Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya sejurus saya mendengar cadangan ini adalah dari segi harga setiap cawan dan snek yang diberikan serta pertumbuhan pasangan-pasangan yang akan ber'dating' dalam kafe francais. Seperti yang kita sedia maklum, harga secawan kopi di Starbucks boleh menjangkau sehingga 10 ringgit secawan. Bagi saya harga ini cukup mahal bagi seorang mahasiswa yang bergantung pada pinjaman kewangan. Pada masa yang sama, percambahan pasangan-pasangan ber'dating' akan meningkat dengan penubuhan kafe francais ini. Hal ini sedikit sebanyak akan meningkatkan pergaulan bebas dalam kalangan mahasiswa. Ditambah lagi dengan suasana yang kondusif, ekslusif dan romantik mengundang si jejaka untuk mengajak si dara untuk minum bersama. Tidak kurang juga budaya melepak dalam kalangan mahasiswa akan mekar subur di kampus dengan adanya kafe francais seperti ini sekiranya ia disalah gunakan oleh mahasiswa.
Alhamdulillah. Syukur kepada Ilahi. Buat kali ke-3 saya dapat senarai dekan. Lebih manis lagi dapat A untuk subjek Genetik. Dapat menaikkan martabat kaum lelaki di sana. Ini dapat menambahkan lagi semangat saya untuk terus mengejar matlamat saya sebelum keluar sebagai graduan iaitu PNGK atau CGPA 3.40 dan ke atas serta 20 sijil penyertaan dan aktiviti di kampus dan kolej. Insyaallah. Kepada rakan-rakan yang berjaya saya ucapkan sekalung tahniah.
kamu meniti arus sayang ombak nya besar dan gagah kelihatannya kamu sudah kalah dahulu sebelum kamu bertempik ALLAHUAKBAR memejam matamu menghamburkan kesedian mati syahid ruh mu akan berterbangan di ruang angkasa syurga yang tidak terbilang kamu sudah rebah sayang terduduk tersedu menahan esakan sedangkan ombak hanya baru surut sebelum ia menjadi gadang kamu kan boleh berikhtiar sambil tawakkal berazam melaungkan azan tanpa gentar mengumpul derita yang pahit menjadi satu benteng tegar dalam jiwa yang terbakar emas membentuk jiwa bersinar kamu kan mengerti sayang syurga itu hanya dini'mati ruh yang sabar tegar terbakar tanpa undur sewajar akal kamu hanya bertopengkan iman sedangkam keislamanmu bergegar dek ujian tersohor sejak dahulu kala tanpa pengorbanan adakah kemanisan iman wujudkah langkah yang jelas menuju Redho Tuhan?
Mengikut perancangan, pihak alumni Kolej Matrikulasi Perak akan mengadakan Program Sireh Pulang Ke Gagang pada 20-22 Jun 2008. Seperti biasa, saya tidak dapat memenuhi tuntutan untuk menghadirkan diri pada tarikh tersebut kerana sibuk menjalani Rancangan Orientasi Sekolah (R.O.S) di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat meskipun saya dahulu merupakan wakil universiti saya untuk alumni ini dan terlibat secara langsung dalam menjayakan penubuhan alumni secara rasmi pada julai 2006 merangkap AJK untuk Program Sireh Pulang Ke Gagang pada tahun tersebut. Namun Insyaallah pada tahun akan datang saya akan cuba mencari sedikit kelapangan masa dan wang ringgit untuk bersama menjayakan program ini.
Saya mengucapkan selamat berjaya kepada AJK yang terlibat dalam program ini. Sumbangan saya hanya sekadar menyelitkan banner program sebagai sebahagian daripada publisiti dalam blog saya ini.
Sekian. Terima Kasih.
Syafrul
Mantan Wakil UPSI Alumni KMPK 2005/2006
14 Jun 2008
11.25 p.m.
Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman.
Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga. Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji. Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku. Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya. Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja. Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang hidup membujang. Pemuda yang menganggur sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi. Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya.
Sama fikir untuk cetus faham. Terima Kasih sudi membaca.
Syafrul 1.42 a.m. 14 Jun 2008Isu pendidikan seks ini mula hangat dibicarakan apabila kejadian rogol, zina dan sumbang mahram menjadi wadah utama di dada akhbar dan sentiasa jadi modal perdebatan, pembentangan usul dan perubahan akta dalam parlimen. Tidak cukup dengan itu, penyebaran virus AIDS semakin meluas sekarang akibat daripada industri pelacuran dan rumah-rumah urut yang bercambah di mana-mana sahaja ditambah lagi dengan penagih-penagih dadah yang tegar di lorong-lorong gelap dan di bawah jambatan-jambatan. Maka kerajaan Malaysia telah mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Cadangan daripada kementerian kesihatan tidak lama dahulu, salah satu daripada jalan penyelesaian tersebut adalah dengan pemberian kondom secara percuma di samping memberi suntikan percuma. Akan tetapi, pada pendapat saya, pemberian kondom secara percuma ini akan menggalakkan lagi industri pelacuran andaikata ia tidak digunakan oleh pasangan-pasngan yang telah berkahwin secara sah. Secara logiknya, modal industri ini akan berkurangan kerana pembelian kondom akan diketepikan dalam belanjawan mereka dan tidak mustahil ia akan menjadi salah satu daripada belanjawan negara. Maka dengan itu, pendidikan adalah satu daripada jalan penyelesaian kepada masalah di atas iaitu melalui pendidikan seks di sekolah. Sehinggakan ada cadangan dari kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Menterinya. Ng Yen Yen untuk menerapkan pendidikan seks dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Rasulullah juga menyuruh umatnya untuk mengasingkan anak-anak mereka semasa tidur ketika umur mencecah 7 tahun. Rasulullah juga mengingatkan kita untuk tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan kerana akan hadir orang ketiga iaitu Syaitan dan syaitan sememangnya akan menggoda 2 manusia ini untuk melakukan zina. Sememangnya sudah menjadi kerja syaitan untuk memberikan pemandangan cantik seorang wanita di mata lelaki supaya lelaki itu tergoda dan membangkitkan nafsu lelaki tersebut. Islam tegas dalam mencegah kejadian zina ini daripada berlarutan. Firman Allah S.W.T di dalam surah an-Nur ayat 2 yang bermaksud Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka pukulah mereka setiap seorang dari keduanya seratus kali pukulan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya daripada mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah perlaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman. Sekiranya hukuman ini dilaksanakan di khalayak ramai maka tidak akan ada seorang pun yang berani untuk melakukan perkara seumpama ini. Lagipun pukulan seratus kali dibahagian sum-sum tulang akan merangsang penghasilan sel darah putih yang banyak seterusnya virus HIV akan terhapus dalam badan.
Syafrul
12 Jun 2008
12.50 a.m.
Reaksi rakyat semestinya tidak setuju dan tidak berpuas hati dengan kenaikkan mendadak dan tertinggi dalam sejarah negara kita. Dalam tempoh seminggu sudah banyak piket dan perhimpunan secara aman tanda protes dan mendesak kerajaan menimbang semula kenaikkan harga minyak. Perhimpunan ini kebanyakannya dijalankan selepas solat jumaat dua hari selepas pengumuman itu dikeluarkan. Pelbagai persoalan diajukan oleh rakyat mengenai harga minyak ini. Antaranya adalah mengapa ia perlu dinaikkan sedangkan kita adalah pengeluar minyak dunia. Sekiranya wujud kenaikkan harga minyak dalam pasaran dunia sudah tentu negara kita mendapat manfaat daripada kenaikan tersebut dengan mengambil kira negara Arab Saudi boleh meletakkan 38 sen seliter sahaja bagi keperluan rakyatnya. Kemudian timbul juga persoalan ke manakah wang dari keuntungan lebih 700 bilion ringgit yang diperoleh Petronas dibelanjakan oleh kerajaan? Mengapa rakyat tidak dapat menikmati sepenuhnya keuntungan tersebut. Hal ini ditambahkan lagi dengan keyakinan pihak pembangkang yang menyatakan harga minyak boleh dikurangkan dengan menggunakan dana daripada Petronas.
Soalan ini juga telah diajukan oleh YB Salahudin, Ketua Pemuda PAS dalam satu perdebatan mengenai penstrukturan semula subsidi minyak bersama Datuk Shahrir Samad. Jawapan yang telah diberikan oleh Datuk Shahrir sebagai pihak kerajaan adalah perolehan Petronas itu digunakan juga dalam sektor lain yang lebih memerlukan iaitu seperti pendidikan, makanan serta pembangunan. Penstrukturan itu sendiri juga menurut beliau untuk mengelakkan ketirisan dan salah guna subsidi oleh rakyat atau pihak yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula, penstrukturan tersebut juga dapat membantu menaikkan subsidi kepada sektor makanan yang dikatakan lebih penting daripada keperluan minyak. Menurut beliau lagi, rizab minyak di negara kita turut kurang daripada negara pengeluar lain. Saya sebagai rakyat tidak tahu akan hal ini kerana rizab dan akaun Petronas tidak pernah dibentangkan dalam Palimen mahu pun dihebahkan dalam media massa.
Sejauh mana subsidi ini disalurkan dengan sebaiknya. Maksud saya walaupun subsidi telah diperuntukan atas sektor makanan, harga makanan tetap juga naik. Resminya, harga minyak naik harga barang keperluan mesti naik juga. Timbul juga persoalan saya, mengapa perlu diberikan rebat? sedangkan pelajar IPT yang bijak pandai kalau dapat biasiswa atau pinjaman mereka gunakan bukan atas tujuan pelajaran. Inikan pula rakyat biasa. Kalau dapat 625 ringgit adakah satu jaminan mereka akan gunakan untuk minyak? Kalau tidak masakan hari ini, 11 jun 2008 kerajaan meletakkan pembayaran gaji bagi kakitangan kerajaan di buat 2 kali sebulan. Bagi saya ini bermakna rakyat Malaysia masih tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik dan mantap. Kerajaan juga turut membenarkan kakitangan kerajaan untuk berniaga bagi meningkatkan pendapatan isi rumah. Hal ini bertentangan dengan pendirian kerajaan dahulu. Saya khuatir kecekapan pekerja dan kakitangan kerajaan akan menurun sekiranya mereka lebih bertumpu kepada berniaga. Sekiranya mereka masih fokus kepada tugas mereka sebagai penjawat awam bagi saya itu adalah perkembangan positif.
Rakyat juga disarankan supaya mengubah gaya hidup iaitu dengan berjimat cermat dalam penggunaan minyak dan penggunaan elektrik. Sekiranya saranan ini dikeluarkan sebelum kenaikan minyak, saya memang bersetuju. Penggunaan minyak yang tidak cermat akan melepaskan lebih banyak gas karbon dioksida ke dalam atmosfera dan ini akan meningkatkan kepekatan gas rumah hijau dalam atmosfera seterusnya pemanasan global akan terus berlaku. Penggunaan elektrik juga ada berkaitan dengan penggunaan minyak bagi menjana turbin bagi menghasilkan tenaga elektrik. Negara barat telah lama menyedari peranan mereka dalam penjimatan seperti ini untuk menjaga alam sekitar.
Rakyat juga disarankan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi mengurangkan kos. Namu begitu kita juga perlu melihat dari segi kecekapan perkhidmatan ini kepada rakyat yang disediakan oleh pemaju. Lokasi dan jaringan Transit Aliran Ringan masih lagi kurang dan tidak menghubungakan tempat strategik di lembah klang. Perkhidmatan bas juga masih kurang efisen. Bagi saya bas masih kurang dan tidak memenuhi keperluan masyarakat. Buktinya bas akan penuh sehingga melebihi had penumpang. Hal ini ditambahkan lagi dengan sikap pemandu yang kurang berhemah ketika berbicara mahupun ketika memandu. Tambahan lagi bas-bas di negara kita dimonopoli oleh rakyat asing. Saya sebagai pengguna merasa kurang selamat sekiranya terlalu ramai rakyat asing yang kelihatan seperti sekumpulan gangster. Mereka juga tidak ada rasa hormat kepada warga emas yang menaiki bas dengan tidak menawarkan tempat duduk mereka. Sekiranya kerajaan ingin menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, selesaikan masalah yang telah saya uarkan iaitu dari segi ketepatan masa, keselesaan, keselamatan dan budi bahasa.
Saya sebagai seorang mahasiswa pelajar IPT turut merasai bebanan ini kerana saya menjadikan sebuah kereta kompak keluaran perodua sebagai pengangkutan saya di kampus untuk berulang alik ke pekan untuk membeli barang keperluan bersama rakan serumah. Saya turut menggunakan basikal sebagai pengangkutan alternatif di sana untuk menghadiri kuliah. Sepengalaman saya, sekiranya ada pihak mencadangkan kempen berbasikal ke tempat kerja, kata saya rasailah terlebih dahulu. Saya sudah merasai panas terik dan hujan lebat berbasikal ke kuliah. Laratkah pekerja yang sudah berumur 40 tahun menghadapi semua ini 5 hari seminggu? Anak muda seperti saya boleh bertahan lagi. Akan tetapi untuk pergi ke destinasi yang berdekatan, bagi saya tidak salah untuk menggunakan basikal.
Selama ini saya mengisi 10 ringgit seminggu untuk kereta saya. Namun selepas ini saya kos untuk minyak akan bertambah. Maka sebagai seorang mahasiswa saya yang mempunyai sumber yang terhad perlu berjimat cermat dalam penggunaan minyak dan barang keperluan lain dalam masa yang sama terus tidak bersetuju dengan kenaikkan harga minyak yang sememangnya membebankan berhujahkan negara Arab Saudi mampu meletakkan harga 38 sen sahaja seliter kenapa tidak negara kita.
Sekian Terima Kasih.
Sabar je la. Minyak oh Minyak....
Syafrul
12 Jun 2008
12.oo a.m.