Alhamdulillah akhirnya syafansuri.blogspot sudah sampai 'entry' ke-100. Saya masih terfikir adakah blog ini sudah mencapai tujuan ia distrukturkan?. Adakah blog ini benar-benar selari dengan 'tag'nya iaitu saksikanlah bahawa daku sudah sampaikan? Adakah semua perkara yang disampaikan itu telah disaksikan?
Dahulu semasa belajar di Universiti saya aktif dalam menghantar forum bagi kursus Sosiologi Pendidikan. Saya sering menghantar perkara yang berkaitan isu pendidikan semasa, isu semasa dan perkara-perkara yang menarik untuk saya bincang. Saya berasa sangat puas sekiranya ada yang sudi membaca dan memberikan respon kepada tulisan saya dalam forum tersebut. Saya juga akan pastikan yang saya akan mengaitkan dengan apa yang saya tahu dalam Islam dan memberikan sedikit terjemahan al-Quran. Satu kejayaan juga bagi saya kerana saya berjaya menghantar 50 artikel sepanjang 14 minggu kuliah.
Dengan minat dan dorongan itu, saya berhasrat untuk membina sebuah blog bagi mengekalkan momentum tersebut. Blog ini bagi saya ingin memenuhi minat saya untuk berkongsi dalam bentuk penulisan tentang sudut pandangan saya tentang sesuatu perkara disekeliling saya pada usia awal 20-an ini. Selain itu ia mengajar saya untuk sentiasa berfikiran kritis dan cuba melihat di luar kotak mengenai sesuatu perkara. Saya juga akan cuba sentiasa menggunakan Bahasa Melayu yang profesional dalam setiap tulisan saya dalam usaha memartabatkan bahasa bonda saya ini.
Namun, seperti saya persoalkan di atas, adakah penyampaian saya dalam blog ini telah disaksikan? Mengambil kira bilangan 'followers' yang sangat rendah berbanding blog rakan-rakan dan bilangan komen yang juga kurang memberangsangkan, tenggelam dan timbul saja, saya melihat bagaimana masa depan blog ini satu hari nanti. Mungkin juga kelemahan saya mencari jalinan antara blog-blog yang menyebabkan blog ini jarang diperhatikan. Dengan bahasa yang lebih mudah, kurang publisiti. Atau blog ini kurang sajian yang menarik untuk orang luar cuba menikmatinya. Ada pun mereka dengan tidak sengaja singgah di blog ini.
Walaupun begitu, saya amat berharap semangat saya tidak akan luntur untuk terus menulis. Kerana mungkin sudah tertanam dan subur dalam diri saya sifat dan sikap gemar berkongsi apa yang saya tahu. Bagi saya, itu sifat sebenar seorang guru. Tidak lokek berkongsi ilmu. Ilmu yang dikongsi akan sentiasa bertambah tidak seperti entiti yang lain. Saya harap begitulah jadinya. Saya berharap kepada mereka yang pernah menyinggah melihat juadah saya, dapat sedikit sebanyak apa yang ingin saya sajikan dan dapat manfaat daripadanya. Sesungguhnya saya masih merangkak dalam meniti lautan ilmu yang luas ini untuk dipercikkan bagi manfaat orang lain dan kebahagian hati sendiri.
Sebelum saya terlupa, Selamat menyambut bulan ramadhan dan selamat berpuasa. Ambillah sebanyak mana hikmah dan kebaikan yang ada dalam bulan yang mulia ini. Sehingga kita menjadi insan yang lebih baik setelah tamat kursus latihan sepanjang 30 hari tempoh ramadhan ini.
Terima Kasih kepada insan yang sentiasa menyokong minat saya ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan