Hari ini, 8 Julai 2009, akhirnya kabinet memutuskan untuk memansuhkan PPSMI bermula tahun 2012 selepas 6 tahun dasar itu dilaksanakan. Namun proses pemansuhan ini dijalankan secara berperingkat-peringkat dan PPSMI masih diteruskan untuk tingkatan 6 dan matrikulasi.
Pemansuhan ini bagi saya adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk meredakan ketegangan antara pihak kerajaan dan pejuang-pejuang bahasa seperti GAPENA dan DBP. Pemansuhan ini juga bertitik tolak kepada himpunan besar-besaran pada 7 Mac 2009 di Istana Negara yang menyaksikan rakyat pelbagai peringkat dan latar belakang pendidikan mendesak kerajaan untuk menimbang semula untuk memansuhkan sama sekali dasar ini yang sama sekalimembelakangi perlembagaan 152 dan dasar pendidikan negara. Bagi saya usaha golongan ini setelah sekian lama membuahkan hasil akhirnya.
Pemansuhan ini juga bagi saya perlu dilakukan setelah pelbagai kajian dan analisis menunjukkan pencapaian matematik dan sains yang semakin merosot dan pada masa yang sama tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan kepada penguasaan bahasa Inggeris itu sendiri. Tambahan pula dengan jurang antara pencapaian bandar dan luar bandar yang semakin meluas dan melebar.
Sepengalaman saya menjalani praktikal di sekolah, saya melihat pelajar-pelajar kurang berminat untuk mempelajari Sains dan Matematik kerana perlu memahami bahasa Inggeris pada masa yang sama. Ini sama sekali membunuh minat mereka untuk menguasai kedua-dua subjek itu. Bagi saya biarlah mereka berbaloi datang ke sekolah dengan tahu dan faham apa yang mereka belajar dalam sains dan matematik sebab ia diajar dalam bahasa ibunda mereka.
Namun apa yang menarik minat saya adalah ketidak adilan telah berlaku kepada pelajar-pelajar 2003-2009. Bagi saya seandainya PPSMI ini tidak dilaksanakan, lebih ramai lagi pelajar yang faham Sains dan Matematik dapat dilahirkan dan pada masa yang sama pencapaian dapat ditingkatkan. Ini turut berlaku kepada kedua-dua adik saya.
Jadi, selepas ini saya akan mengajar Sains dan Biologi dalam Bahasa Inggeris untuk 2 tahun sahaja. Mungkin ada yang berpendapat kenapa tidak dimansuhkan ke tahun depan sahaja. Bagi saya 2012 adalah waktu yang paling tepat kerana dalam tempoh 6 tahun pelbagai inovasi dan transformasi pendidikan telah berlaku. Tidak syak lagi kerana saya belajar 4 tahun untuk mendalami itu semua. Jadi silibus, konten, istilah, pembangunan koswer, laman web, buku teks, buku latihan, amali perlu disediakan tanpa ada unsur-unsur hendak cepat dan terburu-buru. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang terjadi semasa PPSMI dilancarkan. Kita perlu memberi yang terbaik sekiranya ia diajar dalam bahasa Ibunda kita sendiri. Kita di dalam situasi untuk mengejar teknologi dan pedagogi terkini dalam pendidikan itu sendiri.
Sekali lagi saya mengalu-alukan pemansuhan PPSMI ini atas tiket seorang guru demi melihat anak bangsanya berjaya berdiri di mata dunia dengan bahasanya sendiri.
p/s: "Please open your text book, page 46 and please refer at title deficiency diseases"
" Tak faham cikgu, Bahasa Melayu la cikgu"
Rabu, 8 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan