Ahad, 16 Ogos 2009

Buang Bayi: Kenapa Tidak Maryam Binti Imran?

Selalu sahaja kita mendengar bayi dibuang begitu sahaja di tempat buang sampah. Sering sahaja kita terbaca bayi yang gugur dicampak dan membiarkan sungai menghanyutkan benda bernyawa itu. Terkadang juga kita melihat berita yang mengatakan bayi lemas dalam mangkuk tandas sekolah. Acap kali kita terfikir dan merenung sejenak kenapa manusia tergamak melakukan perkara sebegitu rupa kepada insan ciptaan Allah yang sangat comel dan tidak berdaya berbuat apa. Adakah manusia semakin kejam dan zalim?
Niat dihati tidaklah ingin memberikan pendapat mengapa kes buang bayi ini berlaku dalam masyarakat kita. Cuma ingin membawa kisah Maryam. Kisah yang mendapat tempat dan tertulis indah di dalam kitab Suci al-Quran. Sedikit sebanyak kisah ini ada berkaitan dengan kes ini.
Seperti kita sedia maklum, Maryam merupakan wanita yang melahirkan Nabi Allah Isa. Maryam juga merupakan seorang wanita yang rajin beribadah kepada Allah dan bebas dari perkara yang batil dan maksiat. Kita juga sedia maklum, Maryam mengandungkan Nabi Isa tanpa berkahwin. Ruh Nabi Isa ditiup ke dalam rahim Maryam oleh Malaikat selepas Malaikat tersebut muncul di dalam bilik Maryam dalam bentuk seorang jejaka.
"Dan (ingatlah) Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Tuhannya dan kitab-kitab-Nya dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat"
(al-Tahrim:12)
Maryam menerima kandungan itu dengan hati yang taat kepada perintah Allah. Tidaklah Maryam dengan niat ingin menggugurkan bayi tersebut. Maryam terus menggendong Nabi Isa di dalam rahimnya dengan penuh kasih dan tawakal kepada Allah walaupun Maryam tahu ia akan menjadi cemuhan dan bahan nista penduduk setempat kerana mengandung tanpa bersama dengan mana-mana jejaka. Maryam dianugerahkan Allah dengan pohon tamar dan air yang mengalir di kakinya.
Setelah Nabi Isa dilahirkan, Maryam terus dihumban dengan banyak kata-kata berbentuk tuduhan. Maryam terus bersabar dan hanya meminta kaumnya bertanya kepada bayinya, Nabi Isa,
"Maka Maryam menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata: Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih dalam ayunan?"
(Maryam:29)
Maka dengan kehendak Allah, bayi itu berbicara.
"Berkata Isa: Sesungguhnya aku ini hamba Allah, dia memberiku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi"
(Maryam:30)
Akhirnya Nabi Isa ini menjadi saksi betapa berkuasanya Allah menjadi dan mengatur sesuatu. Kisah ini juga memperlihatkan sifat sabar dan taat seorang wanita kepadanya. Allah mengujinya dengan mengandungkan anak tanpa apa-apa hubungan. Dan semestinya, pandangan serong itu harus ditelan. Kalau hendak diturutkan hati, gugurkan sahaja kandungan itu awal-awal lagi supaya tidak dicemuh. Kalau diikutkan perasaan, buangkan sahaja bayi ini di mana-mana supaya tidak menjadi bahan nista kaumnya. Namun, Maryam memilih untuk mengasihi dan mencintai bayi tersebut. Dilahirkan dan ditatang.
Zaman serba moden ini juga ada 'Maryam'nya. Mendapat kandungan tanpa perkahwinan. Bezanya kandungan itu hasil dari zina dan seks bebas. Bezanya digugurkan bayi supaya kekasih dapat menerimanya kembali. Bezanya dibuangkan bayi itu di tempat buang sampah, dihanyutkan di sungai, dilemaskan dalam mangkuk tandas supaya tidak diketahui oleh keluarga dan rakan. Bukankah ini satu bentuk pembunuhan kepada darah daging sendiri. Sesungguhnya bayi itu tidak bersalah langsung. Malah dilahirkan suci bersih dari sekelumit dosa. Andaikata itu Maryam yang sebenar, bayi-bayi itu pasti akan selamat mengecap hidup dan kehidupan.
Kenapa tidak Maryam binti Imran....
p/s: Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata: Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu)
(al Imran: 42)

Tiada ulasan: