Jumaat, 18 Julai 2008

Hari Tautan Kasih bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia

~Sebelum Bertolak~
Pada 13 Julai yang lalu, saya bersama dengan rakan-rakan Exco dan Rexco Persatuan Mahasiswa Sains UPSI diberikan peluang masa dan ruang waktu oleh Allah s.w.t untuk berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia bertujuan untuk mengadakan pertemuan serampang dua mata bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi di sana. Pertemuan ini adalah atas tujuan untuk mewujudkan satu hubungan diplomasi bersama persatuan di luar kampus sebagai satu prospek tugas Exco Hubungan Luar dan Pengantarabangsaan dan pada masa yang sama, mengeratkan tali silaturrahim sesama saudara seperti yang disarankan oleh Allah s.w.t dalam ayat berikut: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan, Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah itu ialah yang lebih bertakwa diantara kamu,Sesungguhnya Allah lebih mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya"
Al Hujurat: 13
Objektif utama untuk mengadakan lawatan atas tiket Tautan Kasih ini adalah untuk memberi pendedahan awal yang berguna kepada exco dan rexco tentang bagaimana satu persatuan itu diuruskan baik dari segi pentadbiran, pelaksanaan program, menjaga kebajikan, mengasah keintelektualan pelajar serta dakwah. Pendedahan dan pengalaman ini tidak hanya akan diaplikasikan semasa menjalankan progaram di kampus sama ada peringkat kolej mahupun universiti, malah input seperti ini boleh digunakan setelah menjadi guru ketika di sekolah. Saya mengharapkan pengalaman-pengalaman daripada Exco PMFST UKM dapat dikutip oleh adik-adik dan rakan-rakan saya dengan sebanyak yang mungkin dan diamalkan. Terus terang saya katakan, terdapat perbezaan yang ketara dari segi kematangan berorganisasi antara dua persatuan ini setelah sesi interaksi ala parlimen diadakan pada sebelah pagi. Sedikit mengenai perjalanan proses interaksi ini, kedua-dua pihak bebas bertanya apa sahaja mengenai pengurusan dan aktiviti persatuan. Salah satu faktor wujudnya perbezaan tersebut adalah pemilihan Exco yang tampak lebih matang hasil daripada tarbiyah yang menyeluruh sebagai satu strategi penguruasan sumber manusia yang diamalkan oleh PMFST UKM. Hal ini jelas dapat dilihat semasa mereka memberikan penerangan dan melontarkan hujah mereka terhadap soalan yang kami ajukan. Jawapan dan hujah mereka penuh kematangan dan sangat berisi dengan 'nilai' yang tersendiri. Pada masa yang sama juga, PMFST UKM menekankan proses peralihan kuasa yang sangat terancang dan terurus agar generasi yang akan datang membawa fikrah dan sahsiah yang sama sebagai satu jati diri persatuan ini. Insyaallah kedua-dua pendekatan ini akan diterapkan oleh PMS UPSI.
~Sesi Diskusi Exco Penerbitan & Informasi~
Selepas solat zuhur, perbincangan dalam kumpulan pula diadakan. Kumpulan dibahagikan mengikut Exco yang setara dari segi nama mahupun dari segi prospek kerja bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat lalu mencambahkan idea bagi kedua-dua persatuan. Alhamdulillah, proses ini berjalan dengan amat lancar dan kedua-dua belah pihak mendapat kebaikan secara 'mutual'. Kemudian kami dipelawa untuk bersiar-siar disekitar Fakulti Sains dan Teknologi UKM. Pada pemerhatian saya, kemudahan fakulti ini amat lengakap sekali baik kuliah, bilik tutorial muhupun makmal. Fakulti ini juga ada ditempatkan muzium zoology yang sememangnya menarik perhatian saya sebagai bakal guru biologi. Doa saya semoga UPSI dapat mewujudkan satu fakulti sains dan teknologi yang berpusat dan penuh dengan kemudahan kepada pelajar dan pensyarah setelah terbinanya kampus induk menjelang 2012.
~Barisan Muslimin~ ~Barisan Muslimat~
Sememangnya pengalaman seperti ini sangat berharga kepada saya. Dahulunya saya hanya menbayangkan lawatan antara universiti seperti digambarkan di dalam novel-novel sahaja dan saya memasang impian tersebut setelah melangkah ke menara gading. Alhamdulillah impian saya tercapai. Bukan sahaja impian, tetapi pengalaman, fikrah, ilmu dan sahabat baru juga diberi pakej olah Allah. Semoga lawatan muhibah seperti ini dapat diteruskan bukan sahaja di UKM malah IPTA yang lain.
~Barisan Kepimpinan PMS UPSI & PMSFST UKM~
Sekian Terima Kasih. "Sebagai seorang Pemimpin Mahasiswa, kita perlu JIWA YANG BESAR"-YDP PMFST UKM Syafrul 18 Julai 2008 5.18 p.m. Auditorium UPSI

Selasa, 8 Julai 2008

Selamat Menempuh Semester Baharu

Akhirnya selepas menempuh 6 semester yang telah berlalu dengan penuh liku yang sememangnya mendewasakan, saya diizinkan oleh Allah untuk menempuh tahun akhir pengajian saya sebagai seorang sarjana muda. Semakin dekat dengan alam baharu iaitu alam menjadi seorang pendidik kepada anak bangsa. Semoga Allah terus memberikan saya hidayah untuk terus bermotivasi untuk menjadi mualim dan murabbi yang baik kelak. Saya harap segala tugas, tanggungjawab dan amanah dapat saya laksanakan dengan baik tanpa membelakangkan tuntutan sebagai seorang muslim yang sentiasa mengharap redha tuhannya.
Selamat menempuh semester baharu kepada semua rakan-rakan saya yang masih utuh dalam medan perjuangan ini. Sekian Terima Kasih.
Syafrul 8 Julai 2008 11.55 a.m. Pejabat Persatuan Mahasiswa Sains

Khamis, 3 Julai 2008

Sibuk Siapkan Laporan ROS

Sekarang saya sedang sibuk untuk menyiapkan Laporan Rancangan Orientasi Sekolah yang telah saya jalani pada minggu lepas. Saya perlu menyiapkannya secepat mungkin kerana pada minggu pertama semester baharu saya sibuk dengan gerak kerja Program Tautan Kasih bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya dan exco Persatuan Mahasiswa Sains akan pergi ke UKM pada 13hb Julai 2008. Sekiranya laporan dapat disiapkan lebih awal, saya boleh memberikan fokus yang lebih kepada program ini. Tambahan lagi dengan gerak kerja program yang lain. Tambahan lagi dengan tanggungjawab saya untuk menyiapkan tesis. Sememangnya tugas dan tanggungjawab ini memerlukan pengorbanan dari segi waktu untuk berehat dan menuntut pengurusan masa yang efisien. Kepada rakan-rakan saya nasihatkan untuk tidak menangguhkan kerja untuk menyiapkan Laporan ROS. Doakan saya. Sekian Terima Kasih Syafrul 12.15 p.m. 3 Julai 2008