Kebelakangan ini saya sering mengikuti apakah kesudahan yang bakal berlaku kepada sebuah kampung yang dinamakan kampung Buah Pala. Sehingga hari ini orang-orang kampung ini didesak dengan notis untuk mengosongkan rumah mereka. Rumah mereka juga akan dirobohkan untuk tujuan perumahan.
Empat golongan yang mempunyai peranan dalam drama ini iaitu penduduk, pemaju, koperasi dan kerajaan negeri. Penduduk dengan mempertahankan tempat tinggal mereka. Pemaju yang menunggu untuk merobohkan kampung dan membina perumahan baharu. Koperasi yang menunggu keuntungan setiap ahlinya dari projek itu. Kerajaan negeri yang sering didesak untuk campur tangan dan memikirkan alternatif-alternatif kemungkinan. Masing-masing dengan peranan masing-masing.
Namun saya fikirkan siapa mangsa sebenarnya. Mangsa kezaliman dan mangsa keadaan dalam drama ini. Penduduk yang dikatakan telah mewarisi kampung ini sejak seratus yang lalu pastinya tidak mengetahui tanah mereka telah dijual untuk dibangunkan. Nilai ketika itu lebih kurang 3.2 juta ringgit. Kalau mereka tahu awal-awal lagi, sudah tentu mereka akan membantah rancangan tersebut. Warisan lebih bernilai dari ringgit. Norma masyarakat memang ditetapkan begitu. Koperasi juga telah melaburkan duit mereka untuk projek ini. Ahlinya pasti ramai iaitu dalam 200 hingga 300 orang. Tambah lagi melalui perjanjian, tanah ini menjadi milik koperasi sehingga tahun 2107. Pelaburan masa depan yang sangat panjang. Jadi, mereka pasti menunggu pulangan dari pelaburan mereka. Tidak boleh membatalkan projek begitu sahaja. Ahli-ahli ini akan menanggung kerugian dan hutang di belakang hari. Kerajaan negeri juga akan menjadi mangsa. Sekiranya mereka menggunakan kuasa eksekutif dan mahkamah untuk membatalkan projek ini, sudah pasti saman akan sampai kepada mereka oleh pihak koperasi. Pemaju pula hanya menunggu masa.
Namun, saya melihat penduduk ini lebih menjadi mangsa keadaan. Katakan perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri. Kita sudah tinggal di situ, beberapa generasi, alih-alih dengar akan dijual dan rumah kita itu akan dirobohkan. Mungkin rumah itu tempat kita membesar. Mungkin dengan rumah dan persekitaran kampung membolehkan kita mengenang saat kita bersama ibu dan ayah kita, bermain dengan rakan-rakan dan sebagainya. Jika kita dihalau, ke mana lagi hendak kita mengambil tempat untuk berteduh dari panas dan hujan?. Saya melihat dengan kerja-kerja kampung atau kilang-kilang, rumah mana lagi untuk mereka mencari perlindungan? Hendak mencari lori sewa, anak-anak bersekolah lagi berdekatan dengan kampung. Bagi saya, jika ada peluang untuk membangunkan tempat lain, di tanah yang lain, tanpa menganggu gugat kebahagian manusia, ubahlah ke situ. Batalkan projek dan mulakan projek baru. Duit itu tidak ke mana kalau hendak dicari. Allah yang memberi rezeki. Saya melihat ini dari sudut kemanusiaan dan keluar dari konteks hitam putih dari mahkamah.
Jika gah di kata rakyat didahulukan saban hari di televisyen, maka rakyat di kampung buah pala meminta perhatian untuk didahulukan dari segi hak mereka sebagai manusia yang memerlukan tempat perlindungan dan keselamatan. Hak mereka untuk mengenang memori lalu.
Mungkin episod seperti ini sering berlaku dalam masyarakat kita. Kampung-kampung Melayu, Cina atau India ditukarkan kepada projek-projek pembangunan. Namun, kurang dipublisiti dan dijadikan perhatian. Tidak sepopular episod drama kampung buah pala ini. Mungkin dengan adanya episod seperti ini, golongan yang mempunyai wang dan kuasa lebih berhati-hati dalam isu melibatkan manusia seperti ini.
Saya disini tidak lah sebijak mana, namun saya melihat ini dari sudut kemanusiaan. Kalaulah ini berlaku kepada diri saya, keluarga saya dan tempat saya membesar, saya akan membuat perkara yang sama. Lumrah dunia, kuasa dan wang adalah penentu segalanya.
p/s: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kau terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan....
(Surah al-Maidah:8)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan