Ahad, 24 Januari 2010

Salahkah saya?

Kadang-kadang saya terfikir, salahkah saya mahu melakukan semua kerja dan tugas saya di sekolah pada tahap yang terbaik yang mampu saya lakukan. Semuanya hanya mahu memuaskan hati sendiri dan memang cara saya bekerja macam itu.

Perkataan seperti ini sudah kedengaran menerjah masuk ke telinga saya:

"Ketua rumah kuning jangan semangat sangat ye!!!"

"Relaksla Syafrul. Jangan Semangat sangat"

"Semangat betul kau ni. Tahun pertamalah katakan..."

"Tengok si syafrul tu, rajin betul. Bakal dapat APC tahun ni la tu"

"Rajin betul tanda buku, siap ada cop sendiri lagi..."


"Lawa betul tulisan kau dalam RM ni, berkaler-kaler"


Mungkin saya sudah terbiasa ingin melakukan yang terbaik dan sempurna dalam setiap tugasan saya. Bagi saya semua kepuasan terletak di situ.Mungkin juga saya terlebih baca buku motivasi pada hari minggu.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kebanyakan orang-orang yang berjaya ini selalu membuat kerja diluar kebiasaan. Bukankah begitu?.  Kebanyakan orang yang berjawatan tinggi memang sempurna dari segi pengurusan kerja-kerjanya. Bukankah begitu?. Orang-orang yang berjaya ini memang rajin dan semangat semasa bekerja. Bukankah begitu? Guru-guru merupakan golongan yang mulia. Bukankah begitu? Itu yang saya baca dalam buku dan amati sendiri keadaan sekeliling.

Jadi, salah kah saya untuk menjadi seorang yang berjaya? Paling tidak untuk diri sendiri dan ingin menunaikan amanah bonda dan ayahanda untuk bekerja bersungguh-sungguh sebagai seorang guru.

Sering kali saya berfikir, adakah perkataan-perkataan di atas suatu hari nanti akan mengurangkan produktiviti kerja saya? Adakah lama kelamaan saya akan termakan dengan ungkapan di atas dan mula culas dan lewa dalam amanah-amanah yang diberikan kepada saya? dan adakah disebabkan ini bangsa Melayu Islam saya tidak boleh maju ke hadapan? Di tekan dengan perkataan-perkataan negatif. Bagaimana hendak menjawab soalan Allah di padang masyar kelak? Bagaimana keberkatan rezeki saya yang akan dikongsi bersama isteri dan anak-anak?

Saya teringat pesanan Saidina Ali bahawa kita sebagai pemimpin perlu memimpin diri sendiri dahulu barulah memimpin orang lain. Saya suka melihat pelajar saya rajin dan kemas dalam pengurusan nota dan latihan mereka. Jadi, saya sebagai guru mereka hendaklah melakukan perkara itu dahulu, memastikan segala kerja saya dalam kondisi yang terbaik dan mantap. Maka barulah pelajar saya dapat menuruti dengan izin dari-Nya.

Saya pun tidak tahu. Paling tidak sekarang saya hanya mentulikan telinga, tabahkan hati dan teruskan rentak permulaan tahun pertama sebagai seorang guru. Biarkanlah anasir-anasir ini terus memalu rentak mereka.

Bukan untuk mendapat kemasyuran. Tetapi mencari keberkatan, keseronokkan dan keikhlasan dalam bekerja.

Kawan-kawan lain pun macam itu juga?

p/s: Bekerjalah kamu seperti kamu akan hidup 1000 tahun lagi. Beribadatlah seperti kamu akan mati esok hari. Apa yang anda faham?

Ahad, 10 Januari 2010

Saya Sudah Mula Berasa...

Setelah habis minggu yang pertama sesi persekolahan pertama sebagai seorang guru, saya sudah mula berasa, bukan tertekan, bukan bingung, bukan stres, mungkin lahir daripada perasaan terkejut dan terpana. Maka terzahirlah perasaan kaget sebentar saat dalam mesyuarat semalam.

Memang sungguh bagai dikata, guru-guru baru, atau bahasa rojaknya guru-guru 'fresh' ini akan diberikan amanah-amanah yang banyak untuk dilaksanakan sebaik-baiknya. Katanya untuk pengalaman dan guru-guru lama sudah tegar dengan pekerjaan itu. Sudah tepu makan garam. Saya ini baru hendak menjilat garam itu menggunakan hujung jari telunjuk saya. Baru hendak menimba.

Itu tidak menjadi masalah bagi saya. Saya sudah sedar hakikat itu. Maka empat tahun di UPSI, hidup mahasiswa saya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti luar yang saya harapkan dapat mengajar diri saya menghadapi tekanan dan bebanan tatkala bekerja kelak. Saya sendiri mencarinya, kesusahan itu, bukan desakan sesiapa.

Tiga pecahan ko kurikulum saya sapu habis sebagai penasihat. Tambah lagi tugas sebagai ketua rumah sukan. Tambah lagi dengan memegang guru kelas tingkatan 4 yang sudah diketahui menimbun kerjanya. Tambah lagi dengan dilantik menjadi Ketua Panitia Matapelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. yang saya sendiri tidak tahu prospek kerjanya. Berfikir dan mengenangkan tanggungjawab ini saya termenung seketika. Apabila difikir lebih dalam lagi, saya tidak terfikir saya tidak dapat melaksanakan, tetapi saya fikir dapatkah saya memuaskan hati pentadbiran dan diri saya sendiri. Apakah amanah-amanah ini akan disoalkan di akhirat kelak andaikata saya tidak melaksanakan dengan baik?

Dari sudut positif, saya sehendaknya menganggap semua ini sebagai satu cabaran dan ujian supaya saya dapat menjadi guru dan pekerja yang lebih baik. Saya juga seharusnya menganggap semua ini sebagai satu peluang saya menonjolkan diri sebagai seorang pekerja yang cemerlang untuk sekolah dan diri sendiri.

Saya mengharapkan Allah, pentadbir dan orang sekeliling saya tahu yang saya sentiasa ingin lakukan yang terbaik dalam setiap kerja saya. Saya mengharapkan saya masih mampu tersenyum girang melakasanakan satu persatu amanah yang diberikan. Saya ingin menganggap guru-guru lain juga ada bebanan mereka sendiri. Tambah lagi, saya masih tiada lagi komitmen sebagai suami dan ayah.

Doakan saya. Buat tunang saya, berikan sokongan kepada saya.


Sabtu, 9 Januari 2010

Bakul dengan Ketam



 Cikgu Syafrul: Awak semua pernah tengok tak di pasar ada orang jual ketam dalam bakul?

Pelajar 5 SS: Tak pernah nampak pun cikgu.

Cikgu Syafrul: Habis tu orang yang jual kat pasar tu dia letak je ke atas meja? tak pun dia gantung je?

Pelajar 5 SS: Aah cikgu. Diorang buat macam tu je.

Cikgu Syafrul: Baiklah. Tak mengapa. Baik, saya akan ceritakan kepada awak semua kisah bakul dan ketam.

Pelajar 5SS: Encik Krab ke cikgu?

Cikgu Syafrul: Bukan. Encik krab dia pakai baju. Yang ni ketam betul punya.

Pelajar 5 SS: ooohhh...

Cikgu Syafrul: Sebenarnya dalam bakul ni ada 3 jenis golongan ketam. Golongan yang pertama adalah golongan ketam yang akan mati dan berkorban demi melihat ketam-ketam yang lain boleh pijak atas mereka dan panjat keluar daripada bakul. Golongan yang kedua adalah golongan ketam yang tidak kesah kepada ketam-ketam yang lain. Tidak mahu bekerjasama keluar panjat daripada bakul. Ketam-ketam ini menghancurkan dinding-dinding bakul tu sebab nak keluar.

Pelajar 5 SS: Golongan ketiga pulak cikgu?

Cikgu Syafrul: Golongan ketiga pulak adalah golongan ketam yang mana suka sangat tarik kawan-kawan ketam dia ke bawah. Dah nak keluar dah, tapi diorang tarik ke bawah semula.

Pelajar 5 SS: Ooohhh

Cikgu Syafrul: Jadi, apakah moral of the story. Siapa yang ada idea untuk kita berkongsi bersama?

Pelajar 5 SS: Tolong menolong cikgu! Selfish Cikgu!

Cikgu Syafrul: Baik, moralnya adalah ketam itu sendiri menggambarkan kita dalam sebuah negara, masyarakat mahupun organisasi. Ada golongan yang mana dia sanggup mengorbankan dirinya demi melihat bangsa, negara dan rakan sekelilingnya berjaya. Ada golongan di mana dia pentingkan diri sendiri, sehingga hancur sebuah negara oleh sikap tamak mereka untuk berjaya. Ada juga golongan yang tak mahu melihat orang lain berjaya. Ada sahaja melihat orang lain sudah mula hendak berjaya, mereka jatuhkan mereka kembali. Boleh nampak kan apa yang saya cerita ni?

Pelajar 5 SS: Boleh cikgu!

Cikgu Syafrul: Jadi, awak nak masuk golongan yang mana?




Isnin, 4 Januari 2010

Ulasan Buku: Kuasa Hijrah Kuasa Berubah



Setelah saya selesai membaca buku ini, saya dapat merasakan ruh tulisan yang biasa disampaikan oleh dua tokoh kaunselor negara, Dr Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli.

Bagi saya, buku ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin menggilapkan azam untuk melakukan perubahan dalam kehidupan mereka. Buku ini ada mengajar bagaimana menukarkan azam hangat-hangat tahi ayam kepada azam yang berjaya memberikan impak kepada kehidupan yang lebih cerah dan gemerlap.

Untuk diri saya sendiri, buku ini sesuai kerana tahun ini merupakan tahun pertama saya bekerja sebagai seorang guru. Sudah tentu saya ingin sedikit suntikan motivasi.

Kepada yang belum membaca buku ini, carilah dan ambillah pengajaran daripadanya.

p/s: Buku ini dibaca bersempena maal hijrah 1431.



Ahad, 3 Januari 2010

Selamat Menjalankan Tugas Kepada Sahabat-Sahabat Guru

"Siapa yang bangun dari tempat tidurnya dalam keadaan aman, tubuhnya sihat dan kuat serta memiliki kekuatan untuk melakukan urusan seharian dalam hari itu, maka ia telah mengenggam dunia"

 

(Hadith Riwayat Tarmizi)

 

 Penulis ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas dalam tahun pertama sebagai seorang guru kepada semua sahabat. Semoga setiap urusan dipermudahkan oleh ilahi. Semoga setiap pelaksanaan membuahkan barakah. Semoga setiap pekerjaan menjelmakan keikhlasan dan kemanisan iman. 

 

Amin.