Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku karangan ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk Aku Terima Nikahnya. Secara keseluruhan saya sangat menyukai isi yang disampaikan oleh beliau. Dalam buku ini beliau secara santai tetapi penuh makna berkongsi pengalaman beliau dalam menemui jinjang pelamin dan hidup berkeluarga sehingga sekarang.
Dalam buku ini juga beliau menyatakan bagaimana seorang remaja islam patut bercinta. Cinta kepada Allah dan cinta kepada Keluarga lebih dahulu sebelum yang lain. Sekiranya seperti saya ingin menemui wanita solehah maka saya perlulah jadi lelaki yang soleh dahulu. Prinsipnya jangan bicara soal perkahwinan sekiranya setakat mengelak dari menghampiri zina pun masih terkontang-kanting. Perkahwinan bukan sehari dua tetapi sehingga ke akhir hayat menuntut perjuangan. Penulisan beliau mengenai soal cinta ini bagaikan menceritakan kembali konsep-konsep yang sedia ada dalam buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol Juoi tetapi dalam bentuk naratif yang nudah untuk dipraktikkan dan diamalkan. Saya tertarik dengan saranan beliau kepada bakal-bakal suami dan isteri untuk membaca buku 'Men are from Mars, Women are from Venus' kerana buku ini menceritakan perbezaan fitrah antara lelaki dan wanita. Hal ini penting bagi kita untuk lebih mengenali pasangan masing-masing. InsyaAllah saya akan membaca buku ini.
Bukan soal cinta sahaja ditekankan dalam buku ini. Soal keluarga, suami isteri dan ibu bapa juga digarapkan dalam bentuk cerita yang mudah difahami dan mampu membuat saya terdiam seketika dan berfikir. Ada tiga perkara yang saya fikirkan selepas membaca buku ini. Pertama saya mengenang bagaimana ibu bapa saya berkorban menjaga saya dan adik-adik dari kecil sehingga berjaya sampai ke menara gading. Kedua adalah kesediaan saya dari segi kematangan spiritual dan kepimpinan untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik suatu hari nanti. Yang terakhir adalah kemampuan saya untuk mendidik anak menjadi insan yang berguna tatkala disekeliling kita sekarang penuh dengan keruntuhan akhlak dan keagungan hiburan atau hedonisme. Moga Allah memberi saya kematangan dalam menjadi seorang lelaki, suami, bapa dan guru yang baik kelak. Perkara yang menarik perhatian saya adalah kepentingan seorang ibu atau bapa untuk mempelajari 'parenting skill' dan bersedia untuk menerima teguran anak dan isteri. Insyaallah saya cuba praktikkan.
Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ustaz Hasrizal kerana sudi bersengkang mata untuk menaip bait-bait dalam buku ini sehingga buku ini dapat sampai ke tangan, mata dan hati saya. Walaupun umur saya masih dalam kategori remaja dan masih menuntut untuk mendapatkan segulung ijazah, karangan ustaz amat relevan kepada saya. Sememangnya dalam buku ini penuh dengan perkara-perkara yang patut saya sebagai seorang lelaki fikirkan untuk masa hadapan saya kelak. Sesungguhnya buku ustaz sedikit sebanyak mendewasakan saya.
Terima Kasih kerana sudi membaca. Kepada rakan-rakan, saya syorkan anda tidak melepaskan peluang untuk membaca buku ini. Rugi kalau tidak baca.
"Erti Hidup Pada Memberi", kata ustaz Hasrizal.
Syafrul
30 Jun 2008
12.53 p.m.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan