Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

Isnin, 4 Januari 2010

Ulasan Buku: Kuasa Hijrah Kuasa Berubah



Setelah saya selesai membaca buku ini, saya dapat merasakan ruh tulisan yang biasa disampaikan oleh dua tokoh kaunselor negara, Dr Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli.

Bagi saya, buku ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin menggilapkan azam untuk melakukan perubahan dalam kehidupan mereka. Buku ini ada mengajar bagaimana menukarkan azam hangat-hangat tahi ayam kepada azam yang berjaya memberikan impak kepada kehidupan yang lebih cerah dan gemerlap.

Untuk diri saya sendiri, buku ini sesuai kerana tahun ini merupakan tahun pertama saya bekerja sebagai seorang guru. Sudah tentu saya ingin sedikit suntikan motivasi.

Kepada yang belum membaca buku ini, carilah dan ambillah pengajaran daripadanya.

p/s: Buku ini dibaca bersempena maal hijrah 1431.



Ahad, 20 Disember 2009

Ulasan Buku: Quranic Law of Attraction

Semasa saya melihat buku ini dari jauh, sangkaan saya ia adalah kesinambungan daripada buku bertajuk 'The Secret'. Namun selepas diamati, tajuknya adalah Quranic Law of Attraction. Dalam hati saya berkata, mengapalah kulitnya lebih kurang sama, cuma diislamikan. Itu sahaja. Terfikir sejenak, mungkin buku ini ada berkongsi berkenaan kaitan al Quran dan hukum tarikan. Saya sendiri tidak pasti apakah itu hukum tarikan. Jadi, saya ambil , bayar dan baca buku ini.



Selepas saya selesai membaca buku ini, saya sudah faham apakah sebenarnya hukum tarikan. Hukum tarikan ini telah dibincangkan dalam buku 'The Law of Attraction' dan 'The Secret'. Penulis Quranic Law of Attraction itu sendiri seperti mencari ayat-ayat al quran mengenai hukum tarikan yang diperkenalkan ini.

Secara mudah, hukum tarikan ini bererti keadaan sekeliling bergantung kepada kita. Menerima atau menolak. Jika kita sendiri tidak memberi peluang kejayaan dan kebahagiaan masuk dalam diri kita, maka kita gagal untuk menariknya. Sebaliknya, kita akan menarik kegagalan. Mudah sahajakan? Kalau kita berbuat baik dengan orang sekeliling, orang pun sukakan kita. Rezeki pun senang nak masuk. Kejayaan dan kebahagiaan pun dapat dikecapi.

Apa yang al quran telah ajar kepada kita? Penulis berkongsi tiga elemen utama dalam hukum tarikan. Pertama syukur. Kedua Doa. Dan yang ketiga Sabar. Pernah atau tidak saudara berfikir mengapa al Quran selalu menekankan kita agar selalu bersyukur? Mengapa kita disarankan agar sentiasa berdoa? Mengapa kita diminta untuk selalu bersabar? Ayat-ayat Allah mengenenai tiga elemen ini terlalu banyak.

Apa yang penting, selepas membaca buku ini, saya dapat merasakan bahawa ada banyak sebenarnya dalam al Quran ini kata-kata peransang, kata-kata motivasi dan kata-kata semangat. Cuma kita berusaha mencari atau tidak. Sama ada kita jumpa atau tidak. Sama ada kita perasan atau tidak. Itu sahaja.
Cubalah mencari dan membaca buku ini.

p/s: Dan apabila dibacakan al Quran, maka dengarkanlah dan diam supaya kamu mendapat rahmat (al 'Araf : 204)



Rabu, 9 Disember 2009

Ulasan Buku: Kudeta Intro & Kudeta Klimaks



Apakah maksud kudeta sebenarnya? Kudeta bermaksud gulingkan kerajaan atau merampas kerajaan dengan cara yang ganas dan paksaan.

Bagi saya buku ini seronok untuk dibaca. Banyak unsur politik dan peperangan serta perjuangan Sememangnya novel yang sesuai untuk tatapan lelaki. Jalan cerita juga penuh dengan unsur saspen yang memaksa kita untuk berimaginasi dan berfikir langkah cerita yang seterusnya.

Syabas PTS Fortuna. Semoga genre seperti ini akan ber'lambak' dalam pasaran negara. Tidak sabar untuk menunggu terbitan genre seperti ini lagi.

Kepada sahabat dan pengunjung, saya mengesyorkan anda untuk mencuba membaca buku ini. Lari sebentar daripada novel cinta islami.

p/s: Terfikir bagaimana penulis boleh menghasilkan novel seperti ini. Pengalaman atau rajin membaca?

 

Selasa, 18 Ogos 2009

Ulasan Buku: Kisah Cinta Dalam Al-Quran

Di sini saya hanya ingin berkongsi pandangan Tuan Guru Nik Aziz mengenai buku yang dikarang oleh Misbah Em Majidy ini. Segala yang saya rasa selepas membaca buku ini sedikit sebanyak adalah sama dengan pandangan beliau. Cuma bait-baitnya lebih tersusun dan menarik untuk dikongsi bersama.
"Dari sudut inilah buku ini saya lihat sedikit lain daripada yang lain. Ia mengambil contoh terus dari kisah cinta yang ditampilkan daripada al-Quran. Daripada kisah-kisah itu, ia meletakkan bagaimana kisah-kisahnya itu tidak pernah lari dari persoalan perhambaan. Jauh daripada terbabas dan bertukar menjadi maksiat, kisah dan kupasan dalam buku ini akan memimpin orang-orang yang bercinta bahkan 'cinta itu sendiri' supaya kembali berperanan sebagai alat pengabdian"
p/s: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu...

Isnin, 3 Ogos 2009

Ulasan Buku: Mengemudi Bahtera Perubahan Minda

Selesai sahaja membaca buku ini, terus terbit dari hati kecil saya yang buku ini betul-betul sama gah seperti tajuknya. Berorientasikan perubahan atau tajdid, buku ini sedikit sebanyak dapat membuka minda saya tentang bagaimana saya memandang satu-satu isu agama atau isu nilai yang terpampang di sekeliling saya. Sama ada soal moral, prinsip beragama, masyarakat majmuk atau berpolitik.
Perkara yang benar-benar memberi impak kepada saya adalah saya tidak harus menerima sesuatu perkara di dalam agama secara taklid sahaja. Saya seharusnya mencari nas al-quran, hadis-hadis, syarahan ulama-ulama dan pandangan ustaz-ustaz yang tepat. Saya seharusnya bijak menyoal diri sendiri untuk mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu perkara mengenai agama.
Saya juga dibuka minda untuk menerima konsep yang saya rasakan politik berprinsip. Dengan erti kata kefahaman saya, jika perkara itu benar di sisi ajaran agama, maka terima sahaja kebenaran itu. Jika salah, maka terimalah ia sebagai satu kesalahan tanpa menegakkan benang yang basah serta memperbaiki apa yang salah itu dengan izin.
Secara kesimpulan, saya dapat rasakan himpunan tulisan Dr Mohd Asri ini sedikit sebanyak menukar corak pemikiran saya serta pembaca yang lain ke arah perubahan ke arah kebenaran.
Terima Kasih
p/s: Saya akan terus mengikuti kolum bicara dr maza setiap minggu. Bila pula dr maza hendak menulis dalam majalah solusi ya?

Sabtu, 20 Jun 2009

Ulasan Buku: Nota Hati Seorang Lelaki

Setelah saya menamatkan kembara menyusuri bait-bait tulisan di dalam buku ini, jelas satu perkara di sini bahawa buku ini amat mempengaruhi cara saya berfikir sebagai seorang lelaki di dalam gelanggangnya. Ia merangkumi lelaki sebagai seorang anak, lelaki sebagai seorang suami, lelaki sebagai seorang bapa dan lelaki sebagai seorang daie. Mengambil umur saya yang baru sahaja menginjak ke awal 20-an sebagai kayu pengukur, maka pengalaman yang digarapkan oleh penulis ini terlalu luas bagi saya, terlalu baru bagi saya. Kerana saya masih lagi seorang lelaki yang berpangkatkan seorang anak. Belum lagi suami, bapa dan apakan lagi daie. Banyak sekali pengalaman dan pemikiran yang boleh saya ambil dari buku ini.
Buku ini juga telah mengajar saya tentang bagaimana seorang lelaki harus berfikir. Lebih-lebih lagi saya akan menjadi seorang suami dan seorang ayah suatu hari nanti. Pemimpin kepada keluarga saya. Saya perlu kuasai ilmu kepimpinan, ekonomi serta 'politik' dalam rumah tangga. Banyak lagi yang perlu dipelajari.
Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada penulis iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi kerana sudi berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang anak, suami, ayah dan daie. Semoga ustaz dapat berkarya lagi.
p/s: Dalam pengembaraan untuk meningkatkan kematangan diri bagi persiapan sebagai imam dalam rumah tangga.

Isnin, 30 Jun 2008

'Aku Terima Nikahnya' oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku karangan ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk Aku Terima Nikahnya. Secara keseluruhan saya sangat menyukai isi yang disampaikan oleh beliau. Dalam buku ini beliau secara santai tetapi penuh makna berkongsi pengalaman beliau dalam menemui jinjang pelamin dan hidup berkeluarga sehingga sekarang.
Dalam buku ini juga beliau menyatakan bagaimana seorang remaja islam patut bercinta. Cinta kepada Allah dan cinta kepada Keluarga lebih dahulu sebelum yang lain. Sekiranya seperti saya ingin menemui wanita solehah maka saya perlulah jadi lelaki yang soleh dahulu. Prinsipnya jangan bicara soal perkahwinan sekiranya setakat mengelak dari menghampiri zina pun masih terkontang-kanting. Perkahwinan bukan sehari dua tetapi sehingga ke akhir hayat menuntut perjuangan. Penulisan beliau mengenai soal cinta ini bagaikan menceritakan kembali konsep-konsep yang sedia ada dalam buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol Juoi tetapi dalam bentuk naratif yang nudah untuk dipraktikkan dan diamalkan. Saya tertarik dengan saranan beliau kepada bakal-bakal suami dan isteri untuk membaca buku 'Men are from Mars, Women are from Venus' kerana buku ini menceritakan perbezaan fitrah antara lelaki dan wanita. Hal ini penting bagi kita untuk lebih mengenali pasangan masing-masing. InsyaAllah saya akan membaca buku ini. Bukan soal cinta sahaja ditekankan dalam buku ini. Soal keluarga, suami isteri dan ibu bapa juga digarapkan dalam bentuk cerita yang mudah difahami dan mampu membuat saya terdiam seketika dan berfikir. Ada tiga perkara yang saya fikirkan selepas membaca buku ini. Pertama saya mengenang bagaimana ibu bapa saya berkorban menjaga saya dan adik-adik dari kecil sehingga berjaya sampai ke menara gading. Kedua adalah kesediaan saya dari segi kematangan spiritual dan kepimpinan untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik suatu hari nanti. Yang terakhir adalah kemampuan saya untuk mendidik anak menjadi insan yang berguna tatkala disekeliling kita sekarang penuh dengan keruntuhan akhlak dan keagungan hiburan atau hedonisme. Moga Allah memberi saya kematangan dalam menjadi seorang lelaki, suami, bapa dan guru yang baik kelak. Perkara yang menarik perhatian saya adalah kepentingan seorang ibu atau bapa untuk mempelajari 'parenting skill' dan bersedia untuk menerima teguran anak dan isteri. Insyaallah saya cuba praktikkan. Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ustaz Hasrizal kerana sudi bersengkang mata untuk menaip bait-bait dalam buku ini sehingga buku ini dapat sampai ke tangan, mata dan hati saya. Walaupun umur saya masih dalam kategori remaja dan masih menuntut untuk mendapatkan segulung ijazah, karangan ustaz amat relevan kepada saya. Sememangnya dalam buku ini penuh dengan perkara-perkara yang patut saya sebagai seorang lelaki fikirkan untuk masa hadapan saya kelak. Sesungguhnya buku ustaz sedikit sebanyak mendewasakan saya. Terima Kasih kerana sudi membaca. Kepada rakan-rakan, saya syorkan anda tidak melepaskan peluang untuk membaca buku ini. Rugi kalau tidak baca. "Erti Hidup Pada Memberi", kata ustaz Hasrizal. Syafrul 30 Jun 2008 12.53 p.m.