Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan untuk mempercayai dan mengimani setiap perkara yang terkandung dan tulis di dalam kitab suci al-Quran yang diturunkan oleh Allah dan akan terpelihara sehingga hari akhirat. Pada sudut yang lebih tepat, kita membaca dan seterusnya mengamalkan setiap perkara yang telah termaktub di dalam al-Quran secara keseluruhannya. Hal ini termasuklah kewajipan menutup aurat yang dikenakan kepada muslimin dan muslimah. Tidaklah perlu saya menyatakan dari mana dan hingga ke mana kita harus menutup aurat kerana perkara ini telah diajar di sekolah atau di dalam kelas-kelas agama. Surah an-nisa' ayat 32 dan surah al-Ahzab ayat 59 telah menjelaskannya. Sepatutnya kita lebih memfokuskan kepada penghayatan dan pelaksanaan tuntutan tersebut dan mengapa kita perlu menutup aurat.
Mengenai tajuk di atas, tentunya ada di kalangan rakan-rakan yang kurang bersetuju walaupun ada yang mengiyakan tajuk di atas. Sememangnya bagi saya kita tidak boleh menyalahkan pihak muslimah seratus peratus dalam hal ini. Lelaki juga boleh dipersoalkan dalam hal ini. Kalau tidak masakan Allah meletakkan lelaki sebagai pemimpin wanita di dalam surah an-Nisa' dan lelaki dipertanggungjawabkan untuk menjaga keluarga mereka dari azab api neraka.
Perbincangan mengenai kegagalan seorang bapa untuk mendidik dan bertegas dalam soal pakaian anak-anak dara mereka bagi saya perkara yang telah biasa dijadikan satu faktor. Bagi saya yang lebih menarik lagi pada masa sekarang adalah tuntutan untuk wanita berpakaian cantik dan menunjukkan tubuh mereka yang cantik kepada lelaki. Setuju? Bagi saya memang fitrah wanita itu menjadikan diri mereka anggun dan menjadi siulan para jejaka. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, maaf andainya saya terkasar bahasa di sini, adalah sukar untuk mencari lelaki yang ada pendidikan tinggi dan berkerjaya. Dalam pada masa yang sama, lebih ramai wanita telah mempunyai pendidikan yang tinggi dan berkerjaya sekarang. Jadi untuk mencari pasangan yang secocok, bukan semua, mereka menunjukkan kecantikan tubuh mereka untuk menarik perhatian lelaki yang mereka sukai. Salah lelaki juga malas belajar dan menghafal di sekolah dahulu.
Lebih menarik lagi ada yang menyatakan lelaki sekarang hanya memilih wanita yang ada paras rupa yang menarik sahaja dan tubuh yang ramping dijadikan syarat sebagai teman wanita mereka. Pantang nampak yang berdahi licin dan bertubuh menarik, pasti mereka akan pergi menyunting. Hal ini telah mendesak wanita untuk berpakaian seksi untuk menarik perhatian lelaki. Di sinilah wujudnya persaingan antara wanita secara kita tidak sedari. Salah lelaki juga yang meletakkan kecantikkan sebagai syarat utama. Padahal Rasulullah telah ingatkan kepada kita, termasuk saya, lelaki, agar memilih wanita pada agamanya nescaya kita akan bahagia Insyaallah.
Secara kesimpulannya, lelaki juga perlu diletakkan beban dipanduk mereka untuk menjadikan rakan-rakan kita yang muslimah menutup aurat dengan sebetulnya. Tidak dinafikan juga kurangnya sifat malu wanita sekarang sebagai salah satu faktor.
Sekadar memberikan pendapat. Seandainya wadah fikiran saya ini tidak dipersetujui dan ada kesilapan, saya harap ada pihak yang sudi memperbetulkan. Sekian. Terima Kasih.
Isnin, 3 Disember 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan