Khamis, 22 Oktober 2009

Tuhan Sudah Memberi Petunjuk

Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan siri kejadian sejadah berdiri dengan sendiri. sejadah ini digambarkan seperti orang yang sedang bersujud, rukuk dan qiyam. Barisannya juga seperti satu jemaah yang bersolat terdiri daripada imam dan makmumnya. Kejadian ini dikatakan sebagai salah satu petunjuk keajaiban ciptaan Tuhan.

Kita juga sering mendengar dan melihat beberapa lagi petunjuk keajaiban Tuhan. Contohnya tertulis kalimah "Allah" di langit, pokok atau haiwan. Contoh yang lain adalah kejadian yang luar biasa seperti lembu berkepala dua, pokok kelapa yang bercabang dan lain-lain lagi.






Hakikat sebenar yang ingin saya kongsi adalah, Allah ingin menunjukkan kuasanya sehingga ke kaedah ini. Perlu menunjukkannya tanpa manusia perlu berfikir dan menafsir. Hanya perlu melihat sahaja kalimah-kalimah ini maka barulah terbit di hati manusia rasa takjub. Pada hal kuasa dan keajaiban ciptaan Allah itu sebenarnya ada di mana-mana sahaja. Sedang diri kita tubuh kita sebagai seorang manusia itu juga penuh dengan keajaiban. Sekalin lagi, kepada sesiapa ingin berfikir.

Saya  ingin memberi satu contoh, seorang murid bertanya kepada gurunya, apakah maksud 'god' dalam bahasa melayu. Guru itu boleh sahaja terus menjawab 'tuhan'. Guru itu juga boleh menyuruh anak muridnya mencari di dalam kamus dwibahasa. Guru itu juga boleh menyuruh anak muridnya mencari di dalam laman sesawang. Namun, ada satu cara yang mungkin lebih efektif bagi murid itu mengingati maksud 'god' sampai bila-bila. Anda sudah pasti tahu yang mana. Ilmu yang sukar untuk didapati itu lebih tinggi kesannya.

Sama juga dengan ciptaan tuhan. Ada beza sekiranya kita hanya melihat kalimah tuhan di pokok dan di daun-daun dengan kita mendalami pokok tersebut. Anatomi dan fisiologinya. Bagaimana pokok boleh makan tapi pokok tidak boleh bergerak?. Bagaimana pokok bernafas? . Mengapa pokok berwarna hijau?. Percayalah sekiranya kita mendalami sedalam-dalamnya kejadian Allah yang satu ini, kita akan rasa takjub dan kerdil. Bukan tunjuk kalimah 'Allah' baru nak rasa takjub.

Tidaklah saya memperlekehkan apa yang Allah ingin tunjukkan dari kalimah-kalimahnya. Tetapi kita harus sedar bahawa mengapa Allah tunjuk keajaiban kalimahnya di mana-mana sahaja baru nak timbul rasa takjub.  Tak kan lah tengok sejadah berdiri baru rasa takjub. Semacam Allah bagi kita jalan yang paling mudah untuk ingat Dia kembali padahal dah macam-macam petunjuk Dia betangkan di hadapan kita. Tuhan seakan-akan 'memperli' kita agar kita kembali merenung ciptaanya. Petunjuk-petunjuk ini jika kita fikir lebih dalam, rasa takjub itu pasti lebih.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."

(Surah al-Imran: 190-191)

p/s: Cikgu-cikgu Sains dah cerita keajaiban ciptaan Allah kepada murid-murid?



Kerja atau Belajar lagi?

Minggu-minggu akhir, iaitu sebelum saya akan ditempatkan untuk berkhidmat sebagai seorang guru, saya ada beberapa kali melihat rencana dari blog atau facebook rakan-rakan saya. Tidak kurang juga mendengar dan bertukar-tukar cerita sesama sendiri. Bukan sahaja rakan-rakan seuniversiti malah rakan-rakan sekolah yang sudah lama tidak bersua juga.

Ia berkisar tentang luahan keadaan dan situasi semasa mereka. Saya melihat ada dilema yang sedang melanda mereka. Dilema antara bekerja selepas bergraduat atau menyambung pelajaran bagi memastikan ilmu pengetahuan itu ditingkatan yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang bekerja, hati ada berhasrat untuk menyambung pelajaran. Tidaklah hanya ada ijazah sarjana muda. Hendaklah juga tangan itu mengenggam sarjana. atau doktor falsafah Masyarakat, sanak saudara sekarang akan lebih memandang mereka yang ada sarjana atau doktor falsafah. Kalau tidak masakan ada doktor falsafah tiruan.




Menyambung pelajaran juga merupakan satu budaya dalam masyarakat kia sekarang. Ada peluang, ada PNGK tinggi semasa membuat ijazah, ada duit, sambung sahaja selagi muda dan otak itu masih ligat berfungsi. Tambahan pula kerajaan ada memberi suntikan modal dan bajet disediakan kepada sesiapa yang ingin menyambung pelajaran. Dengan adanya sarjana ini, mungkin kita akan dapat jawatan yang lebih tinggi dalam mana-mana sektor. Paling tidak, kita ada peluang untuk menjadi seorang pensyarah kelak. Sudah tentu gaji yang akan diterima lebih tinggi.

Ada juga saya mendengar dilema daripada mereka yang sedang menyambung pelajaran. Ada yang berasa rugi menyambung pelajaran sedangkan rakan-rakan lain sudah mula membina kehidupan sendiri. Punyai kereta yang gah seperti vios atau honda city atau myvi, sudah berkira-kira untuk berkahwin, sudah berkira-kira untuk membeli rumah, sudah boleh meringankan beban keluarga, melangsaikan hutang dan sebagainya. Dibandingkan dengan mereka, mereka masih lagi bergelumang dengan kuliah, tesis, disertasi, penyelidikan dan lain-lain lagi.



Saya teringat perbualan saya dengan seorang kenalan dari bangsa cina. Beliau ada mengatakan bahawa, sekarang kalau hendak sambung belajar, di mana-mana sahaja boleh dan pada bila-bila masa. Tetapi, pada 2 tahun kebelakangan ini ekonomi sedang merudum dan pasaran kerja tidak beberapa baik. Kita tidak tahu sampai bila ekonomi akan terus jadi gawat. Kalau ada ijazah, master atau phD kalau tidak boleh bekerja rugi juga. Menurut beliau lagi, sekarang persaingan sangat tinggi. Yang ada master dan phD, hendak menjadi pensyarah pun sukar pada masa ini.

Bagi saya, rakan-rakan yang sedang menyambung pelajaran ini berada dalam sektor penyelidikan. dan bukan pekerjaan. Saya ingat lagi forum biologi semasa saya di semester 1 di universiti, Malaysia mempunyai khazanah alam yang banyak tetapi negara kita tidak bijak mengurus. Bagus juga ramai yang sedang menyelidik untuk siapkan tesis dan disertasi. Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada negara. Wang yang kerajaan laburkan kepada pelajar master dan phD untuk penyelidikan ini akan kembali kepada negara dan rakyat. Lebih tinggi ilmu seseorang, lebih tinggi amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

Namun, kita masih tertunduk kepada desakan bahawa kita perlu bekerja dan menjana pendapatan sendiri untuk kelangsungan hidup. Kita sudah diajar sejak kecil bahawa dengan pelajaran yang lebih tinggi , kita juga akan berjawatan tinggi dan bergaji tinggi. Pelajaran itu hanya untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik. Soalnya bila kita mahu memulakan perjalanan baharu dalam hidup kita. Cepat atau lambat. Mula dengan tingkatan ilmu dan kemahiran yang rendah atau tinggi. Bagi saya, itu pilihan sendiri.



Bagi saya hidup ini bukan sahaja untuk memiliki kereta mewah idaman atau  mempunyai rumah yang besar. Bagi saya hidup ini bukan sahaja untuk memiliki tahap ilmu yang tinggi atau berstatus tinggi. Hidup lebih 'complicated' daripada itu untuk difikirkan.

Kadang-kadang ada orang berkerata vios dan honda city pada peringkat umur saya, tetapi mengikat perut kerana hampir setengah daripada gaji hanya untuk itu. Kadang-kadang ada orang berumah besar tetapi makan ala kadar sahaja. Kadang-kadang ada orang hidup mewah tetapi hidup hanya untuk membayar hutang keliling pinggang.

Secara kesimpulan saya memetik kata-kata bapa saya iaitu, "beli kereta ikut kemampuan sendiri'" Kata-kata daripada rakan baik saya "hidup dengan cara dan 'plan' kau sendiri dan bukan orang lain". Akhir sekali, kata-kata ibu saya," Lama-lama abang akan fikir, duit bukan segala-galanya, tapi BAHAGIA".

p/s: Cikgu Syafrul mengambil keputusan untuk bekerja dan memulakan keluarga yang stabil .  Merancang untuk mencari pengalaman sebagai guru dahulu barulah meningkatkan ilmu untuk berbakti kepada masyarakat. Berkira-kira untuk berjimat dan menyimpan duit untuk keluarga yang akan dipimpinnya masa hadapan dengan besederhana. Tidak lupa juga mendalami ilmu agama bagi saham akhirat.





Jumaat, 16 Oktober 2009

Sebenar-benarnya?


Kekayaan yang sebenar ialah akal , kepapaan yang sebenar ialah rosak akal . Sepi yang sebenarnya ialah kagum dengan diri sendiri dan kemuliaan yang sebenar ialah akhlak yang baik. 


(Saidina Ali bin Abi Thalib)




Khamis, 15 Oktober 2009

Teh Tarik dan Roti Bom Telur untuk Diri Sendiri

Pernah dengar orang-orang bijak motivasi berkata kita perlu memberi hadiah kepada diri sendiri atas kejayaan yang kita capai. Hadiah itu sama ada membawa diri kita berlibur bersama keluarga dan rakan-rakan, melancong ke tempat yang belum pernah dikunjungi, bersukan seperti bermain futsal, badminton atau boling, pergi membeli belah seperti baju baru serta menjamu selera di restoran-restoran yang terpilih.

Seperti memberi hadiah kepada orang lain, ia akan membuat seseorang itu rasa dihargai dan disayangi. Disamping itu juga ia akan menjadikan seseorang meningkatkan potensi diri untuk mengejar kejayaan yang lebih hebat dan produktif. Jadi, sama juga kepada diri kita sendiri. Memberi hadiah kepada diri sendiri ini seperti meraikan sesuatu kejayaan.

Dalam bidang psikologi, ia dinamakan sebagai Teori Pelaziman Operan Skinner. Satu bahagian daripada teori beliau adalah peneguhan positif. Peneguhan postif adalah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. dengan bahasa yang lebih mudah, berilah ganjaran atau hadiah untuk mengekalkan atau meningkatkan prestasi. Menurut Rachlin, peneguhan ini juga diberi atas tujuan memuaskan kehendak, mengurangkan tekanan dan juga merangsangkan otak.

Saya juga selalu memberikan ganjaran kepada diri saya. 3,4 tahun kebelakangan ini saya sering menghadiahi diri saya setelah mendapat dekan dalam satu-satu semester. Hadiahnya adalah dalam bentuk makan-makan ditempat yang sedap dan jarang-jarang dikunjungi. Jalan mudah adalah pergi ke KFC.

Pada hari ini saya menghadiahkan roti bom telur dan teh tarik kepada diri saya. Tambah lagi pada waktu hujan petang. Suasananya sungguh damai. Lagipun sudah lama saya tidak menikmati roti bom telur di alef maju.


                     
                                   ~ Teh Tarik~                                               ~Roti Bom Telur~

Hadiah ini untuk apa sebenarnya?

Pertama hadiah ini diberi kerana saya berjaya diterima untuk ditempatkan di negeri Perak sebagai seorang guru. Saya berjaya memperoleh pekerjaan selepas bergraduat dan tidak jauh daripada keluarga. saya sudah boleh bermula mengumpul dana dan mencari nafkah untuk bakal isteri.

Kedua adalah meraikan kejayaan tunang saya mendapat tempat kedua dalam pameran model solar. Untuk pengetahuan, kumpulan beliau membangunkan model solar pengecas telefon bimbit (Solar Charger Handphone). Bagi saya berbaloi juga saya mengajar serba sedikit, memberi pendapat serba sedikit dan menolong ahli kumpulan ini  serba sedikit mencari komponen elektronik di Jalan Pasar baru-baru ini. Melihat kepada skema litar itu pun saya rasa sukar. Namun, dengan izin tuhan, telefon bimbit boleh dicaskan. Saya rasa mungkin kepayahan mencipta model ini membenarkan mereka mendapat tempat kedua. Saya pun tumpang gembira kerana dapat menjadi pelakon tambahan dalam siri kejayaan ini.

Mungkin apalah sangat teh tarik dan roti bom telur ini berbanding makanan mewah. Namun, ia cukup dijadikan ganjaran untuk kepuasan diri saya.

Semoga pengunjung dan sahabat tidak lupa untuk sekali sekala belanja diri sendiri atas kejayaan yang telah dicapai. Teh tarik dan roti bom telur pun apa salahnya.

Sekian.




Pelantikan Guru Sandaran Siswazah Terlatih



Cikgu Syafrul telah dijemput untuk menghadiri sesi taklimat dan pelantikan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) bertempat di PPD Kinta Utara, Ipoh pada 26 Oktober 2009.

Cikgu Syafrul ingin merapatkan setinggi syukur dan terima kasih kepada Allah S.W.T kerana memberikan peluang kepadanya untuk menjadi pendidik.

Syukur dan Terima Kasih juga kerana dipilih untuk berkhidmat di negeri pilihannya iaitu Perak, tidak jauh dari kampung halamannya dan kampung halaman tunangnya di Pulau Pinang.

Cikgu Syafrul juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia kerana menawarkan jawatan GSST dan membenarkannya untuk berkhidmat.

Cikgu Syafrul juga meminta doa dari sahabat pengunjung bagi melancarkan proses penempatannya di sekolah yang dijanjikan.

Sekian. Terima Kasih.

'Celik Insan Kerana Guru Unggul'



Rabu, 14 Oktober 2009

Sepohon Kayu


"Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah"

(Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

 


 

Selasa, 13 Oktober 2009

hsyafeart

Assalamualaikum. Mulai saat ini, laman blog ini yang dahulunya beralamatkan syafansuri.blogspot.com akan ditukarkan kepada hsyafeart.blogspot.com. Ia diinspirasikan dari 2 perkataan iaitu syaf dan heart iaitu hati.

Penukaran ini dilakukan atas dasar ingin berhijrah kepada satu tingkatan perkongsian pendapat dari mata hati kepada pengunjung dan sahabat yang sudi melawati dan melewati laman blog ini. Bagi saya persoalan dan tema hati ini lebih universal dan lebih 'memahami'.

Semoga dengan penghijrahan ini akan dapat memfokuskan perkongsian saya yang akhir-akhir ini lebih kepada tema mata hati untuk dikongsi bersama hati pembaca. Insyaallah.

Seterusnya saya ingin mencari pengatas laman blog yang sesuai dengan tema hati. Mungkin esok dan mungkin juga lusa. Usai saya menyiapkannya, saya akan paparkan.

Salam dari saya.



Kembara Hati: Tanah Tinggi Genting

~Syafrul, Shafik, Syahidan, Asraf~

Ia hanyalah sekadar Tanah Tinggi Genting. Tempatnya sejuk dan ia juga dikenali sebagai Kota Keriangan (City of Entertainment). Namun pada hari kejadian, saya dapat bersama rakan yang dekat dan  yang jauh untuk berseronok sebelum kami ditempatkan di sekolah-sekolah jauh dari kampung halaman untuk satu tujuan, mendidik anak bangsa.

Terima Kasih sahabat untuk kenangan di tempat tinggi ini

Tanam Roselle: Hari Pertama

Baru-baru ini saya pergi menziarahi rakan saya di Segamat Johor. Rakan saya ini menghidangkan saya air Roselle. Saya pernah rasa air ini, iaitu semasa kami pelajar Biologi mengadakan pameran di Universiti. Sedap juga rasa air ini. Rasanya seperti air ribena.
Saya pun pergi mencari sedikit info mengenai pokok bunga ini. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'Hibuscus Tea'. Terlintas di hati saya mungkin masyarakat eropah menjadikan bunga ini sebagai air teh panas untuk diminum bersama keluarga dan rakan di waktu pagi dan petang. Bunga ini juga dipercayai boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Terdetik di hati saya untuk menanam pokok bunga ini. Kerana saya dapat rasakan pokok bunga ini adalah unik. Unik kerana bukan sahaja untuk hiasan tetapi boleh dijadikan minuman.Tambahan lagi, akan timbul perasaan seronok jika dapat menanam dan menjaganya sehingga menghasilkan bunga. Itu adalah kepuasan dari hobi menanam pokok. Lagipun bentuk bunganya juga sangat cantik dan lain dari yang lain.
Jadi saya dan rakan saya pergi ke pasar malam di Segamat dan membeli bunga Roselle ini. Niat di hati untuk menjadikan ia sebagai buah tangan untuk bonda bila pulang ke rumah disamping mencuba untuk menanam pokok bunga ini.
Sampai sahaja di rumah, saya pun mengupas kelopak bunga ini satu persatu dan bonda saya membantu untuk merebus kelopak tersebut. Kemudian, bijinya saya ambil dan keringkan selama 2 hari. Selepas itu baru saya boleh mendapatkan biji benih pokok bunga tersebut.
Di bawah ini saya sertakan gambar proses-proses menanam pokok bunga Roselle ini:
~Proses Mengeringkan Biji~
~Biji cukup kering jika ia terbuka dengan sendiri~
~Biji benih yang telah dikeluarkan. 26 Biji kesemuanya dan berwarna hitam~
~Selesai Menyemai~
Selepas ini saya akan menunggu biji benih ini bercambah dan ingin mencari baja yang sesuai untuk pokok bunga Roselle ini. Saya akan menggunakan semua ilmu tumbuhan yang saya belajar semasa di Universiti dahulu. Doakan ya.
p/s: Tanam Pokok itu SADAQAH...(",)

Dari Hal Ilmu


"Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta itu terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan"
 (Sayidina Ali)

Jumaat, 2 Oktober 2009

Alam Mulai Enggan Bersahabat Dengan Kita



"Barangkali disana ada jawabnya, 
Mengapa ditanahku terjadi bencana, 
Mungkin Tuhan mulai bosan, 
melihat tingkah kita, 
yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa, 
Atau alam mulai enggan, 
bersahabat dengan kita, 
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang"
(Berita Kepada Kawan, Akhil Hay)