Ahad, 10 Januari 2010

Saya Sudah Mula Berasa...

Setelah habis minggu yang pertama sesi persekolahan pertama sebagai seorang guru, saya sudah mula berasa, bukan tertekan, bukan bingung, bukan stres, mungkin lahir daripada perasaan terkejut dan terpana. Maka terzahirlah perasaan kaget sebentar saat dalam mesyuarat semalam.

Memang sungguh bagai dikata, guru-guru baru, atau bahasa rojaknya guru-guru 'fresh' ini akan diberikan amanah-amanah yang banyak untuk dilaksanakan sebaik-baiknya. Katanya untuk pengalaman dan guru-guru lama sudah tegar dengan pekerjaan itu. Sudah tepu makan garam. Saya ini baru hendak menjilat garam itu menggunakan hujung jari telunjuk saya. Baru hendak menimba.

Itu tidak menjadi masalah bagi saya. Saya sudah sedar hakikat itu. Maka empat tahun di UPSI, hidup mahasiswa saya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti luar yang saya harapkan dapat mengajar diri saya menghadapi tekanan dan bebanan tatkala bekerja kelak. Saya sendiri mencarinya, kesusahan itu, bukan desakan sesiapa.

Tiga pecahan ko kurikulum saya sapu habis sebagai penasihat. Tambah lagi tugas sebagai ketua rumah sukan. Tambah lagi dengan memegang guru kelas tingkatan 4 yang sudah diketahui menimbun kerjanya. Tambah lagi dengan dilantik menjadi Ketua Panitia Matapelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. yang saya sendiri tidak tahu prospek kerjanya. Berfikir dan mengenangkan tanggungjawab ini saya termenung seketika. Apabila difikir lebih dalam lagi, saya tidak terfikir saya tidak dapat melaksanakan, tetapi saya fikir dapatkah saya memuaskan hati pentadbiran dan diri saya sendiri. Apakah amanah-amanah ini akan disoalkan di akhirat kelak andaikata saya tidak melaksanakan dengan baik?

Dari sudut positif, saya sehendaknya menganggap semua ini sebagai satu cabaran dan ujian supaya saya dapat menjadi guru dan pekerja yang lebih baik. Saya juga seharusnya menganggap semua ini sebagai satu peluang saya menonjolkan diri sebagai seorang pekerja yang cemerlang untuk sekolah dan diri sendiri.

Saya mengharapkan Allah, pentadbir dan orang sekeliling saya tahu yang saya sentiasa ingin lakukan yang terbaik dalam setiap kerja saya. Saya mengharapkan saya masih mampu tersenyum girang melakasanakan satu persatu amanah yang diberikan. Saya ingin menganggap guru-guru lain juga ada bebanan mereka sendiri. Tambah lagi, saya masih tiada lagi komitmen sebagai suami dan ayah.

Doakan saya. Buat tunang saya, berikan sokongan kepada saya.


Tiada ulasan: