Sepanjang 16hb Jun 2008 hingga 27hb Jun 2008 yang lepas, saya telah berjaya melalui detik-detik bergelar seorang guru pelatih di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10 Cheras Selangor. Sekolah ini merupakan sekolah pertama yang mengajar saya erti pembawakan kendiri sebagai seorang pelajar peringkat menengah. Saya menuntut ilmu di sekolah ini selama 3 tahun iaitu dari tahun 1999 hingga 2001. Kemudian saya meneruskan pengajian peringkat menengah saya di Sekolah Agama Menengah Bestari dari tahun 2002 hingga 2003.
Pada tahun 1999 hingga 2001 saya hadir ke sekolah ini pada waktu hening pagi sebagai seorang pelajar yang ingin mencari ilmu akademik dan agama. Dahulunya memanjat bukit sebagai satu senaman pagi namun sekarang dengan memandu kereta, saya boleh memanjat bukit tersebut tanpa bersusah-susah. Selepas 7 tahun, saya hadir sekali lagi ke sekolah ini dengan membawa status sebagai seorang guru pelatih Sains dalam misi melengkapkan laporan Rancangan Orientasi Sekolah (R.O.S). Pada hari pertama saya perlu menyesuaikan diri dengan status tersebut. Saya perlu membiasakan dengan menjawab sapaan murid yang berbunyi, "Assalamualaikum Cikgu....", ungkapan yang sebelum ini saya gunakan ketika bertentang dengan cikgu, ustaz dan ustazah. Alhamdulillah amalan itu masih saya praktikkan sepanjang 2 minggu bergelar guru pelatih. Saya perlu beradaptasi dengan satu suasana baharu iaitu dengan menjamu selera dan berkudapan pagi dengan guru-guru yang dahulunya mengajar saya mengaji dan sebagainya. Sudah tentu dahulu saya tidak sama sekali dibenarkan untuk menjamu selera di meja guru. Saya juga perlu membiasakan diri menggunakan tandas guru yang sebelum ini merupakan tempat larangan bagi saya. Alhamdulillah kebanyakan cikgu, ustaz dan ustazah masih mengenali saya sebagai bekas pelajar di sekolah tersebut. Dari pengamatan saya, dari segi fizikal sekolah ini tidak banyak bezanya dari 7 tahun lepas. Mungkin kerana kekurangan bajet untuk mencantikkan sekolah kerana sekolah ini hanyalah sekolah bantuan kerajaan. Ustazah katakan kepada saya, " Carilah sponsor untuk sekolah Syafrul". "Insyaallah ustazah." balas saya ringkas.
Selain daripada menyiapkan laporan R.O.S, saya juga ada misi tersendiri iaitu dengan memberikan motivasi kepada seberapa banyak pelajar yang saya anggap adik di sekolah tersebut. Seorang cikgu berkata kepada saya," Tolonglah bagi motivasi sikit kat budak-budak tu. Matematik ramai yang teruk". "Saya cuba cikgu apa yang termampu", kata saya. Alhamdulillah setakat ini saya agak berpuas hati dengan usaha tersebut. Saya diberi peluang untuk menjadi guru sementara dalam kelas ganti dan saya tidak sia-siakan. Kepada pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2, saya mengajar mereka bagaimana untuk mengaitkan sains dan subjek-subjek lain dengan al-Quran. Saya katakan kepada mereka supaya mencari disebalik setiap fakta yang tercatat di dalam buku teks dengan kebenaran yang digarap dalam al-Quran dan kaitan dengan alam sekeliling dan bukan hanya menerima bulat-bulat dan menghafal sahaja tanpa menimbulkan rasa yang kita ini bertuhan. Kepada tingkatan 3, saya katakan kepada mereka supaya bekerja keras untuk peperiksaan PMR yang mendatang. Selepas berjaya ke tingkatan 4, barulah memikirkan apakah jurusan seterusnya di Universiti kelak. Saya katakan, buktikan yang kita sebagai seorang Muslim mampu menguasai ilmu yang Allah turunkan dengan 'A' sebagai buktinya. Kepada tingkatan 4 dan 5, saya katakan bahawa di luar sana, maksud saya Matrikulasi dan Universiti samada IPTA dan IPTS, wujud banyak cabaran dan onak berduri dari segi pergaulan sosial, kepayahan memperjuangkan kebenaran, keruntuhan akhlak mahasiswa dan pada masa yang sama mujahadah dalam menuntut ilmu untuk mendapatkan segulung ijazah. Semua ini adalah sukar sebenarnya. "Kejutan budaya dari suasana di sekolah agama yang selesa pasti akan berlaku" saya peringatkan.
Saya juga diberi peluang untuk mengajar subjek matematik dan sains bagi pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 3. Semasa mengajar tingkatan 3, saya sedari bahawa masih ada yang tidak mampu menyelesaikan persamaan algebra yang mudah. Saya sedar tugas saya dalam 1 jam sahaja yang diberikan hanyalah dengan mengajar cara paling mudah untuk menjawab soalan tersebut. Saya harapkan walaupun sekejap sahaja masa yang diluangkan bersama mereka, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka dalam PMR kelak. Bagi matapelajaran Sains, tidaklah sukar sebenarnya untuk menyampaikannya kepada pelajar tingkatan 1. Namun setelah 30 minit berada di dalam kelas, saya sedar sebenarnya tugas untuk mengajar dan menimbulkan kefahaman kepada pelajar adalah tugas yang sangat sukar. Di hadapan saya ada 40 karakter yang berbeza. Beza dari segi penglibatan di dalam kelas. Sukar untuk mengetahui tahap kefahaman pelajar terhadap apa yang kita sampaikan jika hanya seorang dua sahaja yang menyahut faham kepada kita. Apa yang saya pelajari dalam kuliah juga nampak sukar untuk diaplikasikan. Rangkanya adalah mengajar, jalankan aktiviti dan membuat taksiran. Ternyata sukar untuk membahagikan masa. Saya hanya sempat mengajar dan menjalankan aktiviti ringkas iaitu bincang bersama rakan sebelah disebabkan kekangan masa. Saya berjanji saya akan memperbaiki rancangan mengajar dan pengurusan masa serta pengurusan bilik darjah sekiranya saya ingin melahirkan ramai cendekiawan sains islami kelak. Saya akan memastikan bahawa saya yang menimbulkan semangat serta inspirasi dalam roh mereka seperti ulamak Islam zaman silam.
Saya juga sempat membantu pihak sekolah untuk mengecat banner untuk mengalu-alukan kedatangan ibu bapa sempena majlis penyerahan kad kemajuan pelajar. Di sini saya mengenali beberapa orang pelajar yang sudi membantu saya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Saya hanya mampu belanja mereka dengan air soya dan twisties sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka. Namun wajah ceria dan penghargaan tidak terhingga terpancar di wajah mereka. Saya tertanya, begitu sekali rasa hormat dan sayang mereka kepada guru sehingga mereka rasa sedikit bersalah sekiranya saya mengecat sedikit banner tersebut. Saya doakan mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM berkat daripada pertolongan, rasa hormat serta roh kasih sayang antara 'thalib' dan 'mualim' yang mereka berikan.
Ada seorang guru praktikal yang menyatakan R.O.S ini seperti membuang masa sahaja pada pandangan mata kasar. Bagi saya perkara tersebut sangkal sama sekali selepas saya berjaya melakukan perkara-perkara yang telah saya nyatakan seperti di atas dan pada masa yang sama saya dapat mengukuhkan tali silaturrahim bersama golongan-golongan yang mendidik saya dahulu. Saya juga memperoleh pengalaman yang sangat berharga sebelum menjalani Latihan mengajar dan menjadi seorang guru kelak. Pengalaman ini sememangnya mendewasakan. " Nanti mintalah posting di sini Syafrul. Paling tidak pun datang sebagai seorang pensyarah untuk observed pelajar", kata cikgu Rosmilah. Balas saya, "Insyaallah cikgu kalau ada rezeki".
Terima Kasih kerana sudi membaca secebis pengalaman saya selama 2 minggu kembali ke pangkuan SAMTEN.
Syafrul
Seorang Bekas Cikgu R.O.S
12.37 p.m.
29 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan