Khamis, 22 Oktober 2009

Kerja atau Belajar lagi?

Minggu-minggu akhir, iaitu sebelum saya akan ditempatkan untuk berkhidmat sebagai seorang guru, saya ada beberapa kali melihat rencana dari blog atau facebook rakan-rakan saya. Tidak kurang juga mendengar dan bertukar-tukar cerita sesama sendiri. Bukan sahaja rakan-rakan seuniversiti malah rakan-rakan sekolah yang sudah lama tidak bersua juga.

Ia berkisar tentang luahan keadaan dan situasi semasa mereka. Saya melihat ada dilema yang sedang melanda mereka. Dilema antara bekerja selepas bergraduat atau menyambung pelajaran bagi memastikan ilmu pengetahuan itu ditingkatan yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang bekerja, hati ada berhasrat untuk menyambung pelajaran. Tidaklah hanya ada ijazah sarjana muda. Hendaklah juga tangan itu mengenggam sarjana. atau doktor falsafah Masyarakat, sanak saudara sekarang akan lebih memandang mereka yang ada sarjana atau doktor falsafah. Kalau tidak masakan ada doktor falsafah tiruan.




Menyambung pelajaran juga merupakan satu budaya dalam masyarakat kia sekarang. Ada peluang, ada PNGK tinggi semasa membuat ijazah, ada duit, sambung sahaja selagi muda dan otak itu masih ligat berfungsi. Tambahan pula kerajaan ada memberi suntikan modal dan bajet disediakan kepada sesiapa yang ingin menyambung pelajaran. Dengan adanya sarjana ini, mungkin kita akan dapat jawatan yang lebih tinggi dalam mana-mana sektor. Paling tidak, kita ada peluang untuk menjadi seorang pensyarah kelak. Sudah tentu gaji yang akan diterima lebih tinggi.

Ada juga saya mendengar dilema daripada mereka yang sedang menyambung pelajaran. Ada yang berasa rugi menyambung pelajaran sedangkan rakan-rakan lain sudah mula membina kehidupan sendiri. Punyai kereta yang gah seperti vios atau honda city atau myvi, sudah berkira-kira untuk berkahwin, sudah berkira-kira untuk membeli rumah, sudah boleh meringankan beban keluarga, melangsaikan hutang dan sebagainya. Dibandingkan dengan mereka, mereka masih lagi bergelumang dengan kuliah, tesis, disertasi, penyelidikan dan lain-lain lagi.



Saya teringat perbualan saya dengan seorang kenalan dari bangsa cina. Beliau ada mengatakan bahawa, sekarang kalau hendak sambung belajar, di mana-mana sahaja boleh dan pada bila-bila masa. Tetapi, pada 2 tahun kebelakangan ini ekonomi sedang merudum dan pasaran kerja tidak beberapa baik. Kita tidak tahu sampai bila ekonomi akan terus jadi gawat. Kalau ada ijazah, master atau phD kalau tidak boleh bekerja rugi juga. Menurut beliau lagi, sekarang persaingan sangat tinggi. Yang ada master dan phD, hendak menjadi pensyarah pun sukar pada masa ini.

Bagi saya, rakan-rakan yang sedang menyambung pelajaran ini berada dalam sektor penyelidikan. dan bukan pekerjaan. Saya ingat lagi forum biologi semasa saya di semester 1 di universiti, Malaysia mempunyai khazanah alam yang banyak tetapi negara kita tidak bijak mengurus. Bagus juga ramai yang sedang menyelidik untuk siapkan tesis dan disertasi. Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada negara. Wang yang kerajaan laburkan kepada pelajar master dan phD untuk penyelidikan ini akan kembali kepada negara dan rakyat. Lebih tinggi ilmu seseorang, lebih tinggi amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

Namun, kita masih tertunduk kepada desakan bahawa kita perlu bekerja dan menjana pendapatan sendiri untuk kelangsungan hidup. Kita sudah diajar sejak kecil bahawa dengan pelajaran yang lebih tinggi , kita juga akan berjawatan tinggi dan bergaji tinggi. Pelajaran itu hanya untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik. Soalnya bila kita mahu memulakan perjalanan baharu dalam hidup kita. Cepat atau lambat. Mula dengan tingkatan ilmu dan kemahiran yang rendah atau tinggi. Bagi saya, itu pilihan sendiri.



Bagi saya hidup ini bukan sahaja untuk memiliki kereta mewah idaman atau  mempunyai rumah yang besar. Bagi saya hidup ini bukan sahaja untuk memiliki tahap ilmu yang tinggi atau berstatus tinggi. Hidup lebih 'complicated' daripada itu untuk difikirkan.

Kadang-kadang ada orang berkerata vios dan honda city pada peringkat umur saya, tetapi mengikat perut kerana hampir setengah daripada gaji hanya untuk itu. Kadang-kadang ada orang berumah besar tetapi makan ala kadar sahaja. Kadang-kadang ada orang hidup mewah tetapi hidup hanya untuk membayar hutang keliling pinggang.

Secara kesimpulan saya memetik kata-kata bapa saya iaitu, "beli kereta ikut kemampuan sendiri'" Kata-kata daripada rakan baik saya "hidup dengan cara dan 'plan' kau sendiri dan bukan orang lain". Akhir sekali, kata-kata ibu saya," Lama-lama abang akan fikir, duit bukan segala-galanya, tapi BAHAGIA".

p/s: Cikgu Syafrul mengambil keputusan untuk bekerja dan memulakan keluarga yang stabil .  Merancang untuk mencari pengalaman sebagai guru dahulu barulah meningkatkan ilmu untuk berbakti kepada masyarakat. Berkira-kira untuk berjimat dan menyimpan duit untuk keluarga yang akan dipimpinnya masa hadapan dengan besederhana. Tidak lupa juga mendalami ilmu agama bagi saham akhirat.





Tiada ulasan: