Pernah dengar mengenai ayat di atas?. Anda adalah apa yang anda makan. Apa yang anda makan itu adalah yang membentuk diri anda. Jika makanan anda itu adalah mengikut kategori dan nisbah makanan yang sihat, dengan izin tuhan anda akan menjadi lebih sihat. Jika makanan anda itu mengandungi gula, garam dan MSG yang tinggi, maka makanan itu boleh dikategorikan kurang sihat.
Begitu juga dengan keberkatan makanan. Sekiranya makanan anda itu adalah berkat, halal lagi bersih dari sebarang bentuk haram dan syubhah, maka makanan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi hati kita. Kita akan menjadi lebih mudah mendengar nasihat, mudah menerima ilmu dan mudah menuruti apa yang disuruh oleh Allah. Makanan yang kita makan dari sumber yang haram juga akan menjadi bahan bakar kita di akhirat kelak.
"Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada yang kamu beriman kepadanya" (al-Maidah:88)
Tetapi, pada sudut yang lain, kita juga ada apa yang dinamakan 'makanan jiwa'. Makanan jiwa ini boleh disamakan dengan makanan melalui mulut dan sistem pencernaan. Kita makan masakan melayu, siam, barat, jepun dan kita akan kenyang dan seterusnya kita akan berasa puas selepas menanggung rasa lapar. Perasaan ini lebih hebat sewaktu berbuka puasa. 'Makanan jiwa' juga begitu, kita akan berasa puas dan bahagia dari dirundung masalah setelah kita makan 'makanan jiwa' tersebut.
Apakah sebenarnya 'makanan jiwa' itu?
Sekiranya mendengar lagu dan hiburan dapat memberikan kita kepuasan dan kebahagiaan, maka itu adalah makanan jiwa kita. Sekiranya menonton siaran bola sepak dapat memberikan satu bentuk kepuasan kepada kita maka itu adalah makanan jiwa kita. Jika dapat membaca dan menghabiskan sebuah buku sama ada novel, fiksyen, bukan fiksyen, agama atau ilmiah dapat memberi kepuasan kepada kita, maka itu adalah makanan jiwa kita. Jika sekiranya bermain permainan video dapat memberikan kepuasan kepada kita, maka itu adalah makanan jiwa kita. Apa sahaja perkara yang memberikan kepuasan bagi kita, maka itu adalah makanan jiwa kita. Mungkin satu atau lebih makanan jiwa anda.
Jadi, anda adalah apa yang anda makan. Jika makanan jiwa anda adalah hiburan, maka anda akan berfikir untuk mencari hiburan sahaja dan itu adalah sebahagian identiti diri anda. Jika makanan jiwa anda adalah buku, maka buku sahaja yang anda cari dan 'ulat buku' akan melekat kepada diri anda. Kalau bola, gila bola jadinya. Kalau 'video game', kaki 'game' lah jadinya. Kalau bercinta, maka 'mat dan minah cintan' lah jadinya. Kalau ibadat, ahli ibadat lah jadinya.
Nampak? Makanan jiwa anda itu sedikit sebanyak membentuk identiti anda dan siapakah anda sebenarnya di muka bumi ini.
Apakah makanan jiwa anda? tepuk dada tanyalah jiwa.
p/s: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik. ( al-Imran:14)
Selasa, 21 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan