Saya agak bersetuju dengan pendapat yang dutarakan oleh Datuk Razali Ibrahim bahawa UPSR adalah hanya satu penapisan untuk menerima kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh. UPSR bagi saya kurang memberi impak dalam menilai kemampuan intelek seorang pelajar. Bagi saya sekiranya pada tahap penilaian sekarang, UPSR tidak mencerminkan kehebatan sebenar pelajar. Pelajar yang gagal dan tidak tahu membaca pun boleh melangkah ke alam menengah padahal mereka patut dibantu. Ia agak berlainan dengan PMR dan SPM yang menitik berat keupayaan intelek dan pengetahuan pelajar dalam sesuatu bidang. Ia benar-benar mencerminkan intelek pelajar. Pada peringkat UPSR, bagi saya, biarlah dapat menilai keupayaan membaca, menulis dan mengira (3M) pelajar sebelum menerima pelajaran peringkat Menengah yang lebih sukar. Ini bagi menjamin survival pelajar.
Jadi amat bertepatanlah kenyataan yang diberikan oleh Tan Sri Muhyidin Yasin untuk memperbaharui sistem UPSR. Kaedah penilaiannya juga akan diubah agar tidak semata-mata bergantung kepada akademik sahaja. Aspek ko-kurikulum juga akan diberi peratusnya. Bagi saya ini adalah satu langkah yang bijak memandangkan pelajar yang memperoleh 5A dan 4A terlalu ramai. Untuk memilih yang benar-benar layak adalah amat sukar.
Ada juga cadangan untuk menambah kurikulum sejarah dalam UPSR. Bagi saya biarlah sejarah itu diajar setelah berada di darjah 4 dan ke atas kerana bagi saya domain afektif dalam diri pelajar sudah mula berkembang. Mereka tidak akan menerima sejarah hanya semata-mata satu kod ilmu yang perlu dihafal, tetapi menjiwai apa yang diajar seterusnya perpaduan negara dapat dicapai. Hal ini sangat penting. Justeru, perancangan dan pelaksanaan kurikulum perlu diperkasakan agar objektif menjadikan rakyat Malaysia bersatu padu sejak kecil dapat disemai. Peranan guru dalam menyemai jiwa cintakan negara juga harus dititik beratkan.
Bagi pra sekolah pula, saya amat bersetuju ia diletakkan dalam agenda pendidikan nasional negara kita. Maksudnya semua pra sekolah di negara kita akan menggunakan kurikulum, silibus dan buku yang sama. Jadi anak-anak berumur 5 dan 6 tahun akan menerima pendidikan yang sama. Guru-guru pra sekolah juga akan diangkat setaraf dengan guru-guru di peringkat yang lebih tinggi. Peruntukan dana dan bajet juga boleh disalurkan kepada pra-sekolah. Buku-buku teks dan yuran berkaitan juga akan disubsidikan oleh kerajaan.
Jadi, anak-anak akan memasuki darjah 1 dengan berbekalkan ilmu yang sama. Paling tidak, mereka boleh mengeja dan membaca serta mengira secara asas sebelum masuk ke darjah satu. Bagi saya, bilangan pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis turut akan berkurangan. Pengenalan Bahasa Inggeris pada peringkat awal sebegini juga bagi saya amatlah baik. Mereka akan mula membudayakan Bahasa kedua ini dari pra sekolah. Mereka juga akan mempelajari istilah-istilah harian sejak kecil lagi. Tidak kira bandar dan kampung-kampung. Selangkah ke alam persekolahan sebenar, mereka tidak akan menerima kejutan budaya yang ketara.
Namun, pendekatan yang berlainan harus diberikan kepada murid pra sekolah ini. Kerana mereka hanya berumur 5 dan 6 tahun sahaja. Keupayaan mereka hanya untuk menerima sahaja tanpa diproses ke peringkat yang tinggi dalam taksonomi Bloom. Jadi kaedah yang sesuai harus digunakan agar pengalaman pembelajaran yang tinggi dapat diberikan kepada adik-adik ini. Lebih-lebih lagi dalam bahasa. Mungkin nyanyian dan bercerita dalam bahasa Inggeris adalah teknik yang baik.
Justeru, apa jua bentuk pembaharuan yang ingin dilakukan oleh pihak kementerian pelajaran haruslah dijalankan kajian, perbincangan, pelan tindakan yang mantap agar kita sama-sama dapat hasil yang terbaik dari sistem pendidikan kita. Saya sebagai bakal guru sentiasa memberikan sokongan kepada perkara yang baik yang ingin dijalankan oleh pihak kementerian.
p/s: Pendemokrasi dalam Pendidikan sedang berlaku
Rabu, 22 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan