Rabu, 13 Mei 2009

Kadang-kadang saya fikir seandainya...

Kadang-kadang saya fikir apa yang akan terjadi kepada saya seandainya saya memilih jalan yang lain bagi meneruskan perjalanan hidup saya. Kadang-kadang saya terfikir kenapa saya pilih yang ini dan bukan yang itu?. Kadang-kadang saya fikir kalau saya pilih jalan ini, apa yang akan berlaku kepada saya sekarang? Apa yang terjadi kepada saya seandainya saya tidak berusaha bersungguh-sungguh di sekolah rendah agama dahulu? mungkin saya tidak dapat markah yang sangat baik untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah agama dan saya akan masuk ke sekolah menengah biasa. Maaf jika saya katakan mungkin saya tidak dapat menahan segala bentuk budaya yang agak negatif di sekolah menengah harian semasa saya membesar sebagai seorang remaja. Mungkin saya tidak bertemu dengan rakan-rakan sekelas saya yang sangat baik di mata saya waktu itu. Mungkin saya tidak bertemu dengan rakan-rakan yang bercerita kepada saya tentang agama. Maklumlah kelas pertama di sekolah agama, disiplin memanglah baik. Saya agak terselamat semasa berumur 13 hingga 15 tahun.
1) Apa yang terjadi kepada saya seandainya saya menanda borang permohonan sekolah berasrama penuh dengan aliran sains agama dan bukan aliran sains tulin. Saya dapat rasakan bahawa seandainya saya menanda aliran sains agama dahulu, saya mungkin saya sudah masuk ke KISAS atau SMAP. Selepas itu ruang saya untuk melanjut pelajaran ke luar negara teramatlah cerah tambahan lagi dengan tarbiyah yang mantap. Tetapi, semasa umur yang tidak matang itu saya memilih aliran sains tulin dan saya mendapat tawaran salah satu sekolah sains terkenal di Johor. Apa akan terjadi kepada saya sekiranya saya memilih untuk menerima tawaran SBP tersebut? Mungkin saya kaya dengan ilmu, saya mudah untuk ke luar negara untuk menyambung pengajian, mungkin juga saya mudah mendapat pekerjaan kelak, mungkin saya gah sebagai produk SBP. Namun saya akur dengan permintaan bapa untuk menyambung pelajaran tingkatan 4 saya di SAM Bestari JAIS. Saya hanya menuruti. Dan saya sedari bahawa SAM Bestari telah mengajar saya mengenai apakah itu solat berjamaah, apakah itu biah solehah, apakah itu batasan hubungan lelaki dan perempuan dan banyak lagi yang saya rasa mungkin saya tidak dapat di sekolah sains. Saya rasa saya akan miskin penghayatan agama sekiranya terus pergi ke Sekolah Sains. Mungkin saya tidak mengenal sahabat-sahabat yang pandai dan mengajar agama kepada saya di tempat lain seperti yang saya peroleh di SAM Bestari. Pada usia 16 tahun yang banyak konflik dalam diri, Sekolah Agama telah sedikit sebanyak menyelamatkan saya.
2) Apa yang akan terjadi kepada saya sekiranya bapa saya membenarkan saya menerima tawaran penajaan negeri selangor untuk mengambil jurusan perubatan di CSMU Ukraine selepas SPM? Mungkin sekarang saya berada di Ukraine. Membesar di sana jauh dari pengawasan ibu dan bapa saya dan saya mendapat 'title' sebagai seorang doktor sekarang. Mungkin saya jumpa rakan-rakan Dr yang lain dan mungkin lain bangsa dan negara. Mungkin juga saya ada menyimpan gambar-gambar bermain salji beserta orang saljinya. ungkin juga saya depat berjalan-jalan ke negara orang. Mungkin semasa saya terbang ke sana, ramai saudara mara saya akan menghantar dan ini akan meningkatkan reputasi keluarga saya kerana memiliki anak yang berjaya melanjutkana pelajaran di luar Malaysia.
3) Apa yang akan terjadi kepada saya sekiranya saya menerima tawaran Engineering di Universiti Teknologi Petronas selepas SPM dulu? Mungkin saya dikelilingi orang yang sangat hebat dari segi otaknya dan tentunya sosial yang berlainan. saya juga akan dikelilingi oleh bangunan yang canggih-canggih serta pemandangan yang cantik serta luas dikampus. Mungkin sekarang saya sudah bergaji beribu-ribu sebagai engineer. saya juga akan gah sebagai seorang produk dari UTP yang ulung dan saya punyai nama dan menjadi buah mulut ramai saudara mara saya. Mungkin saya akan berjumpa rakan-rakan yang lain yang tidak sama dengan sekarang. Sekiranya saya menerima tawaran itu, maksudnya pada umur 18-23 tahun, rencah dan warna hidup saya akan dipengaruhi oleh rakan-rakan tersebut. Pengalaman yang saya akan bina juga mestilah lain. Mungkin cara berfikir saya tidak sama dengan sekarang.
4) Apa yang terjadi sekiranya saya tidak terpilih untuk masuk ke Matrikulasi Perak? sudah tentu saya tidak akan mengenali rakan sebilik saya dahulu. Sudah tentu saya tidak mengenali rakan-rakan tutor saya. Mungkin juga saya tidak mengenali rakan-rakan yang pergi sama-sama ke masjid dengan saya. Mungkin saya tidak akan merasa bagaimana perasaan rakan-rakan saya yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah dahulu.
5) Apa yang terjadi kepada saya sekiranya saya tidak terpilih untuk masuk ke UPSI? Sudah tentu sekarang saya bukan lagi seorang guru. Mungkin apa-apa pekerjaan saya akan menjawat sekarang. Mungkin kerja di makmal atau kilang. Mungkin juga sebagai petani moden. Atau tiada apa-apa. Saya mungkin juga tidak dapat menimba pengalaman melalui program yang saya terlibat dan saya uruskan sendiri. Mungkin juga saya tidak dapat belajar bagaimana hidup sebagai orang bujang di rumah sewa. mungkin juga saya tidak akan berjumpa dengan rakan baik saya di UPSI dan membesar bersama mereka, membina pengalaman dan kenangan bersama mereka. Mungkin saya tidak mempunyai karakter seperti sekarang. Mungkin juga saya tidak akan depat mengecap jawatan yang tinggi di Universiti dulu. Dan mungkin juga terutamanya saya tidak akan mengenali dan berjumpa dengan tunang saya sekarang.
Namun, bagi saya ada masa dalam kehidupan ini kita perlu memilih jalan yang terbaik supaya perjalanan kita yang seterusnya akan menemui kejayaan tanpa menghadapi sebarang risiko yang besar. Itu iradat yang memang tuhan bagi kepada manusia. Kuasa untuk memilih. Tapi memang tuhan yang menentukan apa yang terjadi kepada kita. Apa yang terjadi kepada kita itu bagi saya adalah yang terbaik tuhan hendak bagi kepada kita. Dan saya dapat rasakan setiap pilihan itu memang terbaik untuk diri saya. Ada awal-awal lagi saya sudah menyedarinya dan ada juga yang saya lambat menyedarinya. Saya harap dalam pelilihan seterusnya saya sudah mengenalpasti kebaikan yang akan saya dapat awal-awal lagi. Yang paling penting bersyukur dengan melakukan segalanya dengan terbaik.
Sebenarnya tidak elok saya bermungkin-mungkin dan berjika-jika dan berkalau-kalaulah sebegini, dulu ada belajar masa sekolah pasal berjika-jika ni usikan syaitan jadi sampai tak bersyukur. Tetapi saya suka berimaginasi dan suka-suka bertanya kalau saya pilih jalan ini dulu saya jadi apa sekarang. Mungkin dengan berimaginasi sebegini saya dapat lebih menikmati hidup sekarang ini dengan cara saya, jalan yang saya pilih dan jalan yang Allah tentukan.
p/s: Cuma teringat omelan mak saya. Beliau berkata "nasib baik abang tak jadi engineer masuk UTP dulu, kerja teruk kat pelantar tu.' (",)

3 ulasan:

ukht nazihah berkata...

We plan, Allah also plans, yet Allah is the best planner=)

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
hsyafeart berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.