Saya menulis 'entry' di bawah tajuk PPSMI sekali lagi kerana terpanggil untuk memberi respon kepada kupasan program bual bicara pada malam ahad yang lepas berkenaan tajuk "Pemansuhan PPSMI dan Masa Depan Anak Bangsa".
Sekali lagi saya ingin tekankan di sini bahawa Pemansuhan PPSMI ini adalah berlandaskan kajian-kajian yang menunjukkan bahawa PPSMI ini telah gagal mencapai objektifnya. Antara objektifnya adalah meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat. Kajian-kajian ini telah dijalankan oleh para profesor dan sarjana dari 10 buah universiti termasuk UPSI tempat saya menuntut ilmu. Rakan-rakan saya juga menyiapkan tesis di bawah tajuk PPSMI ini. Kajian mereka juga menunjukkan bahawa PPSMI gagal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan signifikan atau lebih tepat lagi hanya meningkat 3% sahaja selepas ia dilancarkan. Apatah lagi penguasaan dalam Sains dan Matematik. Sesungguhnya suka saya tekankan di sini bahawa kajian ini adalah 'valid' dan tidak boleh disangkal oleh mana-mana pungutan suara atau apa-apa fakta sekali pun. Hasil kajian ini adalah sangat kukuh dari segi fakta. Kerana, ini adalah kajian ilmiah bertahun-tahun lamanya.
Sehubungan dengan itu, adalah wajar cara pembelajaran Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dari segi 'grammar' dan 'vocabulary'. Seperti saya perkatakan dahulu, kenapa tidak kita ambil sahaja cara atau kaedah yang diguna pakai oleh Linguaphone atau British Council. Laburkan sahaja duit rakyat untuk itu. Ada seorang penonton studio gusar mengenai istilah Sains yang diguna pakai oleh seluruh dunia. Ketahuilah bahawa kerajaan telah memperuntukkan istilah Sains dalam Bahasa Inggeris dalam matapelajaran itu sendiri. Itu yang dikatakan nilai tambah. Ia seakan-akan matapelajaran EST di sekolah. Ujar saya, bacalah dahulu langkah-langkah yang ingin diambil oleh kerajaan untuk memantapkan Bahasa Inggeris. Memantapkan Bahasa Inggeris melalui Matematik dan Sains bukanlah caranya. Dah terbukti dah. Biarlah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kena pada saluran pedagoginya yang sesuai dan seadilnya.
Pendirian saya ialah, tidak semua 100,00 kohort pelajar pada satu-satu tahun itu akan mengambil aliran Sains tulin. Tidak semua kohort pelajar tersebut akan mengambil bidang sains semasa di Universiti. Mungkin dalam 40 hingga 60 peratus sahaja. Selebihnya mengambil sastera. Jadi, apa salahnya kita menumpukan betul-betul PPSMI ini hanya kepada golongan yang selayaknya memikul tanggungjawab membawa Malaysia ke persada dunia setelah berada di universiti. Bahasa Inggeris diguna pakai setelah asas Sains dan matematik adalah mantap dan penguasaan Bahasa Inggeris pula adalah baik. Bagi saya, tiada masalah. Selebihnya, pelajar sastera yang kebanyakannya kurang penggunaan Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya pernah 'mempelajari' Sains dan Matematik di sekolah. Maksud saya, pergi sekolah tidak sama seperti balik sekolah. Ada ilmu dalam kantung pemikiran mereka. Bukan dibenak oleh kekeliruan dalam istilah Inggeris.
Seandainya kita berasa risau pelajar Malaysia lemah dari segi pembentangan di peringkat antarabangsa seperti yang diutarakan oleh penonton tersebut, saya fikir jika pemantapan bahasa Inggeris dijalankan sejak awal-awal lagi, perkara ini tidak menjadi masalah. Bagi saya, laras bahasa Sains dan laras bahasa eknonomi dalam Bahasa Inggeris itu sendiri ada perbezaanya. Lagipun, kemahiran pengucapan awam tidak diajar dalam PPSMI. Itu saya sangat pasti kerana saya seorang guru Sains Biologi di sekolah menengah.
Satu lagi saya ingin berkongsi adalah, jika kita mengambil sampel yang sangat ramai. Sebagai contoh kertas Sains UPSR. Kita sedia maklum bahawa kohortnya adalah sangat ramai, dalam 100 ribu hingga 200 ribu pelajar setiap tahun. Cara penggredan adalah untuk mendapatkan 'bell shape'. Mungkin pada tahun itu lembaga peperiksaan ingin mengambil 5% pelajar yang mendapat markah paling tinggi semalaysia untuk mendapat gred A. Kita mungkin tidak tahu sebenarnya pelajar yang terakhir dalam golongan A ini endapat 60 markah. Itu selalu terjadi. Jadi, bagaimana B, C dan D untuk lulus? Jadi tidak salah sekiranya pada tahun itu ramai yang lulus sedangkan markah untuk lulus adalah dalam 30 markah begitu. Jika tidak percaya, tanyalah kepada pelajar-pelajar yang tidak pernah lulus Matematik Tambahan dan tiba-tiba sahaja lulus semsa SPM. Mengapa? Helahnya adalah untuk mendapatkan bell shaped setiap tahun. Maaf, itu yang saya pelajari dahulu. Jadi, tidak perlulah menimbulkan spekulasi pencapaian pelajar meningkat. Setahu saya, setiap tahun UPSR, PMR, SPM, STPM pasti meningkat. Tidak pernah menurun secara kolektif.
Jadi, biarlah pelajar-pelajar luar bandar, pelajar-pelajar yang kurang cekap mendapat ilmu Sains dan Matematik tersebut. Tidak adil sekiranya pelajar yang tahu Bahasa Inggeris sahaja yang mampu maju ke hadapan. Biarkan mereka berbaloi berjalan kaki, meredah sungai, berebut bas dengan faham isi kandungan Sains dan Matematik itu. Sekurang-kurangnya mereka TAHU apa yang mereka belajar. Biarlah guru-guru dapat memberikan 100% ilmu kepada pelajar dengan bahasa mereka yakin untuk menyampaikan ilmu tersebut. Kadang-kadang mereka dalam dilema antara keberkatan mengajar dengan mencampur adukkan dua bahasa dan kepuasan melihat murid faham apa yang diajar.
Mana satu yang kita ingin lihat, tidak mantap asas Sains dan Matematik dek kerana Bahasa Inggeris atau Kurang penguasaan Bahasa Inggeris kerana tidak diterapkan dalam mana-mana subjek, tidak semestinya Sains, Ekonomi atau akaun pun boleh juga. Bagi saya Ekonomi dan akaun penting juga diperingkat antarabangsa. Atau kita ingin melihat kurang kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Tepuk dada, lihat dengan mata hati. Usah risau. Malaysia adalah negara demokrasi. Semua berhak menyokong dan menyangkal.
p/s: Katakanlah" Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Surah az-Zumar: 9)
Selasa, 14 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan