Semalam, iaitu hari pertama puasa pada tahun ini, terniat dihati saya untuk melawat gerai bazar Ramadhan di tempat saya. Tidak mahu membeli apa-apa. Hanya sekadar ingin melihat apa juadah yang dijual, berapakah harganya, adakah sama seperti tahun lepas dan apakah gerai baharu yang terpacak. Setelah maklumat ini dikumpul, maka mudahlah saya untuk membuat pilihan juadah yang diingini. Pergi dan beli yang perlu tanpa membazir wang dan masa.
Sambil menyelam minum air, saya juga ligat melihat gelagat orang-orang lain yang berkunjung ke bazar ramadhan ini. Melalui pengamatan, saya percaya majoriti kumpulan yang berkunjung ke bazar ramadhan ini adalah orang-orang yang berpuasa. Semestinya orang Melayu dan beragama Islam. Namun mata lelaki saya juga tertangkap dengan penampilan wanita. Wanita yang tidak menutup aurat dengan baik. Dari tidak melabuhkan tudung hingga ke paras dada, memakai baju T yang menayangkan lengan tangan dan ketat, dan akhirnya hingga tidak memakai tudung dan dengan megah memperlihatkan sehelai demi jutaan helai rambut. Tidak kurang juga lagak lelaki yang memakai seluar pendek.
Saya terfikir kembali khutbah jumaat sehari sebelum ibadah puasa bermula. Khatib mengingatkan jemaah dengan satu pesanan hadis nabi tentang orang-orang yang berpuasa,
"Berapa ramai orang yang berpuasa tapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja"
Khatib mengulas lagi, golongan-golongan tersebut adalah orang yang berpuasa tapi meninggalkan solat. Orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat dan orang yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat. Tidaklah lain yang mereka dapat hanyalah lapar dan dahaga sahaja.
Ujar saya, sekurang-kurangnya hormatlah sedikit bulan ramadhan yang mulia ini. Ujar saya lagi, setidak-tidaknya hormatlah kaum Adam yang sedang berpuasa dari melihat aurat wanita yang ajnabi bagi mereka. Sudahlah kurang pahala dan ruh puasa dengan tidak menutup aurat, berkongsi pula dengan lelaki yang terlihat dan melihat. Ada juga di dalam hati berkata, "kalau tak puasa ni dah lama aku makan dan minum". Sayangnya.
Ada sesetengah yang beranggapan buat apa hendak memakai tudung dan menutup aurat elok-elok di bulan ramadhan sedangkan sebelum ini tidak sebegitu dan selepas ramadhan pun cabut kembali. Itu hipokrit namanya. Saya fikir, soalnya bukanlah hipokrit. Soalnya adalah mahu atau tidak mahu mengambil hikmah puasa. Bulan ramadhan ini bagaikan satu sekolah latihan yang kursusnya hanya sepanjang satu bulan sahaja. Di sini kita akan berhijrah dari kurang baik kepada lebih baik. Kita mendidik nafsu kita dari nafsu amarah kepada nafsu mutmainah dan akhirnya kepada nafsu mardhiyah.
Mungkin dengan kursus ini kita akan menjadi insan yang lebih baik dari segi penjagaan auratnya. Mungkin dengan kursus ini kita lidah kita lebih basah dengan membaca al-Quran. Mungkin dengan kursus ini kaki kita menjadi lebih rajin untuk melangkah dan berjemaah ke masjid. Mungkin dengan kursus ini tangan kita lebih gemar memberi daripada menerima. Semuanya dengan izin dan kehendak Allah.
Rebutlah peluang bulan ramadhan yang hanya berbaki 28 hari sahaja lagi. 28 hari untuk memotivasikan diri hijrah ke arah kebaikan. Janganlah sekadar seperti pesanan nabi iaitu sekadar lapar dan dahaga sahaja. Puasa itu bukanlah hanya semata-mata tidak makan dan minum sahaja. Alangkah ruginya hari-hari ramadhan yang berlalu jika tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.
p/s: Azam puasa tahun ini adalah mahu lebih daripada sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja. Insyaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan