Rabu, 30 Disember 2009
Senarai Tugas 2010
Dengan ini saya sertakan senarai tugas yang telah diamanahkan oleh sekolah kepada saya untuk dilaksanakan sebaik-baiknya.
Guru Matapelajaran Biologi Tingkatan 4, Guru Matapelajaran Sains Tingkatan 4, Guru Matapelajaran Sivik Tingkatan 5, Guru Kelas 4 Sains Sukan, Penyiasat Kes Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan, Harta Modal dan Inventori, Penolong Setiausaha Dokumentasi Sekolah, Ahli Jawatankuasa Edu Blog, Ahli Jawatankuasa Takwim, Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin Sekolah, Penyelaras Keselamatan, Ahli Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan Dadah & SLAD, Penolong Setiausaha Ahli Jawatankuasa Sekolah Selamat, Ketua Rumah Sukan Kuning, Ketua Kelab Pengguna dan Alam Sekitar, Bola Baling, Puisidra Sains.
Doakan saya dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi bagi kecemerlangan pelajar saya Insya Allah.
Isnin, 28 Disember 2009
Album Terbaru Mirwana
Sedang menunggu kemunculan Album Mirwana yang terbaru tahun hadapan. Saya memang meminati nasyid yang diperkenalkan oleh kumpulan ini.
p/s: Kena simpan duit. Nak beli yang original. (",)
Selamat Pengantin Baru Faris Fuzai
Pernah atau tidak saudara saudari dengar, nabi pernah berpesan kepada kita, sebagai seorang muslim, kita perlu memenuhi hak muslim yang lain dengan memenuhi jemputan walimatul urusnya.
Pernah atau tidak saudara saudari dengar, alim ulama dan ustaz bercerita, bertemu sahabat dan mengeratkan kembali tali silaturahim adalah ibadat yang dituntut untuk kita kerjakan.
Saudara pernah rasa atau tidak, kebahagiaan dan ketenangan setelah mengerjakan satu ibadat semata-mata kerana Allah? Lebih-lebih lagi yang saya nyatakan di atas?
Saya dapat merasakannya semasa memenuhi undangan sahabat saya di Pulau Pinang. Saya dapat memenuhi haknya dan sudah tentu dia gembira. Saya dapat merasakannya selepas bertemu dan beramah mesra bersama sahabat yang sudah lama tidak bersua dan mendengar khabar berita. Bersalam-salaman menggugurkan dosa di celah-celah jari. Saling senyum memberi sedekah. Kan itu ibadat namanya.
Mungkin perkara ini kecil, tapi hikmahnya besar di sisi Allah.
Saya mendoakan sahabat saya, Fariz berbahagia ke anak cucu. Saya mendoakan sahabat-sahabat saya dapat menggapai cita-cita yang ingin dicari. Terima Kasih.
Jumaat, 25 Disember 2009
Sediakanlah Waktu
Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.
Ahad, 20 Disember 2009
Ulasan Buku: Quranic Law of Attraction
Semasa saya melihat buku ini dari jauh, sangkaan saya ia adalah kesinambungan daripada buku bertajuk 'The Secret'. Namun selepas diamati, tajuknya adalah Quranic Law of Attraction. Dalam hati saya berkata, mengapalah kulitnya lebih kurang sama, cuma diislamikan. Itu sahaja. Terfikir sejenak, mungkin buku ini ada berkongsi berkenaan kaitan al Quran dan hukum tarikan. Saya sendiri tidak pasti apakah itu hukum tarikan. Jadi, saya ambil , bayar dan baca buku ini.
Selepas saya selesai membaca buku ini, saya sudah faham apakah sebenarnya hukum tarikan. Hukum tarikan ini telah dibincangkan dalam buku 'The Law of Attraction' dan 'The Secret'. Penulis Quranic Law of Attraction itu sendiri seperti mencari ayat-ayat al quran mengenai hukum tarikan yang diperkenalkan ini.
Secara mudah, hukum tarikan ini bererti keadaan sekeliling bergantung kepada kita. Menerima atau menolak. Jika kita sendiri tidak memberi peluang kejayaan dan kebahagiaan masuk dalam diri kita, maka kita gagal untuk menariknya. Sebaliknya, kita akan menarik kegagalan. Mudah sahajakan? Kalau kita berbuat baik dengan orang sekeliling, orang pun sukakan kita. Rezeki pun senang nak masuk. Kejayaan dan kebahagiaan pun dapat dikecapi.
Apa yang al quran telah ajar kepada kita? Penulis berkongsi tiga elemen utama dalam hukum tarikan. Pertama syukur. Kedua Doa. Dan yang ketiga Sabar. Pernah atau tidak saudara berfikir mengapa al Quran selalu menekankan kita agar selalu bersyukur? Mengapa kita disarankan agar sentiasa berdoa? Mengapa kita diminta untuk selalu bersabar? Ayat-ayat Allah mengenenai tiga elemen ini terlalu banyak.
Apa yang penting, selepas membaca buku ini, saya dapat merasakan bahawa ada banyak sebenarnya dalam al Quran ini kata-kata peransang, kata-kata motivasi dan kata-kata semangat. Cuma kita berusaha mencari atau tidak. Sama ada kita jumpa atau tidak. Sama ada kita perasan atau tidak. Itu sahaja.
Cubalah mencari dan membaca buku ini.
p/s: Dan apabila dibacakan al Quran, maka dengarkanlah dan diam supaya kamu mendapat rahmat (al 'Araf : 204)
Jumaat, 18 Disember 2009
Hijrah Ini Atas Dasar Apa?
1431 tahun yang lalu, junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. melakukan satu perpindahan antara yang terbesar dalam sejarah. Atas dasar apa Nabi, para sahabat dan para pengikut baginda sanggup meninggalkan tanah air yang mereka cintai, keluar dan menuju ke satu negeri yang lain? Bukan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan. Mereka meninggalkan segala bentuk aset yang mereka miliki sekian lama. Rumah, tanah yang mereka usahakan, binatang ternakan waima keluarga sekalipun, mereka tinggalkan. Sehelai sepinggang mereka berangkat satu negeri yang mereka sendiri tidak tahu untung nasib. Tenggelamkah atau timbulkah. Bukan sedikit risiko yang harus mereka tempuhi. Mungkin mereka dihalang oleh puak musyrikin yang ingin memerangi mereka. Mungkin mereka terserempak dengan penyamun. Mungkin mereka akan menempuh badai ribut pasir. Junjungan besar sendiri hampir dibunuh oleh pemipin quraisy namun diselamatkan oleh Saidina Ali. Khalifah pertama sendiri dipatuk oleh ular.
Jadi, untuk apa mereka bersusah payah untuk semua ini? untuk apa Hijrah yang besar ini harus dilakukan? Bukankah lebih elok teruskan sahaja usaha dakwah di Mekah yang semakin hari semakin menampakkan pertambahan pengikutnya. Aset-aset yang ada boleh digunakan sebagai dana untuk meneruskan kerja dakwah. Tidak perlu bimbang atas keselamatan keluarga yang akan ditinggalkan.
Jadi, untuk apa mereka bersusah payah untuk semua ini? untuk apa Hijrah yang besar ini harus dilakukan? Bukankah lebih elok teruskan sahaja usaha dakwah di Mekah yang semakin hari semakin menampakkan pertambahan pengikutnya. Aset-aset yang ada boleh digunakan sebagai dana untuk meneruskan kerja dakwah. Tidak perlu bimbang atas keselamatan keluarga yang akan ditinggalkan.
Jawapannya sudah tersedia di dalam sirah yang telah digarap. Satu tujuan yang utama adalah untuk membina KERAJAAN ISLAM yang berlandaskan al quran dan sunnah di negeri Madinah al Munawarah. Tinggikah nilai dan harga satu Kerajaan Islam yang ingin dibina sehingga banyak aset telah dikorbankan? Jawapan yang saya akan berikan adalah berbaloi.
Berbaloi dari segi kita akan terus berjaya dalam usaha membebaskan orang madinah daripada kegelisahan tanpa bertuhan dan bersyariat kepada berpaksikan Allah S.W.T. Berbaloi dari segi kita akan berjaya melaksana undang-undang yang telah diperintahkan Allah sebagai memenuhi haknya. Berbaloi dari segi kita akan berjaya memulakan satu institusi keilmuan yang tinggi. Berbaloi dari segi kita akan mengamalkan satu sistem ekonomi Islam yang tidak menindas dan jauh daripada riba. Berbaloi dari segi kita akan berjaya memperkenalkan satu sitem politik yang adil, saksama dan memakmurkan negara. Berbaloi dari segi kita akan memulakan satu sistem sosiologi di mana setiap rakyatnya akan berkongsi satu pegangan iaitu ajaran Nabi dan berkongsi satu matlamat iaitu Allah. Berbaloi kerana kita akan mencipta satu keadaan yang baik (biah solehah) dalam kalangan rakyat dalam jajahan Islam. Maka, gejala rasuah yang merugikan negara, rogol yang merendahkan wanita, pembunuhan yang melayakkan manusia setaraf dengan binatang tidak akan berlaku dalam negara. Setiap rakyat mempunyai akhlak yang tinggi kerana akhlak mereka telah disempurnakan oleh Nabi.
Setidak-tidaknya, hijrah yang dijalankan oleh nabi dan pengikutnya 1431 tahun yang lalu dijadikan satu simbolik kepada umat Islam pada zaman ini untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Perubahan dalam erti yang positif. Tanpa melupakan ada perkara yang harus dicagarkan dan dikorbankan bagi merealisasikan perubahan tersebut.
Saudara, percayalah bahawa sekiranya kita sama-sama sedar bahawa satu intisari besar Hijrah ini adalah untuk membina kerajaan islam yang diredhai Allah, maka kita sama-sama akan berganding bahu bagi mewujudkan kerajaan tersebut.
Lihat disekeliling kita. Dengar setiap khabar yang menerjah ke telinga kita saban hari. Rasuah, mat rempit, pelacuran, rogol, bunuh, ragut dan sebagainya menjadi citra yang mewarnai hari-hari kita. Kejadian ini sebagai satu cermin yang menggambarkan bahawa adakah kita masih tidak mahu mengambil intipati peristiwa hijrah itu sendiri atau kita tidak mahu berhijrah untuk mewujudkan biah solehah dalam masyarakat kita? Adakah benar kita sudah mengambalikan kerajaan yang kita bina kepada Allah dan Rasulnya?
p/s: Satu persoalan yang bermain difikiran saya usai mendengar khutbah jumaat pada hari ini. Mengapakah Saidina Umar mengambil tahun permulaan kalendar Islam dengan peristiwa hijrah dan bukannya kelahiran Nabi S.A.W.? Kalendar masihi menggunakan kelahiran nabi Isa sebagai asas permulaan kalendarnya. Ada sesiapa boleh terangkan kepada saya?
Khamis, 17 Disember 2009
Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah
"Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya setiap amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang BERHIJRAH kepada Allah dan RasulNya, maka HIJRAHNYA itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang BERHIJRAH kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka HIJRAHNYA itu adalah atas apa yang ia BERHIJRAH kerananya."
Semoga kita bersama dapat membuka lembaran baru dan menulis di atasnya dengan tinta-tinta semangat dan pengalaman Hijrah yang hakiki, segar dan positif agar kepada Allah dan RasulNya penamat legasi diari cerita kehidupan kita.
Selamat Menyambut Tahun Baharu Maal Hijrah.
Syabas Pasukan Bola Sepak Negara
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan bola sepak negara yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam temasya sukan SEA pada hari ini. Maka, penantian seluruh rakyat Malaysia selama 20 tahun akhirnya terjawab dengan kesungguhan yang ditunjukkan. Sesungguhnya saudara semua menunjukkan corak permainan yang kita semua harapkan selama ini. Anda membuktikan lagu negaraku yang tercinta dapat didendangkan.
Terima Kasih kerana mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia seluruhnya terhadap sukan bola sepak. Semoga dengan pingat ini, pasukan Malaysia akan terus melakar kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang. Doa saya sentiasa bersama anda.
Doa Awal dan Akhir Tahun
~ Doa Awal Tahun ~
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.
~ Doa Akhir Tahun ~
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
Rabu, 16 Disember 2009
Cinta Itu
"Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur,di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji"
~ Hamka ~
Isnin, 14 Disember 2009
Waja Lancer 2010
Berita Harian hari ini melaporkan bahawa Proton Holdings Berhad akan memperkenalkan model Waja yang baharu menggantikan waja yang ada di jalan raya sekarang. Model yang akan digunakan Proton bagi menggantikan Waja ini akan menampilkan beberapa perubahan kosmetik dalaman dan luaran berbanding model Lancer 2.0 GT sedia ada di pasaran. Antaranya, ia akan menggunakan enjin dengan kapasiti yang lebih kecil sedikit, iaitu 1.8 liter, komponen dalaman menggunakan produk keluaran vendor tempatan yang terpilih serta beberapa ciri lain yang dapat menjadikan model itu mampu menawarkan harga lebih berdaya saing.
~ Waja Lama ~ ~ Mitsubishi Lancer 2.0 ~
~ Waja 2010 ? ~
Harga yang ditawarkan adalah RM 80,00 sebagai perkenalan.
Penulis sedang menunggu kemunculan kereta ini sejak khabar angin mula tersebar. Setelah selesai meneliti dan membaca artikel mengenai pandu uji kereta ini, mungkin penulis akan tergerak hati untuk memiliki kereta ini kelak. Namun, penulis tidak pasti bilakah masa yang sesuai boleh memilikinya. Bagi penulis tidak rugi untuk menunggu dan mengumpul dana untuk memilik kereta sedan 1.8L dengan harga tersebut disamping menunjukkan rasa patriotik dengan memacu ekonomi negara. Lagi pun, kereta ini lebih sesuai dimiliki apabila sudah berkeluarga kelak. Lupakan dahulu MyVi, Vios, City dan yang seangkatan dengannya.
Saya mengharapkan yang terbaik untuk proton.
p/s: Sering memandu kereta proton waja milik bapa. Selesa untuk perjalan jauh dan agak mengalami pemanduan sebenar.
Wahai Pemimpin
"Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia yang lain."
Rabu, 9 Disember 2009
Ulasan Buku: Kudeta Intro & Kudeta Klimaks
Apakah maksud kudeta sebenarnya? Kudeta bermaksud gulingkan kerajaan atau merampas kerajaan dengan cara yang ganas dan paksaan.
Bagi saya buku ini seronok untuk dibaca. Banyak unsur politik dan peperangan serta perjuangan Sememangnya novel yang sesuai untuk tatapan lelaki. Jalan cerita juga penuh dengan unsur saspen yang memaksa kita untuk berimaginasi dan berfikir langkah cerita yang seterusnya.
Syabas PTS Fortuna. Semoga genre seperti ini akan ber'lambak' dalam pasaran negara. Tidak sabar untuk menunggu terbitan genre seperti ini lagi.
Kepada sahabat dan pengunjung, saya mengesyorkan anda untuk mencuba membaca buku ini. Lari sebentar daripada novel cinta islami.
p/s: Terfikir bagaimana penulis boleh menghasilkan novel seperti ini. Pengalaman atau rajin membaca?
Dari Hal Seorang Manusia
Nilai seseorang sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiaannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya.
Langgan:
Catatan (Atom)