Apabila disebut remaja maka yang terlintas adalah tanggapan yang negatif daripada masyarakat. Mat rempit , minah rempit, bohsia, bohjan, shuffler, gothic, dan yang lain-lain sudah menjadi identiti sebahagian atau kebanyakan golongan ini, lahir daripada sistem yang dibentuk oleh masyarakat itu sendiri. Tambah lagi dengan keampuhan benteng-benteng masyarakat itu sendiri daripada pengaruh luar dari barat.
Apa yang dizahirkan daripada identiti tersebut adalah sifat memberontak, tidak menghormati orang lain, kurang ajar, memakai pakaian menjolok mata, couple, clash identity dan pelbagai perkara negatif dan mazmumah yang lain. Sehingga orang-orang tua memandang mereka dengan pandangan yang jelek. Semua remaja akan dilabel sebegitu.
Terbaru adalah pendedahan mastika mengenai shuffler yang meminum arak dan berzina. tanpa segan silu. Sebelum ini pendedahan demi pendedahan mengenai golongan ini telah dilakukan. Kebanyakannya adalah negatif. Ini menambahkan lagi tanggapan buruk masyarakat kepada golongan ini. Bukan tidak elok, tetapi bukan semua remaja macam itu.
Bagi saya sepatutnya, disamping mendedahkan golongan negatif, Mastika harus mendedahkan golongan remaja yang baik dan positif. Media cetak atau massa harus memberi sedikit ruang untuk mempublisiti golongan remaja seperti ini.
Bukan tidak ada remaja yang cakna mengenai isu Islam semasa. Bukan tidak wujud golongan remaja yang memilih untuk masuk dalam usrah-usrah dan jemaah Islamiyah sebagai pendinding dari cabaran dunia semasa. Bukan tiada remaja yang ingin mempelajari Islam dengan luhur dan sebenar-benarnya. Bukan tiada komuniti yang sering berbincang mengenai saudara seislam di seluruh dunia. Bukan tidak wujud golongan muslimah yang istiqamah mengenakan tudung labuh. Banyak sebenarnya tapi tenggelam dengan golongan yang satu lagi. Masyarakat tidak nampak golongan ini.
Masih ada remaja di luar sana yang tahu matlamat mereka sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi. Masih ada remaja yang menjadikan Rasulullah sebagai model. Masih ada remaja yang menjadikan Islam sebagai cara hidup dan identiti mereka.
Masih ada remaja persis Zubir bin Awwam yang membincang masalah umat bersama Rasulullah walaupun pada usia 15 tahun. Masih ada remaja seperti Talhah bin Ubaidillah yang digelarkan Rasulullah sebagai 'pohon kebaikan' semasa beliau berusia 16 tahun. Masih ada Sa'ad bin abi Waqash iaitu pemuda pertama yang syahid pada usia 16 tahun.
Jadi bagi saya yang juga diakhir-akhir usia remaja, adalah tidak adil sekiranya meletakkan remaja hanya pada label yang negatif. Masih ada remaja yang ingin berjalan pada jalan yang lurus dan seharusnya masyarakat pandu mereka supaya tidak menyimpang. Masyarakat juga sebenarnya harus menarik kembali mereka yang sudah menyimpang ke jalan yang lurus.
Sesungguhnya Allah menerima taubat hambanya.
p/s: Entry ini adalah respon kepada majalah mastika mengenai shuffle
Khamis, 30 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
bila bercakap pasal keburukan, satu page xcukup, tapi bila bcakap ttg kebaikan, sikit benar yg disentuh oleh media..
ayat2 lecturer marketing..
Catat Ulasan