Pernah dengar orang-orang bijak motivasi berkata kita perlu memberi hadiah kepada diri sendiri atas kejayaan yang kita capai. Hadiah itu sama ada membawa diri kita berlibur bersama keluarga dan rakan-rakan, melancong ke tempat yang belum pernah dikunjungi, bersukan seperti bermain futsal, badminton atau boling, pergi membeli belah seperti baju baru serta menjamu selera di restoran-restoran yang terpilih.
Seperti memberi hadiah kepada orang lain, ia akan membuat seseorang itu rasa dihargai dan disayangi. Disamping itu juga ia akan menjadikan seseorang meningkatkan potensi diri untuk mengejar kejayaan yang lebih hebat dan produktif. Jadi, sama juga kepada diri kita sendiri. Memberi hadiah kepada diri sendiri ini seperti meraikan sesuatu kejayaan.
Dalam bidang psikologi, ia dinamakan sebagai Teori Pelaziman Operan Skinner. Satu bahagian daripada teori beliau adalah peneguhan positif. Peneguhan postif adalah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. dengan bahasa yang lebih mudah, berilah ganjaran atau hadiah untuk mengekalkan atau meningkatkan prestasi. Menurut Rachlin, peneguhan ini juga diberi atas tujuan memuaskan kehendak, mengurangkan tekanan dan juga merangsangkan otak.
Saya juga selalu memberikan ganjaran kepada diri saya. 3,4 tahun kebelakangan ini saya sering menghadiahi diri saya setelah mendapat dekan dalam satu-satu semester. Hadiahnya adalah dalam bentuk makan-makan ditempat yang sedap dan jarang-jarang dikunjungi. Jalan mudah adalah pergi ke KFC.
Pada hari ini saya menghadiahkan roti bom telur dan teh tarik kepada diri saya. Tambah lagi pada waktu hujan petang. Suasananya sungguh damai. Lagipun sudah lama saya tidak menikmati roti bom telur di alef maju.
~ Teh Tarik~ ~Roti Bom Telur~
Hadiah ini untuk apa sebenarnya?
Pertama hadiah ini diberi kerana saya berjaya diterima untuk ditempatkan di negeri Perak sebagai seorang guru. Saya berjaya memperoleh pekerjaan selepas bergraduat dan tidak jauh daripada keluarga. saya sudah boleh bermula mengumpul dana dan mencari nafkah untuk bakal isteri.
Kedua adalah meraikan kejayaan tunang saya mendapat tempat kedua dalam pameran model solar. Untuk pengetahuan, kumpulan beliau membangunkan model solar pengecas telefon bimbit (Solar Charger Handphone). Bagi saya berbaloi juga saya mengajar serba sedikit, memberi pendapat serba sedikit dan menolong ahli kumpulan ini serba sedikit mencari komponen elektronik di Jalan Pasar baru-baru ini. Melihat kepada skema litar itu pun saya rasa sukar. Namun, dengan izin tuhan, telefon bimbit boleh dicaskan. Saya rasa mungkin kepayahan mencipta model ini membenarkan mereka mendapat tempat kedua. Saya pun tumpang gembira kerana dapat menjadi pelakon tambahan dalam siri kejayaan ini.
Mungkin apalah sangat teh tarik dan roti bom telur ini berbanding makanan mewah. Namun, ia cukup dijadikan ganjaran untuk kepuasan diri saya.
Semoga pengunjung dan sahabat tidak lupa untuk sekali sekala belanja diri sendiri atas kejayaan yang telah dicapai. Teh tarik dan roti bom telur pun apa salahnya.
Sekian.
1 ulasan:
tahniah.. semoga dpt mendidik generasi era baru.. mgkn perlukan skill yg lain dr zaman dahulu kala :)
Catat Ulasan