Pertama kali saya mendengar cadangan daripada Tan Sri Muhyidin Yasin ini, saya memikirkan ini adalah satu manifestasi sebenar yang harus dilakukan oleh pihak kementerian seandainya ingin melihat pelaksanaan PPSMI benar-benar berjaya meningkatkan penguasaan anak Malaysia dalam Bahasa Inggeris. Sifirnya begini, apa gunanya sekiranya belajar Mata pelajaran bahasa Inggeris dari darjah 1 sehingga tingkatan 5, iaitu selama 10 tahun, ditambahkan lagi dengan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, tetapi tidak lulus bahasa Inggeris. Di manakah nilai PPSMI yang dicanangkan dan dipertahankan kebaikannya sekiranya Bahasa Inggeris pun tidak lulus. Dalam erti kata lain, PPSMI gagal sekiranya wujud golongan yang gagal dalam Bahasa Inggeris.
Saya bersetuju dengan cadangan bahawa pencapaian bahasa Inggeris perlulah pada tahap lulus dan ke atas sekiranya hendak mendapat sijil penuh SPM. Namun pada masa yang sama, seperti biasa kajian perlu dijalankan oleh pihak kementerian sebelum pelaksanaan ini dijalankan. Pada masa yang sama, pihak lembaga peperiksaan juga perlu tidak menurunkan gred semata-mata agar kualiti pencapaian bahasa inggeris di Malaysia tidak menurun. Saya melihat kebaikan lulus bahasa Inggeris ini adalah dari segi mudah mendapat pekerjaan dalam suasana sektor pekerjaan di negara kita ini menuntut penguasaan Bahasa Inggeris. Dari sudut yang lain pula, hal ini juga membawa kebaikan kepada sesetengah golongan pelajar yang datang ke sekolah hanya untuk lulus SPM dan dapat pekerjaan. Maksud saya, mereka yang berfikiran seperti ini mampu mendapat kehidupan yang lebih baik sekiranya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mereka pada tahap cukup-cukup makan sahaja.pada masa yang sama ia dapat menyedarkan sesetengah golongan pelajar yang kurang mengambil perhatian kepada bahasa ini sebagai entiti yang penting untuk mendapatkan pekerjaan kelak.
Pada masa yang sama, saya mengesyorkan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dipertingkatkan. Ironinya begini, jika sebelum ini kita melihat ada program pembelajaran kendiri Bahasa Inggeris yang diwar-warkan sebagai sangat berjaya, mengapa program ini tidak diterapkan dalam sisitem pembelajaran kita? Sebagai contoh Linguaphone yang setiap tahun ada sahaja di pesta buku dan selalu diterangkan oleh tukang-tukang cerita mereka bahawa kaedah mereka sangat berjaya dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Mengapa kaedah mereka tidak diterapkan? Contoh yang lain adalah program yang diwujudkan oleh British Council. Sekiranya program mereka ini terbukti berkesan, tidak salah kita menerapkan di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pada sudut yang lain juga kita perlu melihat bahawa apakah fungsi Bahasa Inggeris sebenarnya di negara kita? sebagai bahasa perantaraan orang-orang bangsawan dan kaya untuk menunjukkan stratifikasi sosial yang lebih hebat? sebagai bahasa untuk menerangkan kepada pelancong? sebagai bahasa untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik? sebagai bahasa yang ada lubuk-lubuk ilmu? sebagai bahasa komunikasi anak-anak kita yang sedang bermain bola atau bermain guli? sebagai bahasa untuk memahami lirik-lirik lagu di televisyen? sebagai bahasa untuk kita faham seandainya ada pihak yang sedang merosakkan agama islam dan orang melayu melalui tulisan mereka? sebagai pengkaji dan penganalisis tatabahasa sama seperti kita belajar nahu saraf di sekolah? Sebagai orang yang bijak dalam sastera inggeris?sebagai bahasa untuk meningkatkan taraf ekonomi negara?
Kita perlu tetapkan tujuan itu sendiri menurut keperluan negara kita dan usaha untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa inggeris perlu ke arah tujuan tersebut. Maksud saya yang lebih mudah, kita perlu lihat tujuan bahasa Inggeris itu sebenarnya diajar di sekolah. Kalau di universiti, sememangnya ia hanya berbentuk 'communicative' atau perhubungan. Itu yang saya lihat dan saya belajar di Universiti dahulu. Sekiranya di universiti pun communicative yang diajar, maka pemberatan kepada 'speaking' adalah perlu dilebihkan sejak dari sekolah lagi.
Saya tidak mengatakan saya ini bijak dan berpengalaman dalam menjadi guru, tetapi saya menuntut guru-guru yang cemerlang, pihak kementerian untuk mencari kaedah yang sesuai bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah. Dan saya dapat merasakan transformasi dalam bahasa Inggeris ini adalah lebih baik dari pelaksanaan PPSMI bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
p/s: Agak bersetuju dengan Setiausaha GAPENA untuk meningkatkan tahap kelulusan Bahasa Melayu kepada C seandainya wajib lulus bahasa Inggeris SPM bagi meningkatkan taraf Bahasa Melayu di tanah melayu. Orang Malaysia perlu menguasai bahasa kebangsaan.
Jumaat, 12 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan