Kadang-kadang terfikir balik, tak sangka sebenarnya dah nak jadi cikgu. Dulu memang ada simpan cita-cita nak jadi seorang cikgu biologi. Memang saya minat biologi sejak sekolah lagi. Seronok kalau dapat berkongsi dengan orang lain apa yang kita tahu pasal biologi. Lagi seronok kalau dapat ajak pelajar-pelajar kita jatuh ke dalam nikmat mengenal Tuhan melalui Biologi. Bermula dari keindahan sel sehingga kestabilan ekosistem yang Allah sediakan kepada kita mengikut Sunnahnya. Dulu selalu berangan nak memagang kapur tulis dan mengajar biologi di hadapan kelas. Rasa seronok nak buat macam itu. Kalau pelajar faham, rasa kepuasan itu akan harir ke dalam diri.
Tengok-tengok impian ingin menjadi seorang guru Biologi jadi kenyataan. Dapat pula belajar kat satu-satunya Universiti Pendidikan di Malaysia. Sudah 3 tahun menimba ilmu untuk menjadi seorang guru di sini. Belajar secara formal menjadi seorang guru dalam subjek pendidikan. Harap-harap dapat diamalkan la. Di samping itu juga tak lupa untuk aktif dalam kegiatan kolej dan universiti. Alhamdulillah pengalaman-pengalaman tersebut dapat mendewasakan diri dan mematangkan fikiran saya sekurang-kurangnya sebelum pergi mendidik di sekolah kelak. Insyaallah saya ingin menjadi seorang guru yang aktif dan pemimpin persatuan sekolah yang baik kelak.
Namun, mengajar bukanlah sesenang yang saya sangka. Suara kena kuat. Kena kawal kelas. Kena bijak tarik perhatian pelajar. Kena habiskan syllabus mengikut jangka masa yang panjang. Kena buat aktiviti yang pelajar suka. Kena buat ujian yang sahih dan lain-lain lagi. Itu adalah perkara-perkara yang telah saya amati dari pengalaman 3 tahun di UPSI. Terfikir juga betapa hebatnya guru-guru saya yang mengajar saya dahulu. Guru Biologi, Guru Matematik Tambahan dan lain-lain yang begitu sabar mengajar di dalam kelas. Pelbagai inisiatif telah mereka lakukan agar kami sekelas faham apa yang diajar. Ingin sekali saya bertemu dengan mereka kembali bertanya khabar dan meminta nasihat untuk menjadi seorang guru yang baik.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guru saya, Cikgu Munirah, Cikgu Fauziah, Ustaz Najah, Cikgu Ishak, Cikgu Roslee dan lain-lain yang telah mendidik saya sehingga saya berjaya ke menara gading dan bakal menjadi seorang guru untuk bersama-sama dengan cikgu-cikgu sekalian untuk mendidik anak bangsa. Jasa kalian akan ku kenang selamanya.
Sekian Terima Kasih
Guru Cemerlang, Negara Terbilang.
Jumaat, 16 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan