Selasa, 20 Mei 2008

Selamat Berjuang Sahabatku....Semoga Allah berkatimu...

Sudah 5 tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Alam yang banyak mengajar saya tentang ilmu akademik berperanan sebagai asas untuk di bawa ke alam universiti dan hari-hari seterusnya. Bermula dari pendidikan awal kanak-kanak sehingga tamat sekolah menengah. Alam persekolahan juga telah menyediakan satu persekitaran di mana saya perlu melawan berbagai-bagai dakyah dari barat, sub-budaya yang menjadi 'trend' seterusnya menjadi pegangan hidup dan kecelaruan identiti sebagai seorang remaja yang telah menjadi asam garam sepanjang 12 tahun bergelar pelajar sekolah. Faktor-faktor ini juga telah memangkin dan memacu saya untuk membesar sebagai insan yang lebih matang berkat daripada mengambil iktibar, pengajaran dan menjadikan sempadan atas setiap kesalahan, ketelanjuran yang telah saya lakukan dahulu atas dasar suatu hari nanti saya akan menjadi pemimpin sebuah keluarga dan pendidik dalam masyarakat. Baru-baru ini saya melihat banyak profile rakan-rakan saya dalam friendster. Saya juga berpeluang untuk bersembang dengan sahabat-sahabat lama melalui yahoo messenger. Alhamdulillah ada rakan-rakan yang meneruskan dan beristiqamah dengan apa yang telah dipelajari semasa di sekolah dahulu. Muslimat masih ada yang mengekalkan, bukan imej tetapi identiti sebagai seorang muslimah yang telah ditarbiahkan dari sekolah agama. Fikrahnya hebat, siqahnya tinggi, masih bertudung labuh dan memegang jawatan yang tinggi. Muslimin pula ada yang memegang jawatan yang tinggi dan hebat dalam MPP dan dalam persatuan di IPT masing-masing atas paksi ingin berdakwah dan menegakkan keadilan dalam perjuangan mahasiswa di IPT. Saya sebagai seorang sahabat berasa kagum dengan kehebatan sahabat saya yang lain dan ingin sekali menjadikan kalian sebagai ikon untuk menjadikan saya insan yang lebih baik. Tidak lupa juga sahabat-sahabat yang menuntut ilmu di luar negara. Bagi saya mereka masih mengekalkan identiti mereka sebagai seorang melayu, islam dan warganegara Malaysia. Masih berjilbab dan menutup aurat pada muslimat dan saya ada menerima maklumat yang mereka berusrah di sana sebagai satu kekuatan menongkah satu alam yang jauh dari tanah air tercinta. Saya doakan sahabat di luar sana dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara setibanya di bumi Malaysia kelak. Namun ada juga yang telah tersasar sedikit dengan imej yang sepatutnya dijangkakan sebagai output sekolah agama. Akan tetapi Allah sahaja yang maha mengetahui apa yang ada di dalam hati kalian dan keikhlasan kalian. Namun bagi saya lebih penting adalah sahabat-sahabat saya tidak meninggalkan solat. Saya mendoakan sahabat-sahabat dan diri saya sendiri agar dapat beristiqamah apa yang telah kita pelajari dan teruskan mengekalkan identiti sebagai seorang Islam. Sekadar ingin berkongsi apa yang saya lihat dan apa yang saya nampak. Kepada rakan-rakan teruskanlah perjuangan. Kepada diri saya sendiri, seandainya masih tidak menemui apa yang dicari, janganlah berhenti dari mencari apa yang benar dan sekiranya telah menemuinya, genggamlah kepada hak tersebut dan beristiqamah dalam mengamalkan hak tersebut. Insyaallah. Selamat Berjuang Sahabatku....Semoga Allah berkatimu...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cikgu saprol,
terima kasih la atas doa anda,
sama-sama la kita yer..
semoga menjd seorang guru yang berkaliber ok..
-mfk-