Bahasa Melayu seperti yang kita ketahui pernah menjadi salah satu bahasa yang penting atau lingua franca pada zaman kegemilangan kesultanan melayu melaka dahulu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa perantara antara pedagang yang singgah di bumi Melaka.
Namun baru-baru ini hal mengenai bahasa ibunda kita telah hangat diperbahaskan di dewan parlimen. Hal ini tercetus apabila ada wakil rakyat yang mempertikaikan kemasukan bahasa Inggeris yang telah dimelayukan ke dalam Kamus Dewan yang merupakan rujukan utama istilah bahasa melayu di negara kita. Beliau mempertikaikan istilah bajet yang telah dibahaskan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi masih digunakan di dalam parlimen. Maka tercetuslah satu istilah iaitu kemandulan bahasa melayu. Tidak pula diketahui adakah penggunaan istilah 'kemandulan' ini merupakan satu hiperbola yang dapat membuka mata ramai pihak untuk mengambil berat tentang hal ini.
Saya tertarik dengan pendapat yang telah diutarakan oleh Prof Sidek Baba mengenai isu kemandulan bahasa melayu. Antara intipati yang menarik untuk saya kongsi dalam blog ini adalah penggunaan istilah kemandulan itu sendiri. Mandul maksudnya tidak boleh lagi menghasilkan benih yang berkualiti untuk menghasilkan zuriat. Dalam erti kata lain, kemandulan bahasa melayu berlaku apabila bahasa ini telah tidak dituturkan sama sekali dalam percakapan harian mahupun ucapan rasmi. Beliau menambah lagi, kekuatan dan pengaruh sesuatu bahasa itu adalah apabila ia digunakan dalam sains dan teknologi. Jelaslah disini, penggunaan bahasa melayu di dalam pengajaran sains dan matematik adalah satu alternatif yang baik untuk mengelak bahasa kita daripada 'mandul'
Banyak lagi perkara yang kita perlu ambil berat selain perkara mandul tersebut seperti penggunaan tulisan jawi di sekolah dan di IPT. Sememangnya ada diajar di sekolah tetapi pembudayaannya entah ke mana. Orang cina dan india ada tulisan masing-masing dan masih gah di dalam akhbar mereka tetapi tulisan jawi entah ke mana. Selain itu, kita juga perlu berhati-hati dengan penggunaan bahasa 'sms' yang semakin menular menjadi budaya dalam masyarakat kita sehinggakan bahasa melayu yang sebenar sudah tidak dipedulikan dan dikatakan 'skema'. Penggunaan Bahasa Melayu juga tidak penting dalam sektor swasta. Bahasa Inggeris dipentingkan. Saya terkejut semasa saya menjalankan ROS di sekolah cina, matematik dan sains diajar dalam bahasa ibunda mereka. Orang Melayu kita entah ke mana.
Pendapat saya, sekiranya dek kerana kamus bahasa kita dikatakan mandul, lebih baik kita betulkan kamus itu dahulu. Maksud saya adalah lebih baik diadakan kamus yang boleh mengasingkan antara bahasa percakapan kita seharian dan penggunaan rasmi. Oleh yang demikian rakyat kita dan orang melayu kita sendiri dapat meletakkan istilah yang kena pada tempatnya. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus diperkasakan. Idea-idea mereka harus dipertimbangkan oleh dewan parlimen dan mereka juga hendaklah dijadikan rujukan utama dalam memperkasakan bahasa kita. Bukan ada ubat pil kuda atau minyak lintah untuk atasi mandul, tetapi sikap, kesedaran dan perpaduan bangsa kita untuk mendaulatkan bahasa ini adalah lebih penting.
Sekadar memberi pendapat dan meluangkan masa untuk menjalankan hobi yang saya minati. Sekian. Terima Kasih.
Sabtu, 15 Disember 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan