Baru-baru ini ada desas desus tersiar dalam media massa sama ada dalam berita mahupun dalam akhbar mengenai cadangan penubuhan syarikat francais di IPTA. Ia akan dijadikan satu tempat alternatif bagi mahasiswa berbincang mengenai tugasan dan bertukar selera daripada kafe-kafe yang sedia ada di kampus. Hal ini juga mengingatkan saya tentang kemudahan kafe starbucks yang disediakan dalam gedung Borders di Times Square Kuala Lumpur. Kafe ini juga lengkap dengan kemudahan Wi-Fi bagi melayari internet dan sememangnya suasana yang dicipta sungguh kondusif bagi ulat-ulat buku membaca serta berkongsi ulasan buku sesama mereka. Konsep ini juga diterapkan di gedung Kinokuniya yang menyediakan perkhidmatan kafe kepada pembacanya.
Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya sejurus saya mendengar cadangan ini adalah dari segi harga setiap cawan dan snek yang diberikan serta pertumbuhan pasangan-pasangan yang akan ber'dating' dalam kafe francais. Seperti yang kita sedia maklum, harga secawan kopi di Starbucks boleh menjangkau sehingga 10 ringgit secawan. Bagi saya harga ini cukup mahal bagi seorang mahasiswa yang bergantung pada pinjaman kewangan. Pada masa yang sama, percambahan pasangan-pasangan ber'dating' akan meningkat dengan penubuhan kafe francais ini. Hal ini sedikit sebanyak akan meningkatkan pergaulan bebas dalam kalangan mahasiswa. Ditambah lagi dengan suasana yang kondusif, ekslusif dan romantik mengundang si jejaka untuk mengajak si dara untuk minum bersama. Tidak kurang juga budaya melepak dalam kalangan mahasiswa akan mekar subur di kampus dengan adanya kafe francais seperti ini sekiranya ia disalah gunakan oleh mahasiswa.
Saya setuju dengan cadangan yang diutarakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) iaitu hanya membenarkan francais tempatan sahaja didirikan di IPTA. Bukan sahaja harga yang ditawarkan lebih murah, malah ia dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita serta menaikkan nama francais tempatan ke negara luar sekiranya pelajar-pelajar asing yang menuntut di Malaysia berjaya membawa jenama francais tersebut ke serata dunia. Sekiranya cadangan ini masih ingin diteruskan, pendapat saya haruslah kafe tersebut dapat menjaga pergaulan antara siswa dan siswi dengan mengelakkan mereka berdua-duaan di kafe tersebut. Harga-harga seharusnya diturunkan supaya pelajar mampu waima untuk minum secawan kopi bagi melepaskan dahaga disitu Perkhidmatan Wi-Fi juga hendaklah sentiasa berada dalam kondisi yang sangat baik bagi kemudahan pelajar.
Oleh itu, cadangan seperti ini seharusnya difikirkan, dirancang dan direncanakan dengan teliti kerana pelanggan dan pengguna tetap bagi kafe francais seperti ini adalah golongan pelajar yang mementingkan kepuasan dan menang ketika membeli serta menjimatkan.
Sekian. Terima Kasih.
Syafrul
29 Jun 2008
7.23 p.m.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan