Program angkasawan Negara yang telah dilaksanakan baru-baru ini telah menaikkan nama Malaysia di persada global dengan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar sebagai rakyat Malaysia yang pertama berjaya melepasi atmosfera bumi ke ruang angkasa lepas. Rakyat Malaysia boleh berbangga apabila bendera negara kita telah dikibarkan megah nun jauh tinggi di angkasaraya dan ditambahkan lagi dengan bahasa Melayu dipertuturkan di angkasa. Program ini diharapkan dapat menaik semangat anak-anak muda dan cendekiawan-cendekiawan kecil untuk mendalami Sains dan Teknologi seiring dengan hasrat negara untuk merealisasikan wawasan 2020 dan misi 2057 ke arah satu ketamadunan bangsa yang maju. Itu adalah dari sudut positif dalam jangka masa yang panjang.
Namun, adalah tidak mencukupi sekiranya hanya menghantar seorang rakyat Malaysia di sana. Ada yang mengatakan beliau hanyalah seorang pelancong angkasa lepas yang hanya menumpang di dalam kapal Soyuz ke stesen angkasa. Tambahan pula, modal yang dikeluarkan sebanyak jutaan ringgit dikatakan hanya membazir duit rakyat dan rakyat tidak mendapat faedah darinya. Modal itu digunakan hanya sebagai bayaran 'tambang penerbangan' sama seperti jutawan-jutawan lain yang ingin melancong ke angkasa lepas.
Baiklah, jika kita soroti sejarah negara Rusia, negara ini telah mengalami satu revolusi sains dan teknologi di negara mereka setelah mereka berjaya melancarkan Sputnik 1 pada era 60-an dahulu. Pelancaran ini telah mengubah sistem pendidikan negara mereka iaitu lebih ke arah perkembangan Sains dan Teknologi. Itu adalah impak yang besar di negara mereka. Jika kita lihat dalam konteks negara kita, saya akui bahawa kanak-kanak sekolah merasa teruja dan ingin juga menjadi angkasawan satu hari nanti. Bagi saya ini adalah satu impak yang positif.
Akan tetapi, adakah kerajaan Malaysia bersedia untuk menyediakan apa yang dikehendaki dan diperlukan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut bagi memenuhi kehendak inkuiri mereka. Sepengetahuan saya, ilmu tentang astronomi hanya diajar sehingga tingkatan 3 iaitu tentang planet-planet, gerhana, pergerakan bulan dan lain-lain lagi. Kementerian Pendidikan tidak menyediakan satu matapelajaran khas bagi pelajar-pelajar yang ingin belajar dalam bidang ini dan pada masa yang sama tiada guru yang berlatar belakangkan ilmu ini.Saya percaya kedua-dua angkasawan kita bukan berlatar belakangkan astronomi. Sekiranya guru-guru di sekolah tidak dapat memberi pembelajaran Hands-on, maksud saya mereka melihat dengan mata mereka sendiri, maka ilmu tadi hanya tinggal bahan untuk dihafal sahaja dan semangat inkuiri yang diperlukan untuk melahirkan seorang angkasawan sejati akan mati. Hal ini ditambahkan lagi dengan semangat anak-anak melayu untuk belajar sains dan matematik mati kerana pengajaran guru kurang berkesan dan bahasa inggeris sebagai perantaraan.
Jadi, persoalannya, siapa yang akan memberikan mereka ilmu yang mereka inginkan serta pendedahan untuk mendalami bidang tersebut. Tambahan pula, IPT di negara kita juga kurang menawarkan bidang aeroangkasa. Jadi, bagi saya negara kita masih kekurangan pakar serta penyelidikan untuk terus berjaya dalam bidang ini dan bukan hanya tahu menghantar saja.
Planetarium negara yang menjadi pusat kajian astronomi kita juga dikatakan tidak mempunyai keperluan yang mencukupi untuk menjalankan kajian dan bahan-bahan pameran juga dikatakan lama dan tidak dapat menarik perhatian pelajar. Sepatutnya dana juga diberikan kepada planetarium, persatuan astronomi dan universiti untuk menjalankan kajian dalam bidang ini sebagai menerima momentum yang telah diberikan oleh kejayaan kita menghantar angkasawan.
Jadi, pada pendapat saya, kerajaan sewajarnya menggunakan dana jutaan ringgit tersebut dengan membangunkan bidang astronomi di negara kita dahulu seiring dengan pembangunan bioteknologi di negara kita seperti menawarkan subjek aeroangkasa atau astronomi di sekolah, menaik tarafkan planetarium negara, mengimport pakar-pakar dari negara lain untuk mengajar di negara kita seandainya ingin menahan impak seperti yang telah diberikan oleh program angkasawan negara dan seterusnya melahirkan angkasawan Malaysia yang sebenar dan bukan hanya sekadar pelancong angkasa.
Sekadar memberi pendapat.Sekian. Terima Kasih.
Ahad, 2 Disember 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan