1431 tahun yang lalu, junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. melakukan satu perpindahan antara yang terbesar dalam sejarah. Atas dasar apa Nabi, para sahabat dan para pengikut baginda sanggup meninggalkan tanah air yang mereka cintai, keluar dan menuju ke satu negeri yang lain? Bukan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan. Mereka meninggalkan segala bentuk aset yang mereka miliki sekian lama. Rumah, tanah yang mereka usahakan, binatang ternakan waima keluarga sekalipun, mereka tinggalkan. Sehelai sepinggang mereka berangkat satu negeri yang mereka sendiri tidak tahu untung nasib. Tenggelamkah atau timbulkah. Bukan sedikit risiko yang harus mereka tempuhi. Mungkin mereka dihalang oleh puak musyrikin yang ingin memerangi mereka. Mungkin mereka terserempak dengan penyamun. Mungkin mereka akan menempuh badai ribut pasir. Junjungan besar sendiri hampir dibunuh oleh pemipin quraisy namun diselamatkan oleh Saidina Ali. Khalifah pertama sendiri dipatuk oleh ular.
Jadi, untuk apa mereka bersusah payah untuk semua ini? untuk apa Hijrah yang besar ini harus dilakukan? Bukankah lebih elok teruskan sahaja usaha dakwah di Mekah yang semakin hari semakin menampakkan pertambahan pengikutnya. Aset-aset yang ada boleh digunakan sebagai dana untuk meneruskan kerja dakwah. Tidak perlu bimbang atas keselamatan keluarga yang akan ditinggalkan.
Jadi, untuk apa mereka bersusah payah untuk semua ini? untuk apa Hijrah yang besar ini harus dilakukan? Bukankah lebih elok teruskan sahaja usaha dakwah di Mekah yang semakin hari semakin menampakkan pertambahan pengikutnya. Aset-aset yang ada boleh digunakan sebagai dana untuk meneruskan kerja dakwah. Tidak perlu bimbang atas keselamatan keluarga yang akan ditinggalkan.
Jawapannya sudah tersedia di dalam sirah yang telah digarap. Satu tujuan yang utama adalah untuk membina KERAJAAN ISLAM yang berlandaskan al quran dan sunnah di negeri Madinah al Munawarah. Tinggikah nilai dan harga satu Kerajaan Islam yang ingin dibina sehingga banyak aset telah dikorbankan? Jawapan yang saya akan berikan adalah berbaloi.
Berbaloi dari segi kita akan terus berjaya dalam usaha membebaskan orang madinah daripada kegelisahan tanpa bertuhan dan bersyariat kepada berpaksikan Allah S.W.T. Berbaloi dari segi kita akan berjaya melaksana undang-undang yang telah diperintahkan Allah sebagai memenuhi haknya. Berbaloi dari segi kita akan berjaya memulakan satu institusi keilmuan yang tinggi. Berbaloi dari segi kita akan mengamalkan satu sistem ekonomi Islam yang tidak menindas dan jauh daripada riba. Berbaloi dari segi kita akan berjaya memperkenalkan satu sitem politik yang adil, saksama dan memakmurkan negara. Berbaloi dari segi kita akan memulakan satu sistem sosiologi di mana setiap rakyatnya akan berkongsi satu pegangan iaitu ajaran Nabi dan berkongsi satu matlamat iaitu Allah. Berbaloi kerana kita akan mencipta satu keadaan yang baik (biah solehah) dalam kalangan rakyat dalam jajahan Islam. Maka, gejala rasuah yang merugikan negara, rogol yang merendahkan wanita, pembunuhan yang melayakkan manusia setaraf dengan binatang tidak akan berlaku dalam negara. Setiap rakyat mempunyai akhlak yang tinggi kerana akhlak mereka telah disempurnakan oleh Nabi.
Setidak-tidaknya, hijrah yang dijalankan oleh nabi dan pengikutnya 1431 tahun yang lalu dijadikan satu simbolik kepada umat Islam pada zaman ini untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Perubahan dalam erti yang positif. Tanpa melupakan ada perkara yang harus dicagarkan dan dikorbankan bagi merealisasikan perubahan tersebut.
Saudara, percayalah bahawa sekiranya kita sama-sama sedar bahawa satu intisari besar Hijrah ini adalah untuk membina kerajaan islam yang diredhai Allah, maka kita sama-sama akan berganding bahu bagi mewujudkan kerajaan tersebut.
Lihat disekeliling kita. Dengar setiap khabar yang menerjah ke telinga kita saban hari. Rasuah, mat rempit, pelacuran, rogol, bunuh, ragut dan sebagainya menjadi citra yang mewarnai hari-hari kita. Kejadian ini sebagai satu cermin yang menggambarkan bahawa adakah kita masih tidak mahu mengambil intipati peristiwa hijrah itu sendiri atau kita tidak mahu berhijrah untuk mewujudkan biah solehah dalam masyarakat kita? Adakah benar kita sudah mengambalikan kerajaan yang kita bina kepada Allah dan Rasulnya?
p/s: Satu persoalan yang bermain difikiran saya usai mendengar khutbah jumaat pada hari ini. Mengapakah Saidina Umar mengambil tahun permulaan kalendar Islam dengan peristiwa hijrah dan bukannya kelahiran Nabi S.A.W.? Kalendar masihi menggunakan kelahiran nabi Isa sebagai asas permulaan kalendarnya. Ada sesiapa boleh terangkan kepada saya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan