Isnin, 20 Julai 2009

PPSMI: Akhirnya Sudah Sampai Ke Satu Titik

Hari ini selepas menonton forum bicara di luar lingkungan, saya melihat perbincangan mengenai PPSMI ini sudah sampai ke satu titik. Bukannya titik noktah yang menggambarkan kita tidak perlu berbincang pasca pemansuhan PPSMI ini. Titik yang saya maksudkan adalah satu titik yang akan menjadi titik persilangan kepada bahasa. Maksud saya, bukan lagi Sains dan Matematik menjadi isunya. Isunya adalah keupayaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris itu sendiri. Persilangan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa adalah isu yang berakar dalam pasca pemansuhan PPSMI ini dan ia akan terus menjalar sehinga satu lagi titik noktah akan ditentukan.
Persoalannya yang timbul seterusnya adalah, adakah dengan pemansuhan PPSMI ini, Bahasa Melayu kembali didaulatkan dan seterusnya dimartabatkan di negara kita? Sekiranya kita meletakkan satu kayu pengukur bahawa Bahasa Melayu telah didaulatkan sekiranya digunakan dalam Sains dan Matematik, maka kita sudah berjaya. Tetapi adakah setakat itu sahaja?
Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan mendaulatkan bahasa Melayu dalam erti kata sebenar? Pada pandangan saya yang masih muda mentah ini, kita perlu meletakkan satu kayu pengukur di mana sekiranya kita mencapai atau melebihi ukuran tersebut, maka bahasa Melayu telah didaulatkan dengan izin.
Dari segi penggunaan, saya dapat rasakan ada orang melayu sendiri yang memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu dalam perbualan seharian. Kebanyakannya adalah golongan aristrokrat melayu. Ini realiti. Contohnya kes Sharifah Amani seketika dahulu. Kadang-kadang ada sentimen dalam masyarakat kita di mana Bahasa Melayu itu kurang popular. Buktinya banyak logo, nama syarikat, cogan kata syarikat, kelab, pertubuhan tidak menggunakan Bahasa Melayu. Kita akan berasa pelik jika menggunakan bahasa Melayu bagi tujuan komersil. Syarikat swasta lebih-lebih lagi.
Kita juga boleh melihat berapa ramai sebenarnya rakyat dan bangsa Malaysia yang lahir di Malaysia boleh berbahasa Melayu? Masih ada yang gagal Bahasa Melayu sekalipun sudah belajar Bahasa ini sejak darjah satu lagi. Berapa ramai ingin menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan perniagaan dan jual beli. Berapa ramai orang yang ingin memilih untuk berbahasa Melayu bagi memberikan 'statement' melalui akhbar dan media elektronik.
Saya sudah menulis dahulu dan bertanya, apakah sebenarnya fungsi Bahasa Inggeris dalam konteks sosiobudaya negara kita? Kita kena berusaha menguasai bahasa Inggeris ke arah fungsi itu sebenarnya. Sama juga dengan Bahasa Melayu, apakah sebenarnya fungsi bahasa Melayu? Jika sebagai bahasa perpaduan, kita perlu berusaha ke arah itu. Jika sebagai bahasa akademik, kita juga perlu angkat bahasa Melayu sebagai bahasa akademik.
Jadi, jika kita berusaha sesuatu untuk menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan kita mengakses ilmu-ilmu yang ada di dunia ini, kita harus lakukan sesuatu juga bagi meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang sebetulnya di Negara kita. Sebagai contoh memberi dana yang mencukupi kepada DBP, publisitikan program yang melibatkan bahasa dan sekurang-kurangnya memperkasakan sastera melayu di sekolah.
Sehingga akan ada satu generasi yang semuanya sayang dan mencintai bahasa kebangsaan kita. Menggunakannya untuk meraih kemajuan dunia.
p/s: Terfikir wujudkah perkaitan antara fungsi PPSMI dan fungsi Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran.

Tiada ulasan: