminta untuk selalu bersabar? Ayat-ayat Allah mengenenai tiga elemen ini terlalu banyak.

Apa yang penting, selepas membaca buku ini, saya dapat merasakan bahawa ada banyak sebenarnya dalam al Quran ini kata-kata peransang, kata-kata motivasi dan kata-kata semangat. Cuma kita berusaha mencari atau tidak. Sama ada kita jumpa atau tidak. Sama ada kita perasan atau tidak. Itu sahaja.
Cubalah mencari dan membaca buku ini.

p/s: Dan apabila dibacakan al Quran, maka dengarkanlah dan diam supaya kamu mendapat rahmat (al 'Araf : 204)



Jumaat, 18 Disember 2009

Hijrah Ini Atas Dasar Apa?

1431 tahun yang lalu, junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. melakukan satu perpindahan antara yang terbesar dalam sejarah. Atas dasar apa Nabi, para sahabat dan para pengikut baginda sanggup meninggalkan tanah air yang mereka cintai, keluar dan menuju ke satu negeri yang lain? Bukan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan. Mereka meninggalkan segala bentuk aset yang mereka miliki sekian lama. Rumah, tanah yang mereka usahakan, binatang ternakan waima keluarga sekalipun, mereka tinggalkan. Sehelai sepinggang mereka berangkat satu negeri yang mereka sendiri tidak tahu untung nasib. Tenggelamkah atau timbulkah. Bukan sedikit risiko yang harus mereka tempuhi. Mungkin mereka dihalang oleh puak musyrikin yang ingin memerangi mereka. Mungkin mereka terserempak dengan penyamun. Mungkin mereka akan menempuh badai ribut pasir. Junjungan besar sendiri hampir dibunuh oleh pemipin quraisy namun diselamatkan oleh Saidina Ali. Khalifah pertama sendiri dipatuk oleh ular.



Jadi, untuk apa mereka bersusah payah untuk semua ini? untuk apa Hijrah yang besar ini harus dilakukan? Bukankah lebih elok teruskan sahaja usaha dakwah di Mekah yang semakin hari semakin menampakkan pertambahan pengikutnya. Aset-aset yang ada boleh digunakan sebagai dana untuk meneruskan kerja dakwah. Tidak perlu bimbang atas keselamatan keluarga yang akan ditinggalkan.

Jawapannya sudah tersedia di dalam sirah yang telah digarap. Satu tujuan yang utama adalah untuk membina KERAJAAN ISLAM yang berlandaskan al quran dan sunnah di negeri Madinah al Munawarah. Tinggikah nilai dan harga satu Kerajaan Islam yang ingin dibina sehingga banyak aset telah dikorbankan? Jawapan yang saya akan berikan adalah berbaloi.

Berbaloi dari segi kita akan terus berjaya dalam usaha membebaskan orang madinah daripada kegelisahan tanpa bertuhan dan bersyariat kepada berpaksikan Allah S.W.T. Berbaloi dari segi kita akan berjaya melaksana undang-undang yang telah diperintahkan Allah sebagai memenuhi haknya. Berbaloi dari segi kita akan berjaya memulakan satu institusi keilmuan yang tinggi. Berbaloi dari segi kita akan mengamalkan satu sistem ekonomi Islam yang tidak menindas dan jauh daripada riba. Berbaloi dari segi kita akan berjaya memperkenalkan satu sitem politik yang adil, saksama dan memakmurkan negara. Berbaloi dari segi kita akan memulakan satu sistem sosiologi di mana setiap rakyatnya akan berkongsi satu pegangan iaitu ajaran Nabi dan berkongsi satu matlamat iaitu Allah. Berbaloi kerana kita akan mencipta satu keadaan yang baik (biah solehah) dalam kalangan rakyat dalam jajahan Islam. Maka, gejala rasuah yang merugikan negara, rogol yang merendahkan wanita, pembunuhan yang melayakkan manusia setaraf dengan binatang tidak akan berlaku dalam negara. Setiap rakyat mempunyai akhlak yang tinggi kerana akhlak mereka telah disempurnakan oleh Nabi.


Setidak-tidaknya, hijrah yang dijalankan oleh nabi dan pengikutnya 1431 tahun yang lalu dijadikan satu simbolik kepada umat Islam pada zaman ini untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Perubahan dalam erti yang positif. Tanpa melupakan ada perkara yang harus dicagarkan dan dikorbankan bagi merealisasikan perubahan tersebut.

Saudara, percayalah bahawa sekiranya kita sama-sama sedar bahawa satu intisari besar Hijrah ini adalah untuk membina kerajaan islam yang diredhai Allah, maka kita sama-sama akan berganding bahu bagi mewujudkan kerajaan tersebut.

Lihat disekeliling kita. Dengar setiap khabar yang menerjah ke telinga kita saban hari. Rasuah, mat rempit, pelacuran, rogol, bunuh, ragut dan sebagainya menjadi citra yang mewarnai hari-hari kita. Kejadian ini sebagai satu cermin yang menggambarkan bahawa adakah kita masih tidak mahu mengambil intipati peristiwa hijrah itu sendiri atau kita tidak mahu berhijrah untuk mewujudkan biah solehah dalam masyarakat kita? Adakah benar kita sudah mengambalikan kerajaan yang kita bina kepada Allah dan Rasulnya?

p/s: Satu persoalan yang bermain difikiran saya usai mendengar khutbah jumaat pada hari ini. Mengapakah Saidina Umar mengambil tahun permulaan kalendar Islam dengan peristiwa hijrah dan bukannya kelahiran Nabi S.A.W.? Kalendar masihi menggunakan kelahiran nabi Isa sebagai asas permulaan kalendarnya. Ada sesiapa boleh terangkan kepada saya?



Khamis, 17 Disember 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah



"Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya setiap amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang BERHIJRAH kepada Allah dan RasulNya, maka HIJRAHNYA itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang BERHIJRAH kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka HIJRAHNYA itu adalah atas apa yang ia BERHIJRAH kerananya."

Semoga kita bersama dapat membuka lembaran baru  dan menulis di atasnya dengan tinta-tinta semangat dan pengalaman Hijrah yang hakiki, segar dan positif agar kepada Allah dan RasulNya penamat legasi diari cerita kehidupan kita.

Selamat Menyambut Tahun Baharu Maal Hijrah.

p/s: Apakah yang saudara dan saudari ingin tuliskan dalam lembaran tahunan yang baru?