Baru-baru ini dengan kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil di Pulau Pinang, maka satu isu panas ditimbulkan iaitu isu syurga dan neraka. Isu ini berbangkit apabila diberitakan, sama ada benar atau diputar belitkan, ahli-ahli dan penyokong kepada satu parti politik ini tidak akan masuk syurga. Sehinggakan keputusan majlis fatwa pada tahun 2001 dipetik semula untuk menyangkal kembali dakwaan tersebut.
Saya mengakui bahawa syurga dan neraka itu memang ditentukan dan mengikut keredhaan Allah S.W.T. Sehinggakan orang yang banyak melakukan maksiat tetapi matinya dalam keadaan yang beriman, dengan izin Allah, maka orang itu akan masuk ke syurga. Ada juga orang yang amalannya banyak, sedekahnya banyak tetapi mati dengan kufur kepada Allah, dengan izin Allah, orang itu akan menerima balasan ke neraka.
Saya teringat kembali ceramah yang disampaikan oleh Dato' Hassan Din di kampung halaman saya. Beliau menceritakan bahawa ada golongan yang akan masuk ke syurga dan neraka tanpa hisab. Mereka yang masuk ke syurga tanpa hisab adalah orang yang bertakwa kepada Allah dan ikhlas dalam amalannya. Mereka yang masuk ke neraka tanpa hisab adalah golongan orang yang kufur kepada Allah. Tambah beliau lagi, golongan yang satu lagi adalah golongan yang dihisab amalannya. Jika timbangan pahalanya lebih daripada dosanya, maka dengan keredhaan Allah, mereka akan masuk ke syurga. Jika timbangan dosanya lebih daripada pahala, maka dengan kehendak Allah, mereka akan menerima balasan di dalam neraka.
Saya juga teringat tulisan artikel Dr Asri yang menceritakan beliau didatangi oleh seorang wanita yang tidak mengamalkan pemakaian tudung. Wanita itu bertanya adakah beliau akan masuk ke neraka kerana saya tidak memakai tudung?. jawab Dr Asri, syurga dan neraka itu bukan manusia biasa seperti kita yang tentukan. Allah yang Maha Adil akan menjadi penentu. Soalnya adalah tidak menutup aurat itu adalah satu kesalahan dalam agama kerana melanggar perintah Allah dan boleh mendatangkan dosa. Dosa yang banyak akan membawa kita ke arah neraka.
Masihkah ingat Nabi Muhammad S.A.W pernah menceritakan ramai penghuni neraka adalah wanita dan kebanyakan kesalahan mereka adalah tidak menutup aurat. Baginda diperlihatkan rambut mereka dibakar dalam neraka semasa peristiwa Isra' dan Mikraj.
Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah sememangnya syurga neraka itu hak Allah bukan manusia. Tetapi kita sebagai manusia boleh memilih ke mana destinasi akhir kita dengan amalan-amalan yang kita lakukan. Jika kita memilih untuk sentiasa melakukan perkara fardhu dan sunat dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan maka kita membawa diri kita meniti di jalan yang menuju ke syurga. Sebaliknya sekiranya kita sering melakukan dosa-dosa besar, kita menjerumus diri kita ke lembah neraka yang hina. Itu secara logiknya yang saya dapat fikirkan dengan ilmu saya yang sangat sedikit dalam ilmu Agama berbanding mereka yang lain. Ingat, setiap zarah amalan kita akan dikira. Ingat juga bahawa Allah menyuruh kita untuk menjaga diri dan keluarga kita dengan menghindari api neraka.
Jadi, apa kaitan dengan politik? kita perlu ingat juga bahawa Islam juga merangkumi politik. Ada juga garis panduan perkara yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan dalam politik. Perkara seperti rasuah, politik wang, nepotisme, merampas hak orang lain adalah ditegah dalam agama kita kerana ia tidak adil kepada rakyat. Kalau ikut logik, ia akan membawa ke arah neraka. Perkara seperti adil, amanah dan membawa ke arah keredhaan Allah adalah perkara yang disarankan oleh agama. Ikut logik juga, ia akan membawa ke arah syurga. Maka, kita sebagai rakyat seharusnya sedar hak kita adalah memilih orang yang benar-benar layak dan parti yang benar-benar layak. Kerana dengan undi itulah kita meredhai perkara baik yang akan mereka lakukan kepada negara. Kerana dengan undi itulah juga kita merelakan ketidak adilan berlaku dalam negara.
Jadi, kita sebagai manusia boleh memilih hendak ke syurga atau hendak ke neraka. Al-Quran dan as Sunnah sudah memberi garis panduan langkah-langkah yang perlu ke syurga dan neraka. Namun, Allah yang sangat berkehendak dan maha penentu, boleh membawa kita ke sebaliknya.
Sekadar ingin berkongsi apa yang saya fikir dengan ilmu agama yang sangat cetek ini.
p/s: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...
(ar Ra'd:11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan