Selasa, 19 Ogos 2008

Khalifah Youth Training

~Perkarangan Khalifah Institut~
Pada 19 dan 20 Julai yang lepas saya dapat menyertai satu daripada program yang dianjurkan oleh Khalifah Institut iaitu Khalifah Youth Training setelah diajak oleh seorang rakan. Dalam program ini, seramai lebih kurang 30 penuntut IPTA telah dikumpulkan bagi menjelaskan konsep khalifah yang dipelopori oleh institut ini dengan objektif konsep ini dapat disebarkan dan diperluaskan dalam niche golongan mahasiswa serta bagi melatih fasilitator yang baharu bagi institut ini. Khalifah Institut ini terletak di ampang. Maka, pengangkutan dari kampus bukanlah satu penghalang besar bagi saya. IPTA yang telah diwakili adalah UIA, UM, UTM, UPSI dan UKM di mana kebanyakan trainer adalah pensyarah dan penuntut dari IPTA tersebut.
~Peserta Muslimin~
Sepanjang menjalani program ini, saya dapat berkenalan dengan peserta dari IPTA yang lain. Saya telah menganali bakal-bakal 'lawyer' daripada UIA, penuntut farmasi dari UKM, Bakal Engineer dari UTM serta lain-lain lagi dari UM. Ada sesetengah daripada mereka yang mengenali sahabat-sahabat saya di kampus. Ada juga merupakan keluarga pelajar-pelajar keluaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Bagi saya, mereka mempunyai pandangan yang berbeza daripada pandangan saya sebagai seorang bakal pendidik. Saya juga dapat melihat 'lawyer' daripada UIA ini mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik daripada saya walhal saya turut ditekankan menggunakan Bahasa tersebut ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah sebagai syarat Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mungkin saya perlu melipat gandakan latihan untuk berkomunikasi dalam bahasa kedua ini dan saya akan meletakkan ini sebagai satu cabaran. Sepanjang program ini juga saya telah mempelajari ilmu-ilmu yang baharu berkaitan dengan konsep khalifah. Sebelum ini saya telah pun didedahkan dengan konsep khalifah ini tetapi lebih kepada penubuhan negara Islam berlandaskan konsep khalifah yang diamalkan pada zaman khalifah ar-Rasyidin. Dalam program ini saya didedahkan dengan konsep pandangan alam iaitu pandangan kita mengenai alam ini. Sebagai contoh, David Beckham melihat bola sebagai pandangan alamnya. Maka setiap masa beliau akan memikirkan tentang bola sahaja. Setiap tindak tanduknya akan menjurus kepada bola. Sekiranya konsep ini diterapkan kepada ajaran Islam, tidak syak lagi agama ini akan dianuti oleh penganutnya yang baik dan solah. Saya juga didedahkan dengan permulaan kejadiaan alam iaitu dari kosong sehingga wujudnya bumi mengikut konsep fizik, kimia dan biologi. Kemudian saya diajar mengenai hukum pembelajaran iaitu konsep ganjaran dan hukuman bagi setiap perbuatan yang dilakukan. Konsep ini sama seperti konsep yang dipelopori oleh Thorndike dan Pavlov dalam psikologi pendidikan. Sekiranya ganjaran diberikan bagi setiap perbuatan yang baik, maka seseorang itu akan termotivasi untuk melakukannya lagi. Saya juga diajar mengenai pentingnya kata hati yang baik. Kata hati ini adalah datang dari hati yang kecil dan Sub CM seperti yang ditulis oleh Dr HM Tuah Iskandar dalam bukunya. Jika kata hati ini diperhalusi dan didengari, nescaya segala tindak tanduk kita menjadi tepat kerana ia berlandaskan apa yang disuruh oleh aqal yang diperkayakan dengan wahyu. Kemudia saya juga didedahkan dengan konsep psikologi di dalam Islam. Secara umumnya konsep psikologi di dalam Islam ini mengaitkan perhubungan di antara Aqal, Qalb (Hati), Ruh dan Nafsu dalam diri manusia. Sekiranya perkaitan dan keseimbangan di antara ke empat-empat elemen tadi adalah baik, maka seorang muslim itu akan memperoleh kejayaan dalam membahterai hidupnya ke arah keredhaan Allah. Namun, pada hari kedua dalam program ini saya telah diberi ujian oleh Allah dengan demam yang saya alami. Saya memujuk hati saya bahawa ini adalah cabaran bagi orang-orang yang ingin mencari ilmu lain daripada ilmu konvesional yang ada di kampus. Syukur, dengan kesabaran dan dorongan daripada rakan-rakan maka saya berjaya mengharungi halangan tersebut dan menyelesaikan aktiviti dalam program tersebut. Saya mengharapkan konsep khalifah ini dapat diperluaskan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi yang lain kerana bagi saya adalah rugi sekiranya konsep yang baik ini tidak diberikan pendedahan awal kepada golongan muda yang bakal memegang panji Islam dan tampuk kepimpinan negara kelak. Kepada raka-rakan, saya mengesyorkan anda mencubit sedikit ilmu dalam program ini pada masa akan datang. Terima Kasih kepada para trainer dan fasilitator serta sahabat dari IPTA yang sudi meluangkan masa dan mencurahkan ilmu serta berkongsi pengalaman kepada saya. Semoga berjumpa lagi di lain medan perjuangan. Syukran Jazilan Kasiran.
~Selepas Bermain 'Dam Khalifah'~
Syafrul 19 Ogos 2008 10.02 p.m. Rumah 230