Pada 19hb Oktober yang lalu, saya telah berlibur di Kuala Selangor Nature Park. Saya berkesempatan ke sana setelah ada kekosongan peserta kajian lapangan kumpulan sahabat saya. Saya tidak melepaskan peluang ini setelah berjaya menyiapkan beberapa tugasan pada minggu tersebut. Lagi pun, saya ingin melihat kelainan daripada kajian lapangan yang telah saya uruskan sebelum menjelmanya bulan ramadhan di teluk senangin.
Bertolak
Kami telah bertolak pada jam 7.30 pagi dari kampus dan tiba di Kuala Selangor Nature Park setelah mengharungi perjalanan selama 1 jam 30 minit. Kuala Selangor Nature Park ini terletak berdekatan dengan Bukit Melawati dan menara rumah api boleh dilihat dengan jelas.
Ketibaan
Sebaik sahaja kami tiba di sana, kami diminta berkumpul bagi membahagikan tugas setiap kumpulan. Setiap kumpulan diberi tema spesis haiwan untuk dikaji. Tema-tema yang disediakan adalah ketam, belacak, monyet dan burung. Saya diminta untuk membantu kumpulan yang mengkaji burung. Untuk pengetahuan, kajian mengenai burung dipanggil ondrotologi.
Dari sudut ekologi Kuala Selangor Nature Park ini, ia terdiri daripada kawasan hutan, paya bakau dan kawasan tasik terbuka. Maka kepelbagaian ekosistem ini sesuai bagi burung-burung yang berhijrah dan pelbagai jenis ketam serta belacak. Jadi, saya tidak hairan sekiranya haiwan-haiwan tersebut mudah untuk dijumpai dalam nature park tersebut.
Kami telah memulakan kajian pada jam 9.45 pagi. Sepanjang kajian mengenai burung, kami telah mengira berapa ekor burung yang berterbangan bagi sesuatu kawasan. Kami juga melukis bentuk burung dari kepala hingga kepada bentuk ekor. Kami juga merekod berapa bunyi kicauan burung bagi sesuatu kawasan. Kami juga merekod suhu dan kelajuan angin kawasan yang terdapat burung. Jenis burung yang ditemui adalah burung layang-layang, raja udang, bangau putih, belatuk, helang merah dan pipit. Bagi saya ini adalah pengalaman pertama saya melakukan 'bird watching' di kawasan migrasi burung. Pengalaman ini sangat menyeronokkan.
Ketam Kecil Berwarna Biru. Bila Malam Ia Akan Bercahaya Dalam Gelap
Belacak Paling Besar Saya Lihat
Burung Belatuk
Merekod Bilangan Burung Dari Atas Menara
Kami telah berjaya menyiapkan kajian kami setelah berjaya menjelajah ke setiap ruang nature park tersebut. Kajian kami tamat pada jam 12.30 tengah hari. Kami telah meredah paya bakau dan hutan yang terdapat dalam nature park tersebut.
Tamat Kembara
Sebelum pulang, kami perlu membentangkan hasil kajian kami di hadapan rakan-rakan dan pensyarah sebagai satu bentuk perkongsian. Pihak pengurusan juga menjalankan acara bertukar hadiah sebelum pulang. Saya berjaya mendapat hadiah sebatang pen yang sangat cantik. Terima Kasih Fahmi. Kemudian kami pulang pada jam 4.30 petang.
Bagi diri saya sendiri, kajian lapangan ini membuka satu pengalaman baharu bagi diri saya. Saya telah belajar bagaimana seorang biologist mengkaji burung dalam sesuatu kawasan lebih-lebih di negara kita yang kaya dengan ekosistem yang sesuai bagi burung-burung yang berhijrah. Pada sudut yang lain pula, saya lebih menikmati kajian lapangan ini kerana saya hanya peserta dan bukan pengarah seperti kajian lapangan yang lepas di Teluk Senangin yang menuntut komitmen yang tinggi untuk menjalankan beberapa perkara dalam satu masa. Saya telah menjiwai alam semulajadi melalui kajian lapangan ini dan mengharapkan aset kita yang berharga ini tidak dimusnahkan sebagai tuntutan kemajuan yang penuh dengan kapitalisme.
Sekian Terima Kasih.
Syafrul
25 Oktober 2008
5.55 p.m.
Bitarasiswa